KLIK JOM FOLO DI SINI

Ahad, Januari 23, 2011

Perang PAS-Umno makin sengat: BN serang Cina, PAS gempur Melayu


Mampukah isu agama yang dibangkitkan oleh BN dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang ini memberi kelebihan kepada mereka dalam kempen mempertahankan kerusi berkenaan? Atau mungkinkah pengundi, khususnya kaum Cina akan terpengaruh dengan isu negara Islam dan tindakan calon PAS Normala Sudirman yang tidak bersalaman dengan lelaki - yang menimbulkan kebimbangan beliau tidak mesra rakyat?

Atau sejauh mana kesannya 'umpan' BN itu bagi menarik sokongan 14,753 pengundi - 39 peratus atau 5,766 orang kaum Cina - agar kembali menyokong calon parti itu Mohd Azahar Ibrahim? Sehingga kini, Pakatan Rakyat, terutamanya PAS, dilihat tidak ambil peduli tentang isu agama yang dibangkitkan. Dalam beberapa ceramah sebelum ini, tokoh-tokoh yang diundang masih tidak melatah, apatah lagi mengulas "serangan" bertali arus BN itu.

Sebaliknya mereka mengetengahkan isu-isu setempat, khususnya masalah generasi awal dan kedua peneroka Felda bagi memastikan golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya, lapor Malaysiakini.

DUN Tenang, di Labis mempunyai tiga Felda, Felda Chempelak, Felda Chempelak Barat dan Felda Tenang yang didiami pengundi Melayu. Ini mendorong Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (ANAK) - NGO yang rapat dengan PAS - membuka pusat khidmat mereka sendiri di sebuah Felda (Chempelak) di situ mereka. Felda Chempelak mempunyai 1,432 pengundi, Felda Chempelak Barat mempunyai 1,217 pengundi makala di Felda Tenang pula seramai 1,469.

Sebelum ini, isu negara Islam yang dibangkitkan oleh presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek disifatkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yaasin sebagai tindakan "mengingatkan masyarakat Cina".

Dalam satu sidang media selepas penamaan calon semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata "ada baiknya" MCA berbuat demikian kerana sehingga kini, PAS tidak pernah menukarkan perlembagaan yagn menggariskan agenda untuk menubuhkan negara Islam.

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membidasnya dengan menyifatkan ia "isu lama" dan masyarakat Cina tidak akan terpedaya dengannya. Malah kelmarin, dalam ceramahnya di Felda Tenang, beliau mengingatkan bahawa "orang Melayu kena mengikut Islam, bukan ikut Melayu sahaja untuk memerintah negara ini dengan adil".

"PAS mahu membawa pemerintahan yang adil dan mengajak kawan-kawan lain bersama-sama. Sebab itu kita berpakat dengan PKR dan DAP. Perkara dasar, kita tidak boleh paksa untuk mengikut kita. Di sana ada perkara yang sama. Jadi kita buat bersama... Perbezaan kita raikan. Persamaan kita laksanakan," katanya tanpa merujuk dasar mana yang menjadi perbezaan itu.

Tiada ulasan: