KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 20, 2007

Tol Runding Terus, OSA: Kerajaan Pak Lah Sebenarnya “Lindungi” Siapa? Kroni Mana?

FRU beriya-iya untuk menghalang kemaraan rakyat menuntut hak mereka. Protes begitu terus diligan oleh FRU kerana mereka cukup berkenan dengan kenaikan tol agaknya! Di mana ada tunjuk perasaan, di situ ada FRU...

Fikirlah wahai rakyat sekalian... TOL (Tindas Orang Lalu) naik, janganlah berpeluk tubuh saja. Masih nak undi BN lagi dalam PR ke 12 ini? Serik! Serik! Serik!

Lihatlah wahai rakyat. Mereka sarat dengan senjata untuk menggempur kita yang insaf dan prihatin terhadap nasib bangsa. Perjuangan kita untuk orang susah dan tertindas. FRU hanya menjalankan tugas... Tugas siapa ya? Nak tahu juga!

Muqqaddimah: Isu kenaikan harga tol oleh lima pemegang konsesi lebuhraya mulai 1 Januari 2007 menampakkan sikap tidak telus kerajaan terhadap rakyat. Kontrak yang diberi secara “gelap” dan bebanan dipaksa supaya rakyat membayar dengan harga yang mahal; semata-mata helah tersembunyi yang belum dirungkai kaitan antara pemegang konsesi dengan parti pemerintah. Ikuti komen Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), DR. MOHD NASIR HASYIM ketika saya menemui beliau di Ampang Point.

Cara “runding terus“ mendapatkan kontrak lebuhraya lebih merupakan “tender gelap” yang masih digunapakai. Umum tahu, syarikat yag mendapat kontrak ada hubungan dengan parti pemerintah. Bukan soal syarikat berdaya maju, atau tender terbuka untuk kebaikan rakyat. Tetapi ada “sesuatu tersembunyi“ disebaliknya. Bagaimana ini...

DR. MOHD NASIR: Tender “runding terus“ ini telah mengundang pelbagai tandatanya. Ada yang tak kena. Apa yang istimewa hingga kita nak mengadakan “runding terus“. Lazimnya kita membuka tender. Ia lebih telus walaupun masih banyak yang boleh dipersoalkan. Ini cara untuk mendapatkan pilihan syarikat yang terbaik. Harga terendah. Cara ini mampu mengurangkan kos projek, sekaligus mengurangkan bebanan kepada rakyat. Bukan pilih syarikat yang tidak berpegalaman. Proposal dengan kos yang tinggi dan sebagainya. Sebab bina lebuhraya untuk kebaikan rakyat bukan nak bebankan rakyat. Kita tidak tahu apa yang tersembunyi di sebalik ”runding terus“ itu. Bagi saya, cara “runding terus” tentu sekali ada “hubungan intim“ dan “pertalian“ antara syarikat dan pihak kerajaan yang mewakili parti pemerintah. Dalam kes ini, rasanya bukan syarikat yang memohon tapi pihak kerajaan yang menentukan syarikat untuk mendapatkan kontrak tersebut. Soalnya mengapa cara ini dipilih? Tentu ada kelebihannya... dan tentu ada kepentingannya yang tersirat. Ini tandatanya rakyat!

Tidakkah cara runding terus ini menjijikkan dari segi amalan sebuah negara demokrasi?


Cara “runding terus“ ini jelas tidak demoktratik. Syarikat lain yang punyai kelayakan dan kepakaran dalam pembinaan lebuhraya dinafikan hak mereka untuk membida. Mungkin kekuatan modal syarikat serta kepakarannya boleh mengurangkan lebih banyak kos tetapi ini tidak diambil kira. Syarikat yang boleh “berunding“ dengan kerajaan, akan diberi kontrak ini. Apa “rundingannya“? Mengapa perjanjian berkenaan konsensi ini disembunyikan? Ia terlalu jijik kerana hanya kerajaan dan syarikat terbabit sahaja yang tahu kandungan perjanjian. Sedangkan rakyat saban tahun terpaksa menerima kenaikan kadar tol kononnya rugi dan mengikut perjanjian asal ia mesti dinaikkan. Inilah yang kita persoalkan. Ada yang tak kena. Cara ini memungkinkan rasuah terjadi dan kos rasuah inilah yang telah meningkatkan kos sebenar yang terpaksa ditampung oleh syarikat dengan “bebekerjasama“ dengan kerajaan untuk menaikkan kadar tol. Maknanya, akhirnya rakyat terpaksa membereskan kos tersebut.

Soal tol dan lebuhraya ini, soal bisnes. Mengapa syarikat terbabit tidak menanggung rasiko kerugian apabila bersetuju menandatangani kontrak? Bisnesnya, tak rugi-rugi tetap untung. Caranya naikkan kadar tol…

Ya. Lebuhraya dan tol ini kisah bisnes. Sebab itu ada harga tol. Bisnes mestilah ada pasang surutnya. Untung ruginya. Tapi dalam kes bisnes tol dan lebuhraya ini, agak luar biasa. Kalau rugi, kerajaan tampung. Kalau untung kerajaan tak usik syarikat ini. Banyak juga syarikat lebuhraya yang untung tapi kadar tol tetap dinaikkan. Ini yang pelik. Duit rakyat diperah setiap hari untuk kononnya menampung kos pembinaan lebuhraya-lebuhraya ini. Sebenarnya dalam bisnes, apabila sesebuah syarikat itu mahu membida apa sahaja kontrak termasuk dalam projek membina lebuhraya maka ia terpaksa mengemukakan satu proposal. Proposal ini tentunya terkandung soal bila masanya ia mendapat untung, lima tahun ke, 10 tahun ke, 25 tahun ke. Ada jangka masanya. Dari sini kita tahu, mana syarikat yang layak. Jika terlalu membebankan rakyat, syarikat berkenaan kita boleh tolak. Kerana syarikat ini akan bermasalah dalam tempoh tertentu nanti. Kalau kita telus, pilih syarikat yang kukuh modalnya, ada kepakaran, boleh berdikari, tentulah melalui kutipan tol itu sudah mencukupi menampung segala kos yag telah dikeluarkan. Sekarang ini, bisnes tol ini ikut mak bapak dia sahaja....

Itu betul. Sebab syarikat yang dilantik ada hubungan intim dengan kerajaan...

Ya saya percaya, syarikat-syarikat yang besar dapat kontrak bina lebuhraya ini ada kaitan langsung dengan kerajaan dan parti pemeritah. Ini terbukti, bila syarikat-syarikat ini minta sesuatu, selalunya akan dapat. Minta dinaikkan kadar tol, selaluya dapat walaupun kerajaan kata ia akan kaji dan sebagainya untuk kepentingan rakyat. Jika kerajaan kaji untuk rakyat, ia tak boleh naikkan tol. Sebab bila tol naik, barangan keperluan lain akan naik. Alasannya tol naik dan tol termasuk dalam kos pengangkutan. Mereka kena bayar lebih. Kena ulang-alik. Ini alasan mereka untuk menaikkan harga barangan lain dan kerajaan tak boleh buat apa-apa. Yang menanggungnya ialah rakyat. Macam harga minyak naik. Barangan lain ikut naik. Apa yang mampu diatasi oleh rakyat miskin, jika ini terjadi. Jurang yang kaya dan miskin makin subur dan jauh. Kerajaan tak boleh buat apa-apa. Yang susah rakyat juga...

Maknanya, cara memberi tender bina lebuhraya itu tak betul...

Tepat sekali. Bagi saya cara kerajaan memberi tender membina lebuhraya itu tak betul dan tak telus. Kalau setiap kali kerajaan terpaksa memberi pampasan untuk menampung kos pembinaan lebuhraya, sebenarnya duit itu ialah duit dari titik peluh kita sebagai rakyat di negara ini. Duit itu dari poket kita. Maknanya kerajaan menampung syarikat yang tempang dan tak berkemampuan. Pada hal jumlah kereta dan kenderaan lain makin meningkat. Mereka guna lebuhraya bertol. Tentulah kadar kutipan tol juga meningkat. Apakah kutipan yang sedia ada tidak mampu untuk menampung hingga terpaksa kerajaan memberikan subsidi. Ke mana perginya keuntungan itu? Ini yang kita pertikaikan.

Mungkin ini “batu loncatan“ untuk parti pemerintah atau individu tertentu membuat keuntungan?

Kita mesti kaji secara lebih mendalam. Apakah hubungan pemegang konsensi ini dengan pihak kerajaan, dengan parti pemerintah atau dengan tokoh-tokoh tertentu negara yang berkepentingan. Kaitannya dengan Umno ke, MCA ke, Gerakan ke atau MIC... Mereka amat rapat dengan serambi kuasa. Orang atau syarikat yang menerima kontrak mungkin konco-konco mereka yang dijadikan proksi.

Jadi adakah ini sebab utama mengapa perjanjian berkenaan konsensi lebuhraya-lebuhraya ini tidak boleh didedahkan kepada rakyat. Malah dilindung oleh OSA. Apa tujuannya?

Soalnya, syarikat atau kerajaan kena tunjuk perjanjian itu. Baru rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku. Baru kita tahu mengapa kadar tol perlu dinaikkan untuk tempoh yang panjang. Rakyat tidak tahu malah membuat pendedahan terhadap kandungan perjanjian konsensi lebuhraya itu kepada umum boleh ditangkap dibawah Akta Rahsia Rasmi Kerajaan (OSA). Soalnya, kerajaan nak lindungi siapa? Rakyat atau syarikat terbabit yang ada “kongkalikong“ dengan pihak kerajaan. Dahlah duit rakyat digunakan untuk membayar pampasan kepada syarikat terbabit. Hari-hari kita sebagai pengguna lebuhraya pula, keluar duit bayar tol. Sebab itu, rakyat ada kepentingan untuk mempertikaikan cara tender dibuat dan rakyat kena tahu apa kandungan perjanjian konsensi hingga ianya dilindungi oleh OSA. Rakyat patut diberi tahu apa alasan syarikat itu dapat kontrak, sejauh mana ia dapat keutungan dan bagaimana ia dapat keuntungan itu.

Dr. berpuashati dengan mutu khidmat yang disediakan oleh kebanyakan lebuhraya khususnya di Lembah Klang ini...

Saya tak puashati. Tempat mengutip tol dikembangkan, kemudian kincup semula macam jalan biasa. Macam Jalan Kajang. Kadang-kadang tak ada laluan alternatif. Kalau ada tol, mesti ada jalan alternatif. Maknanya, kerajaan sengaja memaksa rakyat untuk membayar. Sebab itu, saya rasakan ada sesuatu yang tak kena dengan penyelenggaraan lebuhraya dan tol di negara ini. Bermula dari cara “runding terus”, kaitan syarikat dengan pihak kerajaan, parti pemerintah, pemimpin tertentu hinggalah kepada penggelapan isi kandungan perjanjian konsensi lebuhraya. Lebih malang lagi, rakyat akan ditangkap dan diseret ke penjara jika membocorkan isi kandungan perjanjian itu yang dilindungi dibawah OSA. Kita juga hairan, mengapa kerajaan seringkali membayar pampasan kepada syarikat terbabit dan begitu dhaif menilai syarikat yang mendapat kontrak berkenaan. Sedangkan ada jawatankuasanya, penilainya yang bertauliah tetapi hasilnya amat mengecewakan. Ada banyak yang tak kena. Dan mungkin kita boleh menuduh berlakunya rasuah dalam isu ini. Individu tertentu atau parti-parti tertentu.

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai sumber blog dan website di maya internet.