Cadangan Pergerakan Wanita Umno yang mahukan calon Wanita diletakkan bertanding mewakili BN di DUN Bagan Pinang, 3 Oktober ini adalah usaha halus pihak tertentu dalam Umno menyekat bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad kembali aktif dalam politik.
Hasrat Wanita disuarakan naib ketuanya, Dato' Kamalia Ibrahim dan kemudian disambut oleh ketuanya, Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil – yang secara kebetulan kedua-duanya ini adalah orang Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Senada dengan permintaan itu, Muhyiddin juga meminta Umno Negeri Sembilan menghantar lebih dari satu nama untuk memberi peluang pucuk pimpinan parti membuat pilihan, siapakah yang lebih layak diletakkan bertanding di situ, mewakili BN.
Lebih menarik, Menteri Besar Negeri Sembilan yang diketahui umum tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Mohd Isa tentulah menyambut baik permintaan Muhyiddin itu, kerana inilah masa yang sesuai untuknya memberi alasan kepada Umno Bahagian Teluk Kemang, “bukan saya nak begini tetapi Kuala Lumpur yang tekan”.
Mustahil Mohd Isa sebagai Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang tidak tahu secara lazimnya, bahagian perlulah menghantar lebih dari satu nama ke Kuala Lumpur untuk ditapis.
Bukankah Mohd Isa pernah menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, yang mana semua yang ingin bertanding mesti melaluinya, sebelum diserahkan ke Kuala Lumpur.
Muhyiddin pula sepatutnya tidak perlu meminta mana-mana pihak bercakap bagi pihak dirinya jika beliau dan Presiden Umno, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak mahukan Mohd Isa disenaraikan.
Kenapa tidak mahu berterus-terang? Kenapa Najib atau Muhyiddin tidak boleh menghubungi Mohd Isa sendiri untuk memaklumkan supaya hantarlah nama sesiapa sahaja asalkan jangan Mohd Isa?
Apakah Najib dan Muhyiddin tidak kenal Mohd Isa? Atau Najib dan Muhyiddin tidak tahu bagaimana untuk menghubungi Mohd Isa?
Umno Bahagian Teluk Kemang tentunya merasakan, meletakkan Mohd Isa pun belum ada kepastian untuk menang, apatah lagi jika nama lain dicalonkan.
Bagi mereka yang menyokong Mohd Isa percaya, dengan pengalaman dan kedudukan Mohd Isa sebagai Ketua Umno Cawangan Bagan Pinang dan Ketua Umno Bahagian Teluk Kemang, kerja-kerja berkempen menjadi semakin mudah tetapi jika ada nama baru mahu ditonjolkan, ia akan menghadapi kesukaran.
Isu menamakan hanya Mohd Isa sahaja sebagai calon di DUN Bagan Pinang dibocorkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Teluk Kemang Faizal Ramli.
Jika Faizal tidak mendedahkan keputusan mesyuarat AJK Umno bahagian, tiada siapa yang tahu bahawa hanya nama Mohd Isa sahaja dicalonkan.
Apa tujuan Faizal sebenarnya? Adakah dia mahu isu ini menjadi kecoh atau dia takut jika tidak mendedahkannya, Menteri Besar dan Perdana Menteri akan memilih sesiapa sahaja yang mereka tidak memerlukan persetujuan dari Umno Bahagian Teluk Kemang.
Walaupun Muhyiddin mungkin menafikan beliau bermasalah dengan Mohd Isa tetapi permintaannya supaya Umno Teluk Kemang dan Umno Negeri Sembilan mendapatkan lebih dari satu nama sebenarnya mentafsirkan Kuala Lumpur kurang bersedia menerima kembali Mohd Isa untuk aktif berpolitik.
Kemungkinan juga, usaha ini bagi menyelamatkan kedudukan Mohamad Hassan sebagai Menteri Besar dan mungkin juga tidak mahu Mohd Isa muncul semula menjadi orang penting dalam Umno di peringkat negeri dan Pusat.
Ingat! Politik kotor Umno. Hasrat Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu menjadi perwakilan (G7) di Bahagian Kubang Pasu pun disekat dengan pelbagai cara hingga menyebabkan bekas Perdana Menteri, bekas Presiden Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kubang Pasu itu dikalahkan.
Ditulis Oleh IDRIS SAMAD
2 ulasan:
Selamat Hari Raya Aidilfitri & Selamat Bercuti dari kami di IMCurtain.com. Maaf Zahir dan Batin!
p/s: Kami ingin mengajak para blogger semua untuk menyertai komuniti blogger kami di IMCurtain.com
Salam ziarah lebaran
Catat Ulasan