KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Isu Kuil Seksyen 23: PAS mesti berlaku adil dengan semua pihak - Khalid Samad


MUQADIMAH: Ikuti penjelasan ringkas Ahli Parlimen Shah Alam, Saudara Khalid Abdul Samad berhubung isu pembinaan kuil yang menjadi serangan hebat kononnya dari penduduk Seksyen 23 hingga sanggup mengheret kepala lembu berdarah untuk menunjukkan protes.

Ada yang rasa pelik dengan sikap YB berhubung isu kuil. Mereka menganggap PAS sepatutnya menzahirkan pendirian tegas dan mendesak kuil di Shah Alam semuanya diroboh sahaja. Apa penjelasan YB?

KHALID ABDUL SAMAD: Ya, saya tahu. Penunjuk perasaan ’kepala lembu’ itu pun mempersoalkan ke mana perginya akidah saya. Inilah masalahnya. Orang Islam yang memahami Islam mengikut kaca mata orientalis dan musuh Islam.
Mengikut mereka, Islam ini kejam, meruntuhkan gereja dan kuil, membunuh orang bukan Islam, memaksa orang memeluk Islam. Dakwaan mereka Islam dikembangkan melalui pedang.
Hakikatnya Islam tidak begitu sama sekali. Islam menuntut ummatnya bersifat adil. Islam datang sebagai Rahmat untuk seluruh alam, termasuk terhadap masyarakat bukan Islam. Itulah sebabnya Islam telah mampu dan berjaya memerintah masyarakat berbilang kaum dan berbilang ugama sepanjang sejarahnya.
Walaupun kita akui ada penyelewengan pada masa-masa tertentu, penyelewengan itu disebabkan naiknya raja-raja yang tidak mengikuti syariat yang ditetapkan oleh Allah. Raja-raja ini bertindak atas desakan kepentingan kaum dan kabilah. Hasilnya kezaliman dan kekeliruan.

Bagaimana pendirian YB?

Saya yakin pendirian saya dalam soal ini adalah lebih bertepatan dengan tuntutan Islam supaya bertindak adil dari sikap yang ditunjukkan BN selama ini. Ianya jauh lebih adil dari sikap ekstrimis dan provakasi yang ditunjukkan ’demo kepala lembu’ tajaan Umno.

Apa mesej disebalik pendirian YB yang ingin masyarakat faham?

Sebenarnya saya mahu masyarakat memahami dan meyakini bahawa Islam menjamin keadilan untuk semua pihak. Supaya orang Islam dan orang bukan Islam tidak takut dengan corak kepimpinan dan pemerintahan yang ingin dibawa oleh PAS.
Saya mahu masyarakat menyedari bahawa selama ini mereka ditipu oleh Umno apabila mereka berkata ”kalau Islam memerintah, maka hancurlah negara kita. Teruklah dikerjakan orang bukan Islam” dan sebagainya.
Saya mahu masyarakat Islam dan bukan Islam menyedari dan meyakini, atas dasar Islam, semua hak akan terbela, termasuk hak orang Islam serta yang bukan Islam, semua kaum dan bangsa akan dilindungi, termasuklah Melayu, bukan Melayu.

Apakah sikap Umno dalam isu ini?

Umno jelas menyokong dan membela sikap ekstrimis. Kenyataan mereka bahawa kerajaan Selangor adalah pihak yang bersalah merupakan usaha untuk menjustifikasi tindakan ekstrimis penyokong mereka. Bagi mereka Islam hanya untuk menaikkan semangat tanpa mengambil kira hukum dan syariat Islam.
Inilah sebabnya orang Melayu mesti tinggalkan Umno. Perjuangan Umno tiada syariat dan tiada hukum, hanya semangat.
Pendirian saya berhubung isu kuil ini bukan untuk mendapat undi dari mana-mana pihak. Bukan untuk menjadi ahli politik yang populis atau sebaliknya. Pendirian saya berhubung kuil ini adalah berdasarkan tuntutan Islam supaya kita bertindak adil kepada semua. Saya ingin menzahirkan keadilan Islam.

Apa pula harapan dan saranan YB kepada penduduk Seksyen 23?

Ini bulan Ramadan. Matlamat disebalik Ramadhan adalah ketaqwaan. Kita dah dengar perkara ini berkali-kali. Tetapi adakah kita memahami bahawa tuntutan ketaqwaan meliputi keadilan? Cuba kita renungi ayat 8 Suran Al-Maidah yang bermaksud;
”Wahai orang-orang yang beriman, berdiri tegaklah kamu, kerana Allah, sebagai saksi untuk keadilan. Dan jangan atas sebab kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu tidak bertindak adil. Bertindak adil! Ianya lebih rapat dengan keTaqwaan....”
Maksud ayat di atas amat jelas. Walaupun sekiranya kita benci terhadap sesuatu kaum sekalipun, sekiranya kita bertaqwa, kita akan bertindak adil. Inikan pula terhadap rakyat kita sendiri.
Saya menyeru penduduk Seksyen 23 untuk bertindak adil, sesuai dengan tuntutan keTaqwaan yang menjadi matlamat kita berpuasa sebulan ini. Dengar dulu penjelasan pihak kerajaan. Tak perlu bertindak secara melulu dan sama sama kita memberi keadilan kepada masyarakat Hindu di Seksyen 19, 20 dan 23.
Bebaskan diri kita dari prejudis terhadap mereka sepertimana kita mahu mereka membebaskan diri mereka dari prejudis terhadap kita.
Orang Islam selalu dilabel pengganas. Madrasah, Masjid dan Surau menjadi tumpuan pihak berkuasa dan dipandang serung khususnya di masyarakat Barat. Sarang pengganas kata mereka. Kita kata Barat tak adil. Tetapi kita pula mengamalkan sikap prejudis terhadap orang lain. Kuil ’sarang penjenayah’ kata kita!
Hakikatnya, mereka hanya inginkan tempat peribadatan untuk penganut mereka yang berdekatan kawasan kediaman mereka. Supaya mereka boleh mendidik kaum mereka sehingga tidak menjadi jahat. Seperti kita inginkan surau dan madrasah. Mengapa kita perlu berusaha menggagalkan niat mereka?

Tiada ulasan: