KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Jangan remehkan zakat fitrah - Ustaz Shukri Yusof


KUALA LUMPUR: Bulan Ramadan sudah hampir ke penghujungnya yang mana di situ Allah telah menjanjikan satu malam yang penuh keistimewaan, dalam kerancakan itu satu lagi kewajipan yang harus di tunaikan umat Islam iaitu zakat fitrah.

Pendakwah bebas, Ustaz Shukri Mohd Yusof menasihat dalam kesibukan bekerja di samping mengerjakan amal ibadat janganlah lupa untuk menunaikan satu lagi kewajipan sebagai umat Islam iaitu zakat fitrah.

Katanya, walaupun masa yang lebih afdal menunaikan zakat sebelum solat sunat Aildilfitri tetapi umat Islam digalakkan melakukannya lebih awal.

"Kalau bercakap waktu yang lebih afdal menunaikan zakat adalah sebelum solat raya Aidilfitri, pada masa yang sama kita harus memahami mungkin dalam kesibukan agak sukar kerana imam mungkin tidak berkesempatan untuk menguruskan penerimaan zakat waktu itu," katanya ketika dihubungi.

Beliau yang juga bekas Ketua Unit Syariah Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan mencadangkan pada penghujung Ramadan adalah tempoh yang sesuai untuk menunaikan zakat.

"Yang paling baik, adalah ketika kita teringat ini kita tunaikan dengan sesegera mungkin. Memang ada kes orang yang terlupa bayar zakat kerana kesibukan, jadi ini adalah satu kesalahan yang besar, "katanya.

Katanya, setiap umat Islam harus ingat zakat fitrah adalah pelengkap kepada ibadat puasa yang dijalani sepanjang Ramadan.

"Saya nasihatkan kepada umat Islam, janganlah kita buat di saat-saat akhir sebaliknya gunakan masa yang ada ini kita laksanakan kewajipan tersebut," katanya.

Tambahnya, adalah lebih afdal seseorang itu membayar zakat fitrah di tempat tinggalnya supaya mereka memahami dan mengambil berat masyarakat sekelilingnya.

"Zakat fitrah hanya sebagai pengingat kepada kita harus mengingati orang yang susah di sekeliling kita, yang mana kadang-kadang kita lebih prihatin mereka yang jauh," katanya.

Justeru, katanya urusan zakat merupakan tanggungjawab pihak berwajib di umpamanya di Selangor, umat Islam wajib membayar pada amil yang telah dilantik oleh pihak berkuasa agar pungutan zakat itu lebih terurus oleh pihak berkuasa sama ada Majlis Agama Islam atau Pusat Pungutan Zakat.

Daripada Ibnu Abbas, baginda s.a.w bersabda, “Difardukan zakat fitrah untuk membersihkan jiwa orang yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia dan bersifat dusta, ia juga sebagai makanan dan kelazatan kepada fakir miskin. Bagi sesiapa yang menunaikannya sebelum solat Aidilfitri maka zakatnya diterima dan barang siapa yang menunaikannya selepas daripada itu, ia hanyalah sedekah”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Tiada ulasan: