KUALA LUMPUR: PAS yakin demonstrasi dengan mengarakkan kepala lembu bagi membantah pembinaan Kuil Hindu di seksyen 23 Shah Alam didalangi dan diupah oleh Umno.
Naib Presidennya, Dato' Mahfuz Omar menegaskan penglibatan Umno dalam perkara ini amat jelas berdasarkan kenyataan pemimpin parti tersebut sebelum ini yang didakwa mengapi-apikan isu perkauman dan menyifatkan pemimpin PAS menjadi kuda tunggangan pemimpin DAP.
Beliau juga kesal terhadap demonstrasi itu yang didakwanya didorong emosi keterlaluan dan perkauman sempit.
"Tindakan memijak kepala lembu itu, atas niat kerana itu lambang agama Hindu, tuhan agama Hindu, (tindakan) itu menyalahi agama Islam dan melanggar perintah Allah.
"Saya minta pemimpin-pemimpin Umno yang sanggup mengupah supaya diarak dan dipijak kepala lembu agar merujuk dan memintan pandangan mufti terlebih dahulu kerana perbuatan ini salah disisi Islam," tegas beliau.
Mahfuz juga menegaskan setiap rakyat boleh mengadakan demonstrasi dan protes tetapi ia seharusnya dilakukan dengan bertamadun dan beretika yang tidak melampaui batas agama.
"Kita (dalam) negara demokrasi. Kita boleh buat apa protes sekalipun, (terhadap) apa yang kita tidak setuju. Tetapi mesti protes yang bertamadun dan beretika yang tidak melampaui batas agama," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena berkata tindakan Umno itu, yang didakwanya mahu menarik kembali sokongan Melayu, akhirnya memberikan kesan negatif apabila ia menimbulkan kemarahan masyarakat bukan Islam.
Setakat ini, tambah Mahfuz, tiada ahli PAS dikenal pasti terlibat dalam demonstrasi 50 penduduk dan NGO Melayu di depam bangunan setiausaha kerajaan negeri Selangor di Shah Alam.
"Kemukakan nombor kad pengenalan, kita boleh semak (keahlian PAS). Jadi dia sendiri tidak boleh kemuka. Sesiapa sahaja boleh dakwa ahli PAS. Jadi, Umno upah, dia kena mengakulah," cabarnya.
28 Ogos lalu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, yang turut menjadi sasaran kemarahan penduduk Seksyen 23, selain Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dilaporkan mendakwa Umno menjadi dalang membantah pembinaan kuil tersebut.
Menjawab tuduhan itu, Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun menafikan penglibatan Umno.
Sementara itu, blog perisik rakyat mendedahkan penglibatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Selayang dalam demontrasi mengarak kepala lembu itu.
Blog itu juga mendakwa Pengerusi Persatuan Penduduk di situ, kebiasaannya jawatan pengerusi persatuan penduduk dikuasai orang Umno, bernama Cikgu Zainuddin dalang utama demonstrasi membantah pemindahan kuil itu.
Cikgu Zainuddin itu juga didakwa sedang merebut kedudukan sebagai Pengerusi Surau Al Jannah Seksyen 23 itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan