KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Isu Kuil Seksyen 23: Islam tidak ajar hina agama lain - Gobala

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa agar mengambil tindakan tegas dan segera bagi menangkap dalang kepada isu perarakan membabitkan kepala lembu ketika mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) 28 Ogos lalu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan, N Gobala Krishnan berkata kerajaan pusat perlu menyiasat kes tersebut dengan saksama dan mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas dalang perhimpunan tersebut.

"Saya menyeru kerajaan agar segera mengambil tindakan ke atas dalang kejadian ini tanpa mengira siapa sahaja," katanya kepada Harakah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Serai percaya penyokong Pakatan Rakyat tidak terlibat dengan kejadian tersebut, sebaliknya, yakin Islam sebagai agama rasmi negara ini tidak menyuruh penganutnya melakukan perkara yang tidak bermoral seperti itu.

Justeru, beliau menyeru kepada mereka yang terbabit agar segera bertaubat dan insaf atas perbuatan yang dilakukan.

"Saya percaya Islam sebuah agama yang mempertahankan hak semua penganut agama, tetapi saya cukup sedih dengan sebilangan daripada mereka yang mengaku Islam tetapi bersikap seperti ini," ujarnya yang mendakwa dirinya rapat dengan beberapa alim ulama.

Mengulas lanjut mengenai kejadian perarakan tersebut, beliau menegaskan ianya tidak seharusnya diadakan.

"Ianya sesuatu yang mesti dielakkan oleh rakyat, apa yang dilakukan adalah perkara yang memalukan negara ini yang terkenal dengan rakyatnya yang berbilang kaum, hidup dalam keadaan yang harmoni," katanya lagi.

Gobala menyelar pihak yang bertanggungjawab atas perhimpunan tersebut dan pihak yang membenarkannya.

"Apabila hal ini dibenarkan berlaku suatu tindakan yang drastik perlu dibuat oleh kerajaan dan jangan biarkan perarakan itu diteruskan.

"Ia menghina kaum dan agama lain," ujarnya kesal.

Terdahulu, penduduk Seksyen 23 tidak pernah merancang membawa kepala lembu ketika mengadakan perhimpunan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Jumaat lalu, sebagai membantah keputusan kerajaan negeri membina kuil di kawasan mereka.

Namun, Gobala membidas kenyataan tersebut dengan mempertikaikan tindakan peserta perhimpunan yang menyepak kepala lembu tersebut sekiranya tidak mengetahui hal tersebut.

"Bagaimana boleh kata tidak tahu, kemudian duduk lagi dekat situ dan menyepak kepala lembu itu walhal perbuatan itu boleh dielakkan," ujarnya tegas.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw mahu pihak yang bertanggungjawab menganjurkan perarakan kepala lembu 29 Ogos lalu, di hadapkan ke muka pengadilan serta dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Beliau juga mengingatkan pemimpin dan ahli Pakatan Rakyat diingatkan agar berwaspada dengan setiap isu khususnya yang sengaja ditimbulkan pihak yang tidak senang dengan pencapaian Pakatan Rakyat sekarang ini.

Tan berkata pihak tersebut sentiasa cuba untuk merenggangkan hubungan antara parti-parti dalam Pakatan Rakyat dengan memainkan isu-isu yang bersifat perkauman.

Tiada ulasan: