KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Bagan Pinang bakal ubah senario politik Negeri Sembilan


MUQADIMMAH: Dun Bagan Pinang sebelum ini dimenangi BN kerana undi pos yang besar sehingga memperoleh majoriti 2,333. Bagi PAS, kemenangan BN itu tidak dianggap 'gentlemen' kerana sedia maklum undi pos boleh dimanipulasi dengan mudah. Apakah undi pos kali ini boleh membantu mengubah lanskap politik di Negeri Sembilan jika memihak kepada PAS? Ikuti wawancara SALMIYAH HARUN bersama Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Zulkefly, Mohammad Omar yang memperkata tentang politik di negeri itu, di Pejabat Agung PAS. Jurufoto WAN ZAHARI SALLEH.

Nampaknya BN akan berentap dengan PAS sekali lagi selepas Manek Urai dan Permatang Pasir. Apakah momentum lapan pilihan raya kecil lalu yang menyebelahi Pakatan Rakyat akan dibawa ke Bagan Pinang?

ZULKIFLI OMAR: Angin perubahan itu nampaknya terus menerus sebab isu yang berlaku hari ini semakin panas. Isu berkaitan dengan masyarakat India, kepimpinan MIC, termasuk juga masalah yang berlaku dalam MCA dan Umno sendiri.Ini adalah faktor dalaman pihak lawan.
Faktor luaran, jelas rakyat masih bersama lagi dengan Pakatan. Kita lihat khususnya orang bukan Islam merupakan penentu di Bagan Pinang iaitu 20 peratus India, Cina 10 peratus dan bangsa-bangsa lain 4 peratus.

Dalam PRU 2004, majoriti BN menang kita-kira 5,000 undi. 2008 pula majoriti itu berkurangan menjadi 2,333 undi. Apakah dalam PRK kali ini saudara percaya majoriti itu akan terus berkurangan sekaligus akan memberi lonjakan kepada kemenangan PAS?

Daripada pengalaman PRU lepas dan keaadan politik yang sedia ada kali ini, kita yakin undi Melayu dan Cina akan meningkat. Yang paling besar ialah pengundi Cina, India dan orang Melayu juga akan berubah sebab kawasan ini adalah pinggir bandar, bukan luar bandar.
Pengundi adalah 'middle class' dan di kalangan yang bekerja ada tentera, bekas tentera, pekerja syarikat multi nasional yang ada di sana, maka mudah untuk kita menyampaikan maklumat sebab mereka ini celik IT dan boleh mendapatkan maklumat bila-bila masa.

Bagan Pinang mempunyai undi pos yang agak besar, dalam pilihan raya lalu BN menang disebabkan undi pos. Apakah langkah-langkah PAS untuk menangkis kemenangan BN melalui cara itu?

Kalau undi pos dapat dijalankan secara telus dan kita dibenarkan untuk melihat proses undi pos diadakan pada hari tertentu dan boleh dipantau, kita yakin undi pos akan dapat banyak di pihak PAS. Mungkin kita boleh tambah undi daripada undi sebelum ini.
Sebab itu, kita minta SPR membenarkan kita melihat pengendalian undi pos ini. Kita mahu lihat sendiri daftar pemilih untuk undi pos, kita mahu orang yang betul-betul layak mengundi pos di kawasan berkaitan ataupun pengundi yang dibawa masuk.
Kita tidak mahu pengundi yang dibawa masuk khususnya untuk pilihan raya. Kita akan lihat secara teliti dan kita akan pastikan SPR dapat memberi ruang yang seada-adanya kepada kita. Kalau ruang seadanya diberikan, kita yakin akan menang. Bukan satu jumlah yang kecil tetapi jumlah yang agak selesa juga.

Berapa banyak undi pos di Bagan Pinang ini?

Undi pos lebih kurang 5,200 undi. Kalau PRU 2008 BN dapat 3,080 dan PAS dapat 1,189. Kita akan desak SPR untuk memberi ruang kepada kita. Jika BN menang bukan kerana pilihan raya tetapi undi pos yang kita tidak tahu kedudukannya siapa sebenarnya yang mengundi undi pos.
Adakah kemenangan itu kemenangan mutlak BN atau kemenangan undi pos yang dianggap kemenangan yang tidak 'gentlemen'. Kita mahu kali ini biar 'gentlemen'. Kita pun dapat pantau undi pos dan yang penting pengundi mesti benar-benar bertugas di kawasan itu.
Bukannya hantar batalion yang baru semata-mata untuk mengundi. Ada di kalangan undi pos yang lalu berpindah ke tempat lain. SPR kena kemas kini semula daftar pemilih untuk pengundi pos di Bagan Pinang.

Macam mana dengan pengundi India dan Cina?

Untuk undi Cina dan India kita boleh pertingkatkan undi mereka sebagaimana senario di Bukit Gantang atau di Permatang Pasir. Besar kemungkinan kita boleh rapatkan jurang ini mengatasi sedikit undi Melayu sekali gus akan mencipta sejarah untuk Negeri Sembilan dan negara ini.
Sebenarnya undi Melayu di Bagan Pinang lebih kurang sahaja dengan BN, dulu kita dapat 43 peratus undi Melayu yang menyebabkan kita ketinggalan bukan disebabkan undi Melayu, tetapi sebab undi pos.
Kalau penduduk tempatan yang tidak mengundi pos saya rasa kemenangan itu lebih mudah berpihak kepada kita. Sebab 'trend' yang lepas bila kita campurkan pengundi-pengundi, kita cuma kalah 444 undi sahaja, kalau tidak termasuk undi pos. Hari ini kita memerlukan 1,200 sahaja lagi seterusnya akan memberikan kemenangan kepada kita.

Apakah sudah ada calon yang disenarai pendek ataupun mahu meletakkan calon asal sebelum ini?

Kita pilih calon sesuai dengan kawasan itu dan masa iaitu bergantung kepada isu setempat, nasional dan yang penting selera rakyat waktu itu hendak calon yang macam mana. Kita tidak kekeringan calon, kita ada ramai calon.
Bagi PAS kita akan beri peluang untuk 'grass root' pilih calon terlebih dahulu. Setakat ini kawasan akan hantar kepada PAS Perhubungan senarai calon yang disenaraikan oleh kawasan.
Perhubungan akan berbincang kemudian kita akan bawa ke mesyuarat dan akhirnya PAS Pusat akan memilih calon yang terbaik. PRK bukannya PRU ia berbeza ia mesti dari 'nasional level', calon pun akan jadi 'national level' juga. Ia tidak jadi bentuk lokal, mesti ada 'value'.

Ada calon yang sudah dikenalpasti setakat ini?

Kita juga sudah kenal pasti calon, tetapi belum terima daripada kawasan. Kita akan buat 'survey' juga, biasanya akan meletakkan calon yang berwibawa, dan kesesuaian dengan kawasan berkenaan.
Dari segi pendidikan tinggi itu tidak menjadi keutamaan. Kita kena tahu rakyat kawasan itu mahukan calon wakil rakyat mereka yang macam mana. Calon adalah orang yang berkebolehan, boleh berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat serta memberi ide-ide yang baik.
Bagi kawasan yang majoriti penduduk yang berpendidikan akan melihat calon itu mesti bersih. Bersih dalam erti kata bebas daripada rasuah, bebas daripada masalah yang melibatkan isu moral.
Kalau kita salah memilih calon ia akan menjejaskan pengundi. Setakat ini pemimpin PAS bersih. Kita mahukan yang terbaik daripada yang terbaik. Dalam Perhubungan PAS kita terbuka dan boleh menerima sesiapa sahaja calon dan kita tidak seperti Umno. Kita akan pilih, bukan berdasarkan puak-puak, kita pilih orang yang betul-betul berkelayakan dan boleh diterima masyarakat bukan orang Melayu sahaja bahkan Cina dan India serta lain-lain.
BN sendiri kalau mereka menang dengan undi pos ianya satu petanda 'moral' untuk BN, sekali gus akan memberi impak kepada Pakatan Rakyat Negeri Sembilan dan seluruh Malaysia.
Selama ini BN dakwa kita bertanding di tempat kubu kuat Pakatan Rakyat misalnya di Kuala Terengganu, Permatang Pasir, Manek Urai, tetapi kini kita bertanding di negeri pemerintahan BN. Kalau mereka kalah, kita dapat gambaran Umno mungkin menghadapi masalah besar.

Jika dilihat dalam PRK Permatang Pasir SPR meletakkan hari bekerja sebagai hari mengundi. Ternyata kemerosotan peratusan keluar mengundi telah mempengaruhi keputusan mengundi. Apakah reaksi saudara?

Kita akan desak SPR. Sebab kita sudah nampak itulah isunya seolah-olah menghalang orang menjalankan tangungjawab. Tujuan kita adakan pilihan raya supaya seberapa ramai pengundi keluar mengundi.
Kalau dibuat pada waktu bekerja maknanya SPR sudah menghalang hak pengundi untuk mengundi. Jika SPR meletakkan hari mengundi pada hari bekerja sukar untuk mereka keluar mengundi.

KeADILan ada ura-ura untuk meletakkan calon di Bagan Pinang, apa komen Saudara?

Biasanya orang bawah macam-macam pandangan, tetapi di peringkat Badan Perhubungan PAS tidak ada masalah. Kita masih ada hubungan yang baik, bahkan di peringkat pusat sudah jelas status di Bagan Pinang kekal dengan PAS. Maknanya daripada KeADILan dan DAP bersedia untuk membantu PAS dalam pilihan raya nanti.

Apa harapan saudara selaku Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan kepada para pengundi di Bagan Pinang? Add Image

Pengundi di Bagan Pinang diberi satu tanggungjawab besar dalam senario politik negara. Mereka akan menentukan masa politik negara. Kalau mereka bijak bertindak, tahu menggunakan hak mereka sebaik mungkin, kita akan mencapai kemenangan.
Insyallah sekali gus kita boleh mengubah lanskap politik. Harapan saya, para pengundi berilah peluang kepada PAS untuk menerajui kawasan ini. Kita akan tampilkan calon yang berwibawa yang bukan sekadar pemimpin tetapi sebagai rakan kongsi rakyat di kawasan Bagan Pinang.

Tiada ulasan: