KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan sikap tidak progresif dan kurang profesional Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf kerana masih lagi mengamalkan budaya double standard dalam melayani pengundi-pengundi pos di seluruh negara berbanding pengundi biasa.
Ketika menegaskan perkara ini, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad terus
mendesak SPR agar Borang Lampiran 2 dimansuhkan walaupun badan itu enggan menghentikan amalan yang memuatkan butiran peribadi pengundi pos, yang menjadi kumpulan pemilih terbesar di DUN Bagan Pinang.
Ustaz Idris mempersoalkan, jika pengundi biasa, tiada Borang Lampiran 2 diberikan, malah tiada dalam peraturan sekalipun, mengapa pula tersebut diwajibkan kepada semua pengundi pos, walhal nama-nama dan maklumat mereka sudah ada dalam daftar pengundi.
Tan Sri Abdul Aziz dilaporkan enggan menunaikan tuntutan PAS seperti disuarakan oleh Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar sebelum ini.
Pengerusi SPR itu memberi reaksi, Borang Lampiran 2 tidak akan dimansuhkan kerana prosedur itu mengikut undang-undang dan butiran peribadi termasuk nama, nombor MyKad dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos tidak pernah didedahkan.
Beliau dipetik berkata, selama ini SPR tidak pernah disoal atau diminta oleh tentera atau polis mengenai undian yang dibuat anggota-anggotanya, melalui pos, bagi tujuan semakan dan sejak undi pos dilaksanakan, tidak pernah ada penjawat awam yang diturunkan pangkat atau dibuang majikan.
Bagaimanapun, Ustaz Idris percaya Borang Lampiran 2 diyakini bertujuan bagi memudahkan semakkan terhadap pengundi-pengundi pos yang pro-Pakatan Rakyat.
Ketidaktelusan dalam menjaga kerahsiaan pengundi ini, katanya, menjadi senjata ampuh SPR dalam membantu kemenangan calon-calon BN kerana calon Pakatan bergantung penuh dengan pengundi biasa, sedangkan BN menguasai pengundi pos secara paksa rela.
Ini terbukti bila mana wujudnya laporan-laporan sebelum ini yang mendakwa bahawa setiap pengundi pos akan disemak kertas undinya dengan merujuk nombor siri kertas undi dan Borang Lampiran 2 itu, ujarnya.
Dakwaan yang mencurigakan ini, tegasnya lagi, membuatkan ramai pihak mempersoalkan kredibiliti SPR dan ketelusan mereka sebagai agen penyelia Pilihan raya.
Seramai 5,171 pemilih pos, atau 37 peratus pengundi, akan menentukan kemenangan calon, antara PAS dan BN, pada pilihan raya kecil DUN tersebut susulan kematian penyandangnya minggu lalu.
Pada pilihan raya umum lalu menunjukkan DUN itu mempunyai 14,192 pemilih, termasuk 4,925 orang melalui pos. Jumlah itu, menjadikan DUN Bagan Pinang mempunyai 1/3 pengundi pos berdaftar.
Ustaz Idris turut mengulangi empat desakan parti itu, sewaktu bergabung dengan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), kepada SPR, termasuk menggunakan dakwat kekal di jari pengundi dan memansuhkan undi pos.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan