Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu, kedua-duanya Exco Kerajaan Perak yang diuar-uarkan sebagai hilang sejak beberapa hari ini dan dikhuatiri diculik oleh BN dengan pelbagai tawaran menarik bagi membendung lompatan Nasharuddin Hashim.
DALAM sibuk semua orang menganalisa dan bercerita tentang penghijarahan (lompat) Adun Bota, Nasharuddin Hashim ke dalam KeADILan, rupa-rupanya ada cerita baru tentang kehilangan dua Adun KeADILan yang juga Exco Kerajaan Perak sejak empat hari lalu membimbangkan bukan saja oleh parti KeADILan tetapi juga oleh ahli keluarga mereka.
Ini pendedahan Ketua Perhubungan KeADILan Perak, Osman Abdul Rahman yang turut dilaporkan oleh Malaysiakini dan Suara KeAdilan. Kedua-dua exco tersebut ialah Jamaluddin Md Radzi dan Osman Jalu. Mereka juga dibabitkan dengan kes rasuhan ketika Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh dan menjadi isu kontroversi.
Menurut Osman, pihaknya menjangka kehilangan itu ada kaitan dengan cubaan Barisan Nasional (BN) memujuk mereka dengan imbuhan termasuk tawaran wang ringgit. Kemungkinan ini tidak dapat disangkal kerana logiknya ada. Jika alasan menarik Nasharuddin Hashim untuk menggantikan mereka berdua sebagai exco, maka sudah tentulah kedua-dua mereka 'berkecil hati' dan membuka langkah lain untuk survival politik mereka.
Barangkali, orang awam menolak kemasukan Nasharuddin tiada kaitan langsung dengan persediaan KeADILan untuk menggantikan dua exconya yang sedang disiasat oleh SPRM. Soalnya, adakah kejayaan menarik Nasharuddin itu dijadikan suatu 'pengesahan' bahawa dua exco tersebut sudah tidak dapat diselamatkan lagi dari tindakan mahkamah?
Maknanya, mereka berdua akan terpalit dan dijatuhkan hukuman. Lantaran itu, Nasharuddin dan beberapa Adun BN lain giat dipancing untuk mempastikan kerusi dua exco terbabit dapat diganti.
“Kami percaya ada usaha-usaha oleh Barisan Nasional untuk memujuk kedua-dua exco ini bagi menyertai BN dan sebagai imbuhan terdesak Najib Tun Razak termasuk menggugurkan kes rasuah mereka berdua,” kata Osman dalam sebuah kenyataan akhbarnya sebenatar tadi.
Kedua exco tersebut ditangkap dalam satu serbuan meragukan menjelang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh tahun lepas. Kes mereka akan dibicarakan bermula 10 Februari depan.
“Dari awal lagi kami amat yakin pertuduhan dalam kes tersebut adalah satu pertuduhan palsu yang direkacipta oleh Umno dan BN sebagai satu ugutan politik. Namun kami berharap kedua-dua pemimpin ini berada dalam keadaan selamat dan berpegang teguh kepada prinsip perjuangan parti selama ini dan tidak terperangkap dengan mujslihat Umno/BN yang kononnya inginkan penyertaan mereka untuk membela nasib Melayu,” tambah beliau.
Sehingga kini, tiada sebarang maklumat tentang ke manakah perginya mereka berdua? Adakah diculik atau dikuarantin oleh BN untuk dirundingi dengan tawaran menarik 'melompat' ke dalam BN bagi menggantikan lompatan Nasharuddin Ahad lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan