KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 27, 2011

Muath Haniyyah, anak Perdana Menteri Ismail Haniyyah kunjungi Presiden PAS


Gerakan Islam Hamas berharap PAS akan memberi sokongan berterusan terhadap Hamas dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan mengembalikan keamanan terhadap wilayah yang bergolak itu. Harapan itu disuarakan wakil Hamas, Pengarah Besar Pejabat Perdana Menteri Kerajaan Hamas, Hani I. Y. Abu Owda  dalam kunjungan rasminya bertemu Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, 24 Januari lalu.

Rombongan deligasi tersebut turut disertai, Muath Haniyyah yang juga anak kepada Perdana Menteri Ismail Haniyyah;  Pengarah Besar Program Latihan Diplomasi, Dr Mahmoud Z. M. El Madhoun; pegawai di Jabatan Perdana Menteri, Rami J.H. Al Ghamri dan Read Abu Dayer.

Selain Ustaz Abdul Hadi, turut menyambut rombongan tersebut, Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa; Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. 

Turut serta Setiausaha Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Mohd Faiz Nawi dan dan ahli jawatankuasanya, Ustaz Imran Selamat. Dalam pertemuan itu, Abu Owda menjelaskan, kepimpinan Hamas dapat bertahan daripada segala tekanan kerana sokongan daripada semua pihak. Beliau turut menceritakan perjuangan Hamas setelah mendapat sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Palestin 2006.

Tegasnya lagi, walaupun ditekan daripada pelbagai sudut oleh regim zionis Israel sejak peperangan 22 hari tahun 2009 lalu, pelbagai kejayaan telah dicapai dibawah kepimpinan Perdana Menteri Ismail Haniyyah. Kata beliau, antaranya Hamas telah membuka kolej perubatan dan membina beberapa buah pusat menghafaz Al-Quran. Hasilnya, kini Hamas berjaya melahirkan ramai doktor dari kalangan rakyat tempatan yang  bukan sahaja dapat membantu orang ramai bagi kepentingan perubatan, tetapi juga membantu perjuangan Hamas sendiri.

Kerajaan Hamas juga katanya  telah berjaya melahirkan lebih 1,000 orang hafiz (hafiz dan hafizah) setiap tahun sejak berakhirnya peperangan dengan Israel pada 2009 lalu. "Kematian pemimpin utama Hamas, Sheikh Ahmad Yassin telah membuka mata rakyat Palestin untuk menerima perjuangan jihad Hamas," tegasnya.

Dalam  pertemuan tersebut, Abu Owda turut menyampaikan salam hormat daripada Perdana Menteri Ismail Haniyyah dan berharap Allah akan terus memberkati  hubungan antara PAS dan Hamas. Kedua-dua pihak juga bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda kenangan.

Terdahulu, Ustaz Abdul Hadi turut menceritakan sejarah ringkas perjuangan PAS dan mengalukan kunjungan delegasi tersebut serta mengharapkan hubungan kedua-dua pihak akan terus terjalin memandangkan kedua-duanya merupakan gerakan Islam yang memperjuangkan hak umat Islam.     

Tiada ulasan: