Nota: Tulisan dan komentar ini pernah muncul ke khalayak sekitar tahun 2000 dan ianya telah menimbulkan pelbagai sinisan dalaman. Artikel ini tergolong dalam pendapat kontroversi. Ia disiarkan oleh Laman Marhain dan Detikdaily. Disiarkan semula untuk dilihat iktibar!
TARMIZI MOHD JAM
KEBIMBANGAN akar umbi PAS terhadap gejala metarialistik, gila pangkat, orputunis dan sikap suka fitnah-memfitnah sesama sendiri, bukan sahaja akan menguntungkan Umno sebaliknya akan menggagalkan usaha parti untuk berada dipihak yang benar.
Sejak PAS menguasai Kelantan, dan menawan Terengganu, pelbagai cerita dan berita yang memualkan turut meniti dari bibir ke bibir.
Fenomena ini ditambah pula dengan kemenangan besar parti itu di parilimen dan Dun yang masing-masing dikutip dari negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Pahang.
Kini, PAS sudah ramai yang bergelar Yang Berhormat atau YB. Sudah lebih enam bulan berulang-alik ke Dun dan Parlimen, pelbagai feel dan perangai yang "kurang selesa" didengar dan disebut-sebut oleh orang, dari pelbagai lapisan.
Orang kampung, orang terpelajar, pegawai kerajaan, orang Umno sendiri, malah kalangan aktivis-aktivis PAS-pun "menyedari" realiti yang sedang dihadapi oleh parti akibat ada YB-YB yang kurang mahir bersilat dengan PR (public relation) atau teknik perhubungan awam sewaktu bertemu dan berjumpa anak buah masing-masing.
Ada pula YB yang tidak tahu langsung "prosedur" pada majlis kerajaan, gagal menyelami hati budi masyarakat sekelilingnya, malah ada juga yang "kedekut" dan "tahi hidung masin"!
Seperti yang dibangkitkan oleh akhbar talian internet malaysiakini, awal bulan ini, berkenaan adanya YB-YB atau Exco-Exco Kerajaan PAS (mungkin Kelantan atau mungkin juga Terengganu) yang berlagak seperti "raja"; enggan turun dari kereta Marcedesz mereka, hanya melambai-lambai tangan sahaja kepada para pinggiran, telah memulakan episod baru politik PAS yang selama ini dianggap zuhud dan tawaduk!
Budaya ini, rasanya bukanlah hanya terjadi di Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung di Kuala Terengganu, baru-baru ini tetapi kalau diperhatikan betul-betul atau diamat-amati semula tanpa perasaan bias, ia sudah lama berlaku.
Sejak YB-YB kita sudah mahir jenis dan jenama Mercedez yang mereka kenal setelah memerintah Kelantan dan yang terbaru Terengganu, memiliki kereta mewah itu, rasanya bukan lah salah atau berdosa.
Tetapi "piagam" orang-orang Umno yang dibawa sama untuk "menggayakan" kereta mewah itu telah melarat kepada kritikan tajam ahli-ahli dan orang ramai.
Budaya tidak mahu turun kereta hingga sampai ke tangga, berbangga dengan adanya driver, kereta Mercedesz yang mewah berkilat, menjadi "persembahan" yang mual dilihat oleh para pendokong akar umbi parti. Itulah yang dimaksudkan sama serupa Umno!
Itu bukan kereta mereka! Ia milik kerajaan negeri. Sama ada Exco atau pengerusi-pengerusi anak syarikat kerajaan negeri, mendapat kemudahan itu. Kereta inilah yang juga digunakan oleh pemimpin Umno dan BN dulu. Baik di Terengganu mahupun di Kelantan.
Kritikan tajam tadi, rasanya ditujukan kepada cara gaya atau "persembahan" pemilik kereta itu mungkin dilihat jauh bezanya ketika mereka menyeret kereta Proton Wira atau Mercedez Benz 200 Disel model injen 123 yang didaftarkan sekitar tahun-tahun 1978-1984.
Sudah sepatutnya, ahli-ahli dan para pendokong PAS terkejut melihat "karenah" Exco-exco kerajaan negeri menggayakan kereta mewah itu. Kerana semuanya bersaiz besar, baru berkilat-kilat dan sisi berkuasa tinggi. Mercedesz S320, E-Class 280, 300-Se, 300-Sel, S-200 dan banyak lagi.
Kritikan tajam itu hanya untuk mengingatkan para pemimpin PAS yang sudah mula "gila" dan "mengintai-intai" kereta mewah dari jenama Mercedesz atau Volvo mahupun Pajero. Semua ini untuk menepati "cita-rasa" mereka sebagai YB.
Bukankah itu juga sama serupa Umno? Tidak bolehkan YB-YB kita menggunakan kereta "rakyat" yang biasa dan tidak berbau mewah?
Akar umbi sebenarnya bimbang dengan "budaya" itu. Ia boleh mengheret YB-YB mereka kekancah yang lebih parah untuk dikawal.
Hidup dengan "mewah" setelah baru bangkit dari "kepayahan" tidak mungkin membolehkan dimengertikan. Realiti tentunya berbeza dengan teori yang selalu dikumandangkan dalam ceramah, tazkirah atau usrah-usrah.
Hari ini, boleh digunapakai kereta negeri. Esok lusa pula itu menjadi kereta sendiri. Timbul tanda-tanya, dari mana datangnya duit membeli kereta mewah itu?
Kalau kereta sudah mewah, tentu juga hidup merekapun mewah! Bolehkah mereka ini memimpin PAS lagi? Atau memperjuangkan nasib rakyat marhain?
Satu ciri penting dalam budaya politik Umno hingga menyebabkan hampir tercabut kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap parti itu ialah sikap materialistik yang melampau hasil dari ajaran Mahathir Mohamad yang menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.
Untuk menuju ke arah "melampau" itu, sudah tentulah ia bermula dari sikap materialistik kecil-kecilan, "itu tak apa", "ini untuk izzah kepada musuh" dan sebagainya menjadi "alasan" yang cukup tersentuh untuk didengar.
Setelah merasa "seronok" dengan kehidupan yang "mewah" dari kemudahan kerajaan negeri, gaji ataupun pelbagai elaun, akar umbi PAS sebenarnya bimbang jika semua kemudahan itu ditarik balik, mereka yang terbabit tidak boleh menerima realiti ini.
Mungkin ada yang dapat menghidu "keupayaan" mereka berdepan dengan persoalan itu, maka sepanjang berada dalam kerajaan negeri, mereka akan bertungkus lumus pula mengejar "pangkat" bagi membolehkan pelbagai peluang "kemewahan" menyebelahinya. Inilah permulaan kepada materialistik melampau.
Akhirnya, tuduh menuduh, caci-mencaci, fitnah-memfitnah memburu setiap cerita dan berita buruk yang melanda YB-YB dan parti PAS. Golongan "orputunis" dalam parti, laju ke depan mendabik dada "kununnya" mereka telah bagi tahu lama dah, telah ingatkan dari dulu lagi dah, jangan "pilih" dia sebab begini-begini-begini.
Percakaran bermula, usaha untuk menjatuhkan YB yang ada, atas alasan "kununnya" YB ini sudah materialistik, berjalan dalam diam.
Kadang-kadang, golongan "orputunis" yang kurang bijak, menyerlahkan tindakan politik dalamannya hingga membentuk "team-team" atau "klik-klik" yang bakal "menyusah" dan "mengganggu" perjalanan PAS di sesuatu kawasan.
Lobi-melobi yang diamalkan oleh Umno, menyerap masuk secara tidak sengaja. Bukankah ini juga sama serupa dengan Umno?
Kritikan ini bukan hanya pada mereka yang mendapat manfaat dari kemudahan kerajaan negeri, tetapi mereka yang bergelar YB. Banyak kawasan, setelah "menang", pelbagai masalah timbul dari dalam parti ekoran kemenangan itu dan ini membuktikan tarbiyyah kita selama ini "kurang berkesan".
Apa yang tragiknya, mereka yang memimpin usrah yang dikenali naqib banyak berlagak "dia lebih tahu", "dia lebih bijak" hingga menolak pandangan orang lain dan bermulalah perpecahan dalaman!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan