MUQADIMAH: Kedatangan Ramadan membawa seribu satu rahmat yang perlu direbut pahala di dalamnya oleh setiap Muslim. Sejauh mana penghayatan kita agar Ramadan yang dilalui membawa manfaat serta perubahan kepada diri? NYZA AYOB mendapatkan pandangan tokoh agama, Ustaz Zahazan Mohamed mengenai penghayatan Ramadan bagi setiap Muslim.
Apakah perkara sebaiknya yang boleh kita lakukan dalam menghayati Ramadan ini?
USTAZ ZAHAZAN MOHAMED: Pertamanya Ramadan seperti yang disebut dalam al-Quran menekankan aspek takwa. Takwa yang dimaksudkan jika dilihat sebagaimana pandangan para ulama sebagai contoh Saidan Ali berkata: "Takwa ialah takut kepada Allah, beriman kepada al- Quran serta merasa cukup dengan sedikit dan membuat persiapan kembali kepada Allah".
Mudahnya, takwa seperti yang digambarkan Saidina Ali dalam kehidupan kita sebagai individu dapat kita perhatikan apakah sesuatu perkara itu adalah sebaik-baiknya atau tidak.
Jadi, penekanan pada Ramadan ini untuk kita menjadi orang bertakwa ialah amalan Nabi Muhamad S.A.W itu yang patut kita jadikan pedoman. Sebagai contoh jika kita perhatikan dalam kitab-kitab mengenai keutamaan Ramadan ini seperti kita Riyadhus Solihin, Imam Nawawi mengatakan Ramadan adalah tiang.
Tiang? Maksud Ustaz...
Tiang ini sekurang-kurangnya solat terawih. Terawih itu ikut kemampuan.Tentulah guru sekolah mempunyai masa yang banyak berbandingpemandu lori atau jaga. Jadi, kedudukan nilai kita di sisi Allah haruslah kita perhatikan kemampuan kita. Yang penting kita jangan tinggalkan.
Allah berfirman: "Bertakwalah kamu mengikut kemampuan kamu selepas bersungguh-sungguh berusaha".
Orang kaya takwa tentulah banyak berderma sementara orang miskin takwa mungkin kenalah sabar dengan apa-apa yang diuji dalam kehidupan itu. Dalam bulan Ramadan satu perkara yang Nabi Muhamad S.A.W tekankan ialah sesiapa yang mengamalkan qiam (bangun malam) di bulan Ramadan ini diampunkan dosa-dosanya yang lalu. Jadi qiam ini harus ditingkat pada Ramadan yang terakhir.
Contohnya apabila datang malam terakhir Ramadan, Nabi mengetatkan kainnya. Baginda tidak berhubung dengan isteri-isterinya serta sepuluh malam qiam tersebut. Seterusnya takwa yang Nabi amalkan dan anjurkan ialah banyak membaca al-Quran.
Dalam hari terakhir nabi sebelum diwafatkan oleh Allah, baginda telah diperdengarkan al-Quran sebanyak dua kali oleh Jibril. Mengikut pandangan sahih, Ramadan ini merupakan keutamaan untuk khatam al-Quran serta tasmi' al-Quran yang pernah kita hafal tetapi kita lupa. Itulah kefahaman yang dapat kita lihat dalam amalan Nabi Muhamad S.A.W untuk mencapai ketakwaan.
Bagaimana pula dengan amalan bersedekah di bulan Ramadan?
Antara yang Nabi amalkan untuk mempertingkatkan takwa ialah memperbanyakkan sedekah. Pertama, sedekah yang wajib iaitu zakat dan kedua sedekah yang sunat. Sedekah yang sunat ada banyak kelebihannya.
Sekurang-kurangnya dalam sebuah hadis ada mengatakan walaupun dia bersedekah separuh daripada tamar ia diberi keampunan dan Allah menjauhkannya daripada neraka. Kita mengingatkan kepada seluruh umat Islam supaya rajin bersedekah kerana bersedekah ini menyebabkan bantuan Allah turun kepada kita.
Bukan sahaja Ramadan tetapi sepanjang waktu kita digalakkan bersedekah. Apabila anak-anak ingin menghadapi peperiksaan, kita ada berselisih faham dengan adik beradik, suami, isteri, anak-anak dan jiran tetangga, perkara ini dapat dirungkaikan dengan hubungan kita dengan Allah baik.
Caranya Ustaz?
Caranya ialah dengan melakukan serta mempertingkatkan sedekah serta beristiqamah. Di sini kita perlu bagi penekanan, dalam hadis yang sahih Nabi bersabda: "Orang yang memberi saudaranya berbuka puasa, menjadi penyebab berbuka puasa, dia akan mendapat pahala orang itu tidak kurang sedikit pun. dan pahala orang itu berterusan untuk dirinya".
Jika dilihat orang Islam hari ini sewaktu berbuka puasa, mereka terlalu mewah. Kadang-kadang ada yang membelanjakan RM3000 untuk sekali berbuka puasa. Sebenarnya perbelanjaan berbuka puasa tidaklah sebesar itu. Memadailah kita menyediakan buah kurma untuk dijamu seratus atau dua ratus orang. Kemudian sediakan air mineral yang cukup baik untuk berbuka puasa.
Kita menjadi penyebab untuk mereka berbuka puasa?
Ya! Tetapi kita tidaklah menghalang orang yang mempunyai harta yang ingin menderma menjamu makanan mewah. Sekali sekala tidak mengapa. Tetapi jika memperuntukkan wang yang begitu banyak untuk meraikan orang-orang yang kelaparan dan kebuluran, saya rasa cara itu kurang tepat.
Sewajarnya kita memahami maksud hadis keutamaan kepada golongan miskin yang perlukan wang dan bukannya makan banyak. Dalam tasawwur juga mengatakan, makan banyak menyebabkan mata hati kita terkunci.
Kemudian amalan Nabi di bulan Ramadan ini juga membantu golongan yang susah (Shahrul Muasa). Shahrul Muasa ialah bulan untuk kita membantu golongan yang dalam kesusahan. Membantu golongan susah bukan hanya dengan kita membantu mereka dengan duit tetapi kita membantu mereka keluar daripada kemiskinan.
Contohnya kita menyalurkan ilmu yang ada untuk membantu golongan yang susah berniaga, belajar menjahit dan membuat kuih. Ini bermaksud kita memberi mereka joran untuk mereka menangkap ikan. Dan ini dipanggil Shahrul Muasa iaitu kita menunjuk jalan keluar kepada mereka yang terdesak.
Jika ada kalangan umat Islam yang tidak mampu untuk bersedekah, sedangkan mereka mempunyai keinginan untuk bersedekah, apakah yang dapat mereka lakukan untuk menyamai pahala sedekah?
Sedekah difahamkan dalam satu hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim, apa-apa sahaja perkara baik yang kita lakukan merupakan sedekah. Melemparkan senyuman adalah sedekah. Bertahlil, bertasbih dan bertahmid juga sedekah. Dan seorang suami apabila bersama dengan isterinya juga dikira satu sedekah.
Nabi pernah diberitahu oleh seorang Arab: Wahai Muhamad bersedekahlah engkau dan jangan takut menjadi miskin. Nabi senyum apabila mendengar pandangan orang arab badwi itu.
Dalam hadis sahih mengatakan tidak kurang harta dengan sebab bersedekah. Oleh sebab itu, ajarlah anak-aank kita bersedekah. Jangan dipandang pada kuantiti tetapi pandanglah pada keikhlasan dan usaha kita.
Solat terawih termasuk amalan sunat di bulan Ramadan. Bagaimana kita dapat memperbaiki diri dengan mengerjakan amalan sunat terawih ini?
Amalan Nabi di bulan Ramadan juga memperbanyak ibadah-ibadah sunat khususnya solat-solat sunat. Solat-solat sunat ini orang-orang Islam hendaklah beriltizam dengannya. Dalam mengerjakan solat terawih, apabila banyak sangat makan sewaktu berbuka, menjadi susuh untuk mengerjakan solat terawih.
Apabila ke masjid, dia banyak bersembang. Orang mengerjakan 20 rakaat dia berhenti pada rakaat ke lapan. Dia bersembang lebih. Orang seperti ini dia rugi. Dia harus memantau semula serta memperbaiki di mana kekurangan dirinya. Dia bersama-sama dengan orang lain mengimarahkan Ramadan dengan mengerjakan solat-solat sunat.
Sembahyang dhuha jangan ditinggalkan. Sembahyang sunat rawatib hendaklah diteruskan. Sembahyang sunat hajat, sembahyang sunat fajar, sembahyang sunat tahajjud.
Jika kita lihat generasi salaf ini mereka sembahyang sampai 200 rakaat satu hari. Contohnya Harun Al-Rasyid, Imam Ahmad bin Hambal, Imam Shafie dan Imam Malik. Mereka ini sembahyang tidak kurang 200 rakaat dalam satu hari.
Peluang sudah terbentang, jadi apa lagi amalan lain yang dituntut sepanjang Ramadan?
Ambillah peluang untuk meningkatkan ibadah serta solat-solat sunat. Kita juga boleh mengamalkan zikir-zikir serta beristighfar.
Istighfar juga merupakan zikir sunat yang kita boleh amalkan. Istighfar di bulan Ramadan boleh kita tingkatkan sehingga seratus kali sebagaimana disuruh oleh Nabi. Perkara-perkara ini dapat kita lakukan dengan adanya ilmu.
Pergi solat terawih merupakan mujahad dan makan kurang pun satu mujahadah. Memperbanyak sedekah juga mujahadah. Ia dipandu oleh ilmu.
Salah satu fadilat di bulan Ramadan ialah doa akan dikabulkan. Boleh Ustaz perjelaskan lebih lanjut mengenai mustajab doa di bulan Ramadan?
Kelebihan doa ini jika diamalkan saban waktu serta saban sembahyang, Insya-Allah Allah akan memberikan kecerahan minda serta kekuatan untuk mengamalkan setiap yang dituntutNya.
Bagaimana kita hendak mendidik diri yang sering mengatakan tidak mempunyai masa untuk membaca al-Quran sedangkan kita mengetahui salah satu amalan yang dituntut pada bulan mulia ini ialah memperbanyakkan membaca al-Quran.
Terdapat dua ubat untuk mendidik diri iaitu ubat 'internal' dan ubat 'external'. Ubat 'internal' ini ialah dengan ilmu yang kita sampaikan, kenapa dia tidak boleh membaca al-Quran. Perkara ini penting untuk kita sampaikan dalam tazkirah. Dan apa yang penting ialah si polan empunya diri itu sendiri. Seharusnya membaca al-Quran ini dilakukan sebagaimana seorang sakit memerlukan ubat.
Jadi membaca al-Quran ini kita jadikan keutamaan pada diri kita. Kita harus merasakan kita berdosa pada Allah. Kita dapat meluangkan masa untuk perkara lain. Kita boleh SMS, emel, Facebook berjam-jam. Kita tengok pada zaman dahulu tiada benda-benda sebegini. Sebab itu hati kita mati sebenarnya. Di rumah Saidina Umar sebagaimana digambarkan dalam Al-Atsar, rumahnya hanya mempunyai pedang dan al-Quran.
Akhir sekali, bagaimana dapat kita mempertingkatkan amal ibadat terutama pada 10 malam terakhir Ramadan?
Saya menyatakan kepada diri saya serta saudara Islam sesama akidah, rebutlah peluang untuk mendapat Ramadan yang lebih baik. Puasa itu mengikut Imam Ghazali terbahagi kepada tiga iaitu puasa orang awam, puasa orang khusus serta puasa khusus fil khusus.
Sekurang-kurangnya hendaklah kita berada pada puasa orang khusus iaitu puasa itu menjaga pancaindera daripada benda yang haram iaitu mata, mulut, telinga, lidah, perut, tangan dan kaki. Ketujuh-tujuh anggota ini dijaga daripada melakukan perkara yang haram.
Mudah-mudahan dengan cara itu kita dapat meningkatkan kepada puasa yang lebih tinggi iaitu puasa khusus fil khusus iaitu puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, pancaindera dijaga, tetapi hati kita juga berfikir untuk melakukan perkara-perkara yang baik.
Berbanyakkanlah kita berdoa, Ya Allah bantulah aku untuk mengingatimu, bersyukur padaMu serta memperelokkan amalan. Mudah-mudahan doa yang diajar oleh Muaz ini mendorong kita taat serta menjauhi perkara yang dilarang-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan