KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Januari 23, 2011

Ada yang tak kena: Mengapa Azahar berhempas-pulas nafi Umno Labis boikot dia?


Calon Umno-Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim menolak bulat-bulat dakwaan bahawa beliau "diboikot" kepimpinan Umno Labis ekoran pemilihannya sebagai calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang. Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Mohd Azahar menegaskan dakwaan itu tidak benar dan fitnah semata-mata mahu menjejaskan imej beliau.

"Tak ada... tak ada... itu satu fitnah. Itu adalah politik, kalau lihat ramai yang ikut saya. Dakwaan itu tidak benar, ia adat politik," katanya selepas mengadakan lawatan di Pasar Awam Labis.

Sebelum ini, ada khabar angin mengatakan Umno Labis tidak menyokong pemilihan Mohd Azahar sebagai calon, namun ia juga dinafikan Ketua Wanita Umno Labis Haslinda Salleh dan Setiausaha Umno Labis Abd Razak Abd Rashid. Kedua-dua mereka sebelum ini disebut-sebut berpeluang menjadi calon.

Selain itu, Ketua Umno Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menegaskan sayap itu akan memberikan "sokongan 110 peratus" kepada Mohd Azahar dalam pilihan raya kecil kerusi Tenang yang kempennya bermula semalam.

Umno-BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan Rakyat diwakili oleh Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis dan bekas guru sebagai calon. Sebuah blog pro-Pakatan Rakyat juga menyebut pemangku Ketua Umno Labis dan Haslinda "naik angin" dengan pemilihan Mohd Azahar.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan turut menafikan Mohd Azahar diboikot kepimpinan Umno Labis.

"Dakwaan kata Umno Labis tak sokong tidak betul. Beliau (Mohd Azahar) mendapat sokongan daripada semua barisan kepimpinan, itu saya nafikan apabila kata beliau diboikot. Saya nak kata dakwaan kata bahagian (Umno Labis) tak sokong adalah satu fitnah," katanya.

Ketika ditanya mengenai isu yang akan dibawa sepanjang kempen pilihan raya kecil yang akan berakhir hujung minggu ini, Mohd Azahar bagaimanapun berkata beliau perlu memastikan kemenangan Umno-BN terlebih dahulu.

"Kami akan pastikan kemenangan dulu, akan fokus pada kemenangan dulu... kemudian baru lihat itu," katanya ringkas. Dalam lawatan selama sejam itu, Mohd Azahar turut diiringi Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Ahli Parlimen Labis Chua Tee Yong.

Tiada ulasan: