KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 28, 2007

Terkenang Perjalanan Mengaji di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya

Rozlan Mohd Noor, rakan sepengajian saya, kini menjadi Editor di Utusan Publications & Ditributions Sdn. Bhd.

Anak Kelantan yang aktif dan lincah...

Ketika menginterbiu Pak Zaid Zahari di rumahnya. Kalau dah wartawan, editor dan penulis tu, takdak lain mesti bertemu orang dan berbual...


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

BLOG SanggahTokSago yang saya kendalikan ini nampaknya mendapat banyak respon. Pro dan kontra. Itu perkara biasa bagi saya. Bagi semua penulis dan karyawan. Kritikan adalah teman mujarab dalam penulisan. Ia tangkal azimat yang menajamkan lagi ungkapan, komen dan usikan.

Seorang teman akrab saya sewaktu kami "mengaji" di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dulu, Rozlan Mohd Noor menghantar emeil kepada saya. Katanya, dia terlihat blog saya dan membaca ke semua artikel dan komen yang terkandung dalam blog itu.

Puja dan puji melantun habis. Katanya, bolehlah meluahkan isi hati tanpa tapisan sesiapapun. Ini sudah cukup bagus untuk seorang penulis yang inginkan kebebasan berkarya, ujarnya lagi.

Setelah sekian lama menghilang, rupa-rupanya kini beliau salah seorang Editor di Utusan Publication & Distributtors Sdn. Bhd. Beliau menerbitkan banyak buku-buku novel kreatif dan sesiapa yang ada manuskrip novel, boleh menghubungi beliau. Rozlan adalah anak Kelantan yang berbakat.

Kali terakhir saya ketemu beliau ketika kami sama-sama menyertai Kursus Penulisan Buku Teks anjuran Bahagian Buku Teks (BBT), Kementerian Pelajaran di sebuah hotel terkemuka di Port Dickson pada tahun 2004. Saya mewakili Salaseh Millennium Sdn. Bhd. dan beliau mewakili sebuah syarikat... Kami tinggal sebilik.

Saya adalah mahasitua yang bergaul dengan adik-adik seperti Rozlan. Ada seorang lagi mahasitua yang mengaji bersama-sama saya pada waktu itu, yang kini tidak diketahui di mana dan ke mana dia pergi. Hanya ada dua orang sahaja mahasitua pada sesi saya "mengaji" dulu.

Namanya Tuan Norizan, anak Kelantan juga. Maklumlah dulu kini dan selamanya, anak Kelantan tetap menguasai Universiti Malaya.Ke mana-mana sahaja pergi, loghat Kelantan mengatasi loghat-loghat lain malah menenggelamkan Bahasa Malaysia standard itu sendiri...

Sebelum "mengaji" di Jabatan Pengajian Media itu, Tuan Norizan banyak menulis dan mengulas isu-isu sastera, cerpen di dada-dada akhbar seperti Utusan Malaysia, Berita Harian dan kadang-kadang di Dewan Sastera.

Tuan Norizan tidak seperti seorang lagi rakan saya, Uttayar Shankar SB. Dia juga dari Jabatan Pengajian Media. Sekarang ini hari-hari keluar televisyen TV1 pada sebelah pagi. Beliau mengulas berita-berita dari pelbagai media cetak untuk para penonton. Biasanya dia digandingkan dengan Hasyim Hanafiah dan beberapa orang lagi.

Bahasa Malaysianya indah, cermat dan betul berbanding rakannya, Hasyim Hanafiah yang sering kali melalut dan tidak betul sebuatannya. Uttaya berbangsa India tetapi fasih berbahasa Melayu. Dia berasal dari Klang sama seperti rakan saya Ann Wan Seng. Fasih juga berbahasa Melayu dan berasal dari daerah yang sama.

Sekitar tahun 1996 dulu, saya juga turut menyertai RTM sebagai Editor Dunia Jam 10 dan kemudiannya dipindahkan menjadi Editor Berita Perdana dan Berita Jam 6 TV1. Saya masuk RTM ketika itu dibawa oleh Zin Hasyim, seorang kuat PAS di Taman Melewar yang cukup terkenal karenah dan keletahnya di Angkasapuri.

Waktu itu, Ketua Bilik Pengawal Berita ialah Muhamat Mat Husein, orang Kelantan juga. Sekarang sudah pencen. Saya terserpak beliau di sebuah Restoran Nasi Padang, dekat Petaling Jaya setahun yang lalu.

Ketika di Dunia Jam 10, saya bertugas bersama Shahbudin Husin dan Ustaz Ismail, orang Kelantan juga. Di meja Berita Perdana dan Jam 6, saya bertugas bersama Radzi Ismail, Mohd Noor Hassan, Wan Bukhari dan dua orang editor gigih, lebih muda dari saya. Mereka suami isteri bertugas di situ (tak ingat sungguh namanya). Orang Melaka.

Ketika itu, saya masih mengaji di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih pada Ketua Jabatan, Prof Madya Abdullah Tahir (allahyarham), yang telah memberi peluang untuk saya "mengaji" di menara gading.

Hubungan saya dengan beliau tidak panjang, beliau meninggal dunia mengejut di rumahnya kira-kira jam 2 pagi. Kami memanggilnya sebagai Pak Lah sahaja. Dia anak Kelantan dan penggiat sastera yang cergas. Ada jawatan dalam Gapena.

Saya sungguh terkilan hingga kini, kerana kata Shauki Abdul Majid, Penolong Pengarah YADIM yang juga kolumnis tersohor Utusan Malaysia setiap hari Jumaat, Pak Lah berpesan kepadanya agar meminta saya (Tarmizi) boleh menemuinya di pejabat atau di mana-mana.

Kata Shauki untuk bersembang-sembang pasal politik. Mungkin ada sebab lain, Shauki sendiri tidak tahu. Akhirnya, beberapa hari selepas itu, saya menerima panggilan telefon dari Shauki, memberitahu Pak Lah sudah meninggal dunia di rumahnya, di Subang Jaya.

Shauki adalah rakan saya yang berhati mulia dan telah banyak membantu saya. Dialah yang memperkenalkan saya dengan Pak Lah dan memberi "lubang" untuk melanjutkan pengajian saya di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.

Shauki pada waktu itu, baru sahaja menamatkan pengajiannya di jabatan itu. Dia adalah anak saudara kepada Datuk Dasuki Ahmad, mantan Yang Dipertua YADIM. Saya diperkenalkan kepada Shauki oleh Eksekutrif Pejabat Agung PAS, Syed Mohamad Syed Hassan. Shauki dan Syed adalah anak Kelantan juga.

Ketika itu Shauki adalah Editor Majalah Ad-Dakwah terbitan YADIM. Saya diberi peluang banyak menulis dan menyumbangkan karya kreatif dan melakukan interbiu khas. Shauki juga pernah menemukan saya dengan Datuk Dasuki di pejabatnya. Kami bersembang pasal politik PAS dan Umno. Dasuki seorang yang lemah-lembut dan tidaklah peramah sangat...

Kini, Majalah Ad-Dakwah sudah "dimatikan" oleh Yang Dipertua YADIM yang baru, Datuk Haji Nakhaei Ahmad. Dia menerbitkan pula Mellenia, Aniqa' dan Wawasan Ummah. Nampak macam disawstakan. Berbual dengan Nakhaei tidak membosankan. Kali akhir saya bertemu di kantin Pusat Islam, secara tidak sengaja. Kami berbual-bual. Seperti biasa, dia akan bertanya saya perkembangan dalam PAS...

Inilah seronoknya jadi wartawan dan penulis. Ramai kenalan dan banyak cerita yang boleh diungkapkan.

Kesempatan ini saya ucapkan jutaan terima kasih tidak terhingga kepada rakan-rakan pensyarah saya, Prof. Madya Dr. Hamedi Adnan yang kini jadi Ketua Jabatan Penerbitan UM. Dr. Abu Hasan Hasbollah yang kerap diundang oleh Fenomena Seni (Norsyam Noor) TV2 dan teruskanlah retorik dan hujah-hujah melawan arus kerana ia amat menarik.

Prof Madya Dr. Azizah Hamzah, Prof Madya Datuk Abu Bakar Latiff (jadi Ketua Jabatan menggantikan Pak Lah), Salleh Rahmat yang selalu mengajak saya berfikiran kreatif, anak Chemor Ipoh. Prof. Madya Dr. Mohd Asri Othman, Prof Khoo Kay Kim yang mengajar saya subjek sejarah. Prof Madya Amida Abdul Hamid dan ramai lagi yang memberi ilmu dan menajamkan lagi minat saya dalam media dan kewartawanan.

Juga khas buat Norbaithi Baharuddin yang sarat dan kaya dengan keletah kelitih tersendirinya sewaktu mengajar... Khabarnya, telah berhenti dari UM?

Akhir sekali, selamat menjalani ibadah puasa Ramadhan Al Mubarak dan Idufitri 2007 kepada rakan-rakan sepangajian dulu di Jabatan Pengajian Media, kepada pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan yang mengenali saya sewaktu di kampus dulu. Anda boleh hubungi saya melalui emel editorxkutif@yahoo.com.my

Ustaz Mat Basir Rahmat Mentalqinkan Megat Junid Megat Ayub Di Parit

Zaim pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Ramli. Maka ikatan ini menjadikan terpaksa “melacurkan” Parit untuk Umno Pasir Salak. Untuk Ramli. Asalkan kerusi Zaim di Dun Blanja tidak diusik dan jika menang dilantik EXCO Kerajaan Negeri

Pemecatan Anwar Ibrahim dari kabinet dan Umno telah membentuk arus deras reformasi. Anwar jadi mangsa konspirasi pihak atasan. Antara nama yang dikaitkan ialah Megat Junid Megat Ayub....

Tarmizi Mohd Jam (kanan) dulunya Ketua Penerangan PAS Parit, adalah penggerak utama kemenangan PAS melalui Ustaz Basir Rahmat menumbangkan Megat Junid dalam pilihan raya umum 1999. Gambar sewaktu beliau dan Pengarah Pilihan Raya PAS Wilayah, Cikgu Ishak Surin menyerahkan Memorandum Membantah Kempen 50 Tahun Merdeka kepada Menteri KekWa (Memo diterima oleh Jamuddin Idris, Setiausaha Akhbar, Rais Yatim) di pejabatnya

Mahathir dikatakan bersetuju untuk meletakkan Megat Junid bertanding di Parit, dan beliau adalah tok guru Megat dalam politik Umno hinggalah dia menjadi Menteri Hal Ehwal Pengguna

Gambar terbaru... Kelihatan Megat Junid letih, pucat dan tidak bermaya dalam suatu program baru-baru ini. Beliau kini menghadapi sakit barah. Semoga beliau terus selamat dan dilindungi Allah SWT! Bila nak masuk PAS?


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

CUKUP menarik politik hari ini. Yang kalah dalam pemilihan, mengaku mahu bersara, sambil menyindir seseorang; “Saya tidak sanggup untuk terus berkecimpung dalam politik disebabkan politik wang.”

Seolah-olah mereka yang bercakap mengenai politik wang itu, tidak terlibat dengan gejala jijik ini. Tetapi pada masa yang sama, mereka juga sebenarnya turut menabur wang disamping janji ketika pertandingan berlangsung.

Pada hemat saya, tiada seorangpun yang dapat menafikan mereka tidak terlibat dengan politik wang dalam Umno. Cuma mereka tidak “ditangkap” kerana “terlepas” dan bukan disebabkan tidak melakukan kesalahan.

Sambil bergurau, seorang kawan saya memberitahu; “Ramai yang memandu tanpa lessen memandu tetapi tidak ramai yang ditahan ketika sekatan jalan raya.”

Apakah anda masih ingat dengan Tan Sri Megat Junid Megat Ayub? Jawatan akhirnya dalam kabinet ialah Menteri Hal Ehwal Pengguna dan kawasan parlimen akhir yang ditandinginya ialah P066 Parit (Perak). Dia adalah mantan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pasir Salak dibawah Tan Sri Ramli Ngah Talib yang sekarang dibekukan sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Megat tumpas ditangan Ramli sewaktu pertandingan merebut jawatan Ketua Bahagian Umno Pasir Salak, kira-kira selepas pilihan raya umum 1999. Setelah kecundang, Megat menyatakan hasratnya untuk bersara politik.

“Saya akan menolak sebarang desakan untuk meminta saya bertanding dalam pilihan raya,” ujar beliau dalam satu kenyataan. Bagi saya, Megat bukanlah dari golongan yang bernasib baik. Bintangnya kelam dan akhirnya gelap “gulita”.

Sepanjang menjadi orang kuat Tun Mahathir, saya difahamkan, dia hanya diamanahkan selain dari menjadi Setiausaha Politik paling lama kepada Tun, menjadi Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan akhirnya menteri penuh mengetuai Kementerian Hal Ehwal Pengguna. Khabarnya, Tun amat sayang dengan anak Pasir Salak ini.

Sejak kalah dalam pilihan raya umum 1990 di kawasan orang lain, diarah bertanding iaitu Parlimen Parit, dia kemudiannya kecundang lagi dalam mempertahankan kerusi MKT Umno dalam pemilihan tahun 2000 berikutnya.

Selepas dua kali kalah, akhirnya perwakilan Umno cawangan-cawangan dalam Pasir Salak menolaknya sekali lagi sebagai Ketua Umno Bahagian itu. Kekalahan ketiga berturut-turut ini memberi signal kepada Megat Junid supaya dia bersara dan menggunakan masa lapangnya itu untuk mendekati anak-anak dan dua isteri tersayangnya.

Paling menarik, bagi saya ialah bukan sahaja Megat Junid yang mahu bersara tetapi mantan Menteri Besar “lembik” macam Pak Lah juga mahu bersara jika ditakdirkan tumpas ditangan Megat ketika pertandingan itu.

Dalam ucapan penggulungannnya, Ramli menegaskan; “Saya akan menghantar surat perletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri jika saya kalah…” Walaupun masih kekal sebagai Ahli MKT ketika itu, dan Timbalan Pengerusi Umno Perak, Ramli nampak “berkecil hati” dengan Megat Junid yang pernah ditolonginya.

Menurut cerita orang-orang Hilir Perak, Megat Junid memulakan karier politiknya di Alor Setar dan bukan di Perak. Apabila dipilih bertanding di Parlimen Pasir Salak, Ramlilah antara orang yang cukup kuat bekerja bagi mempastikan Megat Junid menang besar.

Sampailah Megat menapak tinggi dalam politik dengan menjawat jawatan Timbalan Menteri dan akhirnya Menteri, sebelum tewas dalam pilihan raya pada 29 November 1999 di Parit. Megat ditumpaskan oleh Ustaz Mat Basir Rahmat, Yang Dipertua PAS Kawasan Parit dan mantan guru agama Sek. Tunku Abdul Rahman (STAR) Ipoh.

Bermula dari kekalahannya di Parit itulah, bintang Megat mulai suram dan padam. Ustaz Basir yang dikatakan amat berpengaruh menjelang pilihan raya itu, menjadi “hantu jembalang” yang menaikkan bulu roma ketakutan Megat diperingkat awal dia berkempen di Parit.

Cuba bayangkan, dalam satu pertemuan Umno Cawangan Padang Marhum, Teluk Bakong, bertempat di Dewan Orang Ramai, sewaktu kempen pilihan raya 1999 itu, seorang ahli Umno bangun sambil menuding jari menunjuk kepada Megat dengan kata-kata demikian; “Yang mike Megat datang ke Parit ni, ngape? Orang Parit dah takde yang codik, yang pandai ke? Keme tak akan undi mike kali ni. Umno Parit bodoh, ade kawasan bagi orang luo. Dulupun bagi orang luo,” bentak si ahli Umno tersebut.

Yang ada pada waktu itu, kalau tidak silap saya, selain Megat sendiri ialah calon BN Bota, Cikgu Ismail Hasbullah yang saya tentang dalam pilihan raya umum 1995 di Dun Bota, Datuk Zaim Abu Hassan, calon Dun Blanja yang juga Ketua Bahagian Umno Parit dan beberapa orang kuat Umno Parit dan orang kuat Megat Junid sendiri.

Saya waktu itu, Ketua Penerangan PAS Parit. Setelah saya tewas dalam pilihan raya umum 1995 ditangan cikgu saya, Cikgu Ismail, saya terus menggerakkan jentera penerangan dengan menganjurkan ceramah kecil-kecilan dan ceramah umum sekitar Parit. Hinggalah pada tahun 1997, aktiviti penerangan makin diligatkan lagi.

Sewaktu muncul bonus politik kepada pembangkang, ketika Anwar ditangkap dan dipecat pada tahun 1998 jentera penerangan kami makin sibuk dan sampir saban malam ceramah dan aktiviti parti diadakan di Parit. Ceramah pada waktu itu bagaikan pesta, orang kampong turun padang berduyun-duyun tanpa mengira lelaki dan perempuan termasuklah JKKK Umno.

Kawan-kawan di Kuala Lumpur, selalu mengusik kalau ditengok dalam Dairy Harakah, macam seolah-olah negeri Perak itu, hanya Parit sahaja yang aktif. Ini kerana dua tiga iklan program PAS Parit tersiar setiap kali Harakah terbit. “Ada sesaje programnye!”

Inilah yang menakutkan Megat bila masuk Parit. Apa tidaknya, saban malam, Ustaz Basir diusung berceramah ke merata Parit, sedangkan Megat baru terkial-kial membetulkan kesilapan Ainon Khariah, emak saudara Ramli Ngah Talib (Ketua Wanita Umno Pasir Salak) yang dipaksakan kepada Umno Parit beri laluan bertanding di kawasan ini pada pilihan raya 1990.

Pendek kata, Parit terus jadi sebahagian dari pemerintahan Umno Pasir Salak. Maka suku-sakat Ramli di Pasir Salak yang gila nak jadi calon, akan dihantar ke Parit. Mereka mahu bertanding tetapi kawasan Pasir Salak tidak boleh menampung kerana calon-calon mantapnya sudah ada.

Mahu tidak mahu, Ramli menggunakan pengaruhnya sebagai Ketua Perhubungan Umno Perak, mengasak Ketua Umno Parit, Zaim, anak didiknya dulu beri laluan itu.

Zaim pernah menjadi Setiausaha Politik kepada Ramli. Maka ikatan ini menjadikan Zaim terus longlai dan lembik. Zaim terpaksa “melacurkan” Parit untuk Umno Pasir Salak. Untuk Ramli. Asalkan kerusi Zaim di Dun Blanja tidak diusik dan jika menang dilantik EXCO Kerajaan Negeri.

Inilah nasib Umno Parit yang berketuakan pemimpin yang tiada prinsip dan jati diri tempatan. Apabila hidungnya sudah dicucuk, maka mudahkan Ramli menariknya ke hulu dank e hilir. Hingga kini, Zaim masih terus kekal sebagai EXCO kecuali musim beliau tewas pada 1999 dahulu.

Selepas kalah teruk dan bintang Megat padam, dia menghabiskan masanya menulis buku. Menceritakan semula sumbangan dan jasanya kepada Umno dan kepada Anwar Ibrahim, ketika Anwar mula menyertai Umno.

Saya difahamkan juga. waktu itu, selepas gelap “gulita” membungkus politiknya, dikatakan Megat suka sangat dalam bualan dan sembang-sembangnya kalau dapat menyindir Ramli dan sesekali membuat dakwaan Ramli jadi MB Perak kerana sokongannya.

Megat juga sering mendakwa, Ramlilah yang telah meletakkannya bertanding di Parit walaupun tahu peluang calon BN menang cukup tipis. Namun, ada pula yang mendakwa Tun Mahathir sendiri yang bersetuju Megat bertarung di Parit kerana Tun amat percaya, sebagai seorang menteri, di manapun dia diletakkan pastinya akan menang.

Pada hemat saya, Megat sendiri setuju juga ke Parit, sebab dalam hati kecilnya berkata-kata Umno akan menang kalau kerja kuat dan mustahil Umno dan BN sudah patah taringnya dek kerana isu pemecatan Anwar.

Megat lupa, dia tidak terfikir yang orang Parit sudah marah dengan wakil rakyat Umno sebelum itu, Ainon Khairiyah, emak saudara Ramli Ngah Talib yang banyak “menyakitkan hati” orang Parit terutama pemimpin Umno Bahagian.

Selepas kalah, barulah Megat Junid tahu rupa-rupanya undi orang Parit amat berharga dan bernilai. Kempen-kempen drastik lebih setahun lamanya di Parit, telah memberi kekuatan kepada orang Parit membuat keputusan. Mereka diasak oleh pelbagai penceramah dari pelusuk Malaysia, berceramah serata Parit, kampong dan taman, markaz dan rumah perseorangan.

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih atas sokongan dan kerjasama rakan-rakan dan penceramah memenuhi undangan saya ketika itu untuk mengisi program di Parit.

Macam Dato’ Fadhil Mohd Noor (allahyarham), Dato’ Hassan Ali, Ann Wan Seng, Ibnu Muslim (allahyarham), Cikgu Ezam Ahmad, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Subri Arshad, Dr. Lo Lo, Ustazah Kalthom, Zunar, Ahmad Lutfi Othman, Haji Subky Latiff, Ustaz Hassan Shukri, Ustaz Taib Azamuddin, Ustaz Tuan Man Tuan Ibrahim, Yusuf Husein, Ustaz Harun Taib, Ustaz Husein Awang, Haji Mustapha Ali, Mohsinon Tahir, Ustaz Wan Jamil, Ustaz Ibrahim Mahmood, Ustaz Zulkifli Yaakob, Ustaz Bunyamin Yaakob (allahyarham), Cikgu Ishak Surin, Ustaz Idris Ahmad.

Macam Ir. Khalid Samad, Ustaz Tarmizi Shamsuri (allahyarham), Ustaz Misbahul Munir, Akil Hai, Gobala Krisnan, Ustazah Mariam, Kamal Koh, Salahuddin Ayub, Haji Mahfuz Omar, Dr. Daeng Sanusi Daeng Mariok, Pak Chik Jamal, Ustaz Mokhtar Senik, Haji Mohd Sabu, Shahnon Ahmad dan ramai lagi.

Kebanjiran ceramah bertubi-tubi itu terus mendapat sambutan, ditambah pula aktiviti Rawatan Percuma yang dianjurkan sebagai produk baru ketika itu untuk mendekati masyarakat. Ternyata ianya berjaya seperti kita tidak boleh dinafikan aktiviti ceramah kecil mahupun mega yang ditaburkan ligat hingga beberapa pemimpin PAS Parit “memusuhi” saya kerana terlalu banyak ceramah dan menyusahkan mereka. Malah, ada yang “memboikot” atas alasan peribadi.

Inilah yang memadamkan bintang Megat Junid. Kini, Megat diserang penyakit kanser. Tubuhnya susut dan kelihatan pucat. Insya-allah, dalam tulisan berikutnya nanti saya nukilkan perkembangan terkini Megat dan politik PAS Parit menjelang pilihan raya 1999 dulu.

Apa yang jelas, tumpasnya Megat ditangan Ustaz Basir Rahmat telah memadamkan kepercayaan akar umbi Umno di Pasir Salak dan telah tidak melayakkan beliau dilantik oleh Tun ke sebarang jawatan kabinet. Tidak lagi boleh jadi menteri. Adatlah… dalam Umno bila kamu jatuh, dipijak-pijaklah dek orang lagilah.

Parit mengubah segala-galanya untuk Megat. Jika dia menang, maka itulah tangkal dan azimatnya. Saya yakin Tun akan melantik dia menteri penuh di kementerian paling berpengaruh dan jika Megat menentang Ramli selepas itu, pastinya dengan mudah dia menguis mantan MB Perak yang tidak bermaya dan suka dengar cakap isteri itu.

Bersambung…

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

Rabu, September 26, 2007

Bila Dr. Lo Lo Jadi Pesuruhjaya PAS Wilayah dan Yang Dipertua PAS Titiwangsa…

Datuk Presiden dan Setiausaha Agung PAS patut memikirkan kelayakan dan kebolahan Dr. Lo Lo sebagai Pesuruhajya PAS selepas ini...

Haji Subky Latiff tentu bersetuju agar kelainan dipamerkan dalam kepimpinan PAS Wilayah Persekutuan pada masa depan

Dr. Lo Lo Dato' Haji Mohd Ghazali adalah anak Parit, Perak yang berkaliber dan punyai masa depan politik yang gemilang di Pusat dan Wilayah Persekutuan

Haji Mohamad Nor adalah rakan saya. Sebagai penulis, saya amat berharap, tulisan ini tidak disalah ertikan. Beliau baru nak masuk dua penggal memimpin PAS Wilayah.


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

TIADA apa-apa kekurangan atau kelemahan pada Pesuruhjaya PAS Wilayah sekarang, Haji Mohamad Nor Mohamad. Dulu, beliau adalah Timbalan Pesuruhjaya ketika Pesuruhjaya dikepalai Haji Subky Latiff.

Haji Mohamad Nor adalah rakan saya. Sebagai penulis, saya amat berharap, tulisan ini tidak disalah ertikan. Beliau baru nak masuk dua penggal memimpin PAS Wilayah. Setakat ini, agak sukar untuk mengukur atau diukur pembaharuan dalam pemerintahannya.

Namun, komentar saya ini tiada kaitan langsung dengan beliau. Barangkali, jika beliau undur atau tidak dilantik semula, ada baiknya difikirkan penggantinya. Ramai juga antara pemimpin penting PAS jadi Pesuruhjaya Wilayah. Antaranya Haji Subky Latiff, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, Haji Ismail Abdullah dan mungkin ada lagi yang saya tidak ingat.

Saya memikir dan berfikir, dengan cara saya untuk melihat keupayaan Dr. Lo Lo Dato’ Haji Mohd Ghazali, salah seorang Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi menggantikan Haji Mohamad Nor, jika beliau undur diri pada masa hadapan.

Saya rasa, Haji Subky Latiff yang pernah bertanding bersama saya di Parlimen Parit dalam pilihan raya 1995 dulu, setuju dengan saranan saya dalam tulisan ini. Sebab beliau antara Pesuruhjaya pertama melantik Timbalan Pesuruhjaya PAS dari kalangan muslimat iaitu Puan Normah, isteri kepada Haji Mohamad Sabu dan kini diulangi Haji Mohamad Noor dengan melantik Hajjah Salbiah Abdul Wahab ke jawatan yang sama.

Kecundangnya Dr. Lo Lo dalam perebutan jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat tahun lalu, tidak bererti beliau sudah diketepikan. Haji Mohamad Sabu juga pernah beberapa kali bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda PAS Pusat tetapi tumpas. Itu dalam kampong politik pemuda, tidak dalam arus perdana PAS itu sendiri.

Akhirnya, Haji Mohamad Sabu diterima sebagai Naib Presiden PAS, jawatan nombor tiga penting dalam parti. Dr. Lo Lo bukan mahu bertanding Naib Presiden, tetapi atas fikiran saya elok baginya diberi peluang memimpin PAS Wilayah Persekutuan. Itu sahaja.

Entah mengapa, saya begitu tertarik dengan suatu keunikan jika Dr. Lo Lo ditabalkan menjadi Pesuruhjaya PAS dalam wilayah yang kompleks dan kosmopolitan ini. Dr. Lo Lo memang dikenali ramai dan seorang yang professional dalam kerjayanya.

Namun, dalam politik, professional hanyalah menjadi “ajinomoto”, perencah untuk menyedapkan lagi gaya politik yang dipersembahkan. Saya belum nampak, seorang yang kerjayanya professional, melahirkan gerakerja politik yang professional juga.

Ini kerana politik adalah persepsi. Jika gaya professional itu ditandai dengan kertas kerja, power point, proposal, red ocean atau blue ocean dan sebagainya, sebenarnya telah lama ada tokoh PAS yang bekerja dan membentangkan segala macam program secara professional.

Soal gerakerja, tetap diurus oleh orang yang tidak professional dan segala macam resipi professional, hanya tinggal dalam power point untuk persembahan demi persembahan sahaja. Power hilang entah ke mana, point tiada diketahui.

Isu professional bukan mauduk saya dalam tulisan ini. Saya terpanggil untuk memberi peluang kepada Dr. Lo Lo menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah atas kebolehannya, barangkali penampilan profesionalnya itu mampu menarik lebih ramai sokongan wargakota terutama golongan wanita yang menjadi pengundi perkasa di Wilayah.

Wargakota ada macam-macam kelas. Kelas buruh, kelas atasan, kelas tidak bekerja, kelas professional, kelas pelacur, siswa-siswi, kelas bisnes, badan-badan bukan kerajaan dan lain-lain kelas bilis, gelama, jenahak, talipia hinggalah ke kelas toman dan jerung yang bertaburan.

Kesediaan pemimpin mendekati segala macam kelas ini, patut diterokai atau dilanjutkan. Ia bergantung kepada tokoh berkenaan, mampu atau malu. Dikenali atau tidak! Kelemahan PAS ketara ialah tidak mahu berkawan dengan kelompok-kelompok baru seperti kelas-kelas yang saya sebut tadi.

Dari pemerhatian saya, PAS seolah-olah mahu semua kelas-kelas tadi yang datang kepadanya. Bukan PAS yang datang kepada mereka. Ini disebabkan oleh watak kepimpinan yang ada. Pengalaman rakan saya, Haji Azmi Azman Johari, dulunya Ketua Penerangan PAS Wilayah, cukup berharga untuk menjiwai isu ini.

Ramai kenalannya dalam NGO’s, melihat PAS secara ganjil. Pemimpin PAS tidak mesra dan sukar didekati (ikut persepsi anda, betul atau tidak). Jika komen ini diterjemahankan dan disingkap betul-betul, amat ralat sebuah perjuangan Islam tidak bergerak dengan aspirasi rakyat secara praktikal seperti yang dilakukan oleh Ikwanul Muslimin di Mesir.

Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang patut memikirkan hal ini. Ketokohan Dr. Lo Lo di Wilayah, sukar disangkal oleh sesiapapun. Beliau boleh berinteraksi dengan pelbagai NGO’s dan pelbagai aras lapisan masyarakat.

Apatah lagi, jika dikerapkan aktiviti Rawatan Percuma dan ceramah kesihatan disegenap taman dan lorong, NGO’s dan institusi, saya yakin Dr. Lo Lo mampu mengauk sokongan mainstream yang luar biasa di Wilayah.

Ini bukan soal mencipta sejarah. Tetapi kalau ianya benar, maka tiada salah Dr. Lo Lo dijadikan sejarah jika dilantik Pesuruhjaya PAS Wilayah.

Dalam sejarah PAS terkini, akan tercatat Dr. Lo Lo sebagai Pesuruhjaya PAS pertama dari kalangan muslimat. Dan bagi mengukuhkan kepimpinannya, rakan-rakan PAS dari Titiwangsa mungkin bersetuju mengorak langkah awal, meletakkan Dr. Lo Lo sebagai Yang Dipertua PAS pada sesi depan, menggantikan Ustaz Yusuf.

Saya tidak bercadang untuk mengetepikan Ustaz Yusuf yang juga rakan saya. Dan saya tiada kuasa berbuat demikian. Tetapi, rakan-rakan PAS Titiwangsa boleh bermusyawarah dalam hal ini, jika ia dilihat baik dan tuntas. Ini rumahtangga PAS Titiwangsa.

Pada hemat saya, kewujudan Dr. Lo Lo sebagai Ketua Muslimat PAS Kawasan Titiwangsa sudah membolehkan beliau untuk dianjakkan setingkat lagi, sebagai YDP. Jika, ini terjadi, bermakna Dr. Lo Lo juga akan mencipta sejarah barangkali, sebagai Yang Dipertua PAS yang pertama dari kalangan muslimat, di negara ini.

Sekalipun Dr. Lo Lo menang bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, sebagai calon muslimat yang jadi wakil rakyat, itu tidak boleh menjadikan beliau wanita pertama menang pilihan raya. PAS pernah ada wakil rakyat dari muslimatnya iaitu Khadijah Sidek.

Tetapi, jika hasrat saya tercapai mahu melihat Dr. Lo Lo menjadi Pesuruhjaya dan YDP Titiwangsa, sudah tentu dalam waktu terdekat beliau akan dicacatkan sebagai muslimat pertama memegang jawatan-jawatan itu.

Rasanya, sudah tiba masanya, PAS perlu berani membuat perubahan di Wilayah Persekutuan dengan mengemukakan Dr. Lo Lo sebagai Pesuruhajaya. Ia boleh dan mampu memberikan signal kepada rakyat bahawa PAS tidak sekali-kali meminggirkan golongan wanita dalam memimpin negeri dan kawasan.

PAS sebenarnya telah berjaya menghantar signal yang parti itu tidak pernah mengetepikan wanita dari menjadi calon pilihan raya berbanding sedikit masa dulu. PAS sering mengemukakan pelbagai alasan yang akhirnya tidak membenarkan wanitanya menjadi calon pilihan raya.

Alasannya, “kununnya” kerja-kerja wakil rakyat banyak melibatkan percampuran lelaki perempuan, keluar malam, kecemasan, lawatan, ziarah dan macam-macam lagilah komitmen luar biasa seperti yang kita lihat dilakukan oleh wakil rakyat dari kalangan lelaki.

Tetapi, akhirnya PAS setuju memberikan ruang kepada muslimatnya bertanding. Walhal, fenomena kerjanya tidak sedikitpun berubah dari seribu alasan yang dikemukakan sebelumnya.

Isunya bukan menuntut kerusi dan jadi calon dari kalangan muslimat. Tetapi, ketokohan Dr. Lo Lo dan keberanian beliau dalam mengemukakan cadangan muslimat kena bertanding dalam pilihanraya. Rasanya, ramai yang tidak berkenan dengan tuntutan itu tetapi keupayaan Dr. Lo Lo berhujah, barangkali ia sukar disangkal-sangkal lagi oleh PAS Pusat.

Namun nasibnya kurang baik. Dalam pilihan raya 2004 lalu, percubaan kali pertama beliau diberi kerusi Bukit Gantang untuk ditandingi. Sayapun tidak boleh berbuat apa-apa untuk membawanya ke Parit, kampong halamannya. Termasuklah dalam pilihan raya akan datang, kerana saya tidak “berkuasa” di sana lagi.

Bagi saya, Bukit Gantang bukan kawasan selamat untuk sesiapapun. Di Perak ada dua tempat sahaja yang berpontensi iaitu Parlimen Parit dan Parit Buntar. Saya lebih bersetuju, Dr. Lo Lo bertanding di Parit sebagai pilihan pertama dan Parit Buntar sebagai pilihan kedua. Tetapi bukannya Lembah Pantai, namun Titiwangsa lebih baik dari beliau menentang Shahrizat Jalil.

Dalam tulisan yang lalu, saya menulis dan mencadangkan agar PAS Parit memberi peluang kepada Dr. Lo Lo atau Ustaz Ahmad Awang bertanding di Parit. Lihat blog saya pada artikel bertajuk “Ustaz Ahmad Awang dan Dr. Lo Lo Bertanding Di Parlimen Parit?” di alamat
http://sanggahtoksago.blogspot.com/2007/09/pikio-tarmizi-mohd-jam-muktahir-ini.html

Perjuangan Dr. Lo Lo menuntut agar muslimat bertanding pilihan raya patut difahami dan bukan dipolitikkan. Saya juga tidak mahu mengutip pandangan dari “arus dalaman” berkenaan isu ini. Apapun, bagi saya, tokoh wanita yang terserlah buat masa ini ialah Dr. Lo Lo.

Dan jika diperhatikan, di Wilayah Persekutuan sendiri, tiada tokoh yang berkaliber bagi menjejaki Haji Mohamad Nor. Tidak mungkin, Ustaz Nasharuddin Mat Isa mahu memikul amanah itu, kerana bebanan sebagai Timbalan Presiden PAS sudah cukup mencuri masa dan merompak fokusnya.

Siapa lagi? Rakan saya, Hanifa Maidin hanya mahu menumpukan hal parti diperingkat Pusat. Tidak mahu pegang jawatan peringkat negeri dan kawasan. Begitu juga, Ustaz Idris Ahmad, YB Salahuddin Ayub yang kini menetap di Taman Melawar, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan lain-lain.

Bagi saya, uniknya perubahan itu ialah melatakkan tokoh muslimat berbanding muslimin yang sudah acapkali. Ini penting untuk menguji kepimpinan, pengaruh dan sokongan. Sekaligus, wajah baru PAS Wilayah dipersembahkan.

Dr. Lo Lo patut diberi peluang untuk membuktikan kepimpinan dan kebolehannya dalam menerajui PAS dan dalam mengemukakan program di bawah kepimpinannya. Hindari dari “cakap-cakap politik” yang cuba memperlekehkan beliau, kerana itu ada sangkut paut dengan politik dalaman yang tidak berkesudahan.

Ini hanya imiginasi saya. Pro dan kontra tetap wujud sebagai perbezaan pendapat yang dirahmati Allah SWT. Kekuatan Dr. Lo Lo sewaktu menuntut agar muslimat diberi peluang bertanding dalam pilihan raya, cukup mengkagumkan saya.

Bukanlah kerana Dr. Lo Lo berasal dari Parit, maka saya yang berasal dari Parit juga, mengangkat beliau dalam tulisan ini. Tetapi, saya berbangga juga ada anak Parit yang berkaliber macam Dr. Lo Lo. Seperti saya bangga pada ayahnya, Datuk Haji Mohd Ghazali yang tercatat dalam lipatan sejarah sebagai Setiausaha Penaja ketika PAS ditubuhkan dahulu.

Malah, ayahnya juga pernah jadi Mufti Perak dan Selangor serta Imam Masjid Negara yang pertama di tanahair kita, walaupun dia anak kelahiran Kg. Padang Tenggala, Bota, Parit. Tetapi berkhidmat di luar Parit demi bangsa dan agama.

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

Episod 3: Krisis Keyakinan Bangsa dan Birokrasi Bank Menghambat Hotel Adamson

Saya dibawa melawat ruang dobi di tingkat 3, Hotel Adamson oleh Haji Zamani, pemilik hotel tersebut

Haji Zamani Adam bergambar di hadapan pintu utama masuk ke Hotel Adamson

Haji Zamani Adam, Pengerusi Eksekutif Adamson Hotel Kuala Lumpur


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

Bagaimana ceritanya Haji Zamani Adam memiliki Hotel Adamson?

Sebelum ini saya telah menulis dua Episod darihal Hotel Adamson. Anda boleh lihat artikel bertajuk “Saya dan Keluarga Penuhi Undangan Majlis Kesyukuran Adamson Hotel“ dalam blog saya pada alamat http://sanggahtoksago.blogspot.com/2007/09/saya-dan-keluarga-penuhi-undangan.html
dan satu lagi artikel bertajuk “Pemilik Adamson Hotel Yakin Orang Islam Boleh Ceburi Industri Hotel“ pada alamat http://sanggahtoksago.blogspot.com/2007/09/pemilik-adamson-hotel-yakin-orang-islam.html bagi memudahkan anda memahami tulisan saya dalam artikel ini.

Menurut qaul dan ceritanya, 98 Inn telah dicagar kali kedua kepada sebuah bank untuk mendapatkan modal. Ketika itu Haji Zamani mendapat modal RM1 juta. Dengan modal RM1 juta itulah dia menyertai open terder kepada semua kaum membida sebahagian Hotel KL International yang dibuka oleh sebuah bank.

Tujuan dia masuk tender itu ialah untuk menebus maruah orang Melayu, orang Islam. Sebab sebelum itu, katanya, dia sudah membeli City Inn dan 98 Inn milik orang Cina. Mengapa orang Melayu tidak boleh beli? Itulah soalan yang diajukannya kepada saya!

Haji Zamani tidak sanggup lihat maruah orang Melayu digadai begitu rupa. Hotel itu asalnya milik Koperasi Polis, maknanya orang Melayu punya. Jadi ditakdirkan Allah, dia seorang sahaja yang membida hotel tersebut.

Namun tidak semudah itu. Dia berdepan dengan kerenah birokrasi dan krisis keyakinan pihak bank pula. Apabila dia disahkan mendapat bidaan tersebut, maka dia mesti membuat pinjaman untuk bayaran seterusnya.

Haji Zamani ajukan permohonan kepada bank-bank tempatan dengan dokumen yang sama. Pertama kepada Bank Rakyat kemudian kepada Bank Muamalat, Malayan Banking dan akhir sekali SME Bank. Bank Rakyat dan Bank Muamalat awal-awal lagi sudah menolak permohonan beliau.

Mungkin, katanya, kerana yang memproses permohonannya itu dari bangsa dia, bangsa Melayu. Mereka tidak percaya saya mampu buat hotel?

Malayan Banking lulus tapi tidak cukup pembiayaan! Agaknya merekapun kurang percaya dia nak buat hotel. Akhir sekali, SME Bank menawarkan pinjaman yang relevan untuk Haji Zamani! Beliau cukup kesal dengan sikap Bank Muamalat dan Bank Rakyat. Birokrasi yang merugikan bangsa sendiri...

Haji Zamani masuk tender dengan harga RM9 juta untuk mendapatkan bangunan yang dulunya Hotel KL International. Ia diuruskan oleh sebuah syarikat. Oleh kerana ketika pembidaan itu dibuat, syarikat berkenaan menasihati dia untuk menimbangkan semula harga bidaan RM9 juta kerana katanya ada persaingan dari seorang “Datuk“ Melayu dari Sg. Petani yang berminat untuk mendapatkan bangunan tersebut.

Ini menyebabkan Haji Zamani menaikkan RM1 juta lagi menjadikan bidaan saya RM10 juta. Takut bangunan itu terlepas. Akhirnya beliau seorang yang masuk bidaan itu. “Datuk“ yang amat kepingin sangat bangunan itu, hilang entah ke mana!

“Maknanya saya rugi RM1 juta disebabkan bangsa saya menganiayai saya kononnya nak lawan harga tapi akhirnya batang hidungpun tak nampak. Saya teraniaya oleh seorang bertitle “Datuk“ dari bangsa saya, Melayu!“ sinis Haji Zamani.

Pada hemat saya, jumlah tender RM10 juta itu, boleh dianggap tidak munasabah dengan pasaran semasa. Bangunan itu dulunya adalah KL International Hotel. Lokasinya strategik, tengah bandaraya Kuala Lumpur. Segala kemudahan pengangkutan, pusat beli-belah, pusat rekreasi dan lain-lain tidak jauh dari bangunan itu.

Setelah diselidiki, harga RM10 juta itu, kata Haji Zamani, adalah harga terlalu rendah dengan harga semasa. Penilaian sebenar bangunan ini hampir mencecah RM20 juta. Mungkin sudah jadi rezeki dia, tiada siapa yang masuk membida pada waktu itu. Akhirnya, hotel tersebut dapat dia miliki. AlhamdulilLah, syukur. Itulah kehendak Allah SWT, tegasnya.

Walaupun Haji Zamani berdepan dengan birokrasi bank tetapi SME Bank memberi pinjaman kepada Adamson Hotel. Bank ini tidak pula meragui Haji Zamani, sedangkan bank-bank sebelum itu tidak berminat langsung.

SME Bank memberi dua bantuan. Pertama bantuan untuk membeli bangunan Hotel KL International yang dia menang bidaan. Dia diberi RM9 juta. Kali kedua dia diberi pinjaman sebanyak RM4.5 juta untuk ubahsuai bangunan.

“Semasa saya masuk bangunan ini dulu, semuanya berada dalam keadaan kosong. Tiada elektrik, air dan tiada segala perkakasan yang melengkapi sebagai sebuah hotel. Bangunan sudah ditinggalkan lebih dua tahun. Perkakasannya seperti kerusi, meja, perabot, katil, pinggan-mangkuk dan lain-lain tiada.“

“Kabel-kabel elektrik sudah dicuri. Saya tidak menghadapi masalah sebab plan, rekebentuk dalaman dan kontraktor saya sendiri. Saya reka, saya buat dan ubahsuai. Akhirnya Hotel Adamson beroperasi.“

“Tak pernah buat mesyuarat dan tak ada ISOpun. Ubahsuai dan siapkan hanya dalam tempoh tiga bulan seminggu sahaja sejak dari ambil-alih bangunan. Kemudian terus beroperasi. Setelah lima bulan, 100 peratus bilik dan bilik-bilik seminar berfungsi dengan segala kemudahan prasarananya,“ tegas Haji Zamani penuh semangat.

Pada beliau, dengan izin Allah, suatu “rekod dunia“ tercipta kerana teamnya mampu menjalankan operasi hotel dalam tempoh paling singkat. Apabila saya kata dia “hebat“, dia cepat-cepat respon dengan kata-kata “Allah SWT Yang Maha Hebat“. Itulah sahsiah dirinya.

Adamson Hotel bertaraf tiga bintang. Setakat ini ada 90 bilik dan akan ditambah 20 bilik lagi. Dia sedang ubahsuai bilik-bilik 20 buah lagi ditingkat tiga. Dulunya, tempat mengurut dan aktiviti maksiat lain. Saya dibawa melihat dan meninjau-ninjau ke tingkat tiga. Ubahsuai sedang giat dijalankan.

Ketika ini harga promosi antara RM110 hingga RM250. Adamson juga menyediakan bilik-bilik seminar, bilik mesyuarat, dewan makan, dewan perkahwinan dan juga surau.

Haji Zamani memperkenalkan hotel bajet halal atau Islam. Halal maksudnya, jelas beliau, ikut Islam. Makanan di hotel ini semuanya boleh dimakan kerana ianya halal disisi syarak. Adamson tidak menyediakan makanan atau minuman yang diharamkan oleh syarak.

Tidak ada urut-mengurut atau perkara-perkara maksiat lain yang ditawarkan. Ia semata-mata hotel penginapan untuk keselesaan pengunjung yang datang dari jauh atau dekat, merehatkan badan. Berkursus atau seminar sahaja.

Tidak seperti mana kebanyakan hotel yang menyelitkan aktiviti maksiat untuk menarik pengunjung datang lebih ramai ke hotel mereka. Kata Haji Zamani, dia tahu, ada hotel menyewa ikut jam. Bagi membolehkan pasangan lelaki perempuan melakukan maksiat.

Rangkaian hotelnya, 98 Inn, City Inn dan Adamson Hotel tidak begitu. Ia adalah hotel bajet Islam. Dia tak benarkan orang sewa ikut jam, sewa kepada penagih dadah dan kepada orang kulit hitam dari Afrika atas sebab-sebab tertentu.

Pada hemat saya, Haji Zamani seorang yang gigih dan punyai wawasan masa depan yang di luar jangka. Dia mahu mengembangkan rangkaian hotel bajet Islam ini; 98 Inn, City Inn dan Adamson Hotel ke seluruh negara pada masa akan datang. Insya-Allah, katanya.

Hasrat itu ada. Potensi dalam industri perhotelan ini cukup besar di seluruh negara. Ia boleh dikembangkan. Orang Melayu tidak terhalang untuk terjun ke dalam industri ini. Beliau begitu yakin, permintaan terhadap hotel murah atau hotel bajet cukup tinggi. Ia boleh dibina di bandar-bandar utama macam di Sg. Petani atau Ipoh. Di Shah Alam, di Klang, di Seremban atau di Nilai.

Dia percaya, potensi hotel ini cukup besar sebab itu di mana-mana bandar dalam negara kita, telah lama orang Cina buat hotel bajet. Mengapa mereka buat? Kenapa kita orang Melayu tidak terfikir untuk mencontohi mereka sebagai kaum yang berjaya?

Begitulah antara cerita menarik yang dapat dikongsikan dengan anda yang berminat untuk menjadi usahawan hotel. Haji Zamani membawa saya ke pejabatnya untuk mendapatkan gambar-gambar Adamson Hotel. Beberapa kakitangannya, memasukkan gambar-gambar digital itu dalam pen drive dan yang pun berlalu...

Orang Umno Mahu Mohamad Sabu Turun Ke Taman Dato’ Senu Sekali Lagi!

Cikgu Ishak Surin adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Batu dan salah seorang kenalan akrab Haji Mohamad Sabu hingga kini...


Haji Mohamad Sabu sedang menjalani latihan kesihatan selepas dimasukkan ke Hospital Kuantan, sejurus terlibat dalam satu kemalangan bersama Dr. Syed Azman di negeri itu

PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

SEBAIK habis pertemuan antara Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi (BPDM) dengan Ahli Badan Perhubungan PAS Wilayah, saya dan Cikgu Ishak Surin menuju ke Masjid Pakistan, tidak jauh dari Bangunan Darul Zakat, dalam kawasan Chow Kit.

Dalam kesesakan lalulintas, Cikgu Ishak memandu kereta Waja penuh berhati-hati. Waktu itu adalah waktu puncak. Jalan mulai sesak kerana mereka yang bekerja kerajaan dan swasta mulai balik ke rumah masing-masing.

Kereta bersepah-sepah atas jalan. Tiada jalan pintas yang boleh menuju ke distinasi dengan pantas dan cepat. Tabiat “terperangkap” dalam kereta cukup-cukup tidak disukai oleh Cikgu Ishak dan saya.

Namun, apa boleh dibuat. Pembangunan tidak betul telah berlaku dengan tidak sengaja. Ini menjadikan Kuala Lumpur dilanda kesesakan kerana jalanraya dibina tidak mengikut jadual keperluan masa depan.

Ia dibina untuk kepentingan waktu itu. Jadi, tidak hairanlah, jika hujan turun lebat sedikit, maka habislah Kuala Lumpur digenangi banjir kilat. Bukan sahaja kenderaan jem di jalan raya, air turut jem di longkang dan sungai hingga melimpah dan banjir.

Sementara itu, jumlah kenderaan bertambah mencanak-canak. Bank pula memberi pinjaman kepada yang layak tanpa wang muka untuk membeli kereta Proton atau KIA. Maka banyaklah kesan sampingan dari strategi bank itu. Anak muda Melayu paling ramai disenarai hitam dan dimufliskan kerana gagal membayar pinjaman kereta tanpa wang muka itu.

Maka bertambah sengsaralah mereka untuk membuat sebarang pinjaman dengan bank. Nak berniaga tidak boleh. Bank sudah senaraihitamkan nama mereka. Buat pinjaman TEKUN atau apa-apa skim yang dicanangkan kerajaan juga tidak layak sebab sudah muflis. Akhirnya, keghairahan membeli kereta melalui pinjaman bank “O” down payment memakan diri.

Pertemuan kami tadi diadakan jam 3 petang dan tamat kira-kira jam 5 petang. Diadakan di Pejabat PAS Wilayah, sekangkang kera dari PWTC. Haji Mohamad Sabu adalah hos utamanya dan dibantu oleh Koordinator BPDM, Haji Anuar Tahir.

Cikgu Ishak adalah AJK BPDM Pusat dan antara penggerak BPDM Wilayah Persekutuan. Kehadiran tidaklah ramai sangat tetapi memadai untuk berbincang dan menelurkan pendapatan.

Saya datang adalah sebagai Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu. Saya tidak lagi Ahli Perhubungan PAS Wilayah pada sesi ini. Atau mungkin saya hadir atas kapasiti saya Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah. Untuk turut serta!

Bersama Haji Anuar Tahir, Cikgu Ezam Ahmad dan Cikgu Ishak Surin, kami menunggu Haji Mohamad Sabu di Restoran Haslam, Jalan Pahang Barat. Dia tidak tahu Pejabat PAS Wilayah. Mahu pergi bersama-sama, katanya.

Dulu Jalan Pahang Barat ini dikenali sebagai Islamic City dan nama itu khabarnya diilhamkan oleh Presiden PAS, Dato’ Mohd Asri Haji Muda. Waktu itu, Dato’ Asri, Menteri Tanah dan Wilayah dan projek membangunan kawasan itu diselenggarakan oleh UDA, yakni di bawah kementerian beliau.

Maka, PAS membeli seunit bangunan tiga tingkat di situ yang kemudiannya dijadikan Pejabat Agung PAS. Selepas itu menjadi Pejabat Harakah dan di bahagian depannya pernah disewa oleh Kohilal ketika peringkat awal penubuhannya.

Kawasan ini terus menjadi popular kerana terdapat sebuah kedai buku yang mengeluar dan mencanaikan minda pemimpin PAS dalam bentuk kaset dan buku-buku.

GG Edar muncul dan menjadi suatu daya tarikan di situ. Ramailah pengedar atau peniaga sambilan dalam PAS menjadi pelanggan setia dan konsisten mengedar kaset dan buku-buku ideologi PAS ke tengah masyarakat. Ia bergerak ke seluruh negara melalui rangkaian dan jaringan pengedar dan peniaga PAS yang istiqamah ini.

Taukeh GG Edar ialah Haji Mohamad Hasyim. Kini sudah ada title doktor (hemeopati), sejak menghilang diri lebih lima enam tahun. Rupa-rupanya melanjutkan pelajaran. Beliau antara rakan awal saya di Islamic City ini.

Dan khabarnya beliau banyak membantu Harakah dari segi duit kupang hinggalah kepada tenaga kerja, kenderaan dan ruang kedainya, ketika Harakah diperingkat jalan jatuh dan merangkak-rangkak.

Rupa-rupanya, janji temu saya dan Cikgu Ishak bukannya di Masjid Pakistan tetapi di Restoran Pakistan, tepi jalan utama Chow Kit berdekatan Stesyen Monorel. Kami patah balik meredah kesesakan teruk. Akhirnya sampai juga.

Haji Mohamad Sabu sudah menyediakan kacang kuda masakan Pakistan. Resepi tulen Pakistan, katanya. Kami menghirup tea susu lembu ala Pakistan, yang siap terhidang. Haji Mohamad Sabu ditemani Badiq’ul Azmi, Ketua Penerangan PAS Wangsa Maju.

“Ada cerita menarik. Baru-baru ni, Umno Cawangan Taman Dato Senu hantar tiga wakil bertemu saya,” ujar beliau sambil ketawa kecil.

“Eh menarik tu. Ada kaitan dengan ceramah kita dulu ke?,” usik saya sambil Cikgu Ishak mengunyah kacang kuda Pakistan.

“Anta anjur sekali lagi ceramah. Tempat macam ni yang saya mahu. Ada respon. Depa nak saya turun ceramah sekali lagi di Taman Datuk Senu,. Minta saya ulas isu orang Melayu yang sudah tiada apa-apa lagi. Isu pemimpin Melayu gagal tangani agama, gagal tingkat ekonomi dan gagal jaga pendidikan” tegas Haji Mohamad Sabu.

“Mereka akan benarkan padang awam kat sebelah tempat kita buat ceramah dulu jadi tempat ceramah. Anta, Cikgu tolong risik. Macam mana kita nak buat?” Tanya beliau lagi.

Pada 16 Julai lalu, PAS Batu ada menganjurkan Ceramah Mega Ke Arah 100,000 Himpunan Rakyat di Tapak Pasar Malam, Taman Dato Senu. Alhamdulillah! Sambutan sungguh luar biasa kerana orang awam lebih ramai dari penyokong PAS sendiri.

Saya yang mempengerusikan majlis pada malam itu terkejut apabila jam 8.00 malam tempat ceramah sudah digenangi orang ramai. Maknanya, jam 8.00 itu, sudah boleh dimulakan ceramah, jika ukuran kehadiran diambil kira. Tetapi, kami tetap memulakan ceramah jam 9.30 malam. Ini bagi membolehkan mereka mundar-mandir membeli VCD dan kaset, atau membasahkan tekak dan menikmati sup utara dicelah gerai-gerai segera sekitar tapak ceramah.

Pencaramah malam itu, selian Haji Mohamad Sabu yang karismatik, kami mengundang Ezam Mohd Noor, anak muda yang berani dan baru meninggalkan PKR. Seorang lagi, Haji Anuar Tahir, Koordinator BPDM PAS Pusat. Ceramah berjalan lancar. Cuaca juga amat selesa.

Ceramah Haji Mohamad Sabu yang menyentuh isu apa yang masih ada pada Melayu, benar-benar telah memikat orang-orang Umno untuk mengundang sekali lagi Naib Presiden PAS itu ke Taman Dato’ Senu. Mereka menunjukkan protes, nampaknya.

“Insya-allah, lepas Idulfitri kita susun balik ceramah dengan Umno Taman Dato’ Senu. Saya akan bincang dengan PAS Cawangan dan cari beberapa orang kuat Umno di sana,” tegas saya. Cikgu Ishak bersetuju dan menyifatkan satu kejayaan PAS Kawasan Batu dalam penganjuran ceramah yang efektif.

Saya dan Cikgu Ishak meninggalkan Haji Mohamad Sabu kira-kira jam 6.40 petang. Kami pulang ke Padang Balang bersama Badiq’ul Azmi. Haji Mohd Sabu tak lama kemudian menuju Hotel Mandarin di Bukit Bintang kerana isterinya ada Seminar SIRIM di sana.

Pada sebelah malamnya, PAS Wilayah menganjurkan Ceramah Mega di Markaz PAS Kg. Baru, tidak jauh dari Tapak Masar Minggu. Ramai juga yang berceramah termasuk Pesurujaya, Haji Mohamad Noor Mohd. Selain dari Haji Mohamad Sabu, Dr. Lo Lo dan Hanifa Maidin lincah mengalun rentak.

Entah apa silapnya, kehadiran agak memualkan. Tidak sepatutnya seramai itu. Sepatutnya lagi ramai kerana ia dibuat di tengah Kg. Baru dan menampilkan Haji Mohamad Sabu. Kita tinggalkan soal yang tidak pernah selesai itu.

Tamat ceramah mega, saya, Cikgu Ishak dan Haji Azmi Azman Johari, YDP PAS Bukit Bintang menghantar Haji Mohd Sabu ke Hotel Mandarin. Jam sudah menunjukkan jam 1 pagi. Tersangkut-sangkut dekat 20 minit mencari hotel. Hotelnya dapat dilihat tetapi jalannya bersimpang-siur. Salah masuk, sudah ke a ah lain.

Kami tinggalkan Haji Mohamad Sabu di pintu utama hotel, kemudian kami terus pulang…

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

Episod 2: Pemilik Adamson Hotel Yakin Orang Islam Boleh Ceburi Industri Hotel

Penasihat Syariah Adamson Hotel, Haji Ahmad Ismail bergambar bersama Dr. Haji Mohd Hasyim dalam satu pertemuan mereka di Pejabat Yayasan Muslimin Malaysia Bhd.

Haji Zamani Adam, Pengerusi Eksekutif dan pemilik Hotel Adamson Kuala Lumpur


Interbiu saya bersama Haji Zamani untuk sebuah majalah usahawan dan kewangan Islam suatu ketika dulu...

PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

SAYA nak sambung cerita saya dengan Haji Zamani Adam, pemilik Hotel Adamson. Episod pertama telah saya ceritakan cara ringkas dalam artiel bertajuk “Saya dan Keluarga Penuhi Undangan Majlis Kesyukuran Adamson Hotel“ dan anda boleh baca pada blog saya dialamat http://sanggahtoksago.blogspot.com/2007/09/saya-dan-keluarga-penuhi-undangan.html . Kali ini saya menjolok minda Haji Zamani tentang industri perhotelan.

Memang jarang benar orang Melayu khususnya orang Islam berani terlibat dalam industri perhotelan di Malaysia. Tetapi bagi Haji Zamani, yang jadi Pengerusi Eksekutif Adamson Hotel, itu bukan halangan dan alasan. Dia mahu mengunggulinya.

Dia begitu yakin orang Islam dari bangsa Melayu juga boleh menceburkan diri dalam industri perhotelan ini. Bukan orang Cina semata-mata. Orang Melayu juga boleh. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Pada hemat saya, mungkin, persepsi sesetengah orang berbeza. Bila sebut bisnes hotel, mesti ia dikuasai oleh orang Cina. Haji Zamani memberitahu saya, dia sedang cuba mengubah persepsi ini. Sebab dia lihat di Makkah, industri hotel dikuasai oleh orang Islam. Begitu juga di Madinah.

Baginya, orang Islam mampu melakukannya tetapi malas nak berfikir. Natijahnya, umat Islam jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi, bukan sahaja dalam bidang hotel, termasuklah pelbagai lapangan lain.

Industri perhotelan tidak salah di mana-mana. Ia memberikan keselesaan kepada musaffir dan ini sudah tentu digalakkan oleh Islam. Orang dari jauh, datang ke Kuala Lumpur tiada tempat penginapan. Maka mereka memerlukan hotel yang murah dan mampu sewa!

Wow! Setakat ini Haji Zamani sudah ada tiga hotel. Iaitu 98 Inn, City Inn dan kini Adamson Hotel. Para musaffir boleh berehat dan mendapat tempat penginapan selesa, murah dan dimiliki oleh orang Islam. Tiada apa yang hendak diragukan lagi.

“Dulu bila sebut hotel, mudah orang mengaitkannya dengan tempat maksiat, persundalan dan macam-macam lagi. Hari ini, sudah jauh berbeza. Arah tuju hotel, kita yang tentukan. Saya perkenalkan rangkaian hotel saya sebagai hotel bajet Islam. Itu sahaja yang saya mampu katakan,“ ujar beliau lagi.

Haji Zamani sebenarnya seorang jurutera. Dia selalu ungkapkan ucapan terima kasih kepada pihak kerajaan yang telah bagi biasiswa untuknya belajar ke luar negara dulu. Dia berazam tidak akan menyusahkan kerajaan selepas berjaya dalam bisnes.

Dia menubuhkan syarikat sendiri atas nama Kumpulan Jurutera Perunding pada tahun 1981. Syarikat ini masih beroperasi hingga sekarang. Niatnya satu, tidak mahu bergantung pada kerajaan. Tidak mahu menyusahkan kerajaan, katanya!

Apa yang menarik, dia menceburi bidang perhotelan ini hanya sekadar part time atau sambilan sahaja. Ini kerana minatnya yang suka menceburi sesuatu yang baru. Itulah yang dimaklumkan kepada saya. Sayapun hairan, bagaimana menerokai bisnes besar begini, hanya sekadar part times? Sedangkan yang full time pun banyak yang lingkup...

Hotel pertama dimulakan oleh Haji Zamani ialah 98 Inn. Pada awalnya dilakukan pengubahsuaian berterusan untuk menukar imej dari hotel pelacuran, pusat transit dadah, kepada hotel bajet Islam. Pelanggan lama hilang. Datang pelanggan baru. Pelanggan lama ialah mereka yang mahu mendapatkan bekalan dadah atau penagih dadah, pelacur atau mereka yang inginkan khidmat seks dari pelacur-pelacur yang menjadi daya tarikan hotel.

Haji Zamani tidak menghadapi sebarang masalah mendapatkan pelanggan kerana konsep hotel bajet Islam yang diperkenalkan menarik minat mereka. Ini kadar mampu sewa! Setelah dilihat kejayaan pada 98 Inn, Haji Zamani membeli sebuah rumah kedai tidak jauh dari 98 Inn untuk dijadikan satu lagi hotel bajet. Ia dinamakan City Inn. 98 Inn ada 32 bilik dan City Inn ada 26 bilik.

Bersambung....

Kali Ini Shahrizat Mahu Bekas Pesalah Seksual Dihukum Pakai Cip dan Gelang Khas Pula!

Agaknya Rafidah membisikan sesuatu agar Shahrizat membuka al-Quran di hadapannya itu untuk mengatasi isu jenayah seksual kanak-kanak. Betul ke? Rafidahpun 2 X 5, walhal al-Quran itulah yang dicari Pak Lah dalam puisinya...


Nurin Jazlin Jasimin telah membuka mata Shahrizat bahawa Malaysia tidak aman untuk kanak-kanak. Masih ramai yang hilang dan belum ditemui...

Inilah contoh terbaik betapa mesra dan eratnya tangan Pak Lah membelai bahu pelakon Cina tersohor itu. Ia sebahagian Islam Hadhari yang dicanangkan dan kesan buruknya terpaksa dihadapi oleh rakyat seperti Nurin...


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

“SHAHRIZAT buat hal lagi,” kata seorang teman yang menefon saya dari Johor Bharu. Dia bekas student Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaysia. Mengaji bersama-sama saya dulu.

“Anta baca paper hari ini. Orang yang pernah kena penjara sebab lakukan seks dengan kanak-kanak akan diwajibkan pakai cip dan gelang khas,” celah dia lagi. Ini menimbulkan minat saya untuk mengetahui respon beliau.

“Shahrizat memang camtu. Bila ada insiden yang melibatkan kementerian dia, cepat-cepat dia bentangkan idea gila-gila. Dia ingat syornya itu baik sangat,” tambahnya lagi.

“Tapi, sepanjang ingatan akulah, Shahrizat ni tak pernah cadangkan idea-idea dari pandangan Islam bila berlaku apa-apa musibah. Dulu, dia pernah cadang pakai cawat besi kepada wanita elakkan dari jenayah rogol…” Kawan saya itu terus berleter.

Saya sudah membaca laporan akhbar yang dimaksudkan oleh kawan saya itu. Disiarkan pada muka depan dalam Berita Harian pada 21 September 2007. Tajuknya “Bekas pesalah seksual kena pakai gelang khas” memang menarik perhatian.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil berkata individu yang pernah dipenjara atas kesalahan jenayah seksual terhadap kanak-kanak, akan diwajibkan memakai cip dan gelang khas selepas dibebaskan. Ia bertujuan bagi membolehkan polis mengawasi gerakan bekas banduan itu.

Kata Shahrizat lagi, sistem pengesan pelaku jenayah seksual itu adalah elemen jaringan bersepadu yang akan diperkenalkan oleh kementeriannya dengan kerjasama polis.

Apapun yang diperkatakan, bunyinya cukup indah. Mengawasi orang yang telah bebas dari penjara atas kesalahan seksual. Dari satu sudut ia kelihatan baik tetapi mengapa orang yang telah bebas dari penjara masih dipantau secara ketat.

Tanpa cip dan gelang khas, mungkin pantauan biasa tidak dilihat keterlaluan dan melampau. Apabila dikenakan cip dan gelang khas, ia bukan sahaja memalukan bekas-bekas banduan ini tetapi tanpa disedari “kebebasan” yang diraih setelah menjalani hukuman penjara tidak bermakna langsung kerana kehidupannya masih dipantau oleh polis.

Bukankah pantauan, dikenakan cip dan gelang khas itu juga suatu hukuman bukan penjara? Tetapi pantauan adalah penjara bentuk baru tanpa gerigi besi. Maknanya mereka tidak mengecapi kebebasan selepas keluar penjara.

Adakah ini erti “kebebasan” seorang banduan. Soal dia akan melakukan jenayah lain, itu soal nombor dua, kerana ia belum berlaku. Mengenakan cip dan gelang khas itu tentu sekali memalukan bekas banduan tersebut dan menjatuhkan maruah kaum keluarga mereka.

Bagi banduan yang ada anak isteri, ibubapa, sudah tentu hukuman tanbahan di luar keputusan mahkamah ini tidak adil. Memalukan anak-anak. Menjatuhkan maruah isteri dan ibubapa mereka.

Pada hemat saya, sanggahan ini tidak bermakna saya membela bekas banduan itu. Tetapi melihat bagaimana kebebasannya sebagai manusia dicabut atas nama pertaturan dan undang-undang ciptaan manusia juga.

Cuba bayangkan, maklumat bekas-bekas banduan terbabit turut disiarkan dalam internet. Orang ramai serta pihak berkuasa boleh merujuk laman web berkenaan jika berlaku sebarang kes jenayah yang melibatkan kanak-kanak.

Maksudnya, bila terjadi kes melibatkan kanak-kanak, maka hit orang ramai untuk melihat dan menelah, meneka dan menuduh kepada si polan-si polan dalam web tersebut, tentu sekali mendadak meningkat. Ini fenomena kurang sihat yang patut dihindarkan.

Pelbagai andaian (bersangka buruk) dengan mudah akan dilakukan oleh orang ramai terhadap mereka. Ia sama seperti orang berjumpa bomoh untuk mendapatkan jawapan kepada angkara yang telah berlaku. Tuduhan, sangka buruk dan telahan, menjadi mainan semata-mata.

Tetapi, dalam isu ini, kerajaan sendiri yang membina tembok agar orang ramai menuduh yang bukan-bukan terhadap mereka, apabila terpapar wajah dan biodata barangkali pada laman web terbabit.

Sekalipun Shahrizat kata jaringan keselamatan bersepadu itu terkandung dalam Polisi Perlindungan Kanak-Kanak (CPP) yang akan digubal dalam tempoh terdekat, namun ia tidak mempunyai apa-apa erti sebenarnya. Ini kerana ia jelas tidak mendatangkan “ketakutan” kepada bekas banduan untuk mengulangi kesalahan dan jenayah yang sama.

Sebenarnya, pada hemat saya, penggunaan cip dan gelang khas hanya untuk memudahkan polis mengawal atau menjejaki suspek jika berlaku sebarang jenayah. Bunyinya bagus tetapi ia telah menarik hak kebebasan rakyat sesebuah negara untuk hidup secara aman.

Mengapa pihak polis tidak jejak dengan cara lain, yang tidak mencabut hak kebebasan manusia?

Paling teruk, kenyataan Shahrizat berbunyi: “Kita tidak mahu apabila keluar penjara, dia bebas ke mana-mana dan melakukan jenayah lagi. Ini untuk menjamin keselamatan kanak-kanak. Kita tidak mahu ada lagi kes seperti yang berlaku pada Nurin.”

Mengapa Shahrizat tidak mahu “membebaskan” bekas-bekas banduan ini? Sedangkan dari segi undang-undang, mereka telah bebas dari penjara. Mengapa Shahrizat mahu “memenjarakan” mereka dalam kampong yang luas, tidak mahu mereka ke mana-mana? Ini suatu persoalan hak asasi manusia dan warga negara Malaysia, yang patut dipersoalkan.

Betul! Untuk menjamin keselamatan kanak-kanak. Tetapi adakah kanak-kanak hanya diperlakukan begitu hanya oleh bekas-bekas banduan ini sahaja? Bukan orang-orang sekeliling mereka yang tidak pernah melakukan jenayah.

Berapa ramai, bekas banduan ini terlibat dalam jenayah yang kita bincangkan ini? Dan berapa ramai jenayah itu dilakukan oleh mereka yang tidak pernah masuk penjara?

Dan suatu persoalan besar mendahului siasatan ialah apakah kes Nurin Jazlin dilakukan oleh bekas banduan seksual seperti yang dimaksudkan Shahrizat? Seolah-olah telah jelas, yang melakukan jenayah terhadap Nurin (http://sanggahtoksago.blogspot.com/2007/09/takziah-untuk-keluarga-nurin-jazlin.html) ialah bekas banduan jenayah seksual. Sedangkan, polis masih teraba-raba menjejaki penjenayah terbabit.

Pada hemat saya, Shahrizat patut kembali kepada ajaran Islam hakiki dalam menangani isu ini. Ia adalah isu jenayah. Kenapa Shahrizat tidak pernah membongkar kitab suci yang dikhabarkan oleh Imam Islam Hadhari? Mengapa tidak diselak ilmu Al-Ghazali?

Bukan sahaja, Shahrizat ketemu hukum dan hakam, cara dan pendekatan untuk mengatasi jenayah itu, tetapi Shahrizat juga akan dipertemukan hingga hukum dan hakam memakai pewarna rambut yang boleh di bawa sembahyang ataupun tidak.

Sekalipun saranan Shahrizat berbunyi indah dan baik, jaringan keselamatan bersepadu yang terkandung dalam CPP, namun ia tidak lebih dari kerja-kerja yang sia-sia, tidak upaya untuk membendung gejala dan jenayah ini dari terus membarah.

Pada hemat saya, penggubalan aturan ini tidak menghapuskan jenayah tersebut sebaliknya menebalkan dendam kesumat mereka terhadap Shahrizat dan kerajaan

Ini kerana, akar umbinya tidak dicegah dan dimusnahkan. Apakah akar umbi itu? Shahrizat bolehlah bertanyakan Majlis Fatwa atau berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Kalau tak faham juga, tanyalah Institusi Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

Barangkali, Tok Guru Nik Aziz Nik Mat di Kelantan boleh memberi tazkirah kepada Shahrizat berkenaan penggunaan cip dan gelang khas, erti kebebasan dan rasa hormat kepada bekas banduan, yakni hormat sesama manusia.

Jangan kerana setitik nila, maka semua banduan tadi dicip dan digelangkhaskan. Berapa ramai banduan yang teranaiya, banduan yang insaf, banduan yang mahu kembali ke pangkal jalan. Terbantut taubat mereka, jika cip dan gelang khas ini terus menjadi hantu dan syaitan yang berlegar dalam diri mereka.

Bagi saya, pandangan serong dan sinis Shahrizat ini hanya menyimbah minyak ke api sahaja. Ini bukan kerja kerajaan yang bertanggungjawab. Juga bukan kerja seorang menteri yang prihatin dengan nilai dan norma masyarakat.

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

Episod 1: Saya dan Keluarga Penuhi Undangan Majlis Kesyukuran Adamson Hotel

Bukan sahaja mudah diajak bersembang, juga punyai idea dan view yang kritis. Saya menginterbiu beliau untuk sebuah majalah usahawan dan kewangan Islam baru-baru ini.

Penasihat Syariah Adamson Hotel, Haji Ahmad Ismail (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif, Haji Zamani Adam yang merupakan pemilik Adamson Hotel

Pengerusi Eksekutif, Haji Zamani Adam seorang yang peramah dan berjiwa kental. Tidak mengharapkan "tongkat" dari kerajaan dan mahu anak Melayu Islam bangkit ceburi bidang bisnes di negara ini...


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

KIRA-KIRA tiga minggu lalu, saya diundang menghadiri Majlis Kesyukuran Hotel Adamson, di Chow Kit. Hotel ini baru beroperasi di bangunan lama Hotel KL International milik Koperasi Polis Malaysia Bhd.

Bangunan itu dijual oleh sebuah bank dan kemudiannya dibida oleh Adamson. Koperasi Polis membina Hotel KL International yang baru, betul-betul bersebelahan Darul Zakat di sebelah kanan dan bangunan hotel lamanya dulu (Adamson sekarang), di sebelah kiri.

Belumlah lama saya mengenali Pengerusi Eksekutif Hotel Adamson, Haji Zamani Adam. Tetapi, beliau cukup peramah dan saya ada beberapa urusan dengan beliau sebelum ini. Ternyata sifat peramahnya itu, mengikat saya untuk bersahabat dan menimba ilmu keusahawan dari beliau. Manalah tahu, saya juga nanti boleh mengikut jejaknya menjadi usahawan hotel bajet...

Saya datang bersama isteri dan anak-anak selepas solat Maghrib. Untuk meraikan Majlis Kesyukuran anjuran beliau dan untuk merasai nikmat citarasa masakan chef hotel tersebut. Waktu itu, hujan renyai-renyai. Kami dihidangkan masakan atau resipi briani Pakistan dan nasi ayam hailam. Beberapa jenis lauk ala Pakistan barangkali, turut tersaji.

Kedatangan kami disambut oleh Haji Zamani dan para pelayan hotel. Turut bersama, terselit di sebuah meja makan, rakan saya yang juga Penasihat Syariah Hotel, Haji Ahmad Ismail. Anak Bukit Gantang, Perak. Beliaulah yang memperkenalkan saya kepada Haji Zamani yang juga anak Perak tapi kurang ingat sama ada anak Kuala Kangsar atau anak Grik (?).

Saya pernah menjelajah hotel ini bersama Haji Zamani. Beliau melapangkan masa untuk saya hampir tiga empat jam. Macam memberi taklimat kepada saya berkenaan operasi hotel. Beliau turut membawa saya melawat bilik-bilik hotel, dewan seminar, bilik mesyuarat dan dewan makan serta cafe. Saya kagum dengan kegigihannya.

Macam biasalah, sambil bersembang-sembang di ruang cafe, dia jamu saya makan dan minum di hotel itu. Nama Adamson Hotel bagi saya suatu yang pelik. Tetapi tidak bagi Haji Zamani. Adam itu, katanya nama bapanya. Son itu nama beliau anak Adam.

Ia bukan untuk nama Adamson semata-mata tetapi nama ini juga macam nama mat salleh. Nama kormersial. Boleh digunakan! Orang akan bertanya apa di sebalik nama Adamson? Adam tu siapa? Son itu pula siapa?

Tanggapan saya betul. Pilihan nama itu ada tujuannya. Ia untuk menyuntik motivasi pada orang Melayu Islam kerana ini bisnes keturunan. Bapanya Adam dan dimiliki oleh anaknya. Haji Zamani mahu bangsanya, orang Melayu Islam menanamkan budaya bisnes dalam keluarga. Itu iktibar dia memilih nama Adamson.

“Kepada ibubapa, galakkan anak-anak bisnes. Inilah masej saya untuk anak bangsa saya, ummat Islam agar kita jangan leka dengan apa yang ada. Atau asyik menagih bantuan dari kerajaan atas nama “Melayu“.“

“Kita jangan jadi penonton, berpeluk tubuh melihat kejayaan orang lain. Orang Melayu juga boleh macam orang lain juga. Saya boleh bubuh nama lain, tapi tiada makna apa-apa. Walaupun saya telah meninggal dunia tetapi Adamson akan tetap jadi lambang kepada kejayaan orang Islam,“ tegas beliau sambil ketawa kecil.

Kira-kira jam 9.30 malam, selepas menikmati makanan, perutpun sudah kenyang, rehat dan bersembang sakan dengan Haji Ahmad Ismail, Penasihat Syariah Adamson Hotel, dan sekali-sekala didatangi Haji Zamani, akhirnya kami berangkat dan mundar-mandir menghirup udara malam sekitar Kuala Lumpur, seblum pulan ke rumah.

Bersambung....

Isnin, September 24, 2007

Takziah Untuk Keluarga Nurin Jazlin! Surga Adalah Tempat Sebaik-Baik Untuk Mu Adik Yang Comel! AL-FATIHAH!



















Assalam'mualaikum wrkt,

KAMI mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham adik Nurin Jazlin. Pemergiannya tentu sekali tiada tolok gantinya dalam keluarga tersebut. Sedih, pilu dan kesal bercampur-baur meratapi pemergian penuh tragis adik Nurin Jazlin.

Semoga kekejaman yang terpaksa dibebani, dideritai Nurin Jazlin akan membawa iktibar dan erti yang besar kepada seluruh ummat. Jangan sia-siakan pemergiannya itu. Tiada siapa tahu jeritan kesakitan dari penderaan yang diperlakukan ke atasnya oleh syaitan akhbar berwajah manusia, yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk, tercela dan terkeji itu.

Walaupun pada mulanya saya marah-marah, sedih dan kesal dengan pengakuan ayahnya, yang tidak mahu mengakui terhadap pengecaman kali pertama mayat yang ditemui polis, namun saya akui siapalah saya ketika itu berbanding ayahnya, yang menderita dan trauma. Takut dan resah. Gementar dan keluh kesah.

KAMI percaya, orang lain juga marah dengan sikap ayahnya. Enggan mengakui mayat itu anaknya. Kemarahan itu meluap-luap apabila cara dan gaya bercakap, bahasa yang digunakan sungguh menyenakkan hati dan jantung. Walhal, ujian DNA sudah mengesahkan mayat itu anaknya.

Tetapi, siapalah saya. Siapalah orang lain yang mahu memprotes ayahnya. Kita tidak berada di tempatnya. Kita hanya melihat dari jauh. Tetapi, keluarga itu menanggung derita, membungkam hati, menunggu adik Nurin Jazlin balik ke rumah. Balik dalam keadaan selamat!

Namun berkat Ramadhan Al-Mubarak, pengecaman kali kedua menurut kata ibu saudara adik Nurin Jazlin, mayatnya telah "kembali kepada asal". Inilah kuasa Allah SWT yang mengembalikan keyakinan dan menolak keraguan ayahnya, mungkin juga bagi keluarga yang lain, tentang siapakah mayat kanak-kanak yang ditemui dalam sebuah beg berhampiran sebuah syarikat penerbitan di Taman Petaling Utama itu.

Wajahnya, sudah menyerupai Nurin Jazlin! Begitulah Allah Yang Maha Kaya dan Maha Mengetahui! Maka tidak syak lagi, mayat itu adalah adik Nurin Jazlin. Pengecaman kali kedua, merubah segala-galanya.

Kepada kedua ibubapanya, jangan gundah gulana lagi. Anda telah memiliki seorang anak yang kini sudah berada di surga Allah SWT. Di bawah umur baligh, kejadian berlaku dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak dan di kebumikan pada hari Jumaat, dihadiri ribuan ummat Islam yang mengiringi dengan perasaan sedih dan terharu.

Inilah Rahmat Allah SWT, di dunia lagi anda sudah dirahmati dan anak anda kini berada di surga Allah. Berbanding orang lain, yang belum diketahui siapa antara mereka yang akan dimasukkan ke surga-Nya.

Rahmat Allah SWT. Adik Nurin menikmatinya pada bulan penghulu segala bulan (Ramadhan Al-Mubarak) dan pada hari penghulu segala hari (Jumaat). -- AL-FATIHAH!

Tarmizi Mohd Jam
Blogger

Nota: Foto-Foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.

Perdana Menteriku Kuat Tidur! Tidur Dalam Kelas! Benarkah Dakwaan Memalukan Ini?











PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM


KISAH BENAR Pak Lah tertidur sewaktu sambutan merdeka di Sarawak, baru-baru ini tidaklah menyenakkan sangat. Orang sakit darah tinggipun, rasanya tidaklah terenjat dan melumpuhkan sistem sarafnya, bila terdengar cerita yang bukan metos itu.

Pada Sidang Apec di Australia juga, Pak Lah dikatakan terlelap ketika bergambar bersama pemimpin-pemimpin dunia yang lain! Lihat gambar, Bush menoleh melihat gelagat Pak Lah.

Sebaliknya, bagi saya, kisah benar itu mengesahkan lagi dakwaan nakal dan sumbing sesetengah pihak. Ia membuktikan apa yang diperkatakan selama ini. Tidur bukan suatu yang salah. Tetapi, tidur pada program rasmi cukup memual dan meloyakan.

Kalau ditelaah betul-betul, sarat dakwaan nakal dan sumbing ini dimuatkan pada alam maya siber, “kununnya” Pak Lah seorang Perdana Menteri yang "kuat tidur". “Kuat tidur” bukanlah “kuat” yang boleh didefinasikan sebagai amalan positif dalam hidup seseorang. Makna asal "kuat" memanglah gagah, perkasa, berkuasa, bertenaga dan sasa.

“Kuat tidur” bukannya “kuat” mengikut makna di atas atau kuat kerja berbanding orang-orang lain. Juga bukan “kuat” seperti Ultraman, Spiderman atau Badman. “Kuat” di sini, tidak elok, hodoh, nagetif, haprak dan entah apa-apa lagi istilah yang boleh disangkutkan bagi mengambarkan betapa “kuat tidur” itu suatu yang mesti ditegah, dihambat, dipasung dan ditalqinkan!

“Kuat tidur” hanya membuktikan sesesorang itu malas atau suka "ambil ringan" dalam kerja-kerja sehariannya. “Kuat tidur” bererti banyak masa dipunggah secara sia-sia sahaja. Tidakkah Pak Lah takut dan gentar, dengan tabiat buruk itu bermakna dia telah “mencuri masa” atau “curi tulang” atau “mengelat”.

Dengan sendirinya gaji dan elaun yang diterimanya boleh dipersoalkan. Takkan Pak Lah mahu dituduh “makan gaji buta”? Ini lagi sumbang kalau diperkatakan. Realitinya, orang yang “kuat tidur” akan dipersoalkan duuuuit gaji dan elaunnya. Sebab, kerja tak buat, banyak mengayam, mengelat atas jenama “kuat tidur” tadi.

Masa yang diperuntukkan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia cukup adil dan seimbang. 24 jam sehari semalam! Sepatutnya, ia dimanfaatkan sepenuhnya untuk kebaikan dan kebajikan. Pak Lah mesti menjalankan tugas dengan cemerlang, gemilang dan terbilang.

Bukannya cemerlang atau gemilang dalam amalan dan tabiat “kuat tidur”. Jika ini berterusan, Pak Lah pastinya akan dinobat sebagai PM “terbilang” kerana “kuat tidur”. Rakyat khuatir, “kuat tidur” Pak Lah itu akan menjurus dan mempengaruhi tindak-tanduk sebagai PM dalam mentadbir negara.

Bimbang PM yang “kuat tidur” akan tidur juga dalam menguruskan dana dan kepentingan rakyat. Jika ini terjadi, maka akan hancurlah negara dan musnahlah rakyat. Macam, pilot kapal terbang yang “tertidur” atau “kuat tidur” ketika penerbangan, sudah tentu hala tuju kapal terbang akan hilang arah, kelam-kabut dan ketidaktentuan hala; akhirnya penumpang jadi mangsa.

Kapal terbang terhempas, semua penumpang nahas dan mati! Nyawa tercabut sia-sia. Penumpang tidak salah di mana-mana...! Apa dosanya penumpang itu? Yang salah pilot yang “tertidur” atau “kuat tidur”.

Allah berfirman dalam Surah Al-Asr yang bermaksud: “Demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Pada hemat saya, dakwaan nakal yang ditalakan kepada Pak Lah, nampaknya tidak meleset. Banyak imej-imej yang menggambarkan dakwaan itu sempat dirakamkan oleh lensa kamera. Oleh kerana Pak Lah orang nombor satu negara, tiada siapa yang berani menegur perbuatan “tidur dalam kelas” yang dilakukannya.

Bukan setakat dalam Perhimpunan Agung Umno, tetapi sudah meleret-leret ke program-program penting negara dan antarabangsa. Gambar-gambar di atas mungkin dapat melebarkan maksud Pak Lah, Perdana Menteri yang "kuat tidur"…

Perdana Menteri sebelum ini, tiada yang “kuat tidur” macam Pak Lah. Sebab itu tidak ada siapa mengaitkan beliau atau mengumpamakan beliau dengan Tunku, Tun Razak, Tun Hussein dan Cet Det dalam cara “kuat tidur” ini.

Rasanya, aturcara PM terdahulu sama sahaja dengan PM hari ini. Tetapi, seolah-olah, Pak Lah kurang. Apakah pada malam hari dia terlalu ketat disogokkan dengan program rasmi mahpun tidak rasmi? Barangkali sampai ke subuh? Itu tidak mungkin! Tidak mungkin!

Malah, PM hari ini barangkali lebih mudah dengan pelbagai perkakas multimedia yang canggih, meringkaskan kerja-kerja yang sukar pada PM-PM terdahulu. Ada kapal terbang jet sendiri, kapal layar dan pelbagai kemudahan kenderaan, yang semuanya mempercepatkan tugasan dalam zon selesa.

Jadi, mengapa Pak Lah “kuat tidur”? Inilah isu dan persoalan yang masih berlegar dibenak kepala saya. Waktu menduda selepas kematian Hendon, pun Pak Lah “kuat tidur” hinggalah hidup bersama Jeanne, pun Pak Lah masih “kuat tidur”. Apakah aktiviti sebelah malam beliau?

Pada hemat saya, Pak Lah wajib menepis dakwaan-dakwaan nakal ini sepantas kilat. Buangkan tabiat “kuat tidur” itu kerana ia imej buruk bagi sesiapapun. Apatah lagi bagi seorang PM! Buktikan mulai hari ini, tiada lensa kamera yang dapat mencekup imej Pak Lah menguap, mengantuk dan tertidur. Biarlah gambar-gambar yang sudah masuk lipatan sejarah itu, mewarnai catatan sejarah.

Apakah penasihat sekelilingnya tidak tahu hal ini seperti mana Pak Lah “tidak tahu” dalam banyak hal, apabila ditanya wartawan. Atau Pak Lah sendiri “tidak tahu” yang dia “kuat tidur” natijah dari tiada nasihat dari tuan penasihatnya yang barangkali juga “tidak tahu” yang Pak Lah "kuat tidur".

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor di maya internet.