KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Bonus Felda RM350 tak berbaloi untuk peneroka - Mazlan

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, bonus sebanyak RM350 kepada peneroka Felda tidak berbaloi dengan hasil pendapatan yang mereka perolehi sekarang.

Bahkan katanya, beliau melihat pembayaran bonus sebanyak RM150 sebagai satu diskriminasi kepada peneroka yang tidak bersama Felda.

Beliau berkata, antara kedua-dua peneroka tersebut sama saja kerana peneroka yang tidak bersama Felda pun menjual hasil komoditi di kilang Felda juga.

Soalnya, bagaimana kerajaan boleh memisahkan antara peneroka bersama Felda dengan peneroka yang buat secara bersendiran dan ini katanya, menunjukkan wujud sikap berat sebelah.

"Apa yang boleh peneroka buat dengan pembayaran sebanyak itu lebih-lebih lagi untuk menyambut hari raya nanti," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak) kepada Harakah.

Beliau berkata, sepatutnya kerajaan membayar bonus mengikut pendapatan yang diperoleh peneroka sebagaimana dibayar kepada kakitangan kerajaan.

Sekiranya kerajaan memberi bonus mengikut perkiraan seperti dibayar kepada kakitangan kerajaan, rata-rata peneroka sepatutnya menerima RM2000 hingga RM5000.

Ini katanya, pendapatan peneroka sekarang sekitar RM2000 hingga RM5000 sebulan.

"Sebab itu saya rasa bonus yang bakal diberikan kepada peneroka Felda sangat tidak berbaloi, jika pembayaran tersebut dianggap sebagai bonus. Peneroka dibayar hanya sebanyak RM150 sempena hari raya ini," katanya.

"Apa yang boleh peneroka beli dengan wang RM150 untuk menyambut hari raya?" katanya.

Khamis lalu Bernama melaporkan, Dato' Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian wang Raya berjumlah RM37.23 juta kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara mulai minggu depan.

Najib berkata seramai 101,672 peneroka bersama Felda akan menerima RM350 seorang, berjumlah RM35.59 juta. Manakala 10,963 peneroka peneroka yang tidak bersama Felda pula akan menerima RM150 seorang.

Mazlan menyifat pemberian bonus itu hanya untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan prihatin kepada peneroka.

"Memang saya akui kerajaan memberi perhatian lebih kepada masyarakat Felda sebab warga Felda talian hayat bagi Barisan Nasional (BN).

"Kalau dia tak jaga peneroka Felda BN boleh 'bungkus' kerana selama ini peneroka Felda dianggap memenangkan BN, jadi kerajaan akan buat pelbagai insentif kepada peneroka Felda untuk menjamin sokongan kepadanya," katanya.

Bagaimanapun katanya jika sekadar RM350 untuk digunakan sebagai hujah kerajaan membela peneroka ia satu pendekatan yang kebelakang.

Ini katanya, bayaran tersebut sememangnya hak peneroka yang menjadi tanggungjawab kerajaan.

Tiada ulasan: