KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 17, 2009

PAS mahu tolak pasukan petugas khas siasat skandal PKFZ

KUALA LUMPUR: PAS tidak bersetuju dengan penubuhan Pasukan Petugas Khas yang diketuai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan bagi menyelesaikan skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kerana pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif bagi menubuhkan Suruhanjaya DiRaja bagi menyiasat kes ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, pasukan ini tidak mempunyai kredibiliti yang kuat, malah tidak mempunyai kuasa yang luas bagi membuat siasatan.

Diakhir tugas mereka, dakwanya, pasukan ini hanya melapor pada kabinet dan terpulang kepada kabinet untuk memutuskannya.

Paling penting, tegas beliau, pasukan yang diketuai oleh Tan Sri Sidek ini tidak bebas kerana mereka terikat sebagai penjawat awam biasa yang bertugas dibawah arahan menteri. Dalam kes ini, salah seorang yang dilibatkan dalam siasatan adalah Menteri iaitu Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Keat yang juga Menteri Pengangkutan, Dato' Abdul Rahman Palil (bekas Exco Selangor dari Umno) yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) dan ahli Lembaga Pelabuhan Klang (PKA).

Selain itu, turut terlibat adalah Pengerusi Kelab Anggota Parlimen BN, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga merupakan Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) KDSB dan bekas Bendahari Umno Tan Sri Abdul Azim Mohamad Zabidi merangkap Pengarah syarikat Wiramaju Sdn. Bhd iaitu anak syarikat KDSB. Timbalan CEO KDSB pula adalah Haji Faizal Abdullah yang sekarang ini adalah Bendahari Umno Selangor.

Ustaz Idris mendakwa, kesemuanya mereka melibatkan orang politik komponen BN yang menerajui kabinet sekarang. Maka tidak mustahil akan berlaku penyalahgunaan kuasa atau campurtangan anggota kabinet terhadap tugas penyiasatan yang dibuat oleh Pasukan Khas ini nanti bagi melindungi orang-orang tertentu.

"Oleh itu, PAS bertegas menuntut satu Suruhanjaya DiRaja yang bebas dengan dianggotai oleh ahli-ahli Parlimen bukan dari komponen parti yang terlibat, wakil badan kehakiman, wakil dari peguam negara, wakil dari Majlis Peguam, wakil Bank Negara, wakil Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM dan Wakil NGO yang berkaitan," tegasnya.

Sewajarnya kes ini disiasat secara terbuka kata Ustaz Idris, kerana ia melibatkan wang rakyat yang telah hangus dalam projek PKFZ ini.
Rakyat pastinya ingin tahu ke manakah duit mereka pergi dalam Projek ini dan siapakah dalang utama hingga menyebabkan negara terpaksa mengalami kerugian yang besar, tegasnya lagi.

2 ulasan:

PEMUDA PAS KEMAHANG 1 berkata...

Apa yang dipelikkan sangat, itulah cara Kerajaan Najib selamatkan rahsia pemimpin2 Umno yang terlibat dengan skandal jijik PKFZ ini.

Kalau tubuh Suruhanjaya DiRaja, sudah tentu wajah-wajah jijik Umno dan pemimpinnya akan terbongkar dan menjadi sajian bualan rakyat.

Umno menuju kepupusan.

http://pemudakemehe1.blogspot.com

hussin berkata...

sebab tu pas kena perbetul 'aqidah' perjuangan, bukan kanan nak, kiri nak. kalau dah setuju dgn "memperkasakan pakatan rakyat", kena kerja ke arah tu la. bukan dok 'rapat' saf dgn umno. rakyat dah tak nak ngan umno, yang pas dok syok kat dia nape? jangan dok bohong diri sendiri la. kalau nak berpolitik, buat cara nak berpolitik. kalau nak berdakwah, buat cara berdakwah. pilih yang mana satu. pas tak leh jadi keduanya. yang molek, jgn asingkan dakwah ngan politik. pengasingan berlaku apabila ada "melayu", nak jumpa umno. jumpa umno, dekati umno, atas apa sebab sekali pun dah tak boleh. tolong hentikan.

cukuplah.