KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

PAS optimis mampu tewaskan BN di Bagan Pinang


KUALA LUMPUR: PAS tetap yakin dan optimis dapat menawan Bagan Pinang yang dianggap sebagai kubu kuat BN pada pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengarah Jentera Operasi Pilihan Raya PAS Negeri Sembilan, Taufek Abdul Ghani berkata kekuatan pengaruh BN di kawasan tersebut hanyalah bersandarkan kepada undi pos yang berjumlah 5,191.

"Saya yakin PAS akan menang pada pilihan raya kecil ini kerana selama ini pun tradisi yang disebut-sebutkan sebagai kubu kuat BN adalah kerana bilangan undi pos yang banyak di kawasan tersebut," katanya kepada Harakah.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-12, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar di mana 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Bagan Pinang mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan satu campuran Cina serta undi pos.

Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India.

Berdasarkan post mortem pilihan raya umum ke-12 lalu, antara punca PAS tewas adalah disebabkan undi pos.

Dari 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan, PAS hanya mendapat 1,189 undi manakala calon BN 3,080 undi.

PAS paling banyak menang di Ladang Aterton di mana calon PAS, Ramli Ismail menang dengan majoriti 84 undi.

Berdasarkan rekod pilihan raya kecil sebelum ini, PAS dijangka akan meningkatkan undinya di kalangan orang India. Tambahan lagi dengan krisis pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam, Selangor baru-baru ini apabila sekumpulan penyokong Umno mengarakkan kepala lembu berdarah ke Pejabat Menteri Besar Selangor.

"Walau bagaimanapun, kebimbangan terhadap undi pos tetap wujud. Cuma jika kita berjaya mengekalkan sokongan yang diterima sebelum ini mungkin keadaan akan menjadi bertambah baik," ujar Taufek yang juga Adun Paroi.

Parlimen Telok Kemang kini dimenangi KeADILan dengan lima DUN di dalam kawasan parlimen tersebut. Tiga dikuasai oleh Pakatan Rakyat iaitu dua KeADILan, satu DAP manakala BN dua kerusi.

Kerusi-kerusi yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat ialah Dun Chuah (PKR), Dun Lukut (Dap) dan Dun Port Dickson (PKR). Manakala Dun yang dikuasai BN pula selain Bagan Pinang ialah Dun Linggi.

1 ulasan:

Faizal Zakaria's Blog berkata...

Jangan terlalu yakin..














Reformasi Dan Transformasi – Generasi Muda Perlu Bersiap Sedia
>>> Forum 1 Malaysia <<<