KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Januari 05, 2009

Nizar bantah Najib: Tanah bukan kuasa pusat tapi kuasa negeri

Hubungan baik antara saya dan Profesor Dr Abdul Aziz Bari memudahkan saya untuk mendapatkan komen terkini berkenaan isu-isu semasa.

TIMBALAN Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak menerima tamparan hebat apabila Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamalauddin meneruskan rancangannya memberi hak milik pegangan kekal kepada 11 penduduk Kg Baru Kuala Sungai Rui di Gerik, Perak.

Amaran Najib sebelum ini kepada Kerajaan Perak yang melarang berbuat demikian, bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang, malah ianya tidak diendahkan sebaliknya penyerahan geran tersebut dilihat sebagai 'bantahan' Nizar terhadap amaran Najib itu.
Pemberian geran itu adalah permohonan awal yang diluluskan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) membabitkan keluasan setiap lot tanah kira-kira 90 meter persegi. Nizar berkata pada satu majlis, pemberian geran bagi permohonan selebihnyaakan dibuat secara berperingkat-peringkat selepas mendapat kelulusan PTG masing-masing.

Tanah yang terletak di bawah bidang kuasa negeri-negeri adalah jelas kedudukannya dan perkara ini dinyatakan oleh Perlembagaan Persekutuan serta diperincikan oleh undang-undang, khususnya Kanun Tanah Negara 1965. Amaran Najib itu, turut disokong oleh Profesor Dr Ahmad Atory Hussein dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Saya bergegas menghubungi pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari minta penjelasan dan merujukkan isu ini. Beliau berkata perlembagaan dan undang-undang jelas menyatakan bahawa bidang kuasa tanah adalah milik negeri. Ini diperkuatkan oleh undang-undang termasuk Kanun Tanah Negara 1965 yang merupakan status utama mengenai pentadbiran tanah. Kedudukan ini juga, kata Aziz lagi, telah disahkan oleh mahkamah.

"Jadi saya tidak nampak bagaimana kerajaan pusat dan agensi-agensi di bawahnya boleh menekan dan mengarahkan kerajaan-kerajaan negeri untuk mengikut kehendaknya," ujarnya.

Aziz berkata amalan sejak merdeka telah memperkasa ketiga-ketiga elemen undang-undang tadi. Beliau berkata Najib sendiri pernah menjadi Menteri Besar Pahang (1978-1982) dan beliau semestinya arif tentang kedudukan sebenar.
Dalam pada itu mahkamah telah menangani banyak kes di mana tanah diambil oleh kerajaan negeri dan kemudian diberikan kepada syarikat-syarikat untuk dimajukan.
Ditanya mengenai Majlis Tanah Negara yang disebut oleh Timbalan Perdana Menteri Aziz berkata, "Kalau kita baca Perkara 91 Perlembagaan Persekutuan adalah jelas bahawa majlis tersebut diberi tugas untuk membentuk dasar – yang perlu dibuat melalui perbincangan dengan kerajaan-kerajaan negeri – bagi peringkat kebangsaan mengenai pengggunaan tanah bukan mengenai pembahagian hak milik tanah sebagaimana yang menjadi isu di Perak sekarang".
Profesor undang-undang itu berkata sekiranya Kerajaan Persekutuan hendak menentang kerajaan negeri cara yang betul ialah dengan membawa kerajaan negeri Perak ke mahkamah dan biarkan mahkamah menentukannya.
"Ini diperuntukkan oleh peruntukan perlembagaan yakni Perkara 128 dan 130 di bawah Perlembagaan Persekutuan", katanya. Aziz berkata Majlis Tanah Negara hanya diberi tugas untuk membentuk dasar dan memberi nasihat.
"Ia tidak mempunyai kuasa untuk memaksa atau mengarahkan kerajaan-kerajaan negeri," ujar Aziz lagi.

Tiada ulasan: