KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Januari 25, 2011

Najib kini ibarat 'santa clause', Cikgu Mala harapan baru pengundi Tenang


Timbalan Pengarah I Jentera Pilihan Raya Kecil PAS Dun Tenang, Mazlan Aliman (gambar kanan) yakin generasi ke dua dan ketiga Felda telah membuka mata dengan kemampuan PAS membawa perubahan kepada masyarakat peneroka di kawasan ini. Apakah istimewanya calon PAS, Normala Sudirman yang mampu menggamit hati mereka untuk membuat perubahan? Ikuti pandangan beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Felda (Anak) dalam temubualnya bersama wartawan Harakah, NYZA AYOB.

Bagaimana pembelaan Pakatan Rakyat terhadap masyarakat di Dun Tenang?

MAZLAN ALIMAN: Di Dun Tenang, ada tiga Felda. Ketiga-tiga Felda ini mempunyai anak peneroka yang ramai di kalangan generasi ke dua dan ketiga.  Kerajaan yang memerintah mencaturkan anak-anak peneroka untuk kepentingan politik mereka. Sebagai contoh, sewaktu kunjungan Najib Tun Razak ke Labis pada 18 Januari lalu, beliau menjanjikan 500 lot tanah untuk generasi kedua. Inilah taktik yang sering digunakan kerajaan setiap kali pilihan raya sama ada umum mahupun pilihan raya kecil. 
Tapi apabila tiba masanya ia tidak dikotakan. Sebagai contoh sewaktu Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, mereka menjanjikan perumahan untuk  generasi kedua dan ketiga bagi Felda Gedangsa, Sungai Tengi dan Felda Suharto. Sekarang ini apabila dia datang ke PRK Tenang, dia menjanjikan perkara yang sama. PRK Hulu Selangor sudah pun berlalu lapan bulan. Tidak ada tanda-tanda janji tersebut akan dilaksanakan. Dan dia mengulangi perkara yang sama di Tenang. Kemudian Najib pukul canang RM6 bilion untuk pembangunan Felda seluruh negara. 
Jadi peneroka dan anak peneroka ini selalu terpedaya dengan janji-janji kosong ini. Inilah yang menyebabkan masyarakat Felda dibuai dengna janji-janji manis pemimpian BN. Dan kita minta pada kali ini konsisten peneroka dan anak-anak membuat perubahan dapat dipertahankan. Sebab saya nampak kecenderungan mereka untuk memberi undi kepada Pakatan Rakyat agak tinggi.

Ini bermakna generasi kedua dan ketiga Felda sudah memberi kepercayaan dan sokongan kepada Pakatan Rakyat sebab itu Najib sogok?

Ya. Ini kerana anak-anak generasi kedua dan ketiga ini berpelajaran dan berbeza 30 tahun dahulu. Bukan sahaja Felda di Tenang tapi Felda di sebelah Segamat dan Labis. Dan hari ini anak-anak mereka telah dapat melihat kepincangan yang berlaku serta melihat penyelewengan yang berlaku oleh kerajaan. Mereka juga sudah mempunyai pengetahuan ke arah perubahan. Apabila mereka mempunyai pengetahuan, kini mereka bersama dengan PAS. Melalui respons mereka terhadap survey yang kita jalankan, mereka kini bersikap terbuka terhadap PAS. Tidak keterlaluan kita katakan sokongan anak peneroka terhadap kita dibandingkan dua puluh tahun lalu amat berbeza. Anak-anak peneroka ingin melihat generasi kedua dan ketiga ini merasai pembangunan. 

Tidakkah mereka akan terjerat lagi dengan tipu daya pemimpin Umno ini?

Tapi inilah yang akan terjadi. Pemimpin-pemimpin menipu mereka. Ini adalah harapan kita pada kali ini. Amat sedih dengan keadaan yang berlaku kerana mereka seolah-olah dijadikan catur kepada kerajaan. Dan mereka juga dijadikan budak suruhan kepada ketua kampung, merekalah tukang hias kawasan Felda. Mereka digunakan dan tidak diberikan tempat yang sepatutnya walaupun Felda ini sudah berusia lebih daripada 50 tahun.
Bagaimana pun, kita gembira kerana mereka akhirnya ingin keluar daripada kepompong yang menjadikan mereka ini "pak sanggup" dan "mak angguk" serta beralih kepada kumpulan anak muda yang berjuang untuk perubahan. Ini satu fenomena yang menggembirakan dan apabila anak muda mula mempunyai kesedaran, ini menakutkan pimpinan BN. Apa yang kita tumpukan kali ini terutama kepada masyarakat Felda iaitu taraf sosio ekonomi di ketiga-tiga Felda di Tenang ini agak terkebelakang. 

Adakah saudara melihat pembangunan di Labis seiring dengan kepesatan negeri Johor?

Jika dilihat, Johor sebagai sebuah negeri yang maju. Tetapi kita perhatikan tahap pembanguanan dan kemajuan di Johor ini jika dibandingkan dengan Labis dan Segamat dan kawasan-kawasan lain seperti Johor Bharu dan Kulai, ia sangat berbeza. Kita tidak faham kenapa pembangunan itu tidak sama walhal kawasan Labis dan Segamat terletak di kawasan laluan utama pengguna jalan raya. Tetapi kenapa pembangunan tersebut tidak seimbang dan sangat perlahan? 
Calon kita, Cikgu Mala (Normala) sekiranya menang akan berkhidmat sebagai wakil rakyat  dan akan memberi tumpuan bagaimana tahap pembangunan yang tidak seimbang ini dapat dibawa masuk ke kawasan ini supaya  maju seiring dengan daerah-daerah lain  serta mempunyai jaringan yang serupa. Jika kita lihat pembangunan koridor yang dibawa masuk ke Johor, kita berharap ia seimbang dari Johor Bharu, di bawa ke Nusa Jaya, Gelang Patah dan seterusnya seiring dengan daerah seperti Labis dan Segamat. Hatta daerah Kota Tinggi pun kita lihat sudah berlaku pembangunan. 
Macam ada sesuatu yang tidak kena di kalangan pemimpin setempat, sama ada wakil rakyat yang gagal memperjuangkan serta memacu pembangunan di kawasan tersebut. Kita tidak mahu kerana sosio ekonomi yang agak perlahan di Segamat dan Labis, anak-anak kita berhijrah dari kawasan ini sama ada generasi kedua Felda atau anak-anak penduduk lain. Keadaan ini mendorong mereka keluar mencari pekerjaan di tempat lain. Mereka tidak banyak berada di tempat ini kerana kurangnya peluang pekerjaan dan tahap pembangunan yang tidak seimbang. 

Perkembangan pendidikan macam mana?

Ya, kita juga ingin memperjuangkan pendidikan anak-anak. Jika dilihat pusat pendidikan berlegar di Johor Bharu sama ada  kampus universiti atau kolej sedangkan di Segamat hanya terdapat satu sahaja kampus UiTM. Kenapa daerah ini kebelakang dari sudut pendidikan? Ini salah satu tumpuan utama PAS apabila meletakkan calonnya. Kita harap dengan meletakkan Normala sebagai calon akan membawa harapan baru penduduk di Labis.

Adakah dengan pelbagai isu politik yang berlaku kebelakangan ini termasuk kenaikan harga barang menyebabkan golongan peneroka sudah bersedia untuk menggantikan Umno dengan PAS?

Saya suka menyebut kembali apa yang dikatakan Najib, peneroka Felda sudah hidup selesa kerana pendapatan mereka melebihi RM 3,000 sebulan. Saya lihat politik dan tahap pemikiran pemimpin BN,  mereka berkata demikian tanpa melihat apakah yang diungkapkan Najib itu realiti masyarakat Felda. Memang jika dilihat komoditi kelapa sawit dan getah yang meningkat, pendapatan peneroka agak tinggi tetapi berapakah sebenarnya yang diperolehi peneroka ini? 
Yang mempunyai tanah itu peneroka dan bukan anak-anak mereka. Sebab yang ada tanah 10 ekar itu bukan anak-anak. Anak-anak mereka juga bukan mendapat keselesaan daripada pendapatan yang diperolehi sebab pendapatan itu milik peneroka Felda. Anak-anak mempunyai pekerjaan mereka sendiri dan jika pekerjaan berkisar di kawasan Felda itu, berapa sahaja yang mereka dapat. 

Maknanya ada lagi warga Felda yang hidup susah...

Memang ada. Merekalah... Pendapatan mereka sangat kecil tidak seperti yang diuar-uarkan Najib. Apabila Najib menyebut begitu, ia hanya menambah sakit hati anak-anak  peneroka ini. Walhal meraka berada dalam keadaan yang amat sukar, tidak mempunyai kediaman dan pendapatan yang amat kecil. Tapi ini tidak lihat oleh pemimpin BN. 

Apa peranan yang boleh dimainkan PAS dan Pakatan Rakyat?

Di sinilah terletaknya peranan Pakatan Rakyat dan PAS yang membawa harapan kepada mereka.  PRK ini akan menjadi titik tolak kepada  mereka untuk mempunyai kesedaran dan isyarat kepada mereka. Najib seolah-olah "santa clause" yang tabur rakyat dengan segala macam hadiah. Saya juga membuat "survey" di kalangan anak-anak peneroka. Rupa-rupanya mereka tidak gembira jika begitu caranya BN yang datang hanya ibarat "santa clause" tetapi hakikatnya mereka tidak memperolehi apa-apa yang dijanjikan. 
Apabila Najib mengatakan peneroka ditawarkan 500 lot, perkara yang sama juga ditawarkan pada tempat-tempat sebelum ini dan tidak jadi kenyataan. 

Jadi bagaimana dengan nasib peneroka genarasi kedua ini?

Saya ingin sebut di sini, peneroka generasi ke dua dan ke tiga mereka dalam dilema antara terpedaya dengan omongan kosong BN serta harapan baru yang diungkapkan pemimpin Pakatan Rakyat. Sebab itu kita sedang bekerja kuat di Tenang ini bagi meyakinkan mereka, jika mereka berani membuat perubahan di Tenang, ini merupakan satu signal bahawa anak-anak peneroka sedang menuju ke arah itu.Mereka harus keluar dan berani dan bukan selama-lamanya menjadi budak suruhan BN. Ini tugas kita turun padang dan sandarkan harapan kepada mereka Pakatan Rakyat mampu membawa perubahan kepada mereka.

Kenapa agaknya dalam PRK Dun Tenang ini, PAS mempertaruhkan muslimat sebagai calonnya?

Saya ingin tegaskan di Johor ini, PAS tidak ketandusan pemimpin yang berkaliber serta mempunyai pemimpin muda yang sebenarnya harus diberi peluang.  Orang nampak kalau di Johor ini, Salahuddin Ayub, Hanipa Maidin serta saya sendiri. Sedangkan orang seperti Normala ini ramai. Jadi melalui pilihan raya kecil ini medan yang terbaik untuk mengetengahkan  golongan ini. Saya mengenali Normala sudah lama dan beliau merupakan Ketua Penerangan Muslimat PAS Johor dulu. 
Dia bekerja di bawah saya. Saya melihat beliau mempunyai keazaman politik yang tinggi. Kita sandarkan PRK Tenang ini kepada beliau kerana beliau bukan calang-calang pemimpin yang mempunyai azam yang kuat walaupun dia seorang kakitangan kerajaan.Dia boleh membezakan kerjayanya sebagai guru dengan komitmen sebagai pemimpin PAS. Dalam masa yang sama beliau juga seorang pelajar. Ini menunjukkan beliau mempunyai komitmen tinggi. Sebagai anak tempatan Labis, beliau mempunyai kekuatan dan keserasian untuk membawa mesej perubahan kepada rakyat di kawasan tersebut.

Tiada ulasan: