Pakar Perlembagaan, Prof Dr Abdul Aziz Bari terkejut dengan kehadiran Adun-adun BN hari ini, tetapi tidak mennyokong usul pindaan perlembagaan negeri yang akan dibentangkan. Sebelum ini, BN mencanangkan akan memboikot sidang tersebut tetapi apa yang melucukan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno negeri, Dato' Noh Omar, yang jelas tidak faham dan mengelirukan. Katanya, Noh mempertikaikan pindaan yang kononnya menunjukkan perkongsian kuasa antara Sultan dan Menteri itu mengengkari janji Pakatan Rakyat sendiri.
"Noh kena faham apa yang dikatakan pindaan itu sebenarnya mengembalikan peruntukan yang asal. Ertinya Noh tak baca peruntukan asal sebelum ia dipinda oleh Mike Tyson (Muhamad Muhd Taib) pada 1993 (yang memadam kuasa Sultan terus). Yang kedua Noh dan Umno tak faham konsep raja berperlembagaan di mana dalam proses perlantikan SUK ini tak siapa ada kuasa mutlak, baik Sultan maupun Menteri Besar," tegasnya.
Dalam peruntukan asal - yang hendak dipulihkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat ialah Sultan bertindak sebagai agen semak dan imbang yakni menerima cadangan suruhanjaya tentang calon SUK dan dalam masa yang sama mendengar nasihat Menteri Besar dalam isu itu. Jelas Aziz lagi, semua ada bahagian dan peranan serta proses ini baik untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan berkecuali dan profesional perkhidmatan awam.
"Ini yang Noh tak faham atau sengaja tak mahu faham. Noh masih tak mahu mengaku yang Umno mencuri kuasa Sultan tanpa pengetahuan raja kerana hendak membodek Tun Mahathir yang ketika itu meminda peruntukan imuniti Raja-raja Melayu. Umno tersepit. Kini cuba mengelak dari isu pokok yang sebenar yang mendedahkan tembelang mereka," ujar beliau.
Menurut Aziz, nasihat Menteri Besar penting kerana ia prinsip pokok demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. "Soalnya apakah Agong tidak perlu menerima nasihat Perdana Menteri? Jelas Umno tidak konsisten dan tidak faham perlembagaan. Undang-undang negeri dan Persekutuan prinsipnya sama. Nampaknya Umno tidak mahu Menteri Besar memainkan peranan hanya kerana ia tidak lagi menguasai Selangor. Ini pelik," tegas pensyarah kanan di UIAM itu.
Katanya, sikap dolak dalik dan memilih-milih undang-undang ini juga kelihatan dalam isu kerusi Dun Pelabuhan Kelang; seperti di Dun Kota Siputeh, Umno jelas takut menghadapi tindakan rakyat yang melihat sikap malas Adun mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan