KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, September 11, 2007

Harakah Sebagai Universiti Terbuka!

Tarmizi Mohd Jam (kiri) sedang menginterbiu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga seorang peguam, Hanifa Maidin di Pejabat Agung PAS ketika beliau menggerakkan Akhbar Politik@KL terbitan PAS Wilayah Persekutuan.

Komentar Santai Ibnu Hasyim agak menarik. Beliau memperkatakan diri saya. Artikel ini dipetik dari
http://ibnuhasyim.blogspot.com/. Ibnu Hasyim adalah penulis, penganalisa politik dan seorang penerbit. Pengasas GG Edar, Ad-Dakwah dan Gedung Gua. Pernah menerbit dan menjadi Editor Majalah Al-Ummah.

“SETELAH membaca tulisan anda, Imbauan Harakah 20 Tahun, Imbauan 2 & 3
maka saya ingin beritahu anda bahawa pada saya Harakah adalah universiti tempat latihan, mengutip dan mengembangkan ilmu,” kata seorang bekas Pengarang Harakah yang saya temui baru-baru ini.

“Anda ingat atau tidak, anda juga ada membantu saya hingga terbitnya buku sulung saya, selepas PAS baru mengambil alih negeri Kelantan pada tahun 1990, berjudul Kelantan: Mampukah Ulama Mentadbir?"

“Ya, saya ingat! Anda pernah dihantar Harakah untuk membuat liputan menjelang kemenangan ANGKATAN (Angkatan Perpaduan Ummah) di Kelantan, dan saya melihat tulisan anda adalah bahan sejarah yang perlu dikumpulkan dan dijadikan buku.

Bila anda mengumpulkan, saya yang memilih tajuk dan mengeditnya, walaupun masih belum sempurna dan nampak kelam kabut isinya. Tetapi buku itu paling berjaya dipasaran. Banyak juga terjual dan nama anda mula disebut-sebut,” jawab saya.

Beliau yang saya maksudkan adalah Saudara Tarmizi Mohd Jam yang berasal dari Parit, Perak.

Dalam buku seterusnya, beliau mengucapkan kata penghargaan kepada saya dan mengiktiraf saya sebagai guru kepada penulisannya. Puluhan buku-buku diterbitkannya, ada 20 ke 30 buah agaknya.

Tapi akhir 90an ketika isu pemecatan Anwar Ibrahim, Tarmizi banyak menerbitkan makalah isu tanpa permit KDN.

Saya nampak, dia akhirnya menjadikan penulisan buku sebagai sumber pendapatan sepenuh masa beliau. Hanya beliau seorang diri menulis, mengedit, menerbit dan memasarkannya. Semua pengalaman itu diceduknya ketika di universiti Harakah dulu.

Pada tahun-tahun 90an, beliau banyak menerbitkan buku-buku isu berbentuk majalah tidak berkala. Mungkin pendapatan waktu itu agak lumayan, hingga boleh pakai kereta mewah. Saya tak ingat judul-judul buku tulisannya, kerana agak banyak.

Seingat saya juga, beliau ada melanjutkan pelajaran penulisannya di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dalam bidang Pengajian Media.

Bukan setakat menjadi penulis, bahkan beliau berkecimpung dalam politik PAS dan pernah bertanding dalam pilihan raya di Perak sebagai calon PAS dalam usia agak muda.

Saya sedar, banyak wang ringgit dan masa yang dihabiskan untuk perjuangan, kerana sering berulang-alik ke kawasannya, bagi menghidupkan perjuangan PAS di sana.

Sejak 1994, kalau tidak silap saya hingga beliau meninggalkan Parit pada tahun 2002. Lebih kurang 9 tahun lamanya dia berulang alik KL-Parit. Cuba bayangkan, masa dan duit ringgit tumpah begitu sahaja demi perjuangan. Dan ketika itulah, saya lihat PAS Parit mula bangkit kerana pelbagai program penerangan diatur oleh beliau.

Hal ini kita semua sedia maklum di saat PAS parti yang miskin dan masih belum menang banyak kerusi dalam pilihan raya kecuali Kelantan, PAS amat perlukan sokongan ahli-ahlinya.

Saya juga sedar hal ini kerana saya juga begitu, waktu nak menghidupkan PAS di kawasan saya (PAS Kawasan Balik Pulau di mana saya jadi YDPnya) dari pertengahan 80an hingga pertengahan atau hujung 90an. Terpaksa melalui suka duka seperti yang dialami Tarmizi di Parit.

Banyak pengorbanan yang perlu kita curahkan. Begitu juga Saudara Ahmad Lutfi Othman anak Kedah, yang banyak menerbitkan buku-buku dan majalah (termasuk majalah Detik) semasa berkerja atau menjadi pengarang Harakah.
Beliau yang dengan beraninya pernah bertembung dan berlawan dengan pihak KDN (Kementerian Dalam Negeri), begitu banyak menerbitkan buku-buku politik.

Semasa Dato’ Seri Anwar Ibrahim baru dipecat dari UMNO, saya pernah bersama-sama beliau berceramah di Markas PAS Kampung Pandan. Waktu itu ada sebuah buku tulisan beliau begitu laris dan cetakannya dikatakan menjangkau 80,000 naskah, tidak termasuk puluhan syarikat yang mencetaknya secara haram (cetak rompak).

Begitu juga Ustaz Mashudi (sekarang masih berkerja di Harakah) walaupun tidak menulis buku, tetapi beliau adalah orang yang awal menulis semula ucapan atau kuliah Tok Guru Nik Aziz dijadikan buku dan diterbitkan oleh pihak Harakah. Sambil menulis beliau seolah-olah sedang belajar agama di universiti.

Begitu juga Saudara Zulkifli Sulong anak Terangganu menulis buku mengenai PAS Tawan Terengganu sebelum PAS benar-benar tawan Terangganu. Rashidi Hassan tulis mengenai perjuangan Islam di Bosnia.

Yusri Yusof anak Kelantan tulis mengenai isu Palestin. Rahim Kassim tulis buku mengenai UMNO & S46. Bekas pelakon dan pengarah filem, L. Man Kadir Shamsi yang memakai nama samaran AK Hidayat juga pernah berkerja sekejap dengan Harakah.

Zin Mahmud dengan majalah Dunia Islamnya dan pernah jadi Pengarang Kumpulan Harakah sebelum undur semula ke Watan dan kemudiannya ke Utusan Malaysia. Nasir Awang dan ramai lagi yang saya belum ingat semasa menulis artikel ini.

“Soalnya sekarang mengapa ramai juga orang yang asalnya datang untuk berbakti kepada perjuangan Islam melalui Harakah seperti pelajar-pelajar yang baru keluar universiti, terpaksa keluar meninggalkan Harakah seolah-olah lari dari perjuangan?

Mengapa orang-orang yang terlatih di Harakah, ramai yang keluar meninggalkan Harakah atau pergi berkhidmat kepada syarikat media bukan jamaah yang tak sealiran dengan Harakah?
Di mana salahnya tarbiyah universiti Harakah seperti yang disebutkan?”

Saya pernah bersembang-sembang bertanyakan hal ini dengan Tarmizi. Dia ada pendapatnya sendiri. Berdasarkan pengamatan dan keterlibatannya sendiri dalam kubang Harakah itu sendiri.

“Mereka yang baru keluar dari pusat-pusat pengajian tinggi menganggap universiti Harakah itu sebagai lubuk kegiatan Islam yang bersih dari kekurangan. Maka mereka pun terjun kedalamnya. Tetapi bila sudah bergelumang di dalamnya, baru mereka tahu bahawa masih banyak lagi perkara-perkara yang perlu dibetulkan, dan Harakah Islamiah itu sendiri perlukan pentarbiyahan semula,” jelas Tarmizi.

“Itu sebabnya ada juga hampir berlaku saman-menyaman sesama sendiri dan sebagainya. Mana yang mengalah, tak mahu berlawan atas dasar jamaah terpaksa keluar membawa diri. Kadang-kadang bila keluar dari Harakah mereka jadi lebih terkenal!!”

Contoh seperti Saudara Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Wan Johari, Johari Jaafar Perak, Zin Mahmud, kartunis Rizal dan lain-lain.

1 ulasan:

Tarmizi Mohd Jam berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.