KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

Apakah muslihat Ong Tee Keat singkit Dr Chua Soi Lek?



HASRAT MCA mahu membersihkan kepimpinan parti dari dibarisi mereka yang terjejas akhlak dan moralnya seharus dipuji. Apabila Majlis Presiden mengenakan tindakan memecat Timbalan Presiden, Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek, sepatutnya semua pihak menyokong dan tidak menimbulkan suasana kurang tenteram.

Malangnya, ada beberapa bahagian di Johor tidak dapat menerima pemecatan tersebut. Desakan mengadakan EGM akhirnya disambut oleh Presiden, Dato' Seri Ong Tee Keat. Ketika Tee Keat mengambarkan bahawa MCA tidak akan berpecah dalam isu pemecatan Timbalan Presiden parti ini, rakan-rakan komponen BN ‘membacanya’ dalam sudut yang berbeza.

Cuma satu pertanyaan timbul, bagaimana dengan dakwaan dan aduan polis yang dibuat Ahli Parlimen Bintulu, Dato' Seri Tiong King Sing mengenai sumbangannya kepada Tee Keat berjumlah RM10 juta.

Adakah ini bukan isu moral? Walaupun masing-masing saman-menyaman, tetapi jika isu moral mahu diperkatakan di sini, kenapa Majlis Presiden MCA tidak berani untuk memecat Presiden?

Bagi yang sedang memegang jawatan, kesemuanya dilihat menyokong Tee Keat. Malahan, Tee Keat memang kurang senang jika Soi Lek dapat jadi pemangku Presiden jika berlaku apa-apa terhadap dirinya. Itulah sebabnya, Tee Keat kena pastikan, sebelum dia terhukum dengan isu RM10 juta ini, adalah lebih baik dia ‘menyingkirkan’ Soi Lek.

Dulu, ketika Tun Dr. Ling Liong Sik memimpin MCA, cerita kekayaan anaknya yang amat luar biasa menyebabkan tarikh persaraannya dipercepatkan. Dalam era Liong Sik, Dato' Lee Kim Sai ‘dikorbankan’ awal kerana Liong Sik tidak sehaluan dengan Kim Sai. Tee Keat ialah bekas Setiausaha Politik kepada Kim Sai.

Liong Sik juga tidak mahu Tan Sri Lim Ah Lek menggantikannya sebagai Presiden. Itulah sebabnya, dia sanggup berhenti asalkan Ah Lek juga berhenti sama. Ketika Liong Sik mahu bekas Setiausaha Politiknya, Ong Ka Ting menggantikannya, Ah Lek pula mahukan Chan Kong Choy mengantikan tempatnya sebagai timbalan.

Kong Choy dilihat mahu bersara awal dengan alasan kesihatan. Tetapi ada juga dakwaan mengatakan Kong Choy yang juga Menteri Pengangkutan ketika itu menghadapi masalah PKFZ juga, sama dengan apa yang dihadapi Tee Keat sekarang. Bezanya, Kong Choy tidak mahu menjemput mana-mana badan bebas menyiasat akaun PKFZ tetapi Tee Keat mahu menunjukkan kelainan.

Disebabkan mahu menunjukkan kelainan, walaupun isu PKFZ ini bermula sejak era Liong Sik dan Kong Choy menjadi Menteri Pengangkutan, maka timbullah cerita RM10 juta ini. Jumlah ini mungkin kecil bagi masyarakat Cina di Malaysia, tetapi ia sebenarnya jauh lebih besar dari isu yang membelenggu SPRM dan mendiang Beng Hock yang ditemui mati di Plaza Masalam, Shah Alam.

Bagaimana Tee Keat mahu membersihkan namanya dari palitan cerita ini? Adakah dengan menyaman King Sing akan membersihkan citranya, jauh lebih bersih dari sehelai kain putih? Atau, ia sekadar usaha menangguhkan malu besar yang dipikulnya?

Seorang kawan rapat King Sing memberitahu, jika Tee Keat menyamannya RM500 juta, dia pula mahu menyaman Tee Keat RM10 juta. Dia hanya perlukan RM10 juta sahaja duit yang didakwanya diberikan kepada Tee Keat.

Tee Keat dan Soi Lek bermasalah. Ketika Soi Lek menafikan dia kepingin menjadi menteri semula jika Tee Keat jatuh, sudah dinafikan tetapi sindiran Tee Keat bahawa ada orang dalam MCA yang terkejar-kejar jawatan menteri, menyebabkan jantung Soi Lek rasa terhiris.

Ketika MCA diharapkan dapat menyelesaikan masalah masyarakat Cina yang dilihat terlalu kuat menyokong DAP, kepimpinan MCA pula bertelagah teruk. Mereka sibuk dengan cerita ‘dalam kelambu’ dan tidak ada masa untuk memikirkan soal rakyat yang menghadapi tekanan hidup denga palbagai masalah kenaikkan harga barang, kekurangan bekalan gula dan keperluan asas untuk terus hidup.

MCA merupakan rakan komponen BN yang paling kanan. Jika tiada Umno, merekalah yang ‘boleh diharapkan’ menggantikannya seperti yang pernah berlaku apabila Umno diharamkan, MCA menjadi Pengerusi BN buat seketika dan menerima semula Umno (baru) menjadi komponen BN.

Hari ini, MCA bukan sahaja tidak boleh diharapkan, malahan, kekalahan mereka di dalam PRU 12 yang lalu menyebabkan Umno kecundang di beberapa negeri.
Disebabkan Umno mahu menjaga hari mereka, maka MCA masih dapat empat kerusi menteri penuh yang kini disandang oleh Tee Keat, Ng Yen Yen, Liow Tiong Lai dan Kong Cho Ha.

Dari segi logiknya, MCA tidak sepatutnya diberikan empat kerusi menteri penuh tetapi Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak barangkali berada di dalam kerisauan kalau-kalau MCA bertindak meninggalkan BN.

Kalau Tee Keat tidak sukakan Soi Lek, siapakah calon Timbalan Presiden MCA yang Tee Keat mahu? Adakah Ong Ka Chuan abang kepada Ka Ting?

Jika Tee Keat tidak mahu Soi Lek kenapa Tee Keat tidak melakukannya secara terbuka menyokong calon Timbalan Presiden, seperti mana yang dilakukan Dato' Seri S. Samy Vellu terhadap G. Palanivel dalam pemilihan pucuk pimpinan MIC?

Andai kata Tee Keat ‘menang’ kes RM10 juta ini, apakah beliau akan boleh memenangi hati pengundinya di Parlimen Pandan? Dalam suasana politik Selangor yang semakin mirip kepada Pakatan Rakyat, rasanya Tee Keat juga tidak akan mampu untuk menang sekali lagi sekiranya beliau bertanding di situ dalam PRU 13 akan datang.

Dua hari berturut-turut ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan sudah cukup mengambarkan betapa beratnya tekanan yang diterimanya. Ketika Soi Lek bercuti dan hidup bebas sebagai seorang yang tidak berparti, Tee Keat berhempas pulas menyusun EGM bagi memenuhi tuntutan grassroot yang mendesak perwakilan untuk memutuskan kedudukan Soi Lek dan jika perwakilan menerima semula Soi Lek, bermakna, Tee Keat kena pergi.

Tidak ada sebab Tee Keat boleh bertahan di situ walaupun agenda memecatnya tidak mungkin disusun dalam EGM kali ini tetapi, ‘signal’ perwakilan yang menolak keputusan Majlis Presiden memberi gambaran, kepimpinannya tidak diterima.

Perpecahan yang berlaku dalam MCA sebenarnya bukan berlaku di peringkat tertinggi sahaja malahan, turut berlaku di bawah. Di bahagian-bahagian, puak-puak yang menyokong Tee Keat dan menyokong Soi Lek tidak boleh duduk semeja. Malahan, mereka secara terbuka tidak dapat menerima antara satu sama lain.

Najib sudah mengatakan Umno tidak berhasrat mencampuri urusan MCA tetapi dalam masa yang sama, beberapa pemimpin Umno mahukan krisis dalam MCA ini perlu diselesaikan segera supaya persiapan BN menghadapai PRU 13 tidak terganggu.

Sebenarnya, MCA mungkin tidak tahu, gelagat Tee Keat dan Soi Lek menjadi bahan jenaka orang-orang politik. Dalam Umno, kalau mereka berbual pasal politik, cerita Tee Keat dan Soi Lek tetap menjadi bahan sendaan.

Dari segi keyakinan, Umno sebenarnya sudah kurang yakin dengan kepimpinan MCA secara keseluruhannya tetapi untuk menyingkirkan mereka, dalam keadaan Umno sendiri tenat, memang tidak mungkin.

Di Johor, di mana Umno dan MCA dilihat menjadi gandingan yang cukup mantap, sudah memperlihatkan sebaliknya. Calon MCA di Parlimen Bakri, Tay Puan Chuan tumpas di tangan DAP, Er Teck Hwa. Inilah buat pertama kalinya dalam sejarah politik MCA Johor, calon Parlimen MCA kalah selepas 30 tahun lalu, Lee Kaw dari DAP pernah menang di Parlimen Kluang.

Ketika sudah ada cadangan dari luar mahukan Tee Keat dan Soi Lek berdamai dan berhenti serentak, mengikut jejak Liong Sik-Ah Lek, Ka Ting-Kong Choy supaya kemelut ini betul-betul boleh dibereskan serentak dengan perubahan baru kepada kepimpinan MCA.

Tee Keat yang menafikan dia ada menerima RM10 juta dari King Sing tentunya tidak mudah menerima cadangan dan pandangan ini kerana sekiranya dia berundur seolah-olah dia mengaku dakwaan yang dibuat King Sing manakala Soi Lek pula tidak mungkin mahu berundur kerana dia tidak mahu menafikan sokongan perwakilan yang memberi kemenangan kepadanya ketika dia tidak lagi bergelar YB dan tidak lagi menjadi menteri.

Setiausaha Agung MCA, Dato' Wong Foon Meng yang mengesahkan hanya satu EGM sahaja akan diadakan sudah pun mengadakan pertemuan dengan Ketua Koordinator Jawatankuasa Bertindak EGM Kerja Pusat, Dato' Seri Tan Chai Ho dan timbalannya Loh Seng Kok demi kepentingan perwakilan.

Rasanya selepas krisis Dr. Neo Yee Pan-Tan Koon Swan melanda MCA, inilah krisis kedua yang paling rumit pernah ditempuh MCA yang memungkinkan MCA kehilangan ramai pemimpin disebabkan moral dan imej.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Chua Soi Lek jelas melanggar peruntukan di bawah undang-undang seks (lupa saya seksyen berapa), dia sendiri pun mengaku hakikat ini. Nasib baiklah dia tak ada orang yang repot polis, masuk lokaplah dia....Semua pemimpin di BN pun sedar masaalah ini.

Sila baca pendapat Tun:


On the MCA crisis, Dr Mahathir said it could be resolved if party leaders placed the interest of the party above self.

"A leader will not do anything to destroy the party. If you know that you are no longer qualified, for whatever reason, you stop. Don't cling on (to the post)," he said.

He said leaders should realise that it they owed their status to the party.

The MCA crisis escalated following the sacking of deputy president Datuk Seri Dr Chua Soi Lek for his DVD sex scandal in 2007 which was said to have tarnished the party's image. The party will hold an extraordinary general meeting on Oct 10 to resolve the matter. — Bernama