KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Ramadan ajak manusia tunduk perintah Allah - Tok Guru Abdul Hadi


MARANG: Allah SWT menjadikan bulan Ramadan sebagai tempat untuk melatih serta medidik umat Islam menjadi orang yang bertaqwa kepada-Nya dan tanda ketaqwaan seseorang itu apabila tunduk kepada perintah Allah SWT melalui al-Quran.

Oleh itu, Allah Ta’ala tidak memandang serta meletakkan harga diri seseorang itu terhadap paras rupa, harta benda, pangkat, baka dan keturunan sebagai mulia kecuali dengan sifat taqwa.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan perkara itu ketika menyampaikan tazkirah Ramadan sempena majlis berbuka puasa di Masjid Rusila, Marang, 11 September lalu.

"Allah Ta’ala melatih kita, mendidik kita dan mentarbiah kita dibulan Ramadan ini untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah SWT. Allah Taala tidak meletakkan rupa paras dan harta benda, pangkat, baka dan keturunan tetapi taqwa disisi Allah Ta’ala."

Katanya, bulan Ramadan yang mulia ini diturunkan al-Quran yang menjadi petunjuk kepada manusia dan petunjuk daripada Allah SWT.

Ustaz Abdul Hadi mengingatkan, petunjuk dari Allah Ta’ala adalah sangat penting agar seiring dengan kurniaan akal fikiran kepada manusia.

Petunjuk daripada Allah SWT adalah sangat penting kerana manusia yang dikurniakan akal fikiran akan diuji dengan ujian-ujian yang hebat.

"Tidak cukup dengan akal fikiran manusia yang cerdik yang ada pada kita. Sekiranya tidak ada petunjuk daripada Allah Taala," jelasnya kepada 500 para hadirin.

Menurutnya, al-Quran mengajar segala-galanya kepada manusia dalam urusan kehidupan di dunia ini dan mengajar bagaimana beribadat, bersembahyang, berpuasa, mengerjakan haji dan sebagainya.

"Al-Quran mengajar bagaimana beribadat, bersembahyang, berpuasa, mengerjakan haji, bagaimana beribadat dengan harta benda, al-Quran mengajar makan minum yang halal, mengajar menutup aurat, berniaga, bermuamalat dengan cara Islam, tidak menipu dan tidak makan riba.

"Al-Quran mengajar kita bercucuk tanam, bagaimana memerintah negara, memilih Perlembagaan, memilih Undang-undang, memilih pemimpin, semuanya ditunjuk dalam al-Quran," ujarnya.

Katanya, jika manusia memilih petunjuk yang lain dari al-Quran dan hadis akan berlakulah kerosakan serta kecelakaan di atas muka bumi ini.

Menurutnya, pada hari kiamat juga manusia akan mengikut agama pemimpin-pemimpin yang dituruti semasa hidup di dunia.

"Sekiranya, kita (umat Islam) menerima petunjuk yang lain dari al-Quran, bukan petunjuk al-Quran akan membawa kepada kemusnahan keseluruhannya dan membawa kecelakaan di akhirat kelak.

"Begitulah mereka (manusia) yang berpolitik mengikut pemimpin-pemimpin mereka masuk neraka jika tidak ikut petunjuk al-Quran dan hadis di hari kiamat," tegasnya.

Pada majlis tersebut turut dihadiri tetamu dari Palestin iaitu bekas Imam Masjid Al-Aqsa, Syeikh Mahmood as-Syiam serta menunaikan solat terawih bersamanya.

Tiada ulasan: