By TARMIZI MOHD JAM
PAKATAN Rakyat perlu memikirkan jalan yang lain untuk menyatakan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Begitulah pendapat Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas pelbagai masalah prosedur yang dibangkitkan oleh para penyokong Barisan Nasional. Aziz berkata Perlembagaan sendiri tidak menyebut dengan jelas di dalam Perkara 43(4).
“Apa yang peruntukan tersebut mahu ialah sekiranya Perdana Menteri kehilangan sokongan majoriti di dalam dewan maka beliau mesti meletakkan jawatan bersama dengan seluruh anggota kabinetnya,” jelas beliau.
Menurut beliau, kebiasaannya, sebagaimana yang telah berlaku sebanyak tiga kali di Malaysia setakat ini – 1966, 1976 dan 1977 – penarikan sokongan itu dibuat dengan mengusulkan undi tidak percaya.
Bagaimanapun, kata Aziz lagi, oleh kerana kerajaan yang ada dikenali dengan sebuah kerajaan yang tidak komited dengan kedaulatan undang-undang maka Pakatan Rakyat perlu memintas mereka dengan mengisytiharkan penarikan sokongan itu di luar dewan.
Pakar perlembagaan itu berkata cara ini dibenarkan oleh undang-undang sebagaimana yang diputuskan oleh Majlis Privy di London pada 1963. Dalam kes Adegbenro lawan Akintola itu hakim-hakim di majlis tersebut menerima perisytiharan hilang kepercayaan yang dibuat di luar dewan.
“Sebaik-baiknya cara yang paling bermaruah ialah dengan mengusulkan undi tidak percaya. Bagaimanapun di dalam keadaan yang ada sekarang Pakatan perlu bijak kerana jika tidak mereka akan ditewaskan oleh prosedur dan formality yang memang telah menjadi taktik kerajaan yang ada dalam pelbagai isu,” tegas Aziz.
Profesor undang-undang itu berkata Pakatan boleh menyenaraikan nama sekurang-kurangnya 112 orang ahli parlimen yang bersama mereka dan menyembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong bersama dengan calon atau beberapa calon Perdana Menteri untuk diperkenankan sebagai ketua kerajaan persekutuan yang baru.
Aziz berkata sebuah kerajaan baru yang bebas dari pelbagai keraguan dan spekulasi perlu supaya negara dapat bergerak ke hadapan.
“Adalah malang kerana selepas lebih tiga bulan kita mengadakan pilihan raya, kita masih tertanya-tanya apakah kerajaan yang ada sekarang akan kekal atau sebaliknya,” katanya lagi.
Beliau berkata Barisan Nasional boleh juga membuat langkah yang sama. Apa pun, Aziz menambah, adalah lebih baik jika kesemua mereka yang memberikan sokongan itu tampil ke muka dan memberi pengakuan sokongan dan jaminan tidak akan belot.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan