KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Januari 31, 2009

Bloggers Penarik Beca mengamok, berambuslah Melayu itu!

Blogger Penarik Beca mengamok!

RAKAN Bloggers Penarik Beca memberi respon sinis terhadap desas-desus dua Exco Kerajaan Perak nak melompat ke BN. Beliau melaporkan: Satu perkembangan menggembirakan khabarnya berlaku di kediaman Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di Pekan, Pahang.

Malaysiakini melaporkan, desas-desus mula bertiup kencang bahawa dua exco kerajaan Perak daripada PKR, Jamaluddin Mat Radzi dan Osman Jailu berada di kediaman Najib dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri dan mereka "berkemungkinan besar" menyertai Barisan Nasional

Kedua-duanya gagal dihubungi oleh pemimpin negeri, parti dan keluarga mereka sendiri sejak empat hari lalu.Apa yang berlaku itu menunjukkan Melayu sudah mula meyakini kepimpinan Najib. Melayu sudah mula mengiktiraf keberkesanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Melayu sudah mula menaruh harapan bahawa bisa SPRM mungkin dapat ditawarkan dengan menggayutkan diri pada yang mempunyai kuasa.

Sayangnya, ada Melayu dalam Umno yang memilih kem yang salah lalu dia juga dibogelkan oleh pegawai-pegawai SPRM. Mungkin selepas ini ramai lagi Melayu dalam Umno yang tidak tersilap kem dan Melayu luar Umno pula meyakini kepimpinan yang mempunyai kuasa untuk menawarkan bisa SPRM, polis dan menatang apa sekalipun.

Dua Exco Kerajaan Perak jumpa Najib di Pekan?

Masih menjadi tandatanya? Ke manakah mereka dan benarkah Najib Tun Razak sudah menawarkan habuan yang lumayan?

WEB Malaysiakini melaporkan perkembangan terbaharu tentang desas-desus dua Exco Kerajaan Perak mahu melompat ke BN: SEJAK beberapa hari lalu, dua exco kerajaan Perak daripada PKR mencetuskan pelbagai spekulasi akan menyertai BN susulan tindakan wakil rakyat Bota, Datuk Nasharuddin Hashim meninggalkan Umno hujung minggu lepas.

Petang ini, desas-desus mula bertiup kencang bahawa kedua-duanya Jamaluddin Mat Radzi (foto, kiri) dan Osman Jailu berada di Pekan, Pahang dalam usaha berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak di kediamannya.

Malaysiakini melaporkan PKR sedang memantau dengan dekat perkembangan dua exconya ini, termasuk kemungkinan berada di Pekan setelah kedua-duanya gagal dihubungi oleh pemimpin negeri, parti dan keluarga mereka sendiri sejak empat hari lalu.Difahamkan parti itu sudah mendapat maklumat bahawa kedua-duanya "berkemungkinan besar" bersetuju meninggalkan parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Sumber-sumber parti itu memberitahu, BN paling cepat melalui Mohd Najib sendiri akan mengumumkan perkembangan mendebarkan ini esok - setelah ura-ura berbuat demikian petang tadi tidak berhasil.

Bagaimana pun sumber-sumber itu tidak dapat memastikan sama ada mereka berdua betul-betul berada di Pekan atau masih di Ipoh. Seorang wakil rakyat PKR di Kedah juga dalam usaha didekati untuk melompat kepada BN.

Sementara itu PKR Perak mendakwa Mohd Najib sedang berunding dengan mereka agar menyertai BN, termasuk untuk menggugurkan kes rasuah terhadap mereka yang ditahan Ogos tahun lalu.

"Kami percaya kehilangan mereka ada hubungan rapat dengan pertuduhan kes rasuah yang sedang mereka hadapi dan perbicaraan kes tersebut akan bermula pada 10 Februari," kata pengerusi perhubungannya Osman Abdul Rahman dalam satu kenyataan lewat petang ini.

"Kami percaya ada usaha-usaha oleh BN untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib, termasuk menggugurkan kes rasuah mereka. "Osman menambah, beliau yakin pertuduhan terhadap kedua-dua exco Perak itu "palsu yang direka cipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik."

Jika Jamaluddin dan Osman sah meninggalkan PKR, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan mentadbir dengan kelebihan satu kerusi - setelah mengambil kira penyertaan Nasharuddin. BN buat masa sekarang menguasai 27 kerusi, sementara Pakatan Rakyat 32, termasuk lapan PKR dan 18 DAP (lihat jadual).

Keadaan di Bota gawat, kerajaan Perak tidak selamat lagi?

Di manakah silapnya? Apakah benar Nasaruddin akan melompat kembali ke BN dan menjadi MB Perak yang baru?

SEBENTAR tadi saya menghubungi Ketua Penerangan PAS Parit, Rafie Kasini untuk mendapatkan pengesahan tentang kepungan AMK terhadap rumah Adun Bota, Nasharuddin Hashim di Bota Kiri bagi mengelak beliau dari melompat semula ke BN.

Rafaie mengesahkan, di Bota keadaannya makin gawat dan cerita dua Exco Kerajaan Perak, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu akan melompat sudah bergentayangan sejak tiga hari lalu. Malah petang tadi, katanya, Jamaluddin ada menghubungi seorang rakannya (pimpinan PKR Perak) mengesahkan "Kerajaan Perak akan tumbang" malam ini, dalam perbualan itu.

Rafaie kesal dengan sikap beberapa pimpinan PAS seolah-olah 'tidak tahu menahu' apa yang sedang terjadi. Dua Exco ini dikatakan sudah dikuarantin di rumah Najib Tun Razak di Pekan, Pahang. Namun timbul kecurigaan melampau, bagaimana SPRM boleh dibabitkan?

Dua Exco ini, mengikut sumber adalah dua Adun dan Exco Perak yang akan melompat ke BN malam ini atau pada masa terdekat. Sementara Nasharuddin Hashim ditawarkan oleh Najib Tun Razak menjadi Menteri Besar Perak yang baru sekiranya BN kembali berkuasa. Ini menjadikan tiga Adun PKR yang akan melompat, kata sumber itu tanpa menolak kemungkinan ia akan diikuti oleh dua Adun DAP yang dikatakan bermasalah.

Kata satu sumber lagi, seorang pimpinan PKR Parit pernah menyebut beberapa hari lalu untuk menjadi Setiausaha Politik kepada MB Perak yang baru, Nasaruddin Hashim. Ini cukup mencurigakan dan apabila isu ini timbul hari ini, segala-galanya bagaikan sudah terlambat dan ia membabitkan banyak orang.

Berdoalah kepada Allah SWT agar Kerajaan Pakatan Rakyat tidak dapat dirungkai dan dijatuhkan dengan permainan Umno dan BN ini. Dan ambillah pengajaran oleh semua pimpinan agar tidak tersilap membuat tindakan hingga menyebabkan orang lain 'sakit hati' dan menikam semula belakang kita.

Saya sedang menunggu laporan dari Pekan Pahang dan Ipoh... ikuti Sanggahtoksago selepas ini....

Hampir sah... dua EXCO Perak keluar PKR?

Benarkah mereka akan melompat ke BN? Dan benarkah mereka ditahan bersama Najib Tun Razak?

SUSULAN berita Dua Exco Kerajaan Perak, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu dibimbangi telah diculik BN?: MEMETIK dari maklumat dari Kulup Sakah, dari blog http://perakexpress.com. Lapornya begini: Dua EXCO (Kerajaan Perak) ini ditahan oleh oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia) dan military police. Sekarang berada di Pekan Pahang bersama Najib Tun Razak.

Kemaskini 19.34: Maklumat yang diterima, kedua-dua EXCO ini sedang berada dirumah Najib Razak dan akan membuat pengumuman bila-bila masa

Dalam masa yang sama, keadaan diBota agak runcing… Rumah YB Nasaruddin sedang dikawal oleh AMK Perak berikutan cubaan untuk menculik YB Nasrudin

YB Nasrudin ditawarkan jawatan MB sekiranya beliau bersedia kembali semula kedalam Umno. Mesyuarat MPT PKR baru saja habis dan hampir dipastikan bahawa dua EXCO PKR Perak, Jamaludin Radzi dan Kapt. (B) Osmain Jailu akan membuat pengumuman kelura PKR dan menyertai UMNO

Mesyuarat MPT PKR tadi gagal menghubungi kedua-dua EXCO ini secara peribadi, tapi menerusi orang perantaraan, dua EXCO ini sudah bersedia untuk bertukar parti

Apa kesudahannya? …Apakah mungkin berlaku pilihanraya kecil? Atau Umno kembali merampas Perak? Tunggu malam ini.

NASIHAT SAYA: Laporan ini mungkin tidak betul kerana sehingga kini saya tidak mendapat apa-apa maklumat terkini. Namun, maklumat boleh menjadi milik sesiapapun dan siapa yang cepat, pantas maka mereka yang memperolehinya. Berdoalah semua penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat agar kedua-dua Exco Kerajaan Perak ini tidak menyeberang ke BN demi survival kerajaan Pakatan Rakyat Perak dan seluruhnya. Wassalam.

Dua Exco Kerajaan Perak, Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu dibimbangi telah diculik BN?


Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu, kedua-duanya Exco Kerajaan Perak yang diuar-uarkan sebagai hilang sejak beberapa hari ini dan dikhuatiri diculik oleh BN dengan pelbagai tawaran menarik bagi membendung lompatan Nasharuddin Hashim.

DALAM sibuk semua orang menganalisa dan bercerita tentang penghijarahan (lompat) Adun Bota, Nasharuddin Hashim ke dalam KeADILan, rupa-rupanya ada cerita baru tentang kehilangan dua Adun KeADILan yang juga Exco Kerajaan Perak sejak empat hari lalu membimbangkan bukan saja oleh parti KeADILan tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.

Ini pendedahan Ketua Perhubungan KeADILan Perak, Osman Abdul Rahman yang turut dilaporkan oleh Malaysiakini dan Suara KeAdilan. Kedua-dua exco tersebut ialah Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu. Mereka juga dibabitkan dengan kes rasuhan ketika Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan menjadi isu kontroversi.

Menurut Osman, pihaknya menjangka kehilangan itu ada kaitan dengan cubaan Barisan Nasional (BN) memujuk mereka dengan imbuhan termasuk tawaran wang ringgit. Kemungkinan ini tidak dapat disangkal kerana logiknya ada. Jika alasan menarik Nasharuddin Hashim untuk menggantikan mereka berdua sebagai exco, maka sudah tentulah kedua-dua mereka 'berkecil hati' dan membuka langkah lain untuk survival politik mereka.

Barangkali, orang awam menolak kemasukan Nasharuddin tiada kaitan langsung dengan persediaan KeADILan untuk menggantikan dua exconya yang sedang disiasat oleh SPRM. Soalnya, adakah kejayaan menarik Nasharuddin itu dijadikan suatu 'pengesahan' bahawa dua exco tersebut sudah tidak dapat diselamatkan lagi dari tindakan mahkamah?

Maknanya, mereka berdua akan terpalit dan dijatuhkan hukuman. Lantaran itu, Nasharuddin dan beberapa Adun BN lain giat dipancing untuk mempastikan kerusi dua exco terbabit dapat diganti.

“Kami percaya ada usaha-usaha oleh Barisan Nasional untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib Tun Razak termasuk menggugurkan kes rasuah mereka berdua,” kata Osman dalam sebuah kenyataan akhbarnya sebenatar tadi.

Kedua exco tersebut ditangkap dalam satu serbuan meragukan menjelang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh tahun lepas. Kes mereka akan dibicarakan bermula 10 Februari depan.

“Dari awal lagi kami amat yakin pertuduhan dalam kes tersebut adalah satu pertuduhan palsu yang direkacipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik. Namun kami berharap kedua-dua pemimpin ini berada dalam keadaan selamat dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti selama ini dan tidak terperangkap dengan mujslihat Umno/BN yang kononnya inginkan penyertaan mereka untuk membela nasib Melayu,” tambah beliau.

Sehingga kini, tiada sebarang maklumat tentang ke manakah perginya mereka berdua? Adakah diculik atau dikuarantin oleh BN untuk dirundingi dengan tawaran menarik 'melompat' ke dalam BN bagi menggantikan lompatan Nasharuddin Ahad lalu.

Tajol sertai Pakatan Rakyat? Harapan tinggi kepada MB Perak merundinginya!

Nasharuddin Hashim bersama Anwar Ibrahim pada sidang media peristiharan keluarnya Adun Bota itu dari Umno baru-baru ini

PERLETAKAN jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Dato' Seri Tajol Rosli cukup menarik. Pada mulanya, Tajol menafikan tiada apa-apa impak politik apabila proksi kuatnya di Parit, Dato' Nasharuddin Hashim melompat meninggalkan Umno menyertai KeADILan.

Banyak pihak memandang sepi, apa jua tindakan yang bakal diambil oleh Adun Bota itu. Rungutan dan rasa tidak puashati beliau dengan cara gaya pemilihan Umno bahagian yang didominasikan oleh kumpulan Dato' Zaim Abu Hassan, Ketua Umno bahagian sekarang merangsang keinginannya untuk melawan arus.

Cerita Nasharuddin nak melompat parti sudah terngiang-ngiang di telinga mereka yang prihatin. Khabarnya, beliau pernah meminta pandangan dari Ketua Bahagian KeADILan Parit dan Yang Dipertua PAS Kawasan berkenaan hasrat tersebut.

Di kalangan Umno, tentu sekali 'pejam sebelah mata' tidak yakin anak Bota Kiri ini nekad meredah arus dan mencipta sejarah dalam politik negara, apabila berani meninggalkan Umno dan membawa mandat Adunnya ke kancah Pakatan Rakyat.

Bagi saya, Nasharuddin adalah seorang yang profesional, terbuka dan berhemah tinggi. Tindakannya melompat itu juga adalah rasa tanggungjawabnya terhadap pengundi tegar yang juga ahli dan penyokong Umno di Dun Bota.

Lebih 10 cawangan yang mendesak dan mengasak beliau untuk menentang Ketua Bahagian Umno sebenarnya masih bersama beliau. Mereka mahukan perubahan kepimpinan Umno Parit, dan keinginan itu cuba disekat oleh Dato' Zaim sejak kemunculan Nasharuddin di Parit menjelang pilihan raya umum 1999.

Sebelum dijatuhkan, Nasharuddin adalah Timbalan Ketua Umno Bahagian yang cukup disegani. Pada pilihan raya umum lalu, nama beliau disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar mengantikan Tajol Rosli. Kemungkinan itu cukup kuat apabila Nasharuddin dikenali sebagai proksi Tajol dan Tajol sendiri pernah memberi syarat kepada Umno Parit tentang penyertaan istimewa Nasharuddin dalam haraki kepimpinan Umno bahagian itu.

Walaupun sebahagian kepimpinan Umno Perak menamakan Adun Pangkor, Dr. Zamry Abdul Kader sebagai pengganti Tajol, namun hubungan baik beliau dengan Nasharuddin dijadikan kayu ukur mengapa pada pilihan raya umum lalu, Nasharuddin dipindahkan dari Parlimen Parit ke Dun Bota.

Namun, permainan licik Dato' Zaim barangkali, menyebabkan Nasharuddin tersungkur di Bota berikutan BN gagal membentuk kerajaan di Perak. Sekalipun gagal, jawatan beliau sebagai Pengerusi Felcra Bhd tidak sepatutnya dicantas semata-mata untuk menyekat kemaraannya dalam Umno Parit.

Dato' Zaim dan catatan sejarah menunjukkan, kubu kuat Umno berada di Dun Blanja dan golongan kiri yang suka 'memberontak' sejak dulu, wujud di Dun Bota. 10 cawangan Umno yang mendokong Nasharuddin ada ada di Bota. Zaim tidak tembus di sebelah sini. Senario ini cukup subur baik dalam Umno mahupun dalam PAS di Parit.

Warga Bota cukup dikenali sebagai kritis, tajam dan tidak suka mengekor sesiapa sahaja. Apatah lagi dalam soal keadilan dan kemanusiaan. Cukup banyak tentangan muncul dari Bota berbanding Blanja. Malah apa jua keraian politik, di sebelah Bota dirayakan cukup meriah sekali kerana tenaga kerjanya ramai, muda-muda dan mantap.

Disingkap sejarah, dalam Dun Botalah munculnya pejuang rakyat Che Dat atau Abdullah Sidi dari Kg. Lambor Kiri. Di kampung ini juga muncul Dato' Zainal Abidin Abbas, mantan Setiausaha Agung Parti Gerakan. Dan PAS pernah menang Dun ini pada tahun 1969 melalui calonnya Cikgu Mahmud Zainal Abidin ketika itu dikenali sebagai Dun Kg. Gajah.

Apa yang jelas, lompatan Nasharuddin mengecewakan Tajol. Bukan sahaja beliau meletakkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Perak malah, melepaskan juga jawatan Ketua Umno Bahagian Grik dan tidak mempertahankan kerusi Majlis Tertinggi Umno (MT) Mac depan.

Bagaimana sebelum ini, Tajol mendakwa tiada apa-apa kesan pada Umno Perak penghijrahan Nasharuddin ke dalam KeADILan? Tajol sebenarnya menipu dirinya sendiri. Sebab itu, tidak sampai seminggu, punggungnya panas lalu melepaskan semua jawatannya dalam Umno sebagai tanggungjawab.

Pimpinan PAS atau sesiapa jua patut digesa merundingi mantan Menteri Besar Perak ini agar beliau melompat ke Pakatan Rakyat. Melompat ke dalam PAS adalah lebih baik. Kepercayaan kepada Nizar sebagai Menteri Besar yang disegani patut digunakan sebaiknya untuk bertemu Tajol. Ia bukan suatu dogengan atau cerita metos. Tajol patut diajk menyertai PAS.

Bagi saya, tiada apa yang mustahil dalam politik Malaysia hari ini. Tajol boleh sahaja bersama PAS jika kena caranya. Walaupun saya terkilan, Nasharuddin akhirnya tidak memilih PAS namun harapan saya beberapa Adun lain termasuk Tajol patut dirundingi sebaiknya.

Kecenderungan Nasharuddin untuk bersama PAS sebenarnya boleh dihidu sejak beberapa bulan lalu tetapi pimpinan PAS Parit melihat ianya bukan suatu keperluan. Atau tidak nampak langsung jalan bagaimana Nasharuddin boleh menyertai parti itu. Apa yang dibisikkan seorang korporat di Shah Alam kepada saya tentang niat Nasharuddin itu, cukup memilukan rasanya apabila PAS Parit gagal 'mencekup' Adun Bota itu.

Kini, Tajol adalah sasaran baru yang ada seribu kemungkinan. Tiada siapa terfikir Nasharuddin, seorang Adun BN boleh melompat meninggalkan Umno menyertai KeADILan. Tidak berlaku dalam sejarah seperti belum pernah terjadi seorang menteri kabinet BN melepaskan jawatan semata-mata menentang penyalahgunaan ISA. Tapi ia terjadi pada Dato' Zaid Ibrahim, Menteri di JPM.

Malah keputusan pilihan raya umum lalu dengan Pakatan Rakyat menguasai lima negeri juga bukti banyak perkara boleh terjadi di luar lingkaran akal.

Sekalipun, Ramly Zahari menafikan Adun Pangkalan Baharu, Dato Hamdi Abu Bakar dan Adun Lintang, Dato' Ahamad Pakeh Adam akan melompat namun ia tidak boleh menyekat jika mereka berdua mahu melompat juga.

Macam mana seorang Adun di utara Perak dan dipingggir Ipoh, yang dikatakan akan melompat tidak lama lagi? Semua perkembangan ini sarat dengan mesej semakin punahnya Umno sebagai parti Melayu. Ini diakui sendiri dengan syor Tengku Ahmad Rethauddeen, untuk hapuskan semua sayap Umno...

Menunggu tiga lagi Adun BN Perak melompat parti, Umno makin goyah!

Dato' Hamdi Abu Bakar (kiri) dan Dato' Ahamad Pakeh Adam (kanan) antara tiga atau empat Adun BN yang akan melompat ke Pakatan Rakyat

WALAUPUN BN menafikan dakwaan ada Adun-Adunnya yang akan melompat mengikuti jejak Adun Bota, Nasaruddin Hashim menyertai KeADILan, namun Menteri Bersar Perak, Dato' Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin mendakwa terdapat tiga lagi Adun BN yang akan melompat ke dalam Pakatan Rakyat.

Nizar memaklumkan, telah bertemu dengan ketiga-tiga Adun ini berbincang mengenai masalah yang dihadapi mereka selaku wakil rakyat di kawasan masing-masing termasuk kemungkinan keluar Umno.

Dalam pertemuan itu, beliau mendedahkan rasa kecewa mereka terhadap kepimpinan Umno Perak kerana menyekat kebanyakan wakil rakyat Umno di Perak untuk bertanding Ketua Bahagian.

Tetapi ada juga yang engkar, katanya, dan mereka kalah di bahagian masing-masing. Keadaan ini amat mengecewakan mereka kerana selaku wakil rakyat mereka pemimpin di peringkat kawasan tetapi tidak di peringkat Umno bahagian, ujar Nizar.

Dalam perkembangan berkaitan, Nizar kagum dengan keberanian Nasarudin dan menganggap beliau seorang yang luhur budi bahasa dan pekertinya. Di dalam Dewan Undangan Negeri pun beliau sentiasa bertanya soalan dengan lemah lembut dan berlandaskan fakta bukannya merapu.

Beliau yakin, sudah tentu orang seperti Nasaruddin tidak boleh kekal lama dengan budaya dan naluri Umno yang menekan dan mengekang kebebasan bersuara ahli-ahli mereka.

Sementara itu, Umno Perak mengesahkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang meluahkan kekecewaan terhadap pucuk kepimpinan badan perhubungan negeri itu tidak akan menyertai Pakatan Rakyat seperti langkah Datuk Nasarudin Hashim yang melompat masuk Parti Keadilan Rakyat Ahad lalu.

Mereka ialah Dato' Hamdi Abu Bakar (Dun Pangkalan Baharu) dan Datuk Ahamad Pakeh Adam (Dun Lintang) diyakini akan terus kekal bersama Umno dan BN.

Setiausaha Umno Perak, Datuk Ramly Zahary yakin mereka berdua akan terus kekal bersama Umno dan BN seperti yang diikrarkan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak Isnin lalu.

Nama ADUN Lintang, Datuk Ahamad Pakeh Adam dan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Hamdi Abu Bakar disebut-sebut oleh media sebelum ini sebagai orang kecewa terhadap Umno dan akan menuruti jejak Adun Bota melompat parti.

Ahamad dan Hamdi yang masing-masing merupakan Ketua Umno Bahagian Sungai Siput dan Beruas bagaimanapun gagal mempertahankan kedudukan mereka dalam pemilihan parti peringkat bahagian Oktober lalu.

Bagaimanapun, pemerhati politik berpendapat Umno Perak makin gawat selepas pengunduran Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Dato' Seri Tajol Rosli Khamis lalu.

Isu lompat parti di Perak mula timbul apabila ADUN Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengumumkan keluar daripada BN bagi menyertai Parti Keadilan rakyat (PKR) pada Ahad lalu.

Dalam perkembangan lain, desas-desus kononnya dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, Jamaluddin Mohd Radzi dan Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu, kedua-dua daripada Parti Keadilan Rakyat, akan menyertai BN dinafikan sekeras-kerasnya oleh Nizar. Katanya, spekulasi tidak benar dan ia sengaja diada-adakan bagi mengusutkan keadaan.

"Saya berusaha untuk berhubung dengan mereka," katanya kepada pemberita bagi mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris beberapa hari lalu, bahawa terdapat dua wakil rakyat daripada PKR akan keluar parti dan menjadi wakil bebas sebelum menyertai Umno.

Lapor Bernama, pemberita menunggu di luar kediaman rasmi Mohammad Nizar bagi mendapatkan reaksinya selepas beliau mempengerusikan satu mesyuarat Pakatan Rakyat negeri.

Mesyuarat selama dua jam itu yang bermula 9 pagi dihadiri ketiga-tiga pemimpin tertinggi DAP negeri terdiri pengerusinya Datuk Ngeh Koo Ham, Timbalan Pengerusi, M.Kulasegaran dan Setiausaha, Nga Kor Ming selain wakil PKR iaitu Aahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, Osman Abdul Rahman dan Ismail Yusof serta wakil PAS terdiri Pesuruhjaya PAS Negeri, Ahmad Awang bersama-sama Asmuni Awi dan Dr Khairuddin Abdul Malek.

Ngeh menyifatkan pertemuan itu adalah mesyuarat biasa dan bukan bagi membincangkan isu mengenai dua exco tersebut.

Nasaruddin kejutkan tidur lena pemimpin Umno, akhirnya Tajol terpelanting!

Jarang anak Melayu Perak berani bertindak sendirian seperti apa yang dilakukan Nasaruddin. Secara tiba-tiba, nama dan gambarnya menjadi bahan berita. Malah nama Bota dan Parit meniti bibir ke bibir!

SEORANG kawan lama, IDRIS SAMAD minta publishkan pandangannya tentang pelompatan Adun Bota: TINDAKAN lompat Dato'Nasaruddin Hashim setidak-tidaknya menjadi bahan berita besar akhbar-akhbar arus perdana minggu ini. Jika Nasaruddin tidak melompat, tidak mencetuskan berita seperti ini, tiada siapa di kalangan pemimpin Umno yang terkejut dan bangkit dari tidur yang panjang.

Tentunya yang paling gelabah dan malu besar, bekas MB Perak, Dato' Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali. Tajol seperti terkena sumpahan ketika menjadi MB Perak, bukan sahaja gagal mencapai kejayaan besar malahan mengulangi sejarah hitam Allahyarham bapanya, Tan Sri Mohd Ghazali Jawi ketika menjadi MB Perak dahulu.

Nasaruddin tentulah mempunyai cukup kekuatan untuk melakukan lompat ini. Jika tidak, mustahil dia berjaya melakukannya. Kini, dia berada di Indonesia, atas urusan yang tidak diketahui, sama ada perniagaan atau bercuti. Yang pasti, Nasaruddin sudah berjaya melarikan diri dari panggilan-panggilan telefon yang bertujuan memujuknya, supaya membatalkan hasratnya untuk melompat.

Dalam politik Umno Perak, memang tiada kejayaan besar mana-mana individu kecuali Allahyarham Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab. Kebetulan, suatu ketika dahulu, Peraklah negeri yang mempunyai paling ramai perwakilan Umno apabila mempunyai 24 bahagian (Parlimen).

Namun, mereka (dari Perak) gagal menterjemahkan kekuatan mereka, sebaliknya terus menerus menjadi penyokong kepada calon-calon dari negeri-negeri lain.

Politik Umno Perak cukup berwarna-warni. Mereka berkomplot dan berklik. Tajol Rosli digelar 'Mat kaji dan teliti' kerana terlalu perlahan bertindak ketika menjadi Menteri Besar. Setiap permohonan yang dihantar kepadanya akan dikaji dan diteliti, sebagai jawapannya kepada pemohon.

Akhirnya, disebabkan Tajol Rosli dilihat terlalu perlahan, berjalan seperti siput, maka Nasaruddin merasakan Tajol Rosli perlu ditinggalkan.

Nasib baik Umno Perak ada Nasaruddin. Jika dulunya ada Datuk Radzi Manan yang turut menyerang Tajol Rosli, kini, Radzi sudah menyepi kerana bekerja kuat untuk bertanding dan menang kerusi MT. Radzi mungkin sudah menyampah dengan Tajol Rosli, sikit-sikit merajuk, sikit-sikit menjauhkan diri. Selepas BN Perak kalah dalam PRU 12, Tajol Rosli didakwa menghabiskan banyak masa untuk menangis dan bukan mengajak rakan-rakan dalam Umno supaya bangkit kembali, untuk memperkemaskan jentera.

Ketika Tajol menangis, kawan-kawannya yang lain tidak sanggup menangis bersama-samanya. Mereka menanti arahan dari Tajol. Namun, mereka bukan sahaja tidak menerima apa-apa arahan, malahan mereka gagal berjumpa dengan Tajol, sama seperti sukarnya mereka berjumpa Tajol ketika beliau masih menjadi Menteri Besar dulu.

Hari ini, Nasaruddin berjaya melakukan sesuatu yang tidak ada sesiapa memikirkannya. Nasaruddin bukanlah Zahid Hamidi atau Aziz Shamsuddin di Perak. Ketika menjadi Ahli Parlimen Parit, Nasaruddin hanya dilantik menjadi Pengerusi Felcra, jawatan tidak glamour.

Padahal, ketika Ainon Khariyah Mohd Abas menjadi Ahli Parlimen Parit, sekurang-kurangnya dia dilantik menjadi Setiausaha Parlimen.Ertinya, dalam politik Umno, Nasaruddin bukan setanding dengan nama-nama besar dari Perak tetapi apabila Nasaruddin berani bertindak melompat parti (dan diharapkan tidak berpatah balik walaupun dipujuk), namanya kini bolehlah dibariskan dengan nama besar seperti Allahyarham Datuk Panglima Bukit Gantang Abdul Wahab.

Keberanian Nasaruddin ini, jika mahu disamakan dengan tindakan beberapa bekas pemimpin Umno yang meninggalkan Umno dan menyertai Parti Melayu Semangat 46 seperti Datuk Zainal Abidin Zin, Datuk Saidin Mat Piah, Datuk Tajuddin Rahman dan Datuk Khalid Nasir juga tidak adil. Mereka yang menyertai Semangat 46, secara beramai-ramai tetapi Nasaruddin bertindak sendirian.

Jarang anak Melayu Perak berani bertindak sendirian seperti apa yang dilakukan Nasaruddin. Secara tiba-tiba, nama dan gambarnya menjadi bahan berita. Ketika ada kawan-kawannya menyifatkan dia sebagai pengkhianat, tetapi tindakan Nasaruddin sebenarnya banyak menyedarkan pemimpin-pemimpin Umno yang sedang lena.

Cerita mengenai Nasaruddin mahu meninggalkan Umno sudah kedengaran sejak sebulan yang lalu. Namun, Nasaruddin masih mengambil masa untuk melakukannya dan memberi peluang BN menghadapi PAS di dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Baguslah kalau Tajol Rosli membuat keputusan mahu melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak. Inilah yang dituntut Radzi ketika dia menyerang Tajol Rosli dahulu. Namun, pemimpin di Kuala Lumpur yang melantik Tajol Rosli seperti tidak ada telinga untuk mendengar desakan Radzi itu. Malahan, langkah awal yang pernah diambil bekas MB Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo tidak memberi kesan kepada Tajol.

Umno Perak sedang bergelora sebenarnya. Kes pemilihan Umno Bahagian Larut masih belum selesai. Pengunduran dan kekalahan beberapa penyandang jawatan Ketua Umno bahagian sudah cukup memberi gambaran, orang Umno Perak tidak mempunyai kekuatan untuk mempertahankan parti jika parti kalah. Mereka melarikan diri dari tanggungjawab apabila Umno dilihat lemah.

Semua orang sedang menunggu apakah tindakan Nasaruddin ini akan menjadi titik permulaan bagi beberapa ADUN lain lagi yang turut tewas dalam pemilihan Umno di peringkat bahagian? Seperti kata bekas Ketua Umno Bahagian Sungai Siput, Datuk Ahmad Fakeh Adam, jika ketua bahagian lebih penting dari ADUN, dia juga akan memikirkan alternatif untuk meneruskan perkhidmatannya kepada rakyat di DUN Lintang.

Jika Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Perak, Datuk Ramly Zahari bercadang mahu meneliti hanya calon yang setia sahaja dipilih menjadi calon, bererti Umno Perak sudah terlepas pandang sebelum ini, memilih calon yang mereka sendiri tidak tahu tahap kesetiaannya.

Ketika Ramly bercadang mahu meneliti setiap calon, Ramly sendiri tidak tahu apakah dia juga akan dicalonkan semula dalam PRU 13 yang akan datang dan jika Tajol Rosli tidak kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dalam tempoh terdekat, apakah Ramly masih kekal sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Negeri?

Bota sedang realisasikan 16 September, mampukah Nasharuddin seret Adun lain bersamanya?

Merdeka! MB Perak, Nizar Jamaluddin mengangkat tangan Nasharuddin tanda ukhwah sesama Pakatan Rakyat setelah beliau keluar meninggalkan Umno

RAKAN saya BADRUL MUNIR menyorot isu pelompatan Adun Bota, Nasharuddin Hashim ke dalam KeADILan: YB Nasaruddin Hashim kini menjadi tokoh penting memulakan episod baru dalam mewarnai lanskap politik negara. Beliau mengejutkan banyak pihak terutama Umno dan Barisan Nasional (BN). Umno khususnya ibarat jatuh ditimpa tangga. Sudahlah kalah di Kuala Terengganu menerima pula dengan nasib malang, kemasukan Nasaruddin dalam Pakatan Rakyat.


Sebelum ini, posisi Nasaruddin dalam keadaan cukup selesa ketika menjadi Pengerusi FELCRA dan Ahli Parlimen Parit. Beliau merupakan seorang yang berjiwa lembut dan mudah didekati. Barangkali jiwa dan peribadinya tidak sesuai berada dalam Umno.


Sebelum pilihanraya Mac 2008, pemerhati politik melihat Nasaruddin mempunyai potensi menggantikan Dato' Zaim Abu Hasan sebagai Ketua Umno Bahagian. Pengaruh beliau semakin meluas terutama selepas menjadi Pengerusi FELCRA. Laluan untuk menjadi Ketua Bahagian nampak cerah.


Kalau beliau kekal menjadi ahli Parlimen dan sekaligus menjadi Pengerusi FELCRA ternyata kewibawaan beliau lebih terserlah dari Zaim. Namun, laluan ini menjadi semakin payah apabila beliau tidak diberikan kepercayaan bertanding di parlimen Parit dalam pilihanraya umum lalu.


Beliau dialihkan bertanding di DUN Bota. DUN Bota adalah kubu kuat Pakatan Rakyat. Pemerhati politik berpendapat seolah-olah wujud konspirasi untuk menjatuhkan Nasaruddin apabila beliau bertanding di DUN Bota. Nasaruddin dilihat diturunkan pangkat daripada Parlimen bertanding di DUN.


Hal ini menunjukkan 'perang dingin' antara Dato' Zaim dengan Nasaruddin yang merupakan Timbalan Ketua Umno Bahagian sudah bermula sebelum pilihanraya lagi.


Memanglah sebelum pilihan raya Nasaruddin pernah menyatakan hasrat untuk tidak mencabar Dato' Zaim sebagai Ketua Umno Bahagian. Tetapi mana-mana ahli politik sudah tidak akan berdiam diri jika terdapat tekanan yang menggugat survival politiknya.


Beliau bukan sahaja diturunkan pangkat apabila hilang status sebagai ahli parlimen tetapi juga Pengerusi FELCRA walaupun ada janji semasa pilihan raya lalu untuk terus mengekalkan beliau sebagai Pengerusi FELCRA walaupun berada di DUN.


Sebenarnya Nasaruddin berjiwa lembut. Tetapi beliau sudah tentu tidak merelakan sahaja jika diri beliau 'dicantas' dan diperlakukan semahunya.


Justeru 'perang dingin' antara beliau dengan Zaim menjadi semakin panas setelah pilihan raya umum terutama menjelang Mesyuarat Tahunan Cawangan Umno. Dato' Zaim ingin memastikan ketua cawangan yang dipilih dalam mesyuarat agung cawangan terdiri daripada sekutunya.


Perebutan Ketua Umno Bahagian Parit semakin sengit apabila cawangan-cawangan Umno dari DUN Bota banyak menyebelahi Nasaruddin. Tetapi Dato' Zaim menguasai cawangan-cawangan Umno dalam DUN Belanja, selain sayap Pemuda dan Wanita Bahagian.


Sudah tentulah Dato' Zaim menang kerana mempunyai sokongan tersebut. Tetapi sebenarnya Nasaruddin kalah kerana beliau memang sejak awal lagi tidak ada 'political will' untuk mencabar ketuanya demi sayangkan parti.


'Perang dingin' dianggap akan berakhir setelah pemilihan ketua bahagian tetapi rupa-rupanya berlanjutan setelah itu. Cakap-cakap pemerhati dari kedai-kedai kopi di Bota mendakwa ramai pendokong Nasaruddin yang memegang jawatan ketua-ketua kampong akan digugurkan. Fenomena ini makin mengguris hati Nasaruudin.


Politik cantas mencantas dalam Umno ini memang tidak sesuai bagi Nasaruddin yang berjiwa lembut. Semasa menjadi Ahli Parlimen Parit dan Timbalan Ketua Bahagian Umno, beliau boleh dikatakan tidak menyerang PAS.


Beliau lebih suka bersikap rasional dan mengambil pendekatan lebih lunak dengan PAS. Persepsi beliau terhadap Pakatan Rakyat mula positif apabila melihat sendiri watak aktivis ahli-ahli parti yang berada dalam Pakatan Rakyat.


Ketika tragedi ribut di FELCRA Nasaruddin tahun lalu beliau melahirkan rasa kagum dengan kesungguhan Unit Amal PAS Kawasan Parit membantu mangsa rebut. Unit Amal melakukan kerja-kerja secara berpasukan bergotong-royong mendiri dan memperbaiki rumah yang dipukul ribut. Berbading dengan Umno ketika itu datang hanya untuk menjengukkan muka sahaja sekadar 'buat syarat' sahaja. Nasaruddin juga ada merungut, "di mana Pemuda Umno?".


Penyertaan Nasaruddin dalam Pakatan Rakyat adalah jawapan kepada tindakan-tindakan Dato' Zaim sebelum ini. Wibawa Zaim sudah tentu terjejas sekali lagi. Pada pilihan raya 1999, wibawa beliau sebagai pimpinan Umno Bahagian terjejas kerana di bawah kepimpinannyalah BN kehilangan ketiga-tiga kerusi, Dun Bota, Dun Blanja dan Parlimen Parit. Kali ini lebih memalukan lagi.


Nasaruddin bukan sahaja mengambil langkah yang tepat menyertai Pakatan rakyat tetapi masa yang diambil juga amat bersesuaian. Beliau memilih waktu yang paling segak selepas pilihan raya kecil Kuala Terengganu. Kekalahan BN mengesahkan lagi Umno sudah ditolak rakyat.

Pembunuhan Kugan bukan isu perkauman tapi soal kemanusiaan, mengapa ada yang harus berasa cuak?

Beberapa ahli keluarga A. Kugan mengiringi perarakan pengebumian dari PPUM ke krematorium di Batu 14 Puchong.

MURSYIDUL Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta semua pihak melihat isu pembunuhan Kugan sebagai soal kemanusiaan dan bukan soal agama, apa lagi perkauman. Tok Guru menggesa pihak berwajib dari kerajaan BN yang melakukan siasatan supaya menjalankannya dengan telus tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

"Pihak berkuasa tidak perlu menyembunyikan perkara sebenar di sebalik kematian Kugan. Langkah kerajaan menghalang dan mengenakan tindakan terhadap mereka yang menyertai perarakan mayat Kugan membuktikan kerajaan tidak telus," katanya. Ingatan Tok Guru ini suatu yang global sifatnya, universal dan patut dipuji.

Soal Kugan terlibat atau tidak dengan dakwaan mencuri kereta, Tok Guru tidak mahu menjadikan tindakan "membunuh" itu sebagai halal di sisi siapapun. Bersalah tetap bersalah dan ia patut diadili di mahkamah secara telus. Apa yang menimpa Kugan, ia sudah diadili lebih awal di luar kandang mahkamah.

Tok Guru Nik Aziz menyatakan rasa sedihnya terhadap pembunuhan Kugan "walaupun dia tidak sebangsa dan tidak seagama dengan kita, namun dalam Islam nilai kemanusiaan lebih diutamakan berbanding bangsa".
"Saya nak pergi sendiri (menziarahi keluarga Kugan) kebetulan keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan sekarang. Jadi saya akan hulurkan sumbangan berkenaan kepada wakil saya," katanya. Harap-harap Tok Guru dapat ziarahi keluarga Kugan bagi memberi sokongan moral dan membuktikan bahawa Islam tidak pernah mengasingkan sesiapapun mengikut bangsa atau agama.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menyifatkan pembunuhan Kugan sebagai tidak menghormati prinsip 'tak bersalah sehingga dibuktikan bersalah'.

"Apa kesalahan Kugan masih belum jelas. Prinsip 'tak bersalah sehingga dibuktikan bersalah' nampaknya tak dihormati. Media menggunakan tag line 'pencuri kereta mewah', untuk memberikan imej negatif kepada Kugan," kata Exco Kerajaan Kelantan itu.

Beliau menyifatkan kata-kata seperti itu menambahkan lagi luka dan kepiluan kepada keluarga Kugan dan masyarkat India juga. Husam juga membangkitkan jawapan di Dewan Rakyat pada tahun lepas, seramai 1,535 orang mati semasa dalam tahanan polis, hanya dalam tempoh 4 tahun iaitu 2003 hingga 2007.

"Adakah ini tidak menakutkan? Angkanya tak jauh dengan kematian ummat Palestin akibat serangan Israel!" katanya.

Jika pelbagai pihak menuntut penubuhan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja, ia lebih dari wajar, kata beliau.

Husam, yang turut menziarahi keluarga Kugan, mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dan lain-lain yang telah berkesempatan hadir di Hospital Universiti sebelum mayat Kugan di bawa ke tanah perkuburan.

Beberapa peguam PAS pula berada di balai polis untuk membantu mereka yang ditahan ketika perarakan mayat Kugan.

Kugan Ananthan yang mati dalam lokap polis baru-baru ini mungkin direjam ke dalam air seperti yang dilakukan ke atas tahanan dalam kem tahanan Guantanamo Bay, kata seorang pengamal perubatan kanan.

Menurut Malaysiakini, pengamal perubatan itu berkata, kepala Kugan yang ditahan berkaitan kes kecurian kereta mewah mungkin direjam ke dalam baldi berisi air seperti siksaan "water-boarding torture" (lihat gambaran pelukis) seperti yang dilakukan ke atas tahanan di Guantanamo Bay.

Walaupun pihak polis mendakwa Kugan mati disebabkan jangkitan paru-paru berair, tetapi Malaysian Insider melaporkan bahawa bedah siasat kali kedua di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) menemui kecederaan di bahagain luar tubuh Kugan. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini mengklasifikasikan kes kematian Kugan Ananthan dalam tahanan polis sebagai kes bunuh.

Reaksi orang ramai yang mengecam pembunuhan Kugan menyebabkan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar menyatakan pihaknya tidak mahu masyarakat menganggap mereka yang melakukan jenayah sebagai hero dan polis yang menguatkuasakan undang-undang pula sebagai syaitan. Kenyataan Syed Hamid itu dibidas oleh Ketua Penerangan PAS, Dato' Mahfuz Omar.
"Tidak timbul isu menganggap mereka yang melakukan jenayah sebagai hero. Isunya ialah kita membantah tindakan menyiksa orang yang disyaki. Saya ulangi, orang yang disyaki," tegas Mahfuz.

Saya tidak dapat mengikuti secara dekat perarakan mayat Kugan dari PPUM hingga ke Puchong. Tetapi, cukup tragis juga mengenangkan apa yang terjadi dan paling malang lagi, apa yang berlaku satu penganiayaan sesama manusia.

Guru-guru sekolah juga sudah lantang bantah PPSMI

Prof Dr Awang Seriyan dan Dato' A Samad Said pada majlis pelancaran kempen Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) di perkarangan SOGO, Sabtu lalu.

Guru-guru juga sudah berani lantang menentang dasar ini. 25 kesatuan guru sudah membantah. Perkembangan ini cukup menarik disoroti. Mantan Presiden Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat, Cikgu Nordin Mahmood yang kini Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan KeADILan cuba mengupas isu bantahan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains, Metamatik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Isu untuk menghapuskan PPSMI sudah agak berlarutan. Sehingga kini sejauh mana pembabitan tokoh-tokoh bahasa terlibat dalam menjayakan kempen Gerakan Mansuhkan PPSMI?

NORDIN MAHMOOD: Saya lihat sekarang ini Dato' Hassan Ahmad (Ketua Ekskutif Yayasan Karyawan), Bekas Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Shaharil Mohd Zain dan Pengerusi Gapena, Tan Sri Ismail Hussin turut terlibat.Mereka memainkan peranan dalam mencetuskan uasaha ini. Dan mereka ada autoriti, ada wibawa dalam memperkatakan isu ini. Sebab itu, rakyat mula bangkit dan sedar apa itu PPSMI. Ada perasaan ingin tahu, mengapa dan kenapa dengan PPSMI. Apa kesan buruknya terhadap anak bangsa, bahasa Melayu untuk 10 atau 20 tahun akan datang. Saya rasa ramai lagi tokoh bahasa seperti Dato' Nik Safiah Karim, Prof. Dato' Abu Bakar Hamid, Prof. Abdullah Hassan dan lain-lain yang serius dalam memperjuangkan isu ini.

Setelah ia dipolitikkan, sebagai satu strategik untuk mendapat perhatian pihak kerajaan, setakat hari ini, apa respons kerajaan terhadap kempen Gearakan Mansup PPMSI (GMP) ini?

Tidak ada! Satahu saya tiada apa-apa respons dari kerajaan. Lagi pun Menteri Pelajaran, Dato Seri Hisyamuddin Husein sendiri berkata dia tidak akan tunduk dengan bantahan dan ugutan. Saya rasa agak susah juga.Inilah respons yang ada. Kerajaan BN tidak akan akur dengan tuntutan rakyat untuk hapuskan PPSMI. Maknanya, kerajaan akan teruskan tanpa mempedulikan nasib anak bangsa, masa depan bahasa Melayu secara jangka panjangnya.Kalau kerajaan mahu mansuhkan PPSMI ini, tentu sekali Hisyamuddin atau Pak Lah sudah umum sempena Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu baru-baru ini untuk kebaikan mereka. Ini tidak berlaku.Tetapi nampaknya di Terengganu tidak ada cerita pun. Yang kita dengar hampir semua orang menentang. Malah BN tak berani nak terima memorandum GMP untuk mansuhkan PPSMI ini.Kita tidak nampak kumpulan mana yang menyokong usaha GMP ini dari dalam Umno. Maknanya, mereka (BN dan Umno) masih mahu PPSMI ini diteruskan...

Kita tengok sokongan padu dari tokoh-tokoh bahasa dan orang-orang politik saha yang beriya-iya mahukan PPSMI ini dihapuskan. Bagaimana dengan golongan guru di sekolah? Menentang atau akur?

Ya! memang ramai yang tidak bersetuju. Dia orang akui sebab dia orang yang menjalankan tugas (mengajar). Ada kesam buruki. Itu yang menjadi masalah kepada mereka. Mengajar tapi anak murid tak juga faham. Kebanyakan guru-guru bercerita bahawa pengajaran tersebut tidak mendatangkan kesan. Tak ada kebaikan. Malah menyusahkan pelajar, dan menyusahkan guru-guru untuk mengajar.Terutamanya di kawasan luar bandar kerana murid-murid itu datang daripada keluarga yang tidak tahu bahasa Inggeris. Jadi macam mana? Ajar dalam bahasa Melayupun sukar untuk meningkatkan pencapaian mereka dalam matematik dan sains, inikan pula dalam bahasa Inggeris. Tentu janggal.Masalah tidak faham itu berlaku. Dalam kajian yang dilakukan oleh Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) di seluruh negara mendapati 60 hingga 70 peratus pelajar luar bandar atau pelajar di bandar yang tidak tahu bahasa Inggeris tidak faham subjek sains dan metamatik.Jadi untuk apa PPSMI ini diperkenalkan? Kalau nak bagi mereka mahir bahasa Inggeris, patutnya pelajar ditekankan pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah. Itu lebih tepat. Ini menunjukkan kesannya tidak ada tetapi tidak diambil kira oleh Kementerian Pelajaran. Kita tidak tahu di mana rujukkan kerajaan untuk meneruskan PPSMI.

Macam mana penerimaan ibu bapa? Yang jelas menentang hanya tokoh-tokoh bahasa tetapi kalangan ibu bapa kurang jelas dan rencam. Mungkin saudara ada maklumat?

Secara keseluruhannya ibu bapa yang mempunyai anak-anak bersekolah sangat tidak berpuas hati. Bahkan keputusan peperiksaan sekarang inipun meragukan mereka.Contohnya, seorang bapa yang berjumpa dengan saya mengatakan biasanya dalam ujian tahunan anaknya tidak pernah mendapat A. Tetapi dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini anaknya mendapat 3 A. Apa ertinya itu?Banyak andaian boleh dibuat. Ada yang kata skema pemarkahan direndahkan dan macam-macam lagi. Tapi apa gunanya semua itu? Tidakkah kita mempertaruhkan masa depan anak-anak bangsa kita dengan keputusan yang tidak seiring dengan kepandaian mereka? Bolehkah nanti mereka bersaing?

Jadi, memang ramai guru menentang pelaksanaan PPSMI ini?

Ya! Boleh dikatakan guru-guru menentang. Ini kerana kebanyakan guru-guru bukan berlatar belakangkan pendidikan bahasa Inggeris. Mereka datang daripada pendidikan yang lama iaitu bahasa Melayu. Pendidikan yang menggunakan bahasa Melayu itu merupakan bahasa pengantar. Jadi guru-guru terpaksa menjalankan tugas dalam bahasa Inggeris. Ini menyukarkan mereka.Apabila mengajar dalam bahasa Inggeris murid tidak faham. Jadi mereka terpaksa campur-aduk. Apabila bercampur-aduk dengan sendiri merosakkan bahasa.

Mengapa guru-guru hanya berani bantah secara senyap?

Tidak. Sebelum ini ada 25 kesatuan guru membuat bantahan kerana tidak bersetuju dengan PPSMI. Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat juga menolak keputusan tujuh resolusi Jawatankuasa Persidangan Meja Bulat yang dibuat baru-baru ini.Tindakan kesatuan itu sudah dilaporkan media. Nampaknya mereka sudah berani membantah biarpun dahulu mereka diam. Ini patut diambil perhatian oleh pihak kerajaan.

A Samad Said ajak rakyat tunjuk protes di peti undi jika demo PPSMI Mac ini gagal!

Sasterawan Negara, A Samad Said sudah bersuara, turun padang untuk menggerakkan rakyat membantah PPSMI atau menurunkan BN pada PRU Ke-13 nanti

SASTERAWAN Negara, Dato' A Samad Said mengajak rakyat negara ini keluar pada pilihan raya umum akan datang dan membuat perhitungan terakhir jika demonstrasi besar membantah dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris Mac ini masih gagal menarik perhatian kerajaan.

Jika masih gagal, ia perlu diterjemahkan dalam pilihanraya, sebagai kuasa yang terakhir. Gunalah undi secara bijaksana," kata Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dipetik sebagai berkata kepada sebuah laman web berita

A Samad menyifatkan perhimpunan raksasa 100,000 rakyat yang diusahakan oleh Gabungan Mansuhkan PPSMI (GMP) Mac depan sebagai wajar setelah semua sumber lain telah digunakan tetapi tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan yang ada

Bekas editor kanan Berita Harian dan pengarang pelbagai genre kreatif itu juga menyangkal tanggapan bahawa tindakan berdemonstrasi seperti GMP atau Gapena sebagai "tidak rasional".

A Samad Said, Hassan Ahmad, Awang Seriyan & Anwar Redhuan istihar 'perang' dengan dasar bebal BN, PPSMI di SOGO petang tadi








KETIKA saya tiba di SOGO, orang ramai sudah mengerumuni Presiden Gerak Mansuh PPSMI (GMP), Dato' Hassan Ahmad. Wartawan dan juru gambar antara yang melekat keliling kelalang beliau untuk mendapatkan kenyataan dan gambar terkini Hassan dan tokoh bahasa lainnya di perkarangan SOGO itu.

Bersama Hassan adalah tokoh-tokoh pejuang bahasa yang secara terang-terangan memperjuangkan isu membantah PPSMI ini. Dulu mereka mungkin 'bersembunyi', bukan takut apa tetapi tidak menonjolkan diri dengan harapan kerajaan BN akan mengkaji semula dasar yang merugikan bangsa Melayu ini.

Tetapi, sifat kerajaan BN yang sememangnya degil dan enggan tunduk dengan desakan dan asakan pejuang bahasa, dsecara angkuh dan bongkak BN terus melaksanakan dasar bebal PPSMI. Ia mula dipraktikkan di sekolah-sekolah pada tahun 2003 hingga kini.

Pelbagai kajian oleh UPSI dan pihak lain dikemukakan kepada kerajaan tentang buruk dan teruknya dasar PPSMI itu. Bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan malah bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan semangat pendidikan di negara ini. Oleh kerana degil, atau memang sudah tiba ajalnya, Umno tidak peka lagi dalam isu-isu bahasa seperti ini.

Inilah sebab mengapa tokoh-tokoh bahasa kini berkumpul menentang PPSMI yang diperkenalkan oleh Tun Mahathir Mohamad. Mereka bersatu hati dan berpadu bagi mempastikan PPSMI ini hapus dari bumi Malaysia tercinta.

Selain Hassan, kelihatan hadir Sasterawan Negara, Dato' A Samad Said. Beliau agak tegar kini, pandangannya tajam dengan menegaskan kepada rakyat Malaysia, jika demontrasi membantah PPSMI Mac ini gagal menarik perhatian kerajaan BN, maka peti undi adalah jawapan terbaik untuk membetulkan keadaan.

Apakah maksudnya? Undilah parti-parti Pakatan Rakyat dan jangan pangkah simbol dacing kerana mereka enggan tunduk kepada suara rakyat. Itulah agaknya maksud tersirat kenyataan A Samad Said itu.

Selain A Samad Said yang jadi perhatian umum itu, hadir sama termasuklah Prof. Dr Abdullah Hassan, Prof. Dr. Shaharil Mohd Zin, Dr. Awang Sariyan, Dato' Dr. Anwar Redhuan, Husni Abas, Ainon Mohamad, penggiat teater, Khalid Salleh, Disnman dan ramai lagi.

ebih 500 orang hadir memberikan sokongan moral di hadapan pintu masuk utama SOGO. Orang ramai yang menunggu lebih awal sejak jam 2 petang, terkilan kerana tiada ucapan dan pekikan demontrasi. Malah tiada sepanduk, poster dan pelekat disibukkan. Phamplet juga amat kurang.

Pihak polis memberikan kerjasama baik hingga ke semua bersurai jam 5 petang. Beberapa kali polis cuba meleraikan agar media meninggalkan tokoh-tokoh bahasa itu bagi mengelakkan lebih ramai orang awam yang singgah dan berpadu sama pada demontrasi itu. Namun ia berlarutan hingga jam 5 petang.

Saya bertemu beberapa orang kenalan lama, berjabat tangan dengan tokoh-tokoh bahasa sambil mengucapkan syabas atas keberanian yang begitu luar biasa itu mereka. Tersua juga, mantan Pengetua Sek. Men. Sultan Muzaffar Shah Lambor Kanan, Bota Parit, Cikgu Ani yang berkejar dari Ipoh semata-mata untuk bersama-sama menyertai demontrasi membantah PPSMI ini

Umumnya, semangat baru orang Melayu dalam isu ini, perlu ditangani segera oleh parti-parti dalam Pakatan Rakyat. ia tidak boleh dicicah secara acuh tak acuh. Ini kekuatan baru, kesegaran tegar untuk memacu kuasa menjatuhkan BN pada pilihan raya umum ke 13 akan datang.