KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Jun 19, 2008

Pakatan Rakyat: Seratus Hari PECAH HALANGAN Minda


By MAULANA PURNAMA

PENCAPAIAN paling besar diperoleh oleh kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) di lima negeri ialah kejayaannya memecah tembok halangan psikologi rakyat mengenai pemerintahan. Selama seratus hari mentadbir, rakyat dapat lihat betapa sesebuah kerajaan tidak semestinya datang dari Barisan Nasional (BN).

Budaya yang dibawa oleh Pakatan adalah bertentangan dengan amalan BN selama ini. Pakatan berbeza dan kelainan inilah yang dikehendaki oleh rakyat ketika mengundi mereka dalam pilihan raya 8 Mac lalu.

Pertamanya, kesederhanaan. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menampilkan sikap kesederhanaan kerajaan Pakatan dalam menentukan perbelanjaan kerajaan, termasuk dalam soal kediaman rasmi kerajaan dan penggunaan kelas ekonomi dalam penerbangan. Ini juga dapat disaksikan dalam amalan kerajaan Pakatan di Perak pimpinan Menteri Besar Nizar Jamaluddin.

Semangat kesederhanaan ini merupakan lanjutan kepada apa yang diamalkan oleh kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kesederhanaannya dalam memimpin Kota Bharu sejak tahun 1990 menjadi asas kepada kerajaan Pakatan tahun ini. Selangor pun sebagai negeri paling maju juga menampilkan sikap kesederhanaan ini dalam antara lainnya terhadap dasar mereka terhadap kampong Exco di Shah Alam.

Perlu diingat bahawa aliran politik di negara ini sejak sebelum merdeka lagi terbahagi kepada dua sudut pandangan. Satu, yang menyokong kesederhanaan, sementara yang satu lagi ialah ketakburan dalam bentuk bermewah-mewahan. Ini juga tercermin melalui kelas dalam masyarakat.

Golongan atas adalah dari kalangan feudal, bangsawan dan elit sementara golongan bawahan adalah orang biasa, sama ada di peringkat menengah ataupun susah. Maka sejak sebelum merdeka, golongan bawah ini diwakili oleh parti-parti kiri.

Di kalangan orang Melayu, ia diwakili oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol. Kedua, mereka bersama parti-parti Melayu kiri yang lain menubuhkan Pusat Tenaga Rakyat (Putera). Bersama parti-parti kiri bukan Melayu yang menubuhkan Majlis Bersama Bertindak Seluruh Malaya (AMCJA), mereka menubuhkan PUTERA-AMCJA dan menggagaskan Perlembagaan Rakyat. Mereka ini adalah golongan sederhana.

Berbanding pula dengan Perikatan UMNO-MCA-MIC yang mewakili golongan bermewah-mewahan. Perikatan mendapat sokongan orang biasa dan kebanyakan di atas sikap pragmatisme bagi menuntut kemerdekaan dan pembangunan. Mereka mendokong gagasan Persekutuan Tanah Melayu yang lebih bersifat menyebelahi penjajah dan golongan berada.

Walaupun orang kebanyakan menyiokong Perikatan dan parti ini juga mempunyai banyak dasar membantu orang susah tetapi set minda adalah kepada sifat bermewah-mewahan. Pada awal kemerderdekaan tentu perkara ini tidak kelihatan.
Adalah sukar untuk parti pembangkang menang pilihan raya kerana kekurangan kemampuan sumber. Parti-parti pembangkang mewakili golongan sederhana seperti PAS dan Parti Rakyat sukar mencabar Perikatan yang mempunyai kekuatan jentera dilicinkan oleh wang MCA.

Namun begitu, parti-parti golongan sederhana yang bergabung dalam Front Sosialis dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang beberapa kawasan Majlis Perbandaran yang dipertandingkan di Melaka, Ipoh dan Pulau Pinang. Bagaimanapun kerajaan Perikatan mengambil keputusan memansuhkan Pilihan Raya Majlis Tempatan dan sekaligus menafikan peluang pembangkang untuk menguasai kawasan-kawasan itu.

Maka kemenangan 8 Mac lalu merupakan penerobosan penting dalam politik negara ini di mana buat pertama kali parti-parti golongan sederhana menguasai lima negeri mengfatasi BN yang sejak zaman Dr Mahathir Mohamad menjadi angkuh sebagai parti yang bersikap bermewah-mewah. Justeru, 100 hari yang berlalu menampilkan semangat sederhana yang amat segar dan menaikkan semangat bagi rakyat ini untuk menjalani kehidupan secara beretika dan bernilai murni.

Perkara kedua selepas kesederhanaan ialah sifat kerakyatan. Maksud dengan sifat kerakyatan ialah apa saja dasar yang digubal adalah berorientasikan kepada kebajikan rakyat di mana wang cukai dilihat sebagai sumbangan dariopada penduduk untuk digunakan bagi kepentingan mereka. Maknanya sesebuah kerajaan berorientasikan rakyat tidak mengaitkan dasar-dasar kerakyatkan kepada golongan tertentu. Tetapi adalah kepada pembayar cukai.

Dalam hal ini apa yang terserlah ialah di Selangor. Aduan-aduan rakyat diambil kira dengan wakil rakyat, baik ahli dewan undangan negeri mahupun ahli parlimen tampil menyelesaikan masalah rakyat kerana mereka menganggap diri mereka sebagai berkhidmat untuk rakyat.

Rakyat mengharapkan masalah mereka diselesaikan oleh wakil rakyat PR tetapi harapan ini kurang timbul di bawah BN. Ada suasana seolah-olah wakil rakyat BN sudah sebegitu dan tidak perlu mengharapkan apa-apa. Terhadap wakil rakyat PR, mereka mengharapkan terdapat perubahan dan perkhidmatan yang berkesan.

Sejarah aliran kiri dalam politik negara adalah berorientasikan rakyat. Perlembagaan Rakyat telah digagaskan oleh Putera-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin Al-Hilmy. Setelah merdeka, Parti Rakyat ditubuhkan tetapi Dr Burhanuddin memilih PAS untuk dipimpinnya. Apabila BN ditubuhkan pada tahun 1974, parti-parti yang menentangnya iaitu DAP dan Parti Rakyat bekerjasama dengan sebutan oleh penganalisis sebagai Barisan Rakyat.

Nama Barisan Rakyat timbul lagi selepas pilihan raya 8 Mac lalu bagi menamakan kerjasama DAP, PKR dan PAS. Tetapi akhirnya pemimpinnya memilih nama Pakatan rakyat. Namun begitu, rakyat merupakan orientasinya dan itulah yang dituntut di negeri-negeri di bawah pentadbirannya.

Ciri ketiga kepada kerajaan Pakatan iaitu setelah kesederhanaan dan kerakyatan ialah perpaduan antara kaum. Seratus hari pemerintahan Pakatan menunjukkan betapa satu hubungan yang lebih bermakna dapat diwujudkan di kalangan partiparti politik pelbagai kaum, setaraf dan lebih ikhlas berbanding dalam BN.

Kalau BN memperlihatkan dominasi Umno, perkara yang sama tidak berlaku dalam Pakatan. Tidak ada parti yang mendominasi. Contoh klasik ialah di Perak. Menteri Besarnya ialah dari PAS sementara Exconya kebanyakannya dari DAP. Sedangkan di peringkat keseluruhan Pakatan, ketuanya datang dari PKR.

Dua isu penting timbul sepanjang 100 hari lalu. Pertama isu penternakan babi di Selangor dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) di Pulau Pinang. Ia merupakan isu-isu yang amat dialu-alukan oleh BN bagi memburuk-burukkan PR. Namun begitu, kenyataan-kenyataan PAS khusunya Nik Abdul Aziz mengenai kebebasan orang bukan Islam menternak babi dan Abdul Hadi Awang bahawa DEB yang ditolak adalah sifat-sifatnya yang mengandungi rasuah.

Maknanya, kehadiran PR sebagai kerajaan-kerajaan negeri telah menampilkan kaedah hubungan politik antara kaum yang terbuka dan dapat diterima. Kalau dalam BN, kesemuanya dipendamkan melalui mesyauarat dalaman yang akhirnya tidak mendatangkan rasa puas hati kepada mana-mana pihak, khususnya bukan Melayu kerana sifat dominan Umno.

Kedudukan DAP, PKR dan PAS yang saling bergantung antara satu sama lain menjadikan hubungan antara kaum di peringkat politik lebih memprihatinkan. Maknanya, ketiga-tiga parti PKR, DAP dan PAS muncul sebagai parti berbilang kaum dan tidak menjaga kepentingan kaum-kaum mereka saja.

Justeru 100 hari PR memerintah, ia telah memecah tembok psikologi politik di negara ini dengan muncul sebagai kerajaan alternatif yang mengutamakan kesederhanaan, kerakyatan dan perpaduan. Sememangnya PR masih menghadapi banyak cabaran tetapi sehingga ini mereka berjaya membuktikan kemampuan mereka untuk menjadi kerajaan-kerajaan negeri yang berkesan dan berjaya.

Dipetik dari ISU KHAS HARAKAH (18 Jun 2008)

Tiada ulasan: