Kriteria calon kini dilihat semakin mempengaruhi kecenderungan pengundi. Dahulu, ada tanggapan umum bahawa faktor parti lebih dominan. Amat sukar untuk calon Bebas menang pilihan raya meskipun keperibadiannya terserlah, kecuali kes-kes terpencil.
Lambang BN dikatakan mempunyai kekuatan yang "dahsyat". Letaklah siapa pun orangnya, calon Umno-BN, terutama yang bertanding di luar wilayah tradisi PAS, ada kelebihan tersendiri. Hinggalah pilihan raya umum 2008, timbul fenomena tidak terduga. Muncul faktor ABU, "Asal Bukan Umno-BN", itulah calon yang akan dipilih. Simbol dacing sudah hilang saktinya, digantikan teriakan "Makkal Sakhti" (kuasa rakyat)!
Dijangkakan dalam PRU13, setiap parti lebih bersikap selektif dan berhati-hati menyaring calon berintegriti. Memang dalam pilihan raya tiga tahun lalu, khususnya dalam KeADILan, tidak ramai tokoh berwibawa sedia mempertaruhkan nasib. Berulang kali, dan kali terakhir di Konvensyen Kedua Pakatan Rakyat baru-baru ini, Ketua Umumnya, Anwar Ibrahim, memohon maaf secara terbuka di atas tindakan "khianat" wakil-wakil rakyat KeADILan yang keluar parti.
Menjelang pilihan raya kecil Tenang, ramai pemimpin BN, didahului Najib Razak, meletakkan ciri-ciri utama calonnya, iaitu yang paling berpotensi untuk menang. Khusus untuk kes Tenang, mereka menambah, "boleh bagi BN menang besar". Ketua Pemuda Umno yang dikhabarkan bakal bersara dari dunia politik, Khairy Jamaluddin berkata: "Janganlah letak syarat mahu sayap Wanita atau Pemuda sebagai calon, letakkan calon yang boleh meningkatkan kemenangan."
Selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno Kedah pada hari Thaipusam lalu, Najib berkata, calon-calon BN yang kalah dalam PRU12 masih boleh dipilih untuk bertanding asalkan berpotensi untuk menang. Sebelum ini, mana-mana calon Umno yang pernah tewas tidak lagi berpeluang bertanding. Sekatan yang sama tidak berlaku kepada calon-calon parti pembangkang.
Justeru, pemilihan Mohd Azhar Ibrahim sebagai calon BN di Tenang, meskipun bukan penyandang jawatan utama di peringkat Umno Labis, tentu berdasarkan ciri-ciri itu. Malah timbalan Najib, Muhyiddin Yassin, yang ternyata masih mengimpikan "keagungan" Umno Johor, menegaskan: "Kerusi Tenang merupakan kubu kuat kita. Kita nak tebus balik jumlah dahulu seperti tahun 2004, kembali kepada (majoriti) 5,000 undi malah lebih besar."
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali, selepas mempengerusikan mesyuarat bersama dengan KeADILan dan DAP, 19 Januari lalu, dilaporkan berkata faktor calon bakal menjadi penentu kepada kemenangan parti-parti yang bertanding di Tenang, 30 Januari ini. Beliau percaya sama ada calon PAS atau BN masing-masing mempunyai kelebihan kerana kedua-dua bukan asing di kalangan penduduk Tenang.
Penampilan calon PAS, Cikgu Normala Sudirman memang nampak meyakinkan. Latar belakang beliau sebagai pendidik cemerlang, yang cukup rapat dengan masyarakat setempat, bukan sahaja membawa harapan besar anak muda, malah berupaya mencetuskan perubahan yang diharapkan semua golongan. Di dalam parti, ketokohan, kemampuan dan kegigihannya telah teruji, sebagai Ketua Muslimat Labis dan juga Exco Muslimat PAS Pusat.
Selain Normala, Johor kini menawarkan ramai tokoh PAS di peringkat nasional, seperti Naib Presiden yang juga bekas Ketua Pemuda Pusat, Salahuddin Ayub; Pesuruhjaya Negeri dan tokoh ulama, Dr Mahfoz Mohamad, AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman; aktivis Pemuda Pusat, Suhaizan Kaiat dan Khairul Faizi Ahmad Kamil. Dalam PRU 2008, PAS Johor diberi kepercayaan bertanding 34 kerusi daripada semua 56 Dun, sama banyak dengan kerusi Umno.
Ramai menjangkakan cabaran terbesar Normala dan PAS adalah penerimaan masyarakat Felda, yang diuar-uarkan Najib sebagai golongan paling bernasib baik di negara ini. Survival BN bergantung rapat dengan sokongan golongan peneroka. Justeru, cabaran berterusan Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) di bawah Mazlan, yang juga Timbalan Pengarah PRK PAS Tenang dan pendedahan "salahguna" pengurusan Felda oleh akhbar Suara Keadilan (kini diharamkan) begitu dipandang serius.
Bagaimanapun, saya mengharapkan agar usah dipandang mudah usaha mendekati pengundi Cina. Beberapa kesilapan dalam PRK Galas, Kelantan dan Bagan Pinang, Negeri Sembilan wajar diambil iktibar. Pengaruh MCA di Labis, berdasarkan personaliti wakil rakyat terdahulu, Ling Liong Sik dan Chua Soi Lek tidak boleh diremehkan.
Benar, secara keseluruhan mood pengundi Cina memihak Pakatan Rakyat, namun ia bukan jaminan momentum itu berterusan di Tenang. Saingan sengit memang datang dari kawasan pengundi Melayu, namun senario pilihan raya kecil seringkali sukar diduga. DAP dan KeADILan juga mempunyai tanggungjawab berat bagi menggerakkan jentera kempen secara lebih efektif.
Sumber > Ahmad Lutfi Othman
Tiada ulasan:
Catat Ulasan