KUALA LUMPUR: Tumbangnya kerajaan Liberal Democratic Party (LDP) setelah 54 tahun memerintah Jepun dilihat membuka lebih peluang kepada Pakatan Rakyat untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, sekiranya momentum rakyat hari ini berterusan.
Namun, dalam masa sama, ia juga bergantung kepada kepada faktor-faktor dalaman negara dan juga parti-parti yang bertanding bagi mencorakkan keputusan pilihan raya umum itu nanti.
Penganalisis politik, Ghazali Mayudin berkata, soal kemungkinan BN yang memerintah 52 tahun itu akan tumbang atau sebaliknya pada pilihan raya umum nanti tidak timbul kerana ia lebih bergantung kepada faktor dalaman negara.
Beliau ketika dihubungi Harakah berkata, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 nanti bergantung sejauh mana BN bergerak untuk memenuhi tuntutan rakyat, yang kini dilihat tidak mempunyai banyak perubahan.
"Jika mahu dikatakan apa yang berlaku di Jepun itu boleh 'berjangkit' ke Malaysia, itu soal lain. Yang pentingnya sejauh mana BN dapat memenuhi tuntutan rakyat dan dalam masa sama Pakatan Rakyat juga bertindak serupa untuk memenangi hati pengundi," kata beliau ketika diminta mengulas peluang Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan jatuhnya LDP di Jepun.
Ghazali berkata, kerjasama antara Pakatan Rakyat, iaitu PAS, DAP dan KeADILan perlu dimantapkan, bukan sahaja di peringkat atasan tetapi juga di peringkat akar umbi.
Kata beliau lagi, bagi memastikan rakyat terus bersama Pakatan Rakyat, wakil-wakil rakyat yang berkhidmat perlu menunjukkan kepada rakyat mereka boleh menjadi pemimpin yang baik dan mampu memerintah.
"Jangan hanya ketika pilihan raya baru berbaik-baik, sedangkan sebelum ini tidak. Biar rakyat melihat wakil mereka adalah yang boleh diharapkan, khususnya membabitkan kebajikan dan hal-hal yang dekat dengan rakyat," kata beliau.
Mengulas lanjut pendekatan yang harus dimainkan Pakatan Rakyat untuk memastikan momentum sokongan berterusan, Ghazali menyarankan tuntutan-tuntutan rakyat secara akar umbi perlu disantuni sebaik mungkin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan