Presiden PAS tetap yakin dalam negara ini, pemimpin negara adalah dari kalangan orang Melayu dan Islam memandangkan mereka golongan majoriti. Maka realiti ini sudah disepakati semua. Menyusur segala isu, tokoh karismatik PAS ini mahu PAS mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama kita mengambil sikap terbuka dengan pihak-pihak lain seperti NGO-NGO dan parti-parti di luar Pakatan Rakyat seperti Umno dalam perkara yang memberikan kebaikan kepada Islam, rakyat dan negara. Turut mempersoalkan bakal Perdana Menteri ke 6 dan beliau tidak yakin dengan Obama. Ikuti interbiu eksklusif TARMIZI MOHD JAM dan IRWAN MUHAMAD ZAIN bersama Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang di Pejabat Ketua Pembangkang, BangunanParlimen, 10 November lalu.
Boleh kita mulakan Dato' Seri. bercakap tentang Retreat PAS Pusat yang baru diadakan Jumaat dan Sabtu lalu, di Langkawi. Apa tujuan dan objektif sebenar retreat sebigin diadakan?
DATO' SERI HJ ABDUL HADI: Retreat yang diadakan di Langkawi baru-baru ini bukanlah yang pertama diadakan pada tahun ini. Kita telah mengadakan beberapa kali dan saya rasa ini adalah yang kedua untuk tahun ini. Yang pentingnya, retreat ini diadakan untuk mengemaskan lagi pentadbiran dan pengurusan parti selain kita mengkaji strategi yang lalu dan juga mengatur strategi yang akan datang. Retreat ini menumpukan kepada tiga aspek yang dibincangkan dalam ucapan dasar yang saya bentangkan iaitu mengukuhkan parti kita sendiri yang semakin berkembang dan mendapat sambutan yang baik seperti yang kita lihat dalam pilihanraya umum yang lalu, di mana kita diamanahkan untuk mengetuai tiga buah negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak.
Ini merupakan satu amanah yang besar dan mesti dilaksanakan sebaik-baiknya. Kita meminta ketiga-tiga buah negeri yang kita terajui ini mengukuhkan kerjasama sebaik-baik mungkin berpandukan siasah syariah. Kelantan kita memerintah sepenuhnya. Kedah dengan cara yang tersendiri dan Perak dengan cara tersendiri. Begitu juga Selangor dan Pulau Pinang. Dimana pelaksanaan siasah syariah perlu difahami oleh pemimpin-pemimpin di negeri-negeri yang saya sebutkan tadi. Kita melaksanakannya mengikut sejauh mana kekuasaan kita di negeri-negeri terbabit.Kita juga bincang tentang strategi untuk menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kita membincangkan bagaimana caranya untuk kita mengekalkan kerusi-kerusi yang telah kita menangi.
Negeri-negeri yang telah kita perintah. Kita juga mengenal pasti dimana kelemahan kita setakat ini dan kita juga berbincang tentang strategi untuk menawan kerusi-kerusi yang tidak kita menang, tapi kita berpotensi untuk menang dalam pilihanraya akan datang.
Apa yang boleh dilakukan pada Kelantan, Kedah dan Perak, negeri-negeri yang PAS menang?
Apa yang boleh dilakukan pada Kelantan, Kedah dan Perak, negeri-negeri yang PAS menang?
Bagi negeri-negeri yang kita menang, kita bincang untuk mengurus dan mentadbir dengan lebih baik serta kita juga berbincang untuk mendapat dan meningkatkan sokongan rakyat dinegeri-negeri tersebut selain kerusi yang kita mampu menangi.Dalam hal ini, kita juga akan mengukuhkan kerjasama dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat dan dalam masa yang sama kita mengambil sikap terbuka dengan pihak-pihak lain seperti NGO-NGO dan juga parti-parti yang tidak berada dalam Pakatan Rakyat seperti Umno dalam perkara yang memberikan kebaikan kepada Islam, kepada rakyat dan kepada negara. Kita akan bersama jika menghadapi masalah dalam soal ini.
Hasil retreat ini, apa keputusannya?
Rumusannya seperti yang saya katakan tadi, saya minta Menteri-Menteri Besar di negeri-negeri Pakatan Rakyat ini mengadakan pertemuan dan PAS akan menyelaraskan pertemuan ini, Insya-Allah.Yang kedua, Jabatan Pilihanraya PAS Pusat (JPPP) akan mengkaji dengan lebih teliti berdasarkan 'post mortem' pilihanraya yang lalu dengan kita melihat perkara-perkara yang positif yang perlu kita pertingkatkan lagi dan perkara-perkara yang negatif yang perlu kita baiki untuk mencapai kemenangan.Yang ketiga, kita bersetuju untuk meningkatkan lagi Kelab Penyokong PAS kerana kita lihat dalam pilihanraya yang lalu sokongan dari masyarakat bukan Islam kepada calon PAS mencapai peningkatan dari segi undi.
Malah kita lihat peningkatan undi yang kita terima ini juga disebabkan oleh penerimaan masyarakat bukan Islam terhadap dasar-dasar yang diperjuangkan oleh PAS iaitu Islam. Mereka ini memberikan sokongan kepada kita bila melihat kejayaan PAS memerintah Kelantan yang terbukti Islam tidak meminggirkan penganut agama lain. Kita bersetuju untuk meningkatkan fungsi Kelab Penyokong PAS ini menjadi sebuah badan yang penting dalam parti bukan kerana jumlah undi yang kita terima tetapi kerana kita lihat mereka memainkan peranan yang penting dalam usaha mengukuhkan parti dan mendapatkan kepercayaan dari masyarakat bukan Islam.
Dikesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PAS Kedah khususnya PAS Langkawi yang banyak membantu menjayakan retreat baru-baru ini.Apa yang mereka lakukan merupakan satu latihan pengurusan yang baik dan saya ucapkan terima kasih serta tahniah.
Macam mana pula dengan keputusan yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura tentang membuka keahlian kepada masyarakat bukan Islam?
Macam mana pula dengan keputusan yang sudah diputuskan oleh Majlis Syura tentang membuka keahlian kepada masyarakat bukan Islam?
Sehingga hari ini masyarakat bukan Islam sudah selesa menjadi ahli Kelab Penyokong PAS. Itu merupakan satu kemajuan di mana kita perlu kegiatan-kegiatan untuk memperkasakan Kelab Penyokong PAS tersebut.
Mutakhir ini, banyak isu-isu yang dikatakan berbau perkauman dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin BN. Ia ditujukan kepada Umno khususnya dan menjurus kepada mempersoalkan isu sosial kontrak antara kaum. Apa sikap PAS dalam perkara ini?
Sikap PAS adalah jelas melalui kenyataan-kenyataan saya dan ucapan-ucapan saya iaitu ketuanan ini bukan hanya milik orang Melayu tetapi milik semua kaum. Kalau kita bincang soal ketuanan, ia mestilah ketuanan semua kaum, tak kira Melayu, Cina dan India atau kaum-kaum lain kerana mereka ini juga rakyat negara ini. Jadi PAS lebih ke arah memperjuangkan ketuanan rakyat bukan ketuanan satu kaum sahaja.
Oleh kerana majoriti rakyat adalah Islam maka dalam soal ini PAS tetap dengan pendirian kepimpinan Islam. Tetapi bukan bermakna kita akan meminggirkan agama lain. Kita menghormati agama lain dan penganutnya cuma kepimpinan yang PAS perjuangkan adalah kepimpinan Islam kerana ianya sudah menjadi dasar kita.Sebagaimana yang disebut oleh ulama-ulama fekah, yang membincangkan sabda Nabi Muhammad S.A.W yang telah dihuraikan oleh Ibnu Khaldun yang dianggap bapa kepada ilmu sosiologi, yang menjadi rujukan kepada ilmu politik, ilmu ekonomi dan ilmu yang berkaitan dengan kemasyarakatan.
Beliau mengatakan di zaman awal Islam, kaum yang paling ramai menganut Islam adalah kaum Quraisy jadi pemimpin yang dipilih adalah dari kaum Quraisy. Jadi bila sudah ada kaum lain yang menganut Islam dan kaum Arab pula semakin lemah, maka kaum lain pula dipilih menjadi pemimpin tetapi masih lagi penganut Islam.Sebagai contohnya Sallehuddin Al-Ayubi daripada kaum lain. Ada juga pemimpin yang dipilih dari kalangan kaum yang menjadi hamba. Amerika baru sekarang melantik Obama yang datang dari bangsa yang menjadi hamba sedangkan Islam seribu tahun dulu sudah pun mengangkat golongan hamba menjadi pemimpin.
Maknakan Tuan Guru menegaskan orang yang layak untuk memimpin negara ini mesti dari kalangan Melayu beragama Islam... Begitu?
Ya. Begitulah dalam negara ini, kerana Islam dan Melayu merupakan yang majoriti maka pemimpin Islam dan Melayu yang diangkat menjadi pemimpin negara. Perkara ini telah diterima oleh semua pihak, kita lihat MCA, MIC dan Gerakan pun menyokong pemimpin Umno yang beragama Islam dan berbangsa Melayu menjadi Perdana Menteri. Cuma Umno meletakkan Islam di belakang tak seperti PAS yang meletakkan Islam menjadi keutamaan, di depan. Itu yang tak betul dengan Umno. Islam diletakkan di belakang dan hanya memperjuangkan ketuanan Melayu sahaja sedangkan kalau kita bercakap tentang ketuanan mesti untuk semua kaum kerana mereka juga rakyat negara ini.
Jadi, kaum lain selain Melayu tak boleh memimpin negara ini? Itu dalam konteks sekarang. Bagaimana pada masa akan datang, masyarakat dan lanskap politik berubah?
Di Malaysia ini, kalau satu masa nanti orang Melayu sudah semakin kurang menguasai ilmu termasuk ilmu Islam dan kaum lain pula semakin ramai memeluk Islam dan menguasai semua bidang ilmu, maka tidak menjadi masalah lagi untuk diangkat kaum lain menjadi pemimpin dengan syarat mereka adalah Islam.
Jadi konsep ketuanan Melayu tidak selari dengan ketuanan Islam. Begitu?
Ya. Jelas sekali ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno itu tidak serasi dengan ketuanan Islam.
Sebagai Parti Islam terbesar dan duduk bersama dalam Pakatan Rakyat, bagaimana apa yang dikatakan ketuanan Islam ini dapat membantu dan memandu Pakatan Rakyat membentuk sebuah kerajaan yang adil?
Ini dapat dilihat sendiri apabila rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menerima PAS memimpin tiga buah negeri iaitu di Kelantan, Kedah dan Perak. KeADILan di Selangor, DAP di Pulau Pinang. Yang uniknya adalah di Perak, biarpun DAP mempunyai 18 buah kerusi Dun, KeADILan tujuh kerusi dan PAS hanya enam buah kerusi sahaja tetapi rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat menerima pemimpin PAS untuk menerajui Kerajaan Negeri Perak dengan menjadi Menteri Besar. Yang lebih menarik lagi ianya juga diterima oleh Raja-raja Melayu.
Di sini kita melihat Tuanku Sultan lebih memahami konsep ketuanan Islam berbanding dengan pemimpin Umno. Ini suatu keadaan yang sangat menarik. Bukan PAS mahu menonjolkan diri tetapi hakikat politiknya Raja-raja Melayu menerima Islam kerana tuanku sebagai ketua agama Islam telah memainkan peranan yang besar.
Tidakkah penglibatan Istana ini dengan politik, suatu yang dilarang?
Tidakkah penglibatan Istana ini dengan politik, suatu yang dilarang?
Peranan yang besar ini perlu diteruskan biarpun Sultan atau Istana tidak boleh terlibat dalam politik tetapi mereka boleh campur dalam urusan politik. Pemisahan politik dan agama merupakan ajaran barat bukan ajaran Islam. Kalau dalam ajaran Islam, politik dan agama tidak boleh dipisahkan dan ini lebih difahami oleh Raja-raja Melayu berbanding dengan pemimpin Umno itu sendiri.
Baru-baru ini, semua ahli parlimen Pakatan Rakyat mengambil keputusan untuk keluar dari dewan kerana memboikot Menteri Kewangan, Dato' Seri Najib Tun Razak kerana enggan memberi ruang penjelasan ketika beliau menggulung perbahasan bajet 2009. Bagaimana Dato' Seri melihat sikap tidak demokratik Najib itu sedangkan beliau bakal menjadi Perdana Menteri keenam Mac depan?
Saya rasa di situ ada yang tak kena dengan apa yang telah dilakukan. Sepatutnya peruntukan tambahan dibahas dalam ruang yang lain bukan dibahas dalam bajet yng telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan terdahulu iaitu Perdana Menteri.Kalau ada penambahan ia ada peruntukan untuk membahaskan peruntukan tambahan bajet dalam sesi yang lain. Bila bahas tentang bajet ini jangan campur dengan peruntukan tambahan kerana ianya satu perkara yang berbeza.Yang keduanya, saya difahamkan kerana saya tak dapat hadir disebabkan masalah kesihatan; Najib tidak memberikan ruang untuk dikemukan soalan penjelasan.
Sepatutnya jika ada soalan penjelasan, beliau perlu memberikan ruang untuk soalan itu ditanyakan. Beliau sepatutnya berani untuk memberi ruang kepada soalan penjelasan sepertimana yang telah dilakukan oleh Menteri Kewangan sebelum ini iaitu Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan juga Tun Mahathir.Sepatutnya Najib perlu berani dan mengambil contoh Abdullah dan Mahathir yang memberikan ruang kepada pemimpin pembangkang untuk bangun meminta penjelasan.
Apa sikap PAS terhadap "Belanjawan Tambahan" Najib itu?
Apa sikap PAS terhadap "Belanjawan Tambahan" Najib itu?
Saya berpendapat, kerajaan BN telah menunjukkan kelemahan sendiri. Di masa mengalami krisis harga minyak, kerajaan menaikkan harga minyak dengan tergesa-gesa dan tinggi serta membuat bajet seolah-olah harga minyak akan terus naik. Ini menunjukkan kerajaan BN tidak mempunyai pandang yang jauh, bukan hanya jauh, dekat pun tidak ada. Sepatutnya bajet yang dibentangkan mestilah fleksible yang boleh mengalami naik turun. Tetapi ianya bajet yang jumud. Bila dunia mengalami krisis ekonomi, kerajaan BN menjadi gelabah dan tidak bersedia untuk menghadapi krisis ekonomi global ini.
Bagaimana Dato'Seri melihat "Belanjawan Alternatif" yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat mampu untuk memulihkan ekonomi negara masa kini?
Pada saya, kita mempunyai hak untuk memberikan pandangan kita sebagaimana pihak lain berhak untuk memberikan pandangan mereka. Ini kerana kita merupakan sebuah negara demokrasi. Jadi kita mempunyai tanggungjawab kepada negara bukan hanya kerajaan tetapi juga pembangkang kerana sebarang kebaikan kita akan terima bersama dan sebarang keburukan kita akan tanggung bersama.
Dengan sebab itu kita berhak mengemukakan cadangan bajet ini dari sudut pandangan kita. Dan kerajaan sewajar mengambil kira cadangan yang dikemukan oleh pembangkang untuk memperbaiki bajet yang telah dibentangkan. Ini merupakan amalan demokrasi yang sebenarnya.
Sekalipun harga minyak sudah turun beberapa kali. Tetapi harga barangan keperluan masih cukup menyenakkan rakyat. Adakah ini bukti salah urus tadbir dan tidak peka kerajaan BN?
Sekalipun harga minyak sudah turun beberapa kali. Tetapi harga barangan keperluan masih cukup menyenakkan rakyat. Adakah ini bukti salah urus tadbir dan tidak peka kerajaan BN?
Memang ini salah urus tadbir. Ia merupakan satu pandangan yang amat singkat. Memang bukan mudah untuk menurunkan harga barang apabila harga minyak turun kerana semasa harga minyak naik, dengan sendiri harga barang akan naik kerana penjual-penjual ini membeli barangan mereka pada kadar harga ketika harga minyak yang sudah naik.
Bila harga minyak turun, barangan yang mereka beli ketika harga minyak tinggi tentunya masih ada dalam simpanan. Jadi bagaimana mereka hendak menurunkan harga? Takkan kita nak paksa mereka turunkan harga dengan serta merta. Ianya juga merupakan satu bebanan kepada rakyat. Ini yang berlaku bila salah urus negara dan ekonomi kerana gelabah dan tidak mempunyai pandangan yang jauh.
Harapan yang tinggi diberikan oleh rakyat kepada pengganti Perdana Menteri. Namun umum melihat, soal wibawa dan integriti bakal Perdana Menteri ke 6 ini terus dipertikai. Apa komen Dato' Seri?
Harapan yang tinggi diberikan oleh rakyat kepada pengganti Perdana Menteri. Namun umum melihat, soal wibawa dan integriti bakal Perdana Menteri ke 6 ini terus dipertikai. Apa komen Dato' Seri?
Syarat untuk menjadi pemimpin dalam Islam yang harus menjadi contoh semua pihak adalah seseorang itu bukan hanya seorang yang beriman tetapi seorang yang berakhlak, seorang yang mempunyai kewibawaan besar. Oleh kerana itu, kitab-kitab politik Islam dan kitab-kitab hadis Islam membenarkan pendedahan terhadap ketokohan seseorang dan pendedahan tentang keburukan seseorang. Ini dibenarkan dalam Islam supaya seorang pemimpin negara yang akan dipilih mesti diadakan pendedahan itu bagi memastikan beliau dapat memikul tanggungjawab dan amanah yang besar.
Kita dapati disesetengah negara barat, pendekatan ini dilaksanakan seperti di Amerika, seorang calon itu akan dihadapkan kepada kongress untuk mengetahui latar belakang pemimpin itu. Oleh sebab itu saya rasa perlu seorang pemimpin itu dibuktikan bahawa mereka bersih dan mempunyai wibawa untuk memimpin negara.
Perkembangan selepas pilihanraya umum lalu, seolah-olah rakyat sudah mahukan perubahan kepada sistem dua parti seperti di Amerika dan Britain. Tetapi di negara ini, Umno seolah-olah mahu terus berkuasa dan Perdana Menteri pula mestilah dari Presiden Umno. Apa komen Dato' Seri dalam soal ini?
Perkembangan selepas pilihanraya umum lalu, seolah-olah rakyat sudah mahukan perubahan kepada sistem dua parti seperti di Amerika dan Britain. Tetapi di negara ini, Umno seolah-olah mahu terus berkuasa dan Perdana Menteri pula mestilah dari Presiden Umno. Apa komen Dato' Seri dalam soal ini?
Saya tidak mahu campur urusan Umno. Tetapi Umno yang mengakui mereka berjuang untuk agama dan bangsa perlu melakukan apa yang saya sebutkan sebelum ini. Umno hari ini semakin reput dari dalam. Dengan pelbagai masalah seperti amalan politik wang dan skandal pemimpin. Umno sudah memerintah dari dulu sampai sekarang.
Sepatutnya, sudah bertukar. Kita lihat di Amerika contohnya, pemerintah bertukar dari Repubulikan kepada Demokrat atau Demokrat kepada Republikan. Begitu juga di Britain, bertukar-tukar dari parti Buruh kepada Konservatif dan sebaliknya. Jadi kita harap di Malaysia juga akan mengalami perubahan seperti ini.
Barrack Obama telah memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Apa harapan PAS dengan kemenangan tokoh kulit hitam ini?
Barrack Obama telah memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Apa harapan PAS dengan kemenangan tokoh kulit hitam ini?
Saya tidak mempunyai harapan yang tinggi kepada Obama biarpun saya kagum dengan amalan demokrasi di Amerika yang menyebabkan seorang pemimpin kulit hitam berjaya menduduki Rumah Putih.Saya juga akui dari segi kempen yang dijalankan oleh Obama lebih berjaya menarik lebih ramai pengundi muda berbanding McCain. 67 peratus berjaya ditarik. Ini berdasarkan apa yang saya baca di internet.Mereka mahukan perubahan. Dan Obama telah mengemukakan agenda masa depan. Bukan masa kini.
Perubahan untuk menangani krisis ekonomi yang berlaku di Amerika.Tetapi, dari segi pengurusan dasar luar dan kententeraan, Obama tidak mempunyai kuasa untuk membuat penentuan. Jadi saya tidak ada harapan yang tinggi Obama akan mampu membuat satu perubahan besar dalam hubungan dengan Asia Barat, menyelesaikan isu Palestin, Iran, Iraq dan Afghanistan.
Bahkan di sana ada kenyataan-kenyataan yang beliau mahu meraih undi Yahudi, Zionis untuk menang pilihan raya. Ini kerana budaya pilihan raya di Amerika mestilah menyokong Israel barulah seorang itu mendapat dokongan yang kuat.Kalau kita lihat ketika kempen juga, Obama begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan dari kalangan Yahudi untuk menang pilihanraya kerana budaya pilihanraya Amerika perlu mendapat sokongan Yahudi.
Maknanya harapan dunai Islam untuk melihat Obama memulih dan membetulkan pandangan jahat Barat terhadap islam sepertiu yang ditanamkan oleh Bush selepas peristiwa serangan WTC itu tidak akan berhasil...
Maknanya harapan dunai Islam untuk melihat Obama memulih dan membetulkan pandangan jahat Barat terhadap islam sepertiu yang ditanamkan oleh Bush selepas peristiwa serangan WTC itu tidak akan berhasil...
Tak boleh berhasil. Ini kerana dia lebih menumpukan perhatian isu dalaman untuk pulihkan ekonomi dalam pilihan raya. Saya tidak yakin Obama mampu memulihkan keadaan di Palestin bahkan mungkin ianya akan menjadi lebih teruk.Selepas menang jawatan Presiden Amerika yang ke 44, Obama telah melantik Pengarah Urusan White House dari kalangan yang begitu fanatik dengan Yahudi. Ayahnya bekas pengganas yang melakukan pembunuhan beramai-ramai. Dimana individu ini dari keturunan yang pernah melakukan keganasan terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan Yahudi.
Jadi kesimpulannya, saya tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap Obama dalam politik antarabangsa khususnya untuk memulihkan hubungan dengan negara-negara Islam.Saya difahamkan, beliau bukanlah orang yang berpengalaman dengan dasar luar. Sedangkan kita berkait dengan antarabangsa. Dan kita bersedia untuk hadapi cabaran, mungkin lebih hebat...
Maksud Dato' Seri "mungkin lebih hebat tu macam mana"?
Maksud Dato' Seri "mungkin lebih hebat tu macam mana"?
Saya bimbang, kita tidak boleh anggap satu uslub damai. Mungkin kita akan berdepan dengan uslub yang lebih keras di masa akan datang.
1 ulasan:
Eloklah kalau mahu bekerjasama :-)
Selamat Tahun Baru 2“00”9 :-)
Kite Pakat Undi BN Deh :-)
http://pro-faizal.blogspot.com
Takkan Melayu Hilang Di Dunia
http://TeamPemudaUMNO.blogspot.com
Tiada ‘Hantu’ Di Kuala Terengganu ;-)
http://Forum1Malaysia.blogspot.com
Catat Ulasan