KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Jun 30, 2008

Mengapa Liwat? Tidak Isu lain...


By PENARIK BECA

DALAM berita Malaysiakini hari ini yang bertajuk "Anwar dakwa laporan polis satu tindak balas," dilaporkan bahawa: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata laporan polis yang dibuat terhadapnya yang mendakwa beliau telah meliwat seorang kakitanganya, adalah satu rekaan semata-mata.

Dalam satu kenyataannya awal pagi ini, Anwar percayai ia adalah ulangan daripada apa yang berlaku pada 1998 di mana dakwaan yang sama dilemparkan terhadapnya secara paksaan.

Saya beritahu kawan-kawan, kalau Anwar berjaya membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa dirinya tidak bersalah, laporan polis itu tidak akan menjadi bala kepadanya. Sebaliknya, ia akan menjadi air yang membersihkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Saya memang tak suka kepada Anwar. Tetapi saya memohon kepada Allah s.w.t. yang dikasihi agar memelihara saya dari menuduh Anwar sebagai kaki main belakang. Saya tak suka Anwar kerana permainan politiknya yang selalu menyakitkan hati sehingga kini. Malaslah nak cerita panjang-panjang.

Nasib baik Ir Haji Mohamad Nizar Jamaluddin tidak dipaksa jadi ahli PKR semata-mata untuk membolehkan beliau diterima menjadi Menteri Besar Perak and who says PAS doesnt exist in Penang?!!

PAS pernah ka hilang deposit di Permatang Pauh dalam pilihan raya umum 1982, 1986, 1990 dan 1995?

Nak Bunuh Anwar atau Najib Tun Razak?

Sebol kata: Kaitan Saiful (kiri) dengan dengan orang Najib sudah lama diketahui. Tapi kenapa Anwar pilih orang itu juga?

By PENARIK BECA

SEJAK malam tadi, saya nak tulis cerita bunuh dua ekor burung dengan seketul batu. Teori itu terlintas dalam kepada saya. Anak saudara Tan Sri Rashid SPR yang bersembang dengan saya malam tadi pula kata, skrip yang sedang dilakonkan sekarang sebenarnya nak memangsakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang saya kata nak bunuh dua ekor burung dengan seketul batu itu bermakna aduan Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat akan dijadikan senjata untuk mendebik-debik kerjaya politik dua orang tokoh politik sekaligus - Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Najib. Tengok-tengok dalam posting bertajuk "Saiful Bukhari Double Agent?" si Sebol atau Hasbullah tulis: "Ini semua membuatkan saya merasakan ianya satu perancangan untuk menjatuhkan Najib berbanding menjatuhkan Anwar."

Semalam, lepas ja saya bersembang dengan seorang kawan dan membangkitkan kenapa simpan si Saiful sedangkan sudah didedahkan dia kununnya orang Najib, kenapa bertebaran mesej yang preempt dengan tepat pertuduhan yang akan dibuat dan kenapa overreact sampai bersembunyi di kedutaan Turki, tiba-tiba dalam posting saya belum ini, Sebol kata: Kaitan Saiful dengan dengan orang Najib sudah lama diketahui. Tapi kenapa Anwar pilih orang itu juga?
Kenapa Anwar over react sampai kononnya ada ancaman bunuh sedangkan polis belum kata pun nak pergi tangkap atau sebagainya.
Anwar nak jatuhkan Najib?
Mari beli pop corn, duduk depan TV tengok wayang.

Masa saya baca komen Sebol itu, terlepas pandang pula ayat "Anwar nak jatuhkan Najib?" tu. Alahai, bagai yang selalu disebut Dr Hatta Ramli, one day too late. La ni, bagi aku katalah, Bol, mai beli maruku, duduk depan PC tunggu apa Sebol kata!

Apa pun, saya percaya, seperti juga Sebol dan saya, ramai yang yang semakin akrab dengan TV, akhbar, blog dan lain-lain untuk menyaksikan adegan yang selanjutnya.

Hanya ada satu perkara yang mengacau kelicinan jangkaan babak yang seterusnya dalam kepala kita, iaitu betapa beria-ianya Ezam Mohd Noor membisik-bisikkan kepada beberapa pemimpin pembangkang tentang cerita Anwar meliwat pembantunya sebelum sang melutut itu masuk Umno dahulu. Mereka tak percaya, tetapi pada saat-saat awal cerita aduan Saiful itu tercetus, mereka ternganga dan terpinga-pinga juga.

Sekarang mereka dah mula masuk ke gelanggang. Nak bersilat lagu mana dan dengan siapa?

Jangan Dengar Khabar Angin! Dengar Cakap Ketua CID


By PENARIK BECA

DALAM berita Malaysiakini hari ini yang bertajuk "Liwat didakwa berlaku di 'kondo di Damansara'," Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Bakri Zinin berkata: "Jangan dengar khabar angin. Dengar cakap saya. Saya ketua CID".

Dalam berita bertajuk "PKR: Nyawa Anwar dalam bahaya" pula , Malaysiakini melaporkan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak percaya kepada pihak polis dan badan kehakiman.

Bukan senang saya hendak berkongsi pendirian dengan Anwar, tetapi saya juga tidak percaya kepada pihak polis dan badan kehakiman.

Bakri dan kita semua jangan berlagak bagak seolah-olah tahu apa sebenarnya berlaku. Sama ada benar atau tidak Anwar itu kaki liwat, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Sebelum siasat kes Anwar, tolong tangkap dahulu si zalim yang memangsakan Nurin Jazlin Jazimin dan Sharlinie Mohd Nashar. Sila klik kedua-dua gambar di atas. Ada cerita.

Mengapa Anwar Berlindung Di Kedutaan Turki? Enggan Hadir Sidang Media?

Saiful Bukhari, 23 (kiri) telah membuat laporan polis mendakwa Anwar meliwatnya pada 26 Jun lalu yang kini menjadi isu paling kontroversi!

By TARMIZI MOHD JAM

KISAH yang sama berulang lagi. Polis mengesahkan bahawa satu pemeriksaan perubatan telah dijalankan ke atas pengadu (Saiful Bukhari Azlan) dalam kes dakwaan liwat terhadap Ketua Umum KeADILan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Dato' Bakri Zinin juga mengesahkan bahawa satu pemeriksaan perubatan telah dijalankan ke atas Saiful. Apa jawapannya belum diketahui. Bagaimanapun, tentu ramai yang tidak yakin dengan siasatan ini atas peristiwa lama 1999 yang membuktikan terdapatnya kekeliruan dan tekanan pihak atasan.

Polis berhak mengulangi hak dan tugasanya untuk menghantar pengadu ke hospital. Tindakannya cekap dan betul, seperti tema pasaukan itu. Namun, kecepatannya bertindak menimbulkan prajudis melampau terhadap wujudnya "konspirasi".

Kisah "konspirasi" bukan cerita baru. Tetapi itulah cerita yang mudah untuk mempertahankan Anwar Ibrahim. Itulah pendinding kukuh untuk melindungi tokoh yang sarat kontroversi itu. Rakyat sudah tentu tidak percaya sama sekali Anwar terbabit dalam skandal busuk itu.

Namun, ramai yang bingung mengapa Anwar tidak muncul pada Sidang Media tengah malam 28 Jun 2008 jam 2.00 pagi itu. Hotel Quality Shah Alam kelam-kabut dan hingar-bingar dengan keghairahan reporter, bloggers dan lain-lain individu yang ingin tahu, pakah sebenarnya yang berlaku.

Lebih dari itu, mereka mahu mendengar jawapan dari mulut Anwar sendiri tentang laporan polis yang diadukan oleh PAnya, Saiful Bukhari itu. Anwar tidak muncul. Sebaliknya kenyataan ringkas itu dibaca oleh Naib Presiden PKR, Sivarasah. Sidang media tengahari esoknya juga tiada kelibat Anwar. Hanya isterinya, Wan Azizah yang mempertahankan "kesucian" suaminya sambil mendedahkan gambar Saiful di ruang legar Pejabat TPM.

Saiful telah membuat aduan pada jam 5.45 petang, 28 Jun di pondok polis di Hospital Kuala Lumpur, yang terletak di bawah bidangkuasa balai polis Jalan Travers.

Polis bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan perbuatan liwat tersebut. Seperti biasa, polis akan memberi jaminan menyiasat dengan adil dan terperinci. Polis kelihatan amat berminat dengan isu ini. Ketegasan mereka jelas tergambar pada beberapa sidang media yang diadakan.

Ditanya sama ada Anwar akan ditahan, Bakri berkata polis perlu mengkaji dakwaan tersebut terlebih dahulu. Anwar telah menafikan dakwaan tersebut sebagai satu rekaan semata-mata. PKR juga mendakwa pembantu Anwar itu telah ditahan dan dipaksa oleh pihak polis membuat laporan tersebut. Sama ada benar atau tidak, masa akan menentukan.

Terlalu awal untuk membuat tanggapan. Polis sedang menyiasat. Anwar tidak perlu membela diri dengan kenyataan-kenyataan penafian semata-matanya. Kerjasama sebaiknya perlu diberi kepada polis bagi membetulkan "tuduhan" serius dan jahat itu.

Apakah yang akan terjadi jika Anwar terus berkhemah di Kedutaan Turki? Banyak pihak bertanya, mengapa Anwar perlu mendapat perlindungan politik di kedutaan itu, malah ada gembar-gembur Anwar berlindung di Kedutaan Amerika, mungkin untuk menyedapkan cerita.

Sehingga kini, polis menafikan menahan pembantu Anwar itu dan dipaksa mereka-rekakan bukti, seperti yang didakwa oleh KeADILan.

"Jangan dengar khabar angin. Dengar cakap saya. Saya ketua CID," kata Bakri apabila ditanya mengenai perkara tersebut. Beliau menegaskan mangsa yang menulis sendiri laporan tersebut dan bukan atas asakan mana-mana pihak.

Jumaat, Jun 27, 2008

DEMONTRASI AMAN Sejuta Rakyat 6 Julai Di Padang Timur PJ BANTAH Kekejaman Harga Minyak!


Ustaz Umar Jaafar gegarkan Surau Hijriyah Taman Dato' Harun 1 Julai ini!

Ustaz Umar Jaafar yang bersuara lantang sering memukau hadirin...

by mohd fadhlul hadi

PENDAKWAH bebas sebebas-bebasnya, Ustaz Umar Jaafar akan menggegarkan Surau Hijriyah, Taman Datuk Harun, Jalan Klang Lama pada 1 Julai ini. Beliau yang juga mantan penceramah KAGAT adalah pendakwah popular dengan suara lantang.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Biro Agama surau berkenaan, Ustaz Zamzuri Mohd Jam pada media sebentar tadi.

Katanya, orang ramai sekitar kariah ini dijemput hadir dan usaha mengimarahkan surau kian menyerlah sejak muktahir ini dengan kehadiran penceramah-penceramah terkenal dari seluruh negara. Selain itu, ujarnya, kuliyah ilmu dan menadah kitab diteruskan seperti biasa.

Ceramah Isu Sidang DUN Johor 2 Julai Bersama Adun Sg Abong & Adun Skudai

Kini HARAKAH Boleh Diterbit 2X Seminggu...

By TARMIZI MOHD JAM

TERUJA juga saya menelah Harakah dibenar izin oleh KKDN diterbitkan dua kali seminggu. Sejak ditarik permit demikian pada tahun 2000, Harakah hanya diizin terbit hanya dua kali sebulan sahaja hingga ke hari ini.

Dua hari lalu, KKDN yang dikepalai menteri yang baru, Syed Hamid Albar mengutuskan surat izin bagi membolehkan organ PAS itu diterbitkan dua kali seminggu. Apapun, bagi Ketua Pengarang Kumpulannya, Ahmad Lutfi Othman sangat mengalu-ngalukan perkembangan sihat itu dan mengucapkan terim aksih kepada pihak kerajaan, secara adabnya.

Apa yang sedang disignalkan oleh BN ialah soal keterbukaan mereka dalam menangani isu kebebasan bersuara, hak menerbit hingga Web Tranungkite.Net yang diketrahui begitu kritis dan sinis terhadap kerajaan yang dipelopori Dewan Pemuda PAS Dungun itupun, diutus surat bagi membolehkan mereka memohon kad kuasa media dari Kementerian Penerangan.

Khamis, Jun 26, 2008

Dakwaan PENARIK BECA Tepat, Berasas & Berani! Tahniah BAKAQ... Atas Komen Itu!

Penarik Beca... seorang kenalan yang berprinsip, berani dan berpegang tali bahawa menentang arus tidak semestinya karam...

By PENARIK BECA

UTUSAN Malaysia hari ini melaporkan berita bertajuk "Pas tidak boleh berunding dengan Umno - Nik Aziz". Antara lain, Tok Guru yang dikasihi berkata:

''Saya nak tegaskan bahawa Pas tidak akan sama sekali mengadakan perjumpaan dan perundingan dengan Umno kerana masalah besar (perpecahan) akan berlaku dalam parti''.
Saya mempersembahkan kesyukuran kepada Allah. Hanya itu sahaja harapan saya sebelum ini - tidak ada persepakatan politik antara PAS dan Umno.

Oleh kerana semua orang adalah manusia biasa, saya merayu kepada Allah s.w.t. yang dikasihi agar Ia menjadikan sikap Tok Guru itu sikap yang kebal dan tahan uji. Yang penting ialah tidak berlaku persepakatan politik antara PAS dan Umno.

Seperti yang nyatakan, saya mula mendapat tahu mengenai perundingan itu beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 8 Mac lalu (saya tak ingat dengan tepat berapa bulan). Perkara itu diceritakan oleh seorang menteri (tidak dilantik semula sebagai menteri selepas pilihan raya umum lalu) dan seorang timbalan menteri (dilantik sebagai menteri penuh selepas pilihan raya umum lalu).

Seorang menteri besar yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno yang secara kebetulan saya temui juga memberikan isyarat mengenai perkara itu. (Semuanya kebetulan. Kebetulan jumpa, kebetulan tahu).

Selepas itu, saya adukan perkara itu kepada tiga orang pemimpin PAS. Saya tidak tahu dan tidak peduli sama ada mereka percaya kepada saya atau tidak.

Tidak lama selepas itu, Muda Mohd Noor menulis berita Malaysiakini bertajuk "PAS-Umno bincang isu Melayu-Islam" (lihat pandangan Allahyarham Rustam A Sani bertajuk "Perundingan belakang tabir PAS-Umno?"). Saya terlupa nak simpan laporan awal yang belum dipinda. Yang ada kini sudah dipinda.

Saya tak sempat lagi nak bersembang panjang dengan Muda walaupun beberapa perkara telah beliau beritahu kepada saya. Persoalan penting untuk ditanya, berapa kali Muda tersalah petik atau misquote orang?

Kalau Zubaidah Abu Bakar yang menulis berita bertajuk "Pas will not 'sleep with the enemy' again" tahu, kalau Raja Petra Kamarudin tahu, kalau Mat Saman Kati tahu dan lebih dari itu, kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim tahu (itulah yang diberitahu oleh seorang tokoh peringkat pertengahan Keadilan yang bersembang panjang untuk mengail maklumat dari saya walaupun akhirnya saya pula yang menjala maklumat dari beliau), takkan saya tak tahu sikit kerana saya menyelongkar maklumat mengenai perkara itu jauh lebih awal sebelum Muda menulis berita Malaysiakini itu.

Walaupun ramai lagi orang lain yang melaporkan perkara yang sama, saya menerima banyak sms dan email yang mengutuk saya kerana melaporkan siri-siri perundingan antara beberapa pemimpin PAS dan Umno itu.

Bagi saya, semua itu sudah diduga. Saya juga menduga bahawa selepas ini saya akan diberi jenama baru - tukang fitnah yang mempunyai agenda jahat terhadap kepimpinan PAS. Saya tidak berhajat menafikannya. Saya serahkan diri saya kepada Allah untuk dinilai-Nya. Kalau memang benar saya jahat dan kurang ajar, apa daya saya hendak menolak hukuman Allah yang Maha Adil?

Saya tahu, beberapa pemimpin PAS yang saya sebut nama mereka sebagai terlibat atau merestui perundingan sulit itu amat marah kepada saya. Saya tidak akan sambung lagi subjek tersebut. Cukup sampai di sini, walaupun saya tidak akan tarik balik posting saya mengenai subjek tersebut sebelum ini,.

Walaupun saya tidak akan tarik balik posting saya mengenai subjek tersebut sebelum ini, tetapi saya memohon maaf kepada semua pemimpin PAS yang amat marah kepada saya - jika mereka sudi memaafkan. Ada yang marah kerana saya menyebut nama mereka sebagai terlibat atau merestui perundingan tersebut. Yang lebih sakit hati kepada saya ialah mereka yang dituduh membocorkan maklumat kepada saya. Kepada mereka, mungkin berlaku apa yang Orang Putih kata, friendship turns into nightmare.

Saya mohon maaf sungguh-sungguh.

Saya tidak tulis ayat di atas supaya saya dilihat jujur, ikhlas dan baik. Ayam piru pun akan tergelak terjerit-jerit kalau dengan gatal saya mendakwa saya adalah orang yang jujur, ikhlas dan baik. Jahat tetap jahat, walau berguni-guni sekalipun saya menggubah kata-kata supaya dilihat baik.

Asalkan PAS tidak bergabung dalam satu pakatan dengan Umno, apa juga label yang akan diberikan kepada saya tidak penting. Saya sudah ada macam-macam label. Tambah sikit lagi, apa salahnya?

Jangan RUNDING Umno, Jahanam Kita (PAS)! - Nik Aziz

By HARAKAHDAILY

MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan parti itu akan menghadapi masalah apabila meneruskan cadangan berunding dengan Umno.

"Mengadakan pakatan PAS dan Umno sebagaimana sebelum ini akan berlaku seperti di Kelantan pada tahun 1970-an di mana wujudnya Berjasa dan Bebas pada waktu itu.

"Kalau kita ambil kesempatan berunding pula dengan Umno, jahanam habislah.. bahkan Muktamar PAS yang bakal diadakan di Perak Ogos depan akan menjadi medan mengamuk penyokong.

"Oleh yang demikian saya ulangi dan tidak akan ada pertemuan atau rundingan dengan parti itu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bersama beberapa pemimpin lain bergegas ke Kuala Lumpur petang tadi bagi menghadiri mesyuarat tersebut.
Menurutnya mesyuarat itu akan membuat keputusan berhubung dakwaan kononnya akan berlaku kerjasama PAS dengan Umno.

"Masalah besar iaitu perpecahan dalam PAS sebagaimana sebelum ini akan berlaku akibat kerjasama seperti yang dijalinkan suatu ketika dahulu," ujarnya.

Sedangkan kata beliau tokoh-tokoh Umno Kelantan telah menyertai PAS sebelum pilihan raya umum yang menggambarkan PAS kini semakin mendapat sokongan semua pihak.

Tambah beliau rakyat Kelantan di luar negara juga turut menyatakan sokongan terhadap PAS kerana mereka yakin terhadap perjuangan parti itu.

Pakatan perlu JALAN PINTAS untuk bentuk kerajaan?

Pakatan boleh menyenaraikan nama sekurang-kurangnya 112 orang ahli parlimen yang bersama mereka dan menyembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bersama dengan calon atau beberapa calon Perdana Menteri untuk diperkenankan sebagai ketua kerajaan persekutuan yang baru.


By TARMIZI MOHD JAM


PAKATAN Rakyat perlu memikirkan jalan yang lain untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Begitulah pendapat Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas pelbagai masalah prosedur yang dibangkitkan oleh para penyokong Barisan Nasional. Aziz berkata Perlembagaan sendiri tidak menyebut dengan jelas di dalam Perkara 43(4).

“Apa yang peruntukan tersebut mahu ialah sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti di dalam dewan maka beliau mesti meletakkan jawatan bersama dengan seluruh anggota kabinetnya,” jelas beliau.

Menurut beliau, kebiasaannya, sebagaimana yang telah berlaku sebanyak tiga kali di Malaysia setakat ini – 1966, 1976 dan 1977 – penarikan sokongan itu dibuat dengan mengusulkan undi tidak percaya.

Bagaimanapun, kata Aziz lagi, oleh kerana kerajaan yang ada dikenali dengan sebuah kerajaan yang tidak komited dengan kedaulatan undang-undang maka Pakatan Rakyat perlu memintas mereka dengan mengisytiharkan penarikan sokongan itu di luar dewan.

Pakar perlembagaan itu berkata cara ini dibenarkan oleh undang-undang sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Privy di London pada 1963. Dalam kes Adegbenro lawan Akintola itu hakim-hakim di majlis tersebut menerima perisytiharan hilang kepercayaan yang dibuat di luar dewan.

“Sebaik-baiknya cara yang paling bermaruah ialah dengan mengusulkan undi tidak percaya. Bagaimanapun di dalam keadaan yang ada sekarang Pakatan perlu bijak kerana jika tidak mereka akan ditewaskan oleh prosedur dan formality yang memang telah menjadi taktik kerajaan yang ada dalam pelbagai isu,” tegas Aziz.

Profesor undang-undang itu berkata Pakatan boleh menyenaraikan nama sekurang-kurangnya 112 orang ahli parlimen yang bersama mereka dan menyembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bersama dengan calon atau beberapa calon Perdana Menteri untuk diperkenankan sebagai ketua kerajaan persekutuan yang baru.

Aziz berkata sebuah kerajaan baru yang bebas dari pelbagai keraguan dan spekulasi perlu supaya negara dapat bergerak ke hadapan.

“Adalah malang kerana selepas lebih tiga bulan kita mengadakan pilihan raya, kita masih tertanya-tanya apakah kerajaan yang ada sekarang akan kekal atau sebaliknya,” katanya lagi.

Beliau berkata Barisan Nasional boleh juga membuat langkah yang sama. Apa pun, Aziz menambah, adalah lebih baik jika kesemua mereka yang memberikan sokongan itu tampil ke muka dan memberi pengakuan sokongan dan jaminan tidak akan belot.

Rafidah Juga BOLEH DIDAKWA Kalau Ikut Jejak Yong Teck Lee

Mohd Hanipa Maidin sewaktu berkempen dalam PRU 12 yang lalu di kawasan yang ditandinginya di Parlimen Tanjung Karang.

By TARMIZI MOHD JAM

KETUA Wanita Umno, Dato’ Sri Rafidah Aziz juga akan didakwa oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) sekiranya beliau bertindak keluar parti menentang Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi seperti yang dihadapi oleh Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanifa Maidin, menegaskan tindakan BPR memanggil Yong ke pejabat badan itu di Sabah untuk disoalsiasat berkenaan pembayaran RM5 keuntungan daripada penjualan saham-saham yang dimiliki sebuah syarikat milik kerajaan negeri kepada agen-agen pilihan raya sewaktu beliau mengetuai Sabah pada 1996, boleh dianggap sebagai ancaman kepada tokoh-tokoh lain untuk meninggalkan BN.

Kerjaan Bn bakal tumbang jika sekurang-kurangnya 30 Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat, atau turut menyokong usul tidak percaya kepada Perdana Menteri bersama-sama 82 ahli parlimen pembangkang.

“Mengapa sekarang baru disoalsiasat. Kes ini sudah 10 tahu berlalu. Adakah kerana dia bertindak keluar komponen BN dan menentang PM, maka tindakan ke atasnya dipercepat atau akan diambil?” tanya beliau.

Hanipa, yang juga seorang peguam berkata, jelas dari apa yang terjadi dari kes ini, BPR masih lagi dijadikan alat untuk mengancam musuh-musuh politik Perdana Menteri agar menutup mulut atau diambil tindakan tegas mengikut undang-undang.

“Bukan sahaja Rafidah, malah orang seperti Rahim Tamby Chik juga mungkin terpaksa melutut dan berdiam diri bagi mengelak kes-kes lamanya terbongkar jika bertindak menentang Perdana Menteri,” ujarnya.

Beliau yang dihubungi yakin, Yong antara pemimpin BN yang berani untuk berdepan risiko politik dari tindakannya meninggalkan BN berbanding pemimpin-pemimpin lain yang pernah diuar-uarkan terbabit dengan skandal rasuah.

Hanipa mengulangi dengan tegas agar BPR diletakkan terus di bawah pengawasan Parlimen dan tidak lagi terikat dengan kepentingan Perdana Menteri seperti hari ini. Katanya, ia bertujuan untuk mengawasi segala salah laku rasuah di kalangan pemimpin dan pegawai kerajaan secara telus.

Pilih Undi Tak Percaya, Bubar Parlimen atau Dharurat?


Profesor Dr. Abdul Aziz Bari antara yang aktif mengutarakan idea dan pandangan politiknya berkenaan isu-isu perundangan dalam negara ini.

Muqqadimmah: Kejutan demi kejutan terus muncul selepas pilihan raya kebangsaan ke 12 Mac lalu. Selain menerima pukulan teruk Barisan Nasional terus dilanda oleh pelbagai masalah. Dan tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan ia reda. Pelbagai insiden yang menunjukkan konflik dan keretakan di dalam Umno kian buruk. Selepas pilihan raya Pakatan Rakyat muncul di persada politik negara. Minggu lalu SAPP dari Sabah mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri yang sekaligus mengundang pelbagai spekulasi. Selain undi tak percaya di parlimen ada yang menimbulkan kemungkinan parlimen dibubarkan untuk pilihan raya kilat. Ada juga yang menimbulkan kebimbangan tentang kemungkinan darurat diisytiharkan. TARMIZI MOHD JAM memburu Profesor Dr Abdul Aziz Bari untuk mendapatkan penjelasan dari segi undang-undang tentang sejauh mana segala telahan itu logikal dan realistik. Interbiu ini telah disiarkan oleh Harakah Bil 1362 (1 - 15 Julai 2008) sebagai tajuk utama Edisi Fikrah.

Harakah: Banyak persoalan dibangkitkan mengenai undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Boleh profesor jelaskan apakah sebenarnya undi tidak percaya itu?

Prof. Dr. Abdul Aziz: Undi tidak percaya itu ialah cara untuk menjatuhkan kerajaan yang memerintah di parlimen. Ia boleh dibandingkan dengan prosedur impeachment di dalam sistem demokrasi berpresiden di mana seseorang presiden itu dipaksa meletakkan jawatan. Usul undi tidak percaya ialah satu cara di mana parlimen menunjukkan bahawa ia tidak lagi memberi sokongan kepada kerajaan yang memerintah. Dalam perkataan lain melalui undi tidak percaya ini parlimen menarik balik sokongan yang selama ini menjadi asas di mana kerajaan yang ada itu berdiri dan berpijak. Undi tidak percaya ini perlu kerana di dalam sistem Westminster kerajaan atau eksekutif sebenarnya dilantik dan ia bertanggung jawab kepada parlimen. Di dalam sistem ini kerajaan dilantik dan tidak dipilih sebagaimana di dalam sistem berpresiden seperti di Amerika Syarikat.

Jika begitu mengapa soal kuasa Speaker Dewan Rakyat dibangkitkan; khususnya dalam menghalang usul tersebut?

Helah itu dibangkitkan kerana Barisan Nasional tentunya berasa takut kerana ia akan memaksa mereka meletakkan jawatan. Usaha itu telah bermula lama; hampir dua bulan dulu apabila sebuah akhbar Inggeris milik mereka menyiarkan satu laporan yang mengatakan bahawa speaker boleh menghalang usul undi tidak percaya itu. Pada saya hujah itu tidak masuk akal kerana undi tidak percaya ialah mekanisme untuk menguji sama ada kerajaan yang ada masih mempunyai sokongan. Jadi takkanlah speaker boleh menjadi batu penghalang dan menyelamatkan kerajaan berkenaan. Selain itu saya berasa aneh kerana undi tidak percaya itu secara tidak langsung disebut oleh Perkara 43(4) sedangkan kuasa speaker tidak dinyatakan di situ. Kuasa speaker hanya disebut di dalam Perintah Tetap (standing orders) parlimen. Adalah tidak betul jika kuasa ini mengatasi perlembagaan. Dalam pada itu negara ini sudah tiga kali menyaksikan kejatuhan kerajaan melalui undi tidak percaya; yakni di Sarawak pada 1966, di Selangor pada 1976 dan akhir sekali di Kelantan pada 1977. Undang-undang negeri dan persekutuan dalam soal ini sama. Bahkan undang-undang yang sama juga digunakan di seluruh Komanwel.

Jadi adalah jelas bahawa BN cuba menghalang usul undi tidak percaya yang semakin sering disebut kebelakangan ini. Apakah ada cara untuk mematahkan percubaan mereka?

Seperkara yang menarik ialah cara bagaimana undi tidak percaya itu boleh atau perlu dilakukan tidak dijelaskan oleh perlembagaan. Malah ia tidak menyebut usul undi tidak percaya itu dengan jelas. Yang perlembagaan sebut hanyalah “apabila Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti” yang saya fikir memudahkan cara untuk menyingkir kerajaan yang tidak lagi mendapat sokongan. Saya fikir jalan yang mudah dan lebih taktikal ialah dengan menunjukkan sokongan di luar dewan; yakni Pakatan Rakyat menghimpunkan sekurang-kurangnya 112 orang ahli parlimen yang menyokong mereka. Ini sudah cukup untuk memaksa Perdana Menteri meletakkan jawatan. Jika ini dapat dilakukan tidak perlu kita memecahkan kepala untuk mencari jalan bagaimana usul tidak percaya hendak dikemukakan di dalam dewan. Barisan mungkin ingat bahawa mereka boleh menggagalkan usul itu dan terus selamat tetapi sebenarnya masih ada jalan lain untuk menjatuhkan mereka.

Jadi apakah ada cara lain untuk menyelesaikan kekeliruan politik semasa yang melanda negara ketika ini?

Memang ada dan cara ini juga berkaitan dengan soal kepercayaan atau sokongan yang menjadi isu pokok dalam usul undi tidak percaya tadi. Dan ia lebih mudah, Saya fikir apa yang Pakatan Rakyat perlu buat ialah menyenaraikan nama sekurang-kurangnya 112 orang ahli parlimen yang bersama mereka. Dalam masa yang sama mereka juga perlu menamakan seorang atau beberapa orang sebagai Perdana Menteri untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan supaya perlantikan kerajaan baru dapat dibuat. Jika Pakatan dapat berbuat demikian maka Perdana Menteri dan seluruh anggota Jemaah Menteri hendaklah meletakkan jawatan. Cara ini tidak memerlukan usul undi tidak percaya dan ini dibenarkan oleh Perkara 43(4) yang hanya menyebut soal tanggung jawab Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan sebaik-baik sahaja beliau kehilangan sokongan majoriti ahli dewan. Perlu saya sebutkan bahawa cara ini dibenarkan oleh undang-undang sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Privy di London dalam kes Adegbenro lawan Akintola pada 1963. Dan inilah yang berlaku dalam pada 1962 di Terengganu dan 1994 di Sabah.


Apa yang berlaku di dalam kedua-dua insiden itu?

Dalam kedua-dua insiden tersebut kerajaan negeri meletakkan jawatan setelah ahli-ahli dewan tidak lagi menyokong mereka; yakni ahli-ahli melompat ke pihak lawan sehingga kerajaan negeri tidak lagi dapat berdiri kerana tidak lagi mendapat sokongan majoriti di dalam dewan.

Apakah di dalam keadaan seperti di Terengganu pada 1962 dan Sabah pada 1964 itu usul undi tidak percaya tidak perlu?

Ya, tidak perlu kerana apabila majoriti sudah memihak kepada pihak lawan maka kerajaan yang ada itu secara automatik akan tumbang. Apabila kerajaan itu sudah tumbang apa perlunya diadakan usul tidak percaya lagi?

Di antara kedua-dua cara itu - yakni usul undi tidak percaya atau menarik sokongan dari pihak kerajaan - mana yang lebih baik?

Pada saya, kedua-dua formula ini kesannya sama; yakni menjatuhkan kerajaan. Soal mana yang lebih baik bergantung kepada keadaan dan senario politik yang ada. Di dalam keadaan seperti di Malaysia ini saya fikir memujuk ahli-ahli parlimen Barisan adalah lebih baik kerana risikonya lebih kecil. Risiko membawa usul undi tidak percaya di dewan agak besar kerana ia mungkin gagal. Berbeza dengan keadaan di negeri pada 1962 dan 1994 itu kita berhadapan dengan sebuah kerajaan yang mempunyai media massa dan pelbagai cara untuk mengugut dan mengelirukan orang. Kecuali Kelantan pada 1977 semua insiden yang saya sebutkan di atas didalangi dan diatur oleh Umno dan Perikatan atau Barisan Nasional.
Nampaknya Barisan Nasional tidak konsisten dalam kedua-dua soal ini; sekurang-kurangnya kalau kita mengimbas apa yang berlaku pada 1994 di Sabah dan di negeri-negeri yang kerajaannya ditumbangkan melalui undi tidak percaya.
Benar, itulah hakikat yang sukar dinafikan. Pada 1962 Umnolah yang sebenarnya menjadi dalang membeli dan memujuk ahli-ahli dewan dari Pas supaya berpaling tadah dan menyertai mereka. Kita juga tahu Umno menggunakan taktik yang sama di Kelantan selepas pilihan raya umum 2004 tetapi gagal. Di Sabah juga Umno menjadi dalang di sebalik perletakan jawatan oleh kerajaan PBS setelah ahli-ahlinya menyeberang ke pihak Barisan. Begitu juga dengan undi tidak percaya di Sarawak pada 1966 yang sebenarnya didalangi oleh Perikatan yang mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Stephen Kalong Ningkan. Ini diikuti dengan apa yang dilakukan oleh kepemimpinan Umno untuk menjatuhkan Datuk Harun Idris sebagai Menteri Besar Selangor pada 1976. Melihat kepada ini semua sebenarnya Umno dan Barisan Nasional tidak punya alasan untuk mempertikai dan menolak, sama ada usul undi tidak percaya atau lompat parti. Mereka biasa dan pernah melakukannya. Tetapi jelas kali ini kedua-dua cara itu tidak selari dengan kedudukan dan kemelut yang mereka hadapi. Sebab itu Umno meronta-ronta dan cuba melepaskan diri: dulu orang yang lain jadi mangsa tetapi kali ini mereka sendiri yang di dalam bahaya.


Dalam kemelut politik ini apa relevannya pembubaran dewan sebagai penyelesaian atau jalan keluar?

Pembubaran dewan bermaksud pilihan raya. Bagaimanapun di sisi undang-undang ini adalah kuasa Yang di-Pertuan Agong. Kuasa ini adalah kuasa budibicara dan ini bermakna kerajaan tidak mempunyai cara untuk memaksa atau mempengaruhi baginda. Dengan senario yang kita lihat di atas pilihan raya tidak perlu.


Di sisi undang-undang pilihan atau alternatif ini perlu diputuskan mengikut kenyataan dan senario yang ada. Ini tidak boleh dilakukan sesuka hati. Yang jelas pilihan raya memakan biaya yang besar dan ia harus dielakkan sedapat yang mungkin. Selain itu saya ragu kita dapat mengadakan sebuah pilihan raya yang adil dan telus. Ini juga perlu dipertimbangkan. Melihat kepada kepincangan yang ada di dalam sistem pilihan raya kita faham mengapa SPR dan Barisan begitu bersungguh-sungguh mahukan ia diadakan.

Bagaimanapun apabila harga barang dan harga petrol naik mereka tiba-tiba membisu. Saya fikir mereka sedar bahawa dengan perubahan senario pilihan raya tidak lagi menguntungkan mereka. Malah mungkin berbahaya dan mungkin membawa “maut”. Apa pun saya tidak hairan jika kerajaan Barisan memikirkan soal kepentingan mereka kerana mereka adalah ahli politik. Tetapi wajarkah pihak SPR juga berfikiran begitu?

SPR sepatutnya membuat keputusan berdasarkan undang-undang. SPR tidak harus menari mengikut gendang Barisan. Saya terkejut apabila SPR bercakap soal pilihan raya yang jelas disukai oleh Barisan sebelum harga petrol menjulang naik.

Apakah ada kemungkinan bahawa krisis ini akan melarat sehingga terpaksa diselesaikan melalui perisytiharan darurat?

Darurat sebenarnya bukan cara untuk menyelesaikan krisis politik. Darurat dibenarkan oleh perlembagaan untuk mempertahankan perlembagaan khususnya dan demokrasi umumnya. Dengan demikian ia tidak termasuk di dalam formula penyelesaian. Malangnya ini digunakan oleh kepemimpinan Umno pada satu ketika untuk melaksanakan kehendak dan kepentingan politik mereka. Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman menggunakan peruntukan darurat di bawah Perkara 150 perlembagaan pada 1966 setelah krisis politik di Sarawak yang didalanginya tidak dapat dikawal dan Tunku berasa bahawa strategi beliau akan gagal. Begitu juga pada 1977 di Kelantan. Perdana Menteri ketika itu, Datuk Hussein Onn, menggunakan darurat kerana ayam tambatannya, Menteri Besar Datuk Mohamed Nasir, tersungkur dan tidak dapat bertarung lagi. Darurat adalah satu-satunya jalan untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang dibentuk oleh PAS sejak 1959.

Di mana dan apakah peranan Yang di-Pertuan Agong dalam kemelut ini…

Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan yang cukup penting. Baik dalam soal undi tidak percaya, lompat parti, pembubaran dewan dan perisytiharan darurat baginda memainkan peranan yang cukup kritikal. Baginda menjadi penentu. Contohnya kalau Perdana Menteri memohon pembubaran baginda perlu menolak kerana ada cara lain untuk membentuk kerajaan tanpa pilihan raya. Kita dengar bahawa Pakatan mendakwa mereka mempunyai sokongan yang cukup untuk menubuhkan kerajaan dan kerana itu mereka mesti diberi peluang untuk membuktikan dakwaan mereka. Sekiranya dewan dibubarkan maka Pakatan dinafikan haknya. Dan bukan itu sahaja ia membazirkan wang dan masa sedangkan ada cara yang lebih murah dan cepat.

Kesimpulannya apakah yang perlu dilakukan sekarang?

Kalau kita meletakkan kepentingan rakyat dan negara pada saya apa yang lebih sesuai ialah undi tidak percaya atau memberi kebebasan kepada ahli-ahli parlimen untuk menyatakan pihak mana yang mereka sokong dan yakini; Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat. Kemudian kita berilah pihak yang berjaya membentuk kerajaan untuk menjalankan kerja dan janji mereka dan sekitar tahun 2013 nanti kita sama-sama nilai prestasi mereka dan putuskan sama ada pihak berkenaan perlu kekal atau digantikan. Ini cara dan pendekatan yang seluruh dunia gunakan. Bukan politik tipu, politik ugut mengugut dan sebagainya. Dan rakyat perlu menghukum dengan mengenyahkan pihak-pihak yang terlibat dengan politik sebegini.

Selasa, Jun 24, 2008

Mahfuz Omar NAFIKAN Sekali Lagi Isu RUNDINGAN PAS-UMNO!

By YB MAHFUZ OMAR

TIDAK semena-mena bertiup kencang cerita PAS sedang berunding dengan Umno untuk mengadakan kerjasama atau pakatan politik, kononnya demi ketuanan politik Melayu. Entah siapa yang memulakannya, tetapi ia telah tersebar luas di blog-blog dan juga berkeliaran dalam sms.

Ramai juga peminat politik yang percayakan desas-desus ini kerana mungkin logik juga kalau hendak dicarikan sebab mengapa PAS perlu bekerjasama dengan Umno. Tetapi ramai yang memandang jejek kepada perbuatan ini jika PAS berhasrat demikian.

Tidak timbul isu ini benar atau tidak, kerana saya sudah pun menafikan adanya rundingan sulit untuk ‘mengahwinkan’ PAS dengan Umno. Lagipun perkahwinan politik seperti ini mungkin ‘tidak sah’ kerana antara PAS dan Umno memang tidak ‘sekufu’. PAS mempunyai dasar Islam, sedangkan Umno ‘beraqidah’ Islam Hadhari.

Jika Umno itu ‘ahli Kitab’ ada juga tendensinya, tetapi dengan Islam Hadhari ini PAS terpaksa menjauhkan diri. Lagipun PAS amat tidak sekufu dengan Umno kerana PAS adalah parti yang masih suci, sedangkan Umno sudah terpalit dengan noda-noda rasuah, politik wang, kronisme, nepotisme dan macam-macam kebejatan yang lain.

Ada pihak yang berpandangan supaya PAS tidak harus ‘menjual mahal’ dalam konteks kepentingan politik nasional, tetapi isu yang berbangkit sekarang bukannya kepentingan negara, sebaliknya adalah kepentingan survival politik Umno itu sendiri.

Kerjasama ini adalah talian hayat yang amat diharapkan oleh Umno dan sudah tentu mereka sanggup bergolok-gadai untuk memenuhi keperluan PAS demi talian hayat ini. PAS tidak akan menjual maruahnya dengan harga yang murah kepada Umno, sebaliknya akan terus mempertahankan prinsip demi kepentingan dan kebajikan rakyat yang sudah lama dipijak-pijak oleh Umno/BN apatah lagi kini dengan kenaikan harga minyak, kerajaan Umno/BN tergamak membawa satu usul dalam perlimen bagi menghalalkan tindakan untuk menindas rakyat.

Maka ternyatalah 129 ahli-ahli perlimen BN menyokong usul untuk menindas rakyat. PAS akan terus memikul amanah dan kepercayaan rakyat kepada Pakatan Rakyat, dan akan terus memberikan pembelaan kepada rakyat yang ditindas oleh kerajaan BN.

Sejarah telah membuktikan bahawa PAS adalah parti yang paling terbuka di negara ini sehingga menjadi parti yang paling banyak menjalin kerjasama politik. Keterbukaan Islam yang didukung oleh PAS diterjemahkan melalui siri-siri kerjasama sama bukan sahaja dengan orang Melayu, bahkan semua kaum.

PAS pernah duduk semeja dengan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), MIC dan Persatuan Ceylonese Malaya dalam National Conference pada 1953, kemudian menyertai National Convention yang turut diserati oleh Umno dan MCA mulai September tahun yang sama. PAS juga berpakat dengan parti-parti kiri ketika memperjuangkan kemerdekaan, sebelum bekerjasama dengan Dato’ Onn dalam pilihan raya 1959. Kerana kerjasama PAS Dato’ Onn menang di Terengganu.

PAS juga mempunyai hubungan yang baik dengan Sosialis Front pada 1959 dan 1964 walaupun pakatan itu dianggotai oleh pendukung sosialis seperti Parti Rakyat, Parti Buruh dan National Convention Party. Selepas krisis politik 1969, PAS telah memilih untuk bekerjasama dengan Perikatan yang ketika itu sudah disertai oleh parti-parti dari Sabah dan Sarawak, selain PPP dan Gerakan.

Pada 1986, PAS bersama tiga parti lain menubuhkan Harakah Keadilan rakyat (HAK), di samping hubungan dengan masyarakat Cina melalui CCC. Kemudian PAS menyertai pula Angkatan Perpaduan Ummah (1988-1996) dan Barisan Alternatif (1999-2008) sebelum Pakatan Rakyat ditubuhkan selepas pilihan raya ini. Inilah keterbukaan PAS!

BACAAN PENUH DI TRANUNGKITE.NET

Benarkah Ada KONSPIRASI Pejatuhkan YAHYA SAHRI


By IBNUKHUZAIMAH

"DALAM keseronokan Menteri Besar Selangor berpesta dengan kenyataan akhbarnya terutama Malaysiakini, Khalid tidak sedar bahawa dia telah bertindak sebagai bukan anak jantan, tidak gentlemen dan terserlah kebaculan.

Tindakan Khalid Ibrahim menggantong pegawai khasnya melalui sistem pesanan ringkas adalah sangat tidak professional dan memalukan.

Khalid membuat lawak bodoh kononnya supaya Yahya tidak “terperanjat” sebaliknya Khalid sendiri yang terkejut beruk apabila dia terpaksa membatalkan mesyuarat perhubungan negeri bila mendapati 20 dari 22 ketua bahagian berdiri dibelakang Yahya Sahri.

Sifat pengecut Tan Sri Khalid terserlah apabila dia tidak mampu berdepan atau memanggil Yahya untuk berbincang atau memberi penjelasan ketika diminta dalam dialog bersama reformis lewat malam Isnin 23 Jun baru semalam

Begitu juga dengan ahli biro politik kecuali Yaakob Sapari, lari bertempiaran apabila para reformis muncul. Kemanakah menghilangnya YB Zuraidah, YB Xavier, YB Sivarasa? Mereka lari bila berdepan dengan reformis!.

Adalah dilaporkan bahawa di dalam mesyuarat, jika masa enam jam, 5 jam diambil masa oleh Khalid untuk bercakap, sau jam untuk yang lain, menjadikan mereka hanya ada lima atau enam minit untuk bercakap. Begitu juga dalam mesyuarat EXCO, Khalid sahaja yang bercakap tetapi orang lain tidak.

Beberapa persoalan perlu dijawab oleh Tan Sri Khalid Ibrahim mengapa dia sendiri tergopoh gapah mengambil tindakan kepada Yahya Sahri?

Ini bermakna tidak ujud langsung collective concencus dalam membuat keputusan. Khalid sendiri sering berkata, dia membuat keputusan. Biasanya keputusan Khalid tidak boleh diubah. Dari dulu hingga sekarang.

BACA SEPENUHNYA DI TRANUNGKITE.NET

Penarik Beca DEDAHKAN Isu PAS Peluk Umno di LONDON?

Pro dan kontra dalam isu yang dibangkitkan oleh Penarik Beca wajar direnungi bersama

By PENARIK BECA

SETAKAT homework yang saya buat dua tiga hari ini (termasuk dimarah dan dijerkah oleh beberapa pemimpin tertentu yang menjahit mulut mereka dan buat-buat sibuk kerana hendak menjaga "rahsia parti"), saya mendapat tahu bahawa kecenderungan itu bermula apabila Ustaz Dr Harun Din memperomosikan teori akhafu al-darurain.

Akhafu al-darurain kalau tak silap saya ialah memilih yang lebih ringan mudaratnya ketika berhadapan dengan dua pilihan yang tidak menguntungkan. Idea asal dikatakan datang dari Mufti Perak yang juga promoter Islam Hadhari, Datuk Seri Harussani Zakaria. Dialah yang dikatakan antara orang yang mencipta mentaliti bimbang tentang masa hadapan Melayu dan Islam setelah Umno kalah teruk di Perak. Apabila saya tulis dikatakan, ia bermakna saya tidak dapat mengesahkan fakta tersebut. Setakat mendengar cerita. Sebab tu saya tulis dikatakan. Kalau tak ada tulis dikatakan, itu saya tak ragu lagi.

Memang, saya tahu. PAS di dalam Pakatan Rakyat umpama Parti Progresif Rakyat (PPP) di dalam Barisan Nasional. Para pemimpin PAS juga dirundung kerisauan tentang nasib dan masa depan Melayu Islam. Di dalam Pakatan Rakyat, agenda Melayu Islam bagaikan taboo yang mesti dijauhi seperti penyakit berjangkit. DAP pula bagaikan bermusuh dengan apa sahaja yang bernama Islam. Lantaran itulah sesetangah ulama melihat penyertaan di dalam Pakatan Rakyat adalah pilihan yang lebih berat mudaratnya.

Anggapan itu menyebabkan mereka melompat kepada keputusan bahawa berkerjasama dengan Umno adalah akhafu al-darurain atau lebih ringan mudaratnya. Ahli dan penyokong PAS berhak bertanya apakah alasan mereka menyatakan bahawa itu adalah akhafu al-darurain? Adakah mereka membuat kajian yang melampaui keraguan yang munasabah bahawa kerjasama dengan Umno itu memang sebenar-benarnya akhafu al-darurain?

Paling memeningkan, adakah tokoh-tokoh Ikhwan yang ingin ditemui seperti Mustafa Tahan dan Faisal Mahlawi tergolong dalam kumpulan pakar dan specialist dalam mengenalpasti akhafu al-darurain di Malaysia? Adakah orang-orang seperti Mustafa Tahan atau Faisal Mahlawi kini menjadi doktor pakar yang hebat memberi ubat kepada Umno yang sedang sakit dan menjerit?

Kalaupun benar mereka adalah pakar yang mempunyai ubat untuk merawat gelejat Umno, apa pula yang mendorong Tuan Guru Presiden, Timbalan Presiden (yang dijangka menyertai rombongan itu sekembalinya dari seminar Commonwealth Parliamentary Association di Brussels) Haji Mustafa Ali dan Ustaz Harun Taib (Ustaz Dr Harun Din tak dapat pergi dan dikatakan akan digantikan) pergi menemui mereka untuk meminta nasihat mengenai kerjasama dengan Umno.

Adakah itu bermakna PAS hendak berbeza dengan Ezam Mohd Noor yang barangkali tidak pergi ke London meminta fatwa sebelum menjadi drebar ambulan untuk mengejarkan pesakit yang bernama Umno ke tanah perkuburan?

Bacaan penuh di PENARIK BECA.COM

BN tidak boleh bertindak membelakangi YDP Agong

Oleh TARMIZI MOHD JAM

PROFESOR Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengingatkan parti-parti politik supaya tidak bertindak membuta tuli dalam menghadapi kemelut politik negara dengan membubarkan Parlimen atau mengisytiharkan darurat.

Beliau menegaskan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai peranan yang sangat penting di dalam mententeramkan keadaan politik yang tidak menentu sekarang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemungkinan apa yang akan berlaku, selepas Parti Maju Sabah (SAPP) yang dipimpin Dato' Yong Teck Lee mengisytiharkan partinya akan membawa atau menyokong undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam sidang Parlimen yang akan bermula minggu depan.

Ekoran tindakan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, pelbagai spekulasi telah timbul. Ini termasuklah tindakan mengadakan pilihan raya mengejut oleh BN untuk menyelamatkan dirinya.

Selain itu, tegas beliau, ada yang bimbang bahawa perisytiharan darurat akan dibuat bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan BN melalui undi tidak percaya di parlimen.

"Oleh kerana kemungkinan-kemungkinan itulah maka Perlembagaan secara idealnya memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak bebas dari nasihat atau pengaruh kerajaan yang memerintah," tegas Aziz.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan, mengingatkan bahawa kedudukan dan peranan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan tidak harus disamakan dengan cop getah yang perlu melaksanakan apa sahaja yang diminta oleh kerajaan.

"Raja berperlembagaan sebenarnya lebih merujuk kepada seorang raja yang bertindak selaras dengan tuntutan dan semangat demokrasi bukan mengikut nasihat membuta tuli", tambah beliau.

Mengenai pilihan raya mengejut Aziz berkata ia hanya boleh dilakukan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan dengan permohonan Perdana Menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Aziz berkata di bawah Perlembagaan kuasa itu adalah kuasa baginda dan Perdana Menteri tidak boleh memaksa Yang di-Pertuan Agong. "Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa ia adalah kuasa budibicara Yang di-Pertuan Agong," tambahnya lagi.

Dua minggu lalu Aziz berkata bahawa di dalam senario sekarang adalah tidak wajar untuk Yang di-Pertuan Agong membubarkan dewan bagi membolehkan pilihan raya semula diadakan.

Beliau menjelaskan, meskipun kuasa itu kuasa budibicara baginda diberi tanggungjawab untuk menilai keadaan dan mempastikan bahawa kepentingan negara dan rakyat mengatasi segala-galanya.

"Inilah sebabnya mengapa Suruhanjaya Reid meminta Yang di-Pertuan Agong melihat pengalaman negara-negara Komanwel yang lain," tegas beliau.

Aziz menjelaskan di dalam keadaan sekarang pembubaran dewan adalah tidak perlu kerana dua sebab.

"Yang pertama kita sudah mendengar hasrat untuk membawa usul undi tidak percaya di parlimen. Dengan demikian Yang di-Pertuan Agong mesti menunggu sehingga usul itu dikemukakan dan melihat hasilnya. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong berkenan membubarkan dewan maka baginda akan dilihat menyebelahi kepentingan Barisan Nasional dan ini tidak selaras dengan ideal Perlembagaan yang mahukan baginda bebas dari politik dan melindungi proses Perlembagaan," tegas Aziz.

Sebab yang kedua, bahasnya, wujudnya potensi pembentukan kerajaan baru tanpa melalui pilihan raya. Beliau menjelaskan sama ada melalui undi tidak percaya atau lompat parti, sebuah kerajaan baru sebenarnya boleh dibentuk.

"Cara ini jelas lebih murah dan lebih menjimatkan masa. Lagipun pilihan raya baru sahaja diadakan," ujarnya.

Bagaimanapun, Aziz berasa ragu sekiranya pilihan raya adalah satu pilihan yang sesuai ekoran kenaikan harga minyak kerana isu itu menyebabkan kerajaan yang memerintah sekarang tidak lagi popular.

Mengenai pemerintahan darurat di bawah Perkara 150, Aziz berkata ia adalah tidak baik kerana krisis politik yang ada sekarang boleh ditangani melalui proses dan prosedur biasa yakni undi tidak percaya dan seterusnya.

"Dalam soal ini Yang di-Pertuan Agong mesti menolak nasihat untuk mengisytiharkan darurat kerana ia akan menyebabkan Perlembagaan digantung dan kerajaan yang ada diberi kuasa untuk membuat undang-undang tanpa ke parlimen. Ini berbahaya", tegas Aziz

Speaker TIADA KUASA sekat undi tak percaya !

Profesor Dr. Aziz Bari dalam satu interbiu bersama Tarmizi Mohd Jam di kediamannya dekat Selayang baru-baru ini

Oleh TARMIZI MOHD JAM

SPEAKER Dewan Rakyat sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Parlimen.

Perkara ini ditegaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar Perlembagaan ketika dihubungi ekoran pendapat yang menyatakan bahawa Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul tersebut selain beberapa sebab teknikal yang lain.

Sebelum itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, melahirkan rasa ragu beliau meskipun ahli parlimen veteran itu berpendapat, tindakan SAPP semalam mempunyai implikasi politik yang penting.

Aziz, pensyarah UIAM menjelaskan kedudukan kerajaan di bawah sistem demokrasi berparlimen ditentukan oleh sokongan majoriti dan apabila timbul persoalan mengenainya maka dewan perlu diberi peluang untuk mempastikan soal itu.

Soal-soal teknikal perlu dikesampingkan kerana ini adalah soal yang melibatkan sama ada kerajaan yang ada boleh kekal atau meletakkan jawatan. Aziz memberi beberapa hujah untuk menyokong pendapatnya itu.

Yang pertama hujahnya, ialah soal sokongan majoriti itu penting sebagaimana yang disebut oleh Perlembagaan dalam beberapa peruntukan bermula dengan Perkara 43(2)(a). Ini diikuti oleh Perkara 43(4) yang mewajibkan Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya beliau kehilangan sokongan majoriti.

Yang kedua ialah bahawa kuasa Speaker adalah berdasarkan peraturan tetap dewan (standing orders) yang dibuat berdasarkan Perkara 62(1). Dengan kata lain adalah tidak munasabah jika undang-undang kecil mengatasi Perlembagaan. Beliau berhujah ini tidak selaras dengan Perkara 4(1) yang meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.

Yang ketiga kuasa mutlak Speaker adalah berhubung dengan perjalanan mesyuarat dewan tidak harus disalahgunakan untuk menyelamatkan kerajaan yang kehilangan kekuatan untuk memerintah.

Aziz menegaskan jika Speaker dibenarkan menyekat usul tidak percaya maka sistem demokrasi berparlimen - di mana kerajaan dilantik berdasarkan sokongan majoriti di dalam dewan - akan hancur.

Ini juga membawa makna konsep kerajaan bertanggungjawab (responsible government) yang sentral di dalam demokrasi Westminster tidak terlaksana.

Yang keempat, hujah Aziz lagi, dakwaan mengenai kuasa Speaker itu bertentangan dengan amalan yang konsisten setakat ini.

Pensyarah UIAM itu berkata setakat ini sudah tiga kali kerajaan tumbang di tangan undi tidak percaya di Malaysia. Beliau menegaskan kedua-dua Persekutuan dan Negeri mempunyai undang-undang yang sama.

Perletakan jawatan kerana gagal dalam usul tidak percaya berlaku buat pertama kalinya di Sarawak pada tahun 1966 melibatkan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Kemudian ia diikuti oleh perletakan jawatan oleh Menteri Besar, Dato Harun Idris di Selangor pada tahun 1976 yang diundi tidak percaya oleh partinya sendiri. Insiden yang sama berlaku di Kelantan pada tahun 1977 apabila Menteri Besar Dato Mohamed Nasir berbalah dengan partinya sendiri.

Aziz mengharapkan semua pihak, termasuk Speaker, perlu memberi laluan kepada proses yang telah pun secara konsisten diamalkan di seluruh dunia Komanwel. Jika ia disekat Malaysia akan ditertawakan oleh dunia.

AKHIRNYA Yahya Shahri Letak Jawatan! TIDAK PERCAYA Khalid Ibrahim!

Yahya, seorang aktivis lama KeADILan, mendakwa beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu. Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak meluluskan sebarang projek atau tender, tetapi hanya memberikan surat sokongan.

Oleh HARAKAHDAILY

PEGAWAI tugas-tugas khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shahri meletakkan jawatannya atas alasan "hilang keyakinan terhadap kepemimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim".

Malaysiakini melaporkan Yahya, yang mengirim surat peletakan jawatannya kepada bekas ketuanya itu petang semalam, juga melepaskan jawatannya sebagai Setiausaha Perhubungan KeADILan Selangor.

Selain hilang keyakinan, menurut surat peletakan jawatannya, Yahya tidak menyebut sebab-sebab lain kecuali ia akan "dinyatakan kemudian."

Surat itu dikirim kepada pejabat menteri besar melalui faksimili kira-kira 3.45 petang semalam.

Abdul Khalid pada sebelah pagi mengumumkan penggantungan jawatan Yahya - yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa dua minggu lepas - sebagai pegawai kanannya berkuatkuasa hari ini selama dua bulan.

Abdul Khalid sebelum ini mengirim mesej SMS kepada Yahya memaklumkan tindakan yang bakal diambilnya bagi mengelakkan pegawainya itu "terperanjat."

Dalam ucapannya di depan hampir 200 penyokong di kediamannya di Seksyen 4 Shah Alam malam ini, Yahya juga mendesak Abdul Khalid meletakkan jawatannya sebagai Ketua Perhubungan KeADILan Selangor.

Yahya mencadangkan jawatan itu diserahkan kepada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditemui selepas ucapannya kira-kira jam 10 malam, Yahya berkata beliau telah bercakap dengan Presiden KeADILan Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini berhubung tindakan penggantungan terhadapnya dan kedudukannya itu.

Menurutnya, ahli parlimen Permatang Pauh itu mencadangkan beliau bertemu sendiri dengan Anwar. Beliau dijadual bertemu penasihat parti itu di pejabatnya jam 2 petang esok dan dipercayai akan membawa "beberapa tuntutan."

Yahya, seorang aktivis lama KeADILan, mendakwa beliau mendapat sokongan dan berpengaruh dalam kalangan 70 hingga 80 peratus bahagian di negeri itu. Beliau juga menjelaskan bahawa beliau tidak meluluskan sebarang projek atau tender, tetapi hanya memberikan surat sokongan.

Sementara itu di kediaman rasminya, Abdul Khalid memberikan taklimat isu ini kepada wakil-wakil rakyat PKR Selangor, termasuk ahli-ahli parlimen. Bagaimanapun tidak semua ahli parlimen hadir kerana sesi Dewan Rakyat berakhir lewat bagi membahaskan usul kenaikan harga minyak hari ini.

Sehingga kini belum jelas butiran perbincangan mereka yang bermula kira-kira 8 malam hingga selepas tengah malam tadi - termasuk mereka yang hadir dalam pertemuan lebih awal di rumah Yahya.

Difahamkan pertemuan ini "panas" mengenai pelbagai isu pentadbiran kerajaan negeri, termasuk "10 peratus sahaja" isu berhubung penggantungan Yahya.

Abdul Khalid mendedahkan penglibatan bekas pegawai kanannya itu dalam isu tersebut, termasuk maklum balas yang beliau perolehi daripada siasatan awal BPR.

Pada 10 Jun lalu, badan itu memanggil Yahya selama empat jam berhubung siasatan kes kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah di kawasan Petaling Jaya. Siasatan itu susulan aduan sekumpulan empat orang pada 5 Jun kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa keizinan.

Di sidang medianya semalam, menteri besar itu berkata jika tidak bersalah, pegawai kanan itu akan diambil semula bekerja.

"Kita tulus, kita kena buat dengan betul. Kalau pegawai itu tidak bersalah maknanya dia akan diambil balik untuk bekerja, kalau bersalah kita akan ambil tindakan yang sewajarnya," katanya selepas melancarkan Pusat Khidmat Merakyatkan Ekonomi Selangor (M.E.S) di Shah Alam.

Abdul Khalid menambah, siasatan BPR mendapati pada keseluruhannya ia bukanlah kesalahan daripada segi undang-undang tetapi daripada segi "tingkah laku yang tidak wajar".

Khamis, Jun 19, 2008

Ayuh! Jangan Lupa Kelih Juga BLOGDAILY.COM


Anda patut juga layariiiiiiiii
BLOGDAILY.COM
sekarang

Rebutlah! Kursus Sijil Asas Pengajian Muamalat Fiqh anjuran Yayasan Muslimin

By TARMIZI MOHD JAM

BAGI mereka yang tercari-cari pengetahuan tentang Muamalat Islam secara berjadual, atau ingin mendalaminya; anda boleh mengikuti terus kursus peringkat Sijil Asas Pengajian Fiqh Muamalat hanya dengan yuran semudah RM50 sebulan.

Kursus ini dianjurkan oleh Yayasan Muslimin Malaysia Berhad (YMMB) selama 28 minggu bermula 2 Julai depan dan berakhir pada 25 Mac 2009. Ia terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat, kakitangan institusi kewangan, anggota koperasi dan kepada mereka yang bukan Islam sangat-sangat dialukan.

Demikian dimaklumkan oleh Penyelaras Program, Cikgu Mohd Noor kepada media. Katanya, kelas akan diadakan di Pejabat YMMB, No. 11c, Jalan SG 3/17, Pusat Bandar Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor (Tel: 03-61884064 atau emel: ymmb@streamyx.com).

Antara tajuk-tajuk yang akan diajar termasuklah jual beli, Khiyar (pemilihan), Bai'Al-Inah, Al-Qardhul Hasan, Mudharabah, simpanan, Musyarakah, jaminan, gadaian, riba, rugi dan penipuan, jual beli ditegah, jualan Al-Salam, tukar mata wang, sewa dan upah, sewa kemudian beli, jual beli hutang, pemindahan hutang dan wakil mewakil.

Cikgu Mohd Nor menegaskan objektif kursus peringkat sijil ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada umum sebahagian daripada ilmu Islam mengenai perkara-perkara asas Muamalat.

Ia juga untuk memberi kefahaman tepat tentang Muamalat mengikut lunas Islam disamping menimbulkan kesedaran umum tentang tanggungjawab ummah dalam mencari dan menggunakan harta ke arah jalan yang diredhai Allah.

Untuk keterangan lanjut, anda yang berminat boleh terus hubungi YMMB pada talian 03-61884064 atau 013-2858575 (En Zakaria Hassan). Tarikh tutup pada 27 Jun 2008.

PAS Bukan "Sleeping Partner" Tetapi Rakan Kongsi Yang Aktif

By ROSLAN SHAHIR

PAS menyertai Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 pada 8 Mac, 2008 lalu dalam keadaan memiliki kerjasama politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) melalui Barisan Alternatif. Disamping itu ia juga memiliki persefahaman politik dengan DAP khasnya dalam mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

PRU ke 12 telah menunjukkan semangat tolak-ansur dan diplomasi politik PAS ditahap yang sangat matang dan membanggakan. Dengan takdir Allah SWT, PAS dan rakan-rakan dikurniakan kemenangan bukan hanya berjaya mempertahankan Kelantan yang merupakan kubu PAS sejak tahun 1990 malah berjaya juga menguasai negeri-negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor.

Hasil dari kemenangan luar biasa inilah maka disepakati pula dan ditubuhkan Pakatan Rakyat iaitu gabungan kerjasama politik antara parti-parti PAS, DAP dan PKR untuk mentadbir dan menguruskan keempat-empat negeri baru ini bagi menggantikan kerajaan Barisan Nasional.

Bagi PAS sendiri bertapak sebagai kerajaan khasnya di Kedah, Perak dan Selangor walaupun atas nama gabungan ini, merupakan suatu saat yang sangat bersejarah dan bermakna kerana PAS telah bertempur dan berkorban sejak awal tahun 50an lagi di negeri-negeri berkenaan. Sudah tentulah pengorbanan, air mata dan doa mereka yang terdahulu menyumbang ke arah kejayaan ini, dan ianya jangan sekali-kali dilupakan oleh seluruh ahli parti.

PAS kini bukan lagi pembangkang di negeri-negeri baru ini, tetapi PAS sudah menjadi sebahagian dari kerajaan. Di Kedah dan Perak contohnya, PAS memegang jawatan Ketua Eksekutif negeri iaitu Menteri Besar manakala di Selangor tiga orang pemimpin kanan PAS memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

Oleh itu pendekatan PAS di negeri-negeri ini perlulah melalui transformasi, bukan lagi sebagai pembangkang seperti dahulu tetapi kini sebagai kerajaan dan pemerintah. Usaha dan tindakan PAS selama menjadi pembangkang sebelum ini kini perlu diterjemahkan kepada perlaksanaan dan gerakerja.

Kerana itu diperingkat ini, dengan kemenangan yang diberikan Allah SWT, PAS perlu mengembelingkan tenaga dalamannya untuk memperteguhkan kedudukan disamping memantapkan lagi kerajaan Pakatan Rakyat ini.

Usaha-usaha menambahkan keahlian dan cawangan-cawangan perlu menjadi keutamaan dan dipertingkatkan berlipat kali ganda lagi agar parti menjadi semakin mantap dan menyeluruh pengaruhnya dan terus boleh menyumbangkan ke arah penguasaan yang lebih besar selepas ini.

Selain itu PAS perlu menyumbang secara efektif di dalam negeri-negeri yang diwakilinya agar mesej perjuangan PAS tidak luput atau dikompromi dengan kemenangan sementara yang dikurniakan Allah SWT ini.

PAS bukan "sleeping partner" tetapi PAS adalah rakan kongsi yang aktif dan berperanan. Wakil-wakil PAS di dalam kerajaan dari Menteri-menteri Besar ke ahli-ahli Exco, ADUN-ADUN, ahli-ahli majlis PBT, ketua-ketua kampung dan JKKK jangan lupa akan tanggungjawab dakwah mereka dan syarat serta batasan ikatan tahaluf siyasi yang ditarbiyahkan oleh jamaah.

Prinsip perjuangan yang dipertahankan dengan darah dan air mata oleh para pejuang PAS sejak awal penubuhannya, terus-menerus sehingga kini, wajarlah terus menjadi matlamat perjuangan kita dan sentiasa dipertahankan. Di sinilah semua pihak dituntut agar bijaksana dan berhemah dalam memimpin dan memegang amanah agar kerajaan ini dapat terus kekal dan dalam waktu yang sama matlamat perjuangan parti sentiasa terpelihara.

Dari situlah nanti kita akan dapat menambat hati dan minat rakyat khasnya masyarakat Melayu Islam dan yang bukan Islam agar memandang tinggi dan menghormati kita sehingga terdorong untuk menyokong kita di masa-masa yang akan datang.

PAS ditubuhkan sebagai sebuah parti Islam dengan dasar dan matlamat yang jelas dan ia akan terus kekal demikian jika pemimpin dan ahli-ahlinya istiqomah dalam perjuangannya.

Kini PAS dikurniakan Allah SWT peningkatan dengan kejayaan di negeri-negeri yang dimaksudkan, disamping harapan positif di negeri-negeri lain termasuklah Terengganu, Pahang, Perlis, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Lantas melalui Pakatan Rakyat, PAS perlu bebas terus memacu mesejnya, dengan menyumbang secara positif ke arah pentadbiran yang telus, bersih dan bertaqwa di negeri-negeri baru ini, semoga nanti yang telah ada terus dikuasai manakala yang baru pula jatuh satu-persatu ke dalam genggamannya.

Dipetik dari ISU KHAS HARAKAH (18 Jun 2008)

Pakatan Rakyat: Seratus Hari PECAH HALANGAN Minda


By MAULANA PURNAMA

PENCAPAIAN paling besar diperoleh oleh kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) di lima negeri ialah kejayaannya memecah tembok halangan psikologi rakyat mengenai pemerintahan. Selama seratus hari mentadbir, rakyat dapat lihat betapa sesebuah kerajaan tidak semestinya datang dari Barisan Nasional (BN).

Budaya yang dibawa oleh Pakatan adalah bertentangan dengan amalan BN selama ini. Pakatan berbeza dan kelainan inilah yang dikehendaki oleh rakyat ketika mengundi mereka dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Pertamanya, kesederhanaan. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menampilkan sikap kesederhanaan kerajaan Pakatan dalam menentukan perbelanjaan kerajaan, termasuk dalam soal kediaman rasmi kerajaan dan penggunaan kelas ekonomi dalam penerbangan. Ini juga dapat disaksikan dalam amalan kerajaan Pakatan di Perak pimpinan Menteri Besar Nizar Jamaluddin.

Semangat kesederhanaan ini merupakan lanjutan kepada apa yang diamalkan oleh kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kesederhanaannya dalam memimpin Kota Bharu sejak tahun 1990 menjadi asas kepada kerajaan Pakatan tahun ini. Selangor pun sebagai negeri paling maju juga menampilkan sikap kesederhanaan ini dalam antara lainnya terhadap dasar mereka terhadap kampong Exco di Shah Alam.

Perlu diingat bahawa aliran politik di negara ini sejak sebelum merdeka lagi terbahagi kepada dua sudut pandangan. Satu, yang menyokong kesederhanaan, sementara yang satu lagi ialah ketakburan dalam bentuk bermewah-mewahan. Ini juga tercermin melalui kelas dalam masyarakat.

Golongan atas adalah dari kalangan feudal, bangsawan dan elit sementara golongan bawahan adalah orang biasa, sama ada di peringkat menengah ataupun susah. Maka sejak sebelum merdeka, golongan bawah ini diwakili oleh parti-parti kiri.

Di kalangan orang Melayu, ia diwakili oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Kedua, mereka bersama parti-parti Melayu kiri yang lain menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (Putera). Bersama parti-parti kiri bukan Melayu yang menubuhkan Majlis Bersama Bertindak Seluruh Malaya (AMCJA), mereka menubuhkan PUTERA-AMCJA dan menggagaskan Perlembagaan Rakyat. Mereka ini adalah golongan sederhana.

Berbanding pula dengan Perikatan UMNO-MCA-MIC yang mewakili golongan bermewah-mewahan. Perikatan mendapat sokongan orang biasa dan kebanyakan di atas sikap pragmatisme bagi menuntut kemerdekaan dan pembangunan. Mereka mendokong gagasan Persekutuan Tanah Melayu yang lebih bersifat menyebelahi penjajah dan golongan berada.

Walaupun orang kebanyakan menyiokong Perikatan dan parti ini juga mempunyai banyak dasar membantu orang susah tetapi set minda adalah kepada sifat bermewah-mewahan. Pada awal kemerderdekaan tentu perkara ini tidak kelihatan.
Adalah sukar untuk parti pembangkang menang pilihan raya kerana kekurangan kemampuan sumber. Parti-parti pembangkang mewakili golongan sederhana seperti PAS dan Parti Rakyat sukar mencabar Perikatan yang mempunyai kekuatan jentera dilicinkan oleh wang MCA.

Namun begitu, parti-parti golongan sederhana yang bergabung dalam Front Sosialis dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang beberapa kawasan Majlis Perbandaran yang dipertandingkan di Melaka, Ipoh dan Pulau Pinang. Bagaimanapun kerajaan Perikatan mengambil keputusan memansuhkan Pilihan Raya Majlis Tempatan dan sekaligus menafikan peluang pembangkang untuk menguasai kawasan-kawasan itu.

Maka kemenangan 8 Mac lalu merupakan penerobosan penting dalam politik negara ini di mana buat pertama kali parti-parti golongan sederhana menguasai lima negeri mengfatasi BN yang sejak zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi angkuh sebagai parti yang bersikap bermewah-mewah. Justeru, 100 hari yang berlalu menampilkan semangat sederhana yang amat segar dan menaikkan semangat bagi rakyat ini untuk menjalani kehidupan secara beretika dan bernilai murni.

Perkara kedua selepas kesederhanaan ialah sifat kerakyatan. Maksud dengan sifat kerakyatan ialah apa saja dasar yang digubal adalah berorientasikan kepada kebajikan rakyat di mana wang cukai dilihat sebagai sumbangan dariopada penduduk untuk digunakan bagi kepentingan mereka. Maknanya sesebuah kerajaan berorientasikan rakyat tidak mengaitkan dasar-dasar kerakyatkan kepada golongan tertentu. Tetapi adalah kepada pembayar cukai.

Dalam hal ini apa yang terserlah ialah di Selangor. Aduan-aduan rakyat diambil kira dengan wakil rakyat, baik ahli dewan undangan negeri mahupun ahli parlimen tampil menyelesaikan masalah rakyat kerana mereka menganggap diri mereka sebagai berkhidmat untuk rakyat.

Rakyat mengharapkan masalah mereka diselesaikan oleh wakil rakyat PR tetapi harapan ini kurang timbul di bawah BN. Ada suasana seolah-olah wakil rakyat BN sudah sebegitu dan tidak perlu mengharapkan apa-apa. Terhadap wakil rakyat PR, mereka mengharapkan terdapat perubahan dan perkhidmatan yang berkesan.

Sejarah aliran kiri dalam politik negara adalah berorientasikan rakyat. Perlembagaan Rakyat telah digagaskan oleh Putera-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin Al-Hilmy. Setelah merdeka, Parti Rakyat ditubuhkan tetapi Dr Burhanuddin memilih PAS untuk dipimpinnya. Apabila BN ditubuhkan pada tahun 1974, parti-parti yang menentangnya iaitu DAP dan Parti Rakyat bekerjasama dengan sebutan oleh penganalisis sebagai Barisan Rakyat.

Nama Barisan Rakyat timbul lagi selepas pilihan raya 8 Mac lalu bagi menamakan kerjasama DAP, PKR dan PAS. Tetapi akhirnya pemimpinnya memilih nama Pakatan rakyat. Namun begitu, rakyat merupakan orientasinya dan itulah yang dituntut di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

Ciri ketiga kepada kerajaan Pakatan iaitu setelah kesederhanaan dan kerakyatan ialah perpaduan antara kaum. Seratus hari pemerintahan Pakatan menunjukkan betapa satu hubungan yang lebih bermakna dapat diwujudkan di kalangan partiparti politik pelbagai kaum, setaraf dan lebih ikhlas berbanding dalam BN.

Kalau BN memperlihatkan dominasi Umno, perkara yang sama tidak berlaku dalam Pakatan. Tidak ada parti yang mendominasi. Contoh klasik ialah di Perak. Menteri Besarnya ialah dari PAS sementara Exconya kebanyakannya dari DAP. Sedangkan di peringkat keseluruhan Pakatan, ketuanya datang dari PKR.

Dua isu penting timbul sepanjang 100 hari lalu. Pertama isu penternakan babi di Selangor dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang. Ia merupakan isu-isu yang amat dialu-alukan oleh BN bagi memburuk-burukkan PR. Namun begitu, kenyataan-kenyataan PAS khusunya Nik Abdul Aziz mengenai kebebasan orang bukan Islam menternak babi dan Abdul Hadi Awang bahawa DEB yang ditolak adalah sifat-sifatnya yang mengandungi rasuah.

Maknanya, kehadiran PR sebagai kerajaan-kerajaan negeri telah menampilkan kaedah hubungan politik antara kaum yang terbuka dan dapat diterima. Kalau dalam BN, kesemuanya dipendamkan melalui mesyauarat dalaman yang akhirnya tidak mendatangkan rasa puas hati kepada mana-mana pihak, khususnya bukan Melayu kerana sifat dominan Umno.

Kedudukan DAP, PKR dan PAS yang saling bergantung antara satu sama lain menjadikan hubungan antara kaum di peringkat politik lebih memprihatinkan. Maknanya, ketiga-tiga parti PKR, DAP dan PAS muncul sebagai parti berbilang kaum dan tidak menjaga kepentingan kaum-kaum mereka saja.

Justeru 100 hari PR memerintah, ia telah memecah tembok psikologi politik di negara ini dengan muncul sebagai kerajaan alternatif yang mengutamakan kesederhanaan, kerakyatan dan perpaduan. Sememangnya PR masih menghadapi banyak cabaran tetapi sehingga ini mereka berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk menjadi kerajaan-kerajaan negeri yang berkesan dan berjaya.

Dipetik dari ISU KHAS HARAKAH (18 Jun 2008)

Rakyat Mula Menilai Tentang Delivery System Kerajaan Pakatan Rakyat!

Salahuddin Ayub sewaktu diintrebiu oleh Pengarang Harakah Khas, Tarmizi Mohd Jam di Pejabat Harakah Selasa lalu

Muqqadimah: Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub melihat perubahan yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat telah membina persepsi positif, baru dan efisyen di kalangan rakyat berbanding apa yang ditonjolkan oleh kerajaan BN sebelum ini. Pengarang Isu Khas Harakah, Tarmizi Mohd Jam bersama dua pemberita pelatih, NUHA RAHIM dan ZIERA RAHMAN menjolok minda Ahli Parlimen Kubang Krian ini dalam sorotan 100 hari kejayaan Pakatan Rakyat mentadbir Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Interbiu ini telah disiar dalam ISU KHAS HARAKAH terbitan 18 Jun 2008.

Bagi kerajaan baru Pakatan Rakyat, 100 hari pertama pentadbirannya dilihat penting. Bukan kayu ukur, tetapi semua pihak melihatnya sebagai titik permulaan arah tuju dan gaya pemerintahan…

Secara objektifnya, tempoh masa 100 hari sebenarnya bukanlah satu kayu pengukur yang tepat untuk kita membuat suatu penilaian awal. Yang dinyatakan performance mana-mana kerajaan ataupun dasar-dasar kerajaan. Sebagai contoh kalau kita lihat dasar ekonomi baru RMK9. Mereka mengemukakan apa yang dikatakan pendekatan mid term review; kajian separuh penggal setidak-tidaknya 6 bulan pertama itu dinilai dari segi prestasi, performance dan yang penting sekali ialah delivery system yang sama ada berjaya ataupun tidak dilaksanakan.
Kita telah mencuba yang terbaik dalam tempoh seratus hari ini bila berusaha yakinkan rakyat dan membentuk persepsi mereka. Ubah persepsi kepada satu bentuk keyakinan yang lebih kekal sifatnya supaya dengan keyakinan itu akan memungkinkan terbinanya suatu mindset rakyat dalam tempoh masa panjang untuk mereka secara total percaya kepada Pakatan Rakyat untuk mengurus tadbir, bukan sekadar diperingkat negeri-negeri tetapi juga ke peringkat kerajaan pusat sepertimana yang kita cita-citakan bersama.

Dari pemerhatian Sdra, apakah ada anjakan baru yang ditandai secara jelas untuk rakyat…

Di negeri-negeri Pakatan Rakyat pada hemat saya, kita telah cuba yang terbaik untuk membuktikan kepada rakyat. Pertama tentang good governance. Meliputi bagaimana tindakan kerajaan di dalam mengotakan janjinya.
Kedua, soal ketelusan pentadbiran negeri-negeri kerajaan Pakatan Rakyat dalam membelanjakan kewangan negeri. Pendekatan-pendekatan berjimat cermat yang bermula dengan pendekatan top bottom. Daripada atas dulu, baru ke bawah. Bukannya kita berkhutbah untuk diperingkat rakyat berjimat-cermat. Itu daripada bawah ke atas. Tapi ini daripada atas ke bawah untuk kita menunjuk dan membuktikan bahawa pimpinan Pakatan Rakyat ini boleh menjadi contoh tauladan yang baik.
Kita cukup bangga pada tahap ini, apabila contoh yang telah dibuat oleh Tok Guru Nik Aziz dalam tahun 1990 pada awal Kelantan menang dulu. Beliau telah memotong separuh daripada elaun beliau dan diserahkan kembali kepada kerajaan. Beliau tidak mengambil elaun keraian. Tinggal di rumah sendiri. Beliau amalkan cara hidup biasa. Tidak menunjukan perbezaan sebelum dan selepas beliau menjadi Menteri Besar.
20 tahun perkara itu berlalu. Pada 2008 dengan takdir Allah kita mendapat Kedah, Penang, Perak dan Selangor. Kita melihat apa yang tok guru buat, dicontohi oleh menteri-menteri besar dan juga ketua menteri dalam pakatan rakyat.
Saya rasa kita telah bermula dengan baik dan menyakinkan dalam tempoh seratus hari ini. Walaupun saya mengakui masih lagi terdapat beberapa kelemahan, itu masih lagi boleh diperbaiki dan saya rasa tempoh tiga bulan itu telah banyak mengajar kita dan satu kajian suku penggal; kalau saya boleh untuk menyebut tentang terma itu, boleh dilaksanakan dalam bentuk muhasabah supaya kita dapat berjalan untuk tiga bulan ke hadapan ini.
Mungkin dalam tempoh 6 bulan akan datang lagi, kita boleh mengadakan satu mid term review, kajian separuh penggal, yang kita rasa kita boleh melaksanakan apa yang telah dijanjikan dalam manifesto kita. Apa yang penting bagi saya selepas seratus ini adalah, rakyat mula melihat dan menilai tentang delivery system kita; adakah segala janji itu telah dapat kita kotakan?

Persepakatan PAS-DAP tidak wujud sebelum ini. Selepas PRU-12, mahu tidak mahu undi rakyat menyatukan mereka. Rakyat telah mengangkat kerjasama kedua parti.

Kalau dulu DAP keluar meninggalkan kita dalam Barisan Alternatif sebelum piliranraya 2004 lagi. PAS hanya ada hubungan tidak rasmi sahaja dengan DAP. Kita mengikat terus wujudkan hubungan setiakawan dengan PKR. Tetapi seperti apa yang telah saudara katakan tadi, selepas PRU-12, rakyat telah memberikan suatu keputusan dan membentuk landskap baru politik Malaysia.
Masing-masing tidak boleh membentuk kerajaan bersendirian. dan ini yang saya sifatkan sebagai satu yang amat dinamik dalam politik kita. Pertama sekali, ia menguji kebijaksanaan, ketajaman pemikiran politik kepimpinan PAS itu sendiri dalam kita menghadapi senario ini. PAS tidak boleh lari daripada hakikat ini. Apa yang perlu adalah memperkasakan engagement.

Maksudnya jalan kerjasama makin terbentang, perbezaan kian menguncup?

Alhamdulillah selepas 100 hari yang pertama, walau apapun tanggapan sebelum ini, PAS dengan DAP tidak mungkin boleh bersatu. Tidak boleh bekerjasama. Banyak serangan tentang isu Negara Islam. Hakikatnya selepas 100 hari, disemua negeri ini kita membentuk kerajaan. Lebih dinamik lagi di Perak. PAS paling minoriti tetapi apapun faktor -- istana, perlembagaan negeri, PAS diberikan kepercayaan untuk menerajui negeri. Menteri Besar dari PAS. Ini yang saya katakan dinamiknya fenomena yang berlaku itu. Di Selangor kita menjadi rakan kongsi utama di dalam Pakatan Rakyat.
Ia hasil daripada kebijaksanaan dan ketajaman pemikiran politik pemimpan PAS yang telah membentuk dan sudah tentu dengan kerjasama dan permuafakatan dengan PKR dengan DAP itu sendiri.
Kedua, rakyat telah memberikan undi dan mandatnya sedemikian rupa.Dalam istilah Inggerisnya dikatakan the people has spoken. Oleh itu, pada saya pemikiran PAS, PKR dan DAP yang all the while ini, selama ini kita adalah pembangkang. Tetapi, apa yang menariknya selepas PRU-12, kita boleh membina kerajaan, kerajaan tidak runtuh. Bila kita melihat satu paradigm shift, satu anjakan paradigma di mana pimpinan-pimpinan daripada PAS, PKR dan DAP, tidak lagi boleh selama-lamanya memiliki minda bangkangan semata-mata.
Sebab itulah kita melihat PAS, Lim Kit Siang dan Anwar Ibrahim serta pimpinan lain bersatu. Kita telah mula membentuk apa yang dikatakan satu mind set di mana kita adalah government in the waiting, kerajaan menanti.

Tidak perlu lagi membangkang?

Pada saya sikap bangkangan yang duduk dalam paradigma sebelum ini, mesti dianjakkan kerana kita telah ada lima negeri dan disinilah kita mula melihat perubahan-perubahan yang agak drastik dilakukan.
Kita lihat Lim Guan Eng berfikir. Cara Tan Sri Khalid Ibrahim berfikir dan cara Ustaz Azizan, Ir Mohd Nizar sebagai MB yang baru dan juga sudah tentu Tok Guru Nik Aziz yang sudah tidak punya masalah untuk absorb segala benda-benda baru ini.
Bukan kecil lagi. Kita telah membuktikan kepada rakyat bahawa apapun masalah sebelum daripada ini, yang orang mengatakan mungkin mustahil PAS boleh duduk bersama dengan DAP ini, tapi hakikatnya kita duduk sekarang.
Saya tidak nafikan masih wujud lagi masalah sampingan di sepanjang perjalanan kita ini. Tapi ianya masih boleh diselasaikan. Kerajaan ini masih tetap lagi di atas orbitnya, Dalam orbitnya untuk meneruskan urus tadbir ini. Itulah dinamika dalam era ini yang saya melihat begitu menarik.

Barangkali segala yang berlaku, sebagai persediaan awal menghadapi cross over seperti yang war-warkan…

Ini telah diwar-warkan oleh pimpinan kita sendiri dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kemungkinan berlakunya cross over itu cukup kuat. Mungkin berlakunya vote of no confidence, undi tidak percaya. Oleh itu, hari ini kita melihat juga peranan ahli-ahli parlimen maju satu tahap lagi, setelah selesai kita membina kerajaan di 5 negeri ini.
Sebagai ahli parlimen, kami kekal dengan sifat convensional kami iaitu terus memberikan kritikan dan teguran. Dalam masa yang sama, kami mestilah memiliki minda memerintah iaitu menunjukkan bahawa kita benar-benar layak untuk mengambil alih kerajaan ini sekiranya berlaku perubahan yang drastik
Maknanya peranan ahli parlimen mesti meyakinkan dalam berhujah, memberi kritikan, pandangan, teguran dan mampu mengutarakan gagasan pemikiran, mengutarakan visi dan misi rakyat dalam memberikan idea-idea baru yang bernas, membina. dan cadangan-cadangan yang konkrit ke arah membentuk sebuah kerajaan di peringkat pusat.
Jadi, di situ saya melihat tiga tahap dimensi yang begitu dinamik yang kita telah cuba yang terbaik dalam masa 100 hari ini.

Sesuatu yang menarik ucapan MB Perak yang meraikan teguran dari media, bloggers terhadap kerajaan Pakatan. Di Selangor, PKR sendiri buat laporan BPR terhadap Pejabat MB. Ini sesuatu yang unik. Tiada dalam BN. Apakah ini yang dikatakan semak dan imbang?

Itulah yang rakyat tunggu sejak merdeka. Sebuah kerajaan yang boleh akses dengan rakyat. Melihat ketulusan itu, dan ia bersifat reciprocal, timbal balik. Interaksi itu dua hala. Jadi rakyat boleh melihat dengan telus. Sebenarnya, kita telah berjaya mengaplikasi dan menterjemahkan apa yang dikatakan walk the talk yang bermakna cakap biar serupa bikin.
Alhamdulillah, kita lihat dengan keterbukaan pemimpim kerajaan dalam Pakatan Rakyat ini akan menjadikan kita begitu berbeza ataupun pada tahap pertama kita dapat membezakan diri kita (seperti yang saya sebut tadi) dengan kepimpinan Umno sebelum daripada ini.
Oleh itu saya juga mengharap dengan keterbukaan ini dan keiklasan kita untuk ditegur media dan blogger, atau sesiapa sahaja, boleh akses kepada kepimpinan Pakatan Rakyat dengan begitu mudah dan mesra.
Ini memang sebahagian daripada apa yang menjadi tanggungjawab kita untuk dilihat bersih, amanah di lihat amanah, telus di lihat telus. Tidak rasuah, di lihat memang tidak terlibat dalam rasuah.

Ada perubahan dilakukan tetapi perlahan. Tidak sekata. Hanya Selangor dan Pulau Pinang dilihat lebih cepat mengaplikasikan perubahan untuk rakyat.

Ini merupakan satu era. Satu tahap di mana kita boleh namakan era trasition period; era transisi yang memang akan berlaku dalam mana-mana pembentukan kerajaan baru. Pemimpin sudah tentu ada pengikutnya sendiri. dan kita ada 3 parti besar yang sudah tentu kita akan cuba menyelaraskan apa jua pandangan dan perbezaan yang berlaku sama ada di peringkat pimpinan hinggalah ke peringkat akar umbi.
Memang akan berlaku rasa tidak puas hati. Mungkin dalam pengagihan jawatan politik sebagai contoh. Ini semua kita faham. Tidak puas hati dalam pengagihan peruntukan, perlantikan dalam GLC di peringkat negeri dan mungkin ini juga kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak.
Apapun bagi saya ialah iltizam kerajaan itu untuk melaksanakan semua perkara secara telus. Biar rakyat melihat ketelusan itu. Tidak ada hankey pankey. Tiada kerenah birokrasi yang menyukarkan interaksi kerajaan dengan rakyat. Ini semua mesti kita selesaikan secepat mungkin.

Tian Chua Gempur PPR Batu Muda Ampat Tin 21 Jun


Ceramah Perdana Ustaz Subri Arshad di Petaling Jaya Selatan

By MANAN GHANI

PENENTANG Perdana Menteri dalam pilihan raya umum lalu di kerusi Parlimen Kepala Batas, Al-Fadhil Ustaz Mohd Subri Arshad akan memberikan Ceramah Perdananya di Surau Hujriyah Taman Dato Harun, Jalan Klang Lama pada 21 Jun ini, Sabtu selepas solat Maghrib.

Demikian dimaklumkan oleh Setiausaha Lajnah Agama Surah Hujriyah, Zamzuri Mohd Jam dalam kenyataan pendeknya kepada Sanggahtoksago.Com.

Orang ramai sekitar Petaling Jaya Selatan dijemput datang memenuhi surau berkenaan. Program ini adalah sebahagian dari langkah mengimarahkan surau disamping memartabatkan ilmu kepada kariah setempat.

Ustaz Subri adalah penmdakwah bebas yang sering diuundang menjadi panelis Rancangan Forum Perdana Ehwal Islam terbitan RTM bersama tokoh-tokoh agama seperti Dato' Dr. Harun Din, Dato' Ismail Kamus, Dato' Dr. Hassan Mohd Ali dan Dato' Dr. Marshitah Ibrahim.

Isnin, Jun 16, 2008

Ustaz SHARIL LONG di Taman Desa Bakti, 21 Jun

By MANAN GHANI

PENDAKWAH bebas bersuara lantang, Ustaz Sharir Long dari Kedah akan menyampaikan ceramah perdananya di Madrasah Al-Ikhwan, Taman Desa Bakti, Selayang pada 21 Jun 2008 bersamaan hari Sabtu, selepas solat Maghrib.

Ustaz Sharir akan mengupas tajuk "Islam dan Iman Hendaklah Dibuktikan Dengan Amalan".

Orang ramai, muslimin dan muslimat dijemput hadir beramai-ramai ke program anjuran Jawatankuasa Pengajian madrasah ini bagi meningkatkan ilmu dan mengimarahkan tempat ibadah disamping mengeratkan ukhwah Islamiyah setempat.