KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 10, 2009

Krisis Dun Perak: Polis digunakan untuk halang Adun Pakatan bersidang






IPOH: ADUN Pakatan Rakyat Perak nekad untuk meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini walaupun pihak polis melarang semua pihak daripada berhimpun di bangunan sekretariat kerajaan negeri.

Menteri Besar Pakatan, Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan beberapa ADUN Pakatan mula tiba di bangunan tersebut pada kira-kira jam 8.45 pagi. Turut hadir ialah kira-kira 150 penyokong mereka, lapor Malaysiakini.

Manakala pihak polis mengadakan kawalan ketat di sekitar bangunan tersebut oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan trak meriam air digunakan untuk menutup pintu belakang.

Polis juga menutup kawasan berpokok di mana ADUN Pakatan mengadakan sidang DUN Mac lalu. Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan berkawal di situ.

Pada jam 9.45 pagi, semua wakil rakyat Pakatan dan Speaker V Sivakumar mula berjalan dari pejabat DAP Perak menuju ke bangunan sekretariat. Mereka disertai oleh kira-kira 50 penyokong.

Apabila dihalang oleh pihak polis, Pengerusi DAP Perak, Ngeh Koo Ham bertengkar dengan mereka mengenai perintah mahkamah melarang perhimpunan itu diadakan.

"Perintah mahkamah melarang orang awam berada di situ, tetapi tidak menyebut tentang ahli dewan undangan negeri. Adalah salah untuk menghalang ADUN menjalankan tugas mereka...

"Lagi pula, Seksyen 90 Kanun Prosedur Jenayah menyebut perintah tersebut mesti diwartakan,” tegasnya.

Mereka kemudiannya cuba meneruskan perarakan itu tetapi dihalang oleh anggota polis mencegah rusuhan. Ngeh ditangkap pada jam 10 pagi.

Turut ditangkap ialah Stanley Tan, seorang jurugambar akhbar Nanyang Siang Pau, yang dikatakan turut disepak ketika ditahan.

Dia kedengaran menjerit kepada polis: "You nak kerja, kita pun nak kerja."

Turut ditangkap ialah ADUN Malim Nawar Keshvinder Singh dan ADUN Simpang Pulai, Chang Ming Kai. Tiga lagi yang ditangkap ialah orang awam.

Pada jam 10.20 pagi, ADUN Pakatan dan penyokong mereka berundur semula ke ibupejabat yang terletak di belakang bangunan SUK.

Di situ, Sivakumar memberitahu wartawan bahawa sidang DUN itu akan diadakan di Hotel Heritage dekat situ berasaskan kepada doktrin keperluan.

Manakala Nizar mengecam polis yang didakwanya bertindak keras ketika menangkap tiga ADUN Pakatan dan orang awam.

Difahamkan, Keshvinder tercedera ketika ditangkap dan telah dibawa ke hospital besar Ipoh untuk rawatan.

Kumpulan Pro-BN

Sementara itu, kumpulan kedua - penyokong BN yang memakai baju kuning - juga mula tiba di kawasan tersebut pada kira-kira jam 10 pagi, sambil melaungkan slogan menyokong kerajaan negeri BN, Sultan Perak dan kesucian DUN.

Bagaimanapun, anggota polis bertindak menyeleraikan mereka. Mereka bersurai tetapi sempat menayangkan sepanduk menyokong Menteri Besar BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan kerajaan negeri, berhampiran penyokong Pakatan.

Satu daripada sepanduk itu bertulis Dr Zambry dan kerajaan BN adalah pilihan rakyat. Saksi mendakwa pihak polis bertindak lembut ketika meleraikan kumpulan penyokong BN itu.

Dalam satu lagi perkembangan, peguam Pakatan dijangka memfailkan permohonan di mahkamah pagi ini untuk membatalkan perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Ipoh semalam, melarang sebarang perhimpunan diadakan dalam kawasan sekitar 30m dari bangunan sekretariat.

Perintah diperolehi pihak polis bagi menghalang perhimpunan ADUN Pakatan itu berkuatkuasa dari jam 1 pagi ini hingga 11 pagi Khamis (3 September 2009).

Rabu (2 September), Ketua Polis Ipoh, ACP Azisman Alias berkata hanya kakitangan kerajaan yang bertugas di bangunan itu dibenarkan masuk.

Notis untuk mengadakan sidang DUN dikeluarkan minggu lalu oleh Speaker Pakatan, V Sivakumar, yang juga ADUN Tronoh.

Speaker BN, Datuk R Ganesan bagaimanapun meminta para ADUN supaya mengenepikannya kerana ia dikeluarkan oleh sumber yang tidak sah.

Tiada ulasan: