Jumlah Paparan Halaman

Sabtu, Januari 08, 2011

Hebat! Adun DAP Sekincan, YB Ng Suee Lim spesis "Tionghua Jawa" fasih loghat Jawa, Minang, Banjar dan Tamil. Anda tentu terpukau...


Pelbagai pendekatan ditampilkan bagi menarik perhatian masyarakat mendengar penjelasan Pakatan Rakyat terhadap sesuatu isu. PAS Kawasan Batu antara yang kreatif cuba menterjemahnya.

Pada 4 Disember lalu, Ng Suee Lim diundang mengisi program "BBQ Iduladha Bersama Adun Sekincan" dengan tiket RM10 dijual. Keli bakar, ikan cencaru, ayam dan udang, cukup upaya menggamit kehadiran ramai penyokong Pakatan Rakyat. Tergiur air liur bila mencicah air asam dan sos BBQ dengan udang dan keli bakar.

Asap yang berombak, memeriahkan lagi suasana BBQ. YB Suee Lim tiba lewat sedikit dari Exco Dewan Muslimat PAS Pusat, Athirah Al-Jundi. Kedua-duanya tetamu yang berucap pada malam itu. Dengan program begini, bukan sahaja menautkan ikatan kasih antara AJK PAS Kawasan malah, menggamit ramai penyokon dan simpati Pakatan Rakyat untuk sama-sama memeriahkan majlis.

Ia diadakan di Dewan Masyarakat Taman Gombak. Menumpang premis milik Kerajaan Selangor. Kebetulan Parlimen Batu bersempadan dengan Parlimen Gombak. Dewan ini dalam Dun Gombak Setia yang diwakili PAS, Dato' Hassan Ali.

Tetamu mula menjamu selera jam 8.40 malam. Asap dari bara menerujakan hadirin dengan bauan harum ikan bakar. Mereka memuji langkah PAS Batu menganjurkan BBQ itu. Seronok sebab dapat bertemu kawan-kawan sambil bersantai.

Sebelum YB Suee Lim masuk ke dewan, bersama Aiman Athirah beliau diajak Yang Dipertua PAS, Ishak Surin turun ke dapur bertemu petugas yang sibuk membakar dan menghidang. Mereka melawat dan menyapa petugas sambil berseloroh. Tetamu lain yang undang termasuklah Pemangku Presiden PRM, Ariffin Salamon dan Naibnya, Swee Koh Yong; Penulis prolifik Subky Latif; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; adik allahyarham Dr Burhanuddin Al-Helmy, Dr Norbit Mohd Noor dan ramai lagi.

Ng yang berbangsa Tionghua boleh berceramah menggunakan dialek Jawa, Minang, Banjar dan sesekali Tamil dengan lancar membuatkan hadirin ketawa apabila beberapa isu diulas dalam dialek tersebut. Itulah kelebihan Adun DAP itu. Dan kerana itulah dia amat disenangi penduduk Sekincan. Seorang yang peramah, ambil berat dan berani.

Nada suaranya tinggi. Jika tak tahu siapa penceramah itu, didengar dari jauh, tanpa melihat wajah; tak siapa mengatakan dia seorang Cina. Laras bahasa Melayunya lancar, kemas dan mantap. Loghat Jawa, Minang, Banjar dan Tamilnya juga tidak kekok. Dia seorang penceramah dan bijak memainkan intonasi suara secara berkesan. 

0 ulasan: