Ketika Perdana Menteri (PM) Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak berada di Felda Cempelak, Labis – nadanya berbunyi angkuh kononnya beliau tidak perlu berdebat dengan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana banyak mengetahui rahsia yang boleh menyebabkan seseorang demam.
Kata-kata PM Najib ini dilihat sebagai satu usaha mengugut orang lain, supaya tidak mendesaknya berdebat – ketika Anwar mengatakan bukan ada tujuan mahu berdebat pun, tetapi mahu menceritakan bagaimana sebenarnya perbelanjaan ditumpukan kepada kepentingan rakyat dan bukan tujuan membiayai taikun-taikun besar.
Memang betul, sebagai PM, Najib mempunyai banyak maklumat dan rahsia yang boleh menyebabkan orang lain demam, tetapi orang lain juga mempunyai banyak maklumat Najib dan isterinya – termasuk para menterinya yang jika didedahkan, mungkin ada PM yang demam tak kebah.
Isunya, bukan soal mahu mendedahkan rahsia sesiapa tetapi mahu menceritakan soal ribuan juta wang yang dibelanjakan secara tidak berhemat akan menyebabkan rakyat dan kumpulan sasar tidak menjamah sebarang peruntukan yang disalurkan.
Ketika ada lagi keluarga yang gagal menghantar anak-anak ke sekolah kerana kekurangan wang, kerajaan berbangga mahu bercerita bahawa ada menara 100 tingkat yang mahu dibina berdekatan dengan Stadium Merdeka.
Bagi peneroka Felda, janji PM Najib yang mahu menyalurkan RM1.6 bilion untuk mereka harus dilihat dalam konteks Felda di seluruh negara dan bukan di Dun Tenang, yang mempunyai tiga rancangan Felda. Peneroka sebenarnya tidak dapat banyak selain dari wang saku untuk menyambut Hari Raya setiap tahun, tabung kebajikan, khairat kematian dan insentif produktivti tetapi lebih banyak wang diperuntukan untuk Menara Felda.
Tiada siapa dapat menghalang Felda membiayai menaranya berdekatan dengan KLCC sedangkan di tapak Ibu Pejabat Felda sekarang, tanah di kawasan itu lebih sesuai jika Felda benar-benar mahu membangunkan menara. PM Najib sebenarnya tidak perlu ke Felda Cempelak jika tidak ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang, 30 Januari depan.
Itulah sebabnya, kedatangan PM Najib ke Cempelak dan beberapa kawasan di sekitar Labis termasuk di kawasan pengundi Cina yang diatur sedemikian rupa kerana bimbang Dun Tenang akan terlepas ke tangan pembangkang.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-11, 2004, calon BN (Allahyarham) Dato' Sulaiman Taha mengutip 7,655 undi berbanding calon PAS, Mohd Saim Siran yang mendapat 2,138 undi sahaja. BN melalui Sulaiman menang dengan majoriti 5,517. Allahyarham Sulaiman adalah bekas Penolong Setiausaha Pemuda Umno di era PM Najib menjadi Ketua Pergerakan Pemuda Umno.
Namun, dalam PRU-12, 2008, Allahyarham Sulaiman hanya mampu mengutip 6,367 undi, manakala Mohd Saim (PAS) mengutip 3,875 undi. Majoriti BN berkurangan menjadi 2,492 dengan kemerosotan 3,025 undi. Jika ditakdirkan berlaku sekali lagi kemerosotan sedemikian dalam PRK 30 Januari depan, BN akan berputih mata dan hilanglah cerita selama ini, kononnya Johor adalah kubu kuat Umno dan BN.
Rata-rata peneroka Felda di Dun Tenang adalah generasi kedua yang minda mereka sudah tidak boleh dibelenggu dengan cerita-cerita billion sana, juta sini lagi kerana mereka tahu banyak maklumat ketidak adilan ke atas masyarakat peneroka.
Kedatangan Najib ke Labis dan berada di dalam Dun Tenang, bukan kerana mahu mengumumkan RM1.6 bilion akan dibelanjakan buat masyarakat Felda tetapi kerana dalam dadanya sudah tahu, persaingan kali ini, antara Umno (BN) dengan PAS tidak boleh dipandang enteng, walaupun ia berlaku di Johor.
Dalam PRU-12, 2008 dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor terlepas ke tangan PAS. Satu di Dun Sungai Abong (di bawah Parlimen Bakri) melalui wakilnya, Dr. Sheikh Ibrahim Salleh dan Dun Maharani (di bawah Parlimen Muar), Dr. Mohammad Taslim. Dalam PRU-11, 2004, PAS menang satu kerusi Dun di Senggarang, Ramli Md Kari kerana calon BN tersilap mengisi borang.
Najib mahu momentum kemenangan BN di Bagan Pinang, Hulu Selangor dan Batu Sapi dikekalkan tetapi, kekalahan BN di Sibu cukup mengecewakan PM Najib. Sebagai Pengerusi BN, Najib juga tidak mahu peristiwa calon BN kalah di kawasan yang sebelum itu BN menang, seperti Parlimen Kuala Terengganu berulang di Dun Tenang.
Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan 2008 dengan majoriti 2,492, lebih-lebih lagi, kemenangan dengan jumlah begini dianggap terlalu kecil di Johor. Dengan karenah Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman yang tidak memerlukan sesiapa dari luar Johor datang membantu calon BN di dalam pilihan raya kecil ini, banyak pihak meramalkan Ghani mahu mengakhiri karier politiknya di Johor dengan menambahkan satu lagi kerusi PAS dalam Dun Johor.
Bagi Ghani, dengan hanya mempunyai 12 peti undi, 26 bahagian di Johor sudah boleh mengawal pengaruh pembangkang, tetapi Ghani tidak pernah terfikir bahawa kehadiran pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat dari seluruh negara akan menyebabkan tenggelamnya bilangan pemimpin dan penyokong Umno dan BN di Tenang.
Ketika Najib memberi tumpuan khusus di kawasan Felda, Ghani pula terpaksa memujuk masyarakat orang asli yang dikatakan turut menuntut pelbagai janji BN dalam pilihan raya sebelum ini. PM Najib juga tentunya mahu melihat bagaimana Presiden MCA, Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek menyusun strategi menarik sokongan pengundi Cina kepada BN, selepas mereka berjaya membuktikan beberapa kerusi MCA dan Gerakan di Johor tumpas ke tangan DAP.
Apa yang pasti, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Ketua Bahagian MCA Bakri, Dato' Chua Jui Meng akan membuktikan kepada kepimpinan Umno, MCA dan BN di Johor bahawa pengaruhnya masih dominan di negeri itu, termasuk di Tenang (Labis). Di pentas Tenang ini, Pakatan Rakyat mesti bekerja keras menceritakan bagaimana kepimpinan negara ini begitu boros membelanjakan wang, yang tidak mampu sampai ke masyarakat kampung dan peneroka Felda.
Ketika para peneroka berhempas pula membantu negara menghasilkan komiditi seperti getah dan kelapa sawit, para pegawai Felda terus berpakaian kemas di pejabat dengan tali leher dan kot, kerana gaji mereka tentunya lebih besar dari pendapatan RM3,000 setiap peneroka seperti yang dilaungkan PM Najib. Berapa ramai pegawai-pegawai Felda yang mampu hidup mewah dengan pencen yang tinggi ketika masyarakat peneroka terus dimainkan dengan turun naik harga getah dan kelapa sawit di pasaran!
Sumber > Safar Jumaat penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno
Sumber > Safar Jumaat penulis yang rapat dengan serambi kuasa Umno
Tiada ulasan:
Catat Ulasan