KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, September 10, 2007

RESPON 1: Kalau Takut DiSambar Api...


Khas Buat TMJ Dalam Penulisannya Bertajuk
"PAS Jangan Jadi UMNO" dan penulis-penulis
yang sering membuat teguran dan kritikan
terhadap kepimpinan BA!

SAYA menjangkakan tulisan Tarmizi Mohd Jam (TMJ) pasti akan menerima reaksi yang bercampur-baur daripada segenap lapisan masyarakat.

Maklumlah, sebelum ini belum terdapat penulisan yang sanggup menghentam kepimpinan PAS seperti yang dilakukan oleh orang UMNO terhadap pucuk kepimpinan mereka. Ketiadaan hentaman bertulis seperti ini tidak bererti pucuk kepimpinan PAS itu bersih lagi bersih dan baik lagi baik daripada pucuk kepimpinan UMNO.

Namun apa yang diketengahkan oleh TMJ bukannya satu cerita baru laksana cerita yang turun daripada kayangan. Apa yang dituliskannya adalah sesuatu yang lumrah terjadi dalam mana-mana kumpulan siasah di mana saja.

Cuma dalam PAS perkara seperti itu dianggap satu 'taboo' yang tidak mudah dibincangkan di khalayak ramai kerana takut menggugat kredibiliti PAS. Itulah persepsi majoriti ahli PAS.
Kalau persepsi itu diulang-ulang oleh para pemimpin PAS di peringkat tertinggi, lantas persepsi itu mudah menjadi satu fatwa yang tidak ada kesahihan asal-usulnya.

Saya menjangkakan TMJ menulis itu dengan satu nawaitu yang bersih lagi suci. Mungkin dia mahu menyampaikan apa yang diminta oleh segolongan besar pemimpin dan akar umbi parti. Tetapi, risiko yang dihadapinya adalah amat besar juga.

TMJ setahu saya adalah seorang ketua pemuda PAS di satu kawasan parti itu. Sudah tentu ada pihak nanti yang mahu mengkritik beliau secara lantang pula kerana mempersoalkan apa sebenarnya tujuan beliau mendedahkan pekong di dada.
Kenapakah beliau tidak serasi bertapak kukuh di kawasan partinya untuk mentarbiahkan para ahli yang memerlukan panduannya?

Kenapakah beliau tidak berusaha untuk memajukan kawasan PAS di mana dia dianggap sebagai seorang pemimpin yang berwibawa?

Semua ini merupakan segelintir soalan yang mungkin tercetus hasil daripada tulisannya itu. Tetapi sebagai seorang penulis yang menempa nama di persada penulisan yang kontroversi di alam pemikiran dan persuratan Melayu yang bercelaru kini, TMJ pasti sudah memikirkan semua itu sebelum mengorak langkah menyanggah parti politik di mana dia sendiri diberikan amanah untuk menjalankan watak pemimpin pergerakan pemuda PAS.

Soalnya sekarang, apakah salah TMJ menulis untuk menempelak perangai buruk yang semakin menyerlah di kalangan YB-YB PAS masa kini?

Terbukanya Kotak Pandora

Penulisan TMJ bolehlah dikatakan tajam tetapi dengan ikhlas saya katakan belum cukup tajam lagi. Kalau tujuan penulisan itu sekadar memberi ingatan ia amat menepati tujuannya. Tetapi, kalau ia mahu menepati tajuk yang berbunyi 'PAS Jangan Jadi Serupa UMNO' ia belum cukup masak lagi untuk diketengahkan.

Ataupun tajuk itu sendiri terlalu besar untuk satu penulisan yang dikira masih berlemah lembut. Ia setakat mampu membuka satu kotak pandora yang sekian lama tertutup rapat kerana tidak ramai manusia yang sanggup membukanya.

Risiko membuka setiap kotak pandora ialah kerana ia akan mengeluarkan bisa yang mampu mematuk si pembukanya juga.

Soalnya sekarang, kenapakah setiap YB-YB PAS perlu diberi ingatan akan gelagat mereka yang semakin janggal sehinggakan kurang disenangi oleh akar umbi. Ataupun, apakah kejanggalan itu terserlah kerana kaca mata orang yang melihatnya sudah semakin cemburu dengan kemewahan yang terlalu mendadak penyerlahannya?

Sebenarnya setiap pemimpin PAS yang bergelar YB sekarang ini sedang mengharungi satu dilemma yang amat perit untuk diharungi. Mereka berada di persimpangan dan perlu memilih hala tuju kehidupan seterusnya yang tidak mungkin menyinggung harapan dan aspirasi orang yang meletakkan mereka di tahap itu.

Di waktu yang sama mereka juga mempunyai satu persepsi terpendam sekian lama yang mahu dipuaskan agar tidak terlepas peluang yang ada. Inilah dilemma seorang insan yang bekerja di dalam satu ruang lingkup di mana dia tidak punyai banyak pilihan. Seorang yang tidak merokok boleh menjadi pemabuk rokok disebabkan asap rokok yang berlebihan yang dihidunya.

Seorang yang tidak peminum mungkin menjadi mabuk kalau selalu sangat terhidu wap 'distillery' yang mengukus minuman yang memabukkan. Seorang yang tidak tahu nota muzik pasti satu hari mula mengkotak-katikan ibu kakinya setiap kali terdengar muzik yang menyeronokkan.

Masalah yang dihadapi oleh setiap pemimpin PAS masa kini ialah mengharungi persepsi rakyat yang mahukan pembaharuan dalam parti. Inilah satu perkara yang amat sukar dicapai disebabkan kekurangan vitamin kewangan.

Orang yang mahukan pembaharuan itu pula membuat kayu pengukur berdasarkan apa yang dilihatnya selama ini sedangkan dia sedar pembaharuan memerlukan wang yang banyak. UMNO sebagai tunjang parti yang memerintah mampu mengeluarkan belanja untuk mengadakan pembaharuan kerana ia sudah lama bertakhta.

Kerana itu kepincangan UMNO itu sendiri mudah dilupakan kerana kemampuannya mengeluarkan wang untuk memuaskan pembaharuan. Kerana pembaharuan tidak semestinya membangunkan sesuatu prasarana. Ia cukup menjadi bahan kepuasan kalau ia mampu menutup nafsu golongan yang mahukan pembaharuan itu.

Contoh yang terbaik terdapat di Sanggang dan Teluk Kemang ketika kempen pilihanraya kecil dilaksanakan. Rakyat marhaen mahukan pembaharuan dalam hidup mereka tanpa memikirkan apa yang sebenarnya mereka perlukan. Sebetulnya mereka memerlukan pembaharuan dalam hidup mereka secara kekal dan bukannya secara ad hoc dan sementara.

Di tahap parti pula pucuk pimpinan cuba membawa satu pembaharuan yang dapat diterima umum sebagai satu evolusi pembaharuan dalam parti kerana kejayaan pembaharuan itu sudah semestinya mencetuskan pembaharuan di akar umbi.

Di sini sekali lagi berlakunya satu pertembungan. Saya selalu berkata bahawa PAS ataupun UMNO ataupun PRM ataupun DAP hanya merupakan satu wadah perjuangan. Ia bukannya satu kemestian untuk mencapai matlamat perjuangan itu. Inilah konsep kepartian yang diamalkan di negara maju.

Tetapi, di negara membangun konsep kepartian seperti ini tidak mudah difahami kerana sesuatu parti itu apabila sudah dikaitkan dengan wadah perjuangan seseorang individu ia merupakan satu parti yang mesti dipatuhi sehingga mati. Tidak kira apa bentuk perjuangan parti itu akhirnya. Kerana itu konsep menghalalkan cara menjadi sebahagian perjuangan pucuk pimpinan parti.

Perjuangan asal parti seperti yang termaktub dalam perlembagaannya hanya merupakan simbol landasan perjuangan. Larian perjuangan yang sebenar mungkin sudah jauh menyimpang daripada landasan yang asal tanpa disedari oleh majoriti akar umbi.

Mereka telah dikhayalkan dengan larian perjuangan yang semakin deras itu sehinggakan mereka terpukau untuk terus taksub kepada perjuangan yang dilaungkan melalui slogan dan cogankata yang dicerna bertalu-talu silih berganti dan diulang-ulang setiap waktu dan setiap hari sehinggakan akar umbi dan segolongan besar pucuk pimpinan parti sendiri pun sudah keliru maksud sebenar slogan itu.

Kalau tidak percaya cuba tanya para pejuang UMNO apa bezanya di antara 'Kepimpinan Melalui Tauladan' dengan 'Bersih Cekap dan Amanah' dan beberapa slogan lain yang apa nama dan kunun maknanya?

Tarmizi Mohd Jam harus bersedia menerima kritikan bertubi selepas ini. Dosanya tentu timbul kerana dia sanggup membuat perbandingan para pemimpin PAS yang baru bergelar YB dengan para pemimpin UMNO.

Apakah benar dia berdosa dalam hal itu. Kalau pemimpin PAS itu tidak dibandingkan dengan pemimpin UMNO, dengan siapa lagi? Dengan para sahabat yang lama wafat.....!

Ramai yang sudah mula lancang mengkritik sehingga pemimpin yang menggunakan kereta untuk membeli nasi lemak pun dikira salah. Apakah pemimpin itu harus terus pergi membeli nasi lemak dengan basikalnya yang usang dulu?

Ataupun salahkah dia pergi membeli nasi lemak dengan berkereta ataupun kesalahan itu disebabkan dia tidak membeli nasi lemak dari penjualnya yang lama?

Inilah satu polemik yang harus kita buat kajian berterusan. Inilah gejala bibit-bibit rasa kesal di kalangan pihak tertentu kalau melihatkan gelagat baru teman lama yang kini sudah bergelar Yang Berhormat.

Satu ketika dulu ketika China di pimpin oleh Mao Tze Tung, dia cuba membawa negaranya setara dengan negara maju. Di waktu yang sama dia mahu mengekalkan status quo para pemimpinnya agar terus berdamping dengan rakyat. Dia tidak membenarkan pemimpinnya memakai kot dan tali leher.

Negaranya maju tetapi tidak mengikut rentak yang amat diidamkannya. Lantas di dicetuskannya satu revolusi rakyat yang dicongakkan dapat membawa China melangkau evolusi pembangunan dan kehidupan. Apakah yang terjadi akhirnya?

China mundur ke belakang dan memerlukan hampir lima belas tahun untuk bangkit semula. Mao Tae Tung mati dengan impiannya terbujur kaku seperti jasadnya yang dikeraskan dan dipertontonkan. Buku Merah yang menjadi kitab suci masyarakat bangsanya menjadi satu buku sejarah sahaja yang kini tersimpan dalam almari sebagai lambang kesilapan pemerintahannya.

Kematian Mao Tze Tung dan konsep 'Cultural Leap Forward' yang didendangkan seluruh negara dulu itu akhirnya terkubur jua. Sebelum itu berjuta manusia mati beragan kerana ketaksuban pucuk pimpinan parti komunis China yang mahu mempraktikkan impian Mao Tze Tung itu.

Kematian Mao hanya merupakan lambang jutaan nyawa terkorban di kalangan para cendekiawan, artis dan para tukang dan pandai yang telah dikerah menjadi buroh paksa semata-mata mahukan mereka melupakan kepakaran mereka.

Mao menjadi gila di saat hampir era kemalapannya dan dia telah menghenyak negara ciptaannya ke kancah kegilaan semata-mata mahu memuaskan pencapaian impiannya yang semakin menggila itu.

Demikian yang berlaku kepada China sehinggalah pengaruh Mao lesap di lipatan sejarah. Barulah muncul Deng Ziao Peng yang satu ketika dulu merupakan pewaris takhta selepas Mao tetapi diaibkan untuk menjadi pencuci tandas oleh politburo komunis yang mengampu Mao. Deng telah akur dengan keputusan mahkamah Mao untuk turun pangkat daripada seorang ahli majlis tertinggi parti kepada seorang pencuci tandas.

Dia memegang penyapu tandas tetapi yang menggunakan penyapu itu adalah para penyokong setia beliau yang tidak tergamak melihat dia membuat kerja-kerja itu. Para penyokong dan rakyat marhaen China tahu bahawa Deng Ziao Peng bukan dilahirkan untuk menjadi pencuci tandas.
Akhirnya Deng bangkit dan menjadi pemimpin ulung China yang menukarkan corak pembangunan China sehingga ia menjadi satu negara yang disegani kini.

Apakah yang Deng lakukan untuk menukarkan haluan negaranya? Dia galakkan para pemimpinnya menjelajah seluruh dunia dengan pakaian yang paling moden. Dia lakukan pembaharuan mengikut peredaran zaman.

Dia pergi ke merata dunia mengajak pelabur barat. China membangun dan Deng terus memberikan ruang untuk mendengarkan rintihan rakyatnya. Para pelajar diberi ruang untuk berdemonstrasi dan para pekerja diberi ruang untuk berdikari. Semua itu amat berbeza dengan apa yang tertulis dalam perlembagaan asal parti Komunis China. Semua itu amat berbeza dengan idaman Mao Tze Tung.

Di dalam membuat perbandingan itu, kita boleh ambil iktibar akan apa yang berlaku di Iran selepas perginya Imam Ayatollah Khomeini. Iran yang terkenal sebagai negara yang paling maju di antara keseluruhan negara Islam dan terkaya dengan minyak dan segala kelengkapan perangnya, telah terjerumus ke kancah celaruan disebabkan idaman Ayatollah Khomeini itu cuba ditiru secara membabi buta.

Ayatollah Khomeini muncul untuk menyekat kekufuran dalam negara yang sudah kaya. Ruangan yang luas diberikan kepada para ulama yang mendapat tempat yang mulia dalam segenap institusi di Iran.

Tetapi, mereka tidak mempunyai latihan yang cukup untuk mentadbir negara sehinggakan mereka mahu terus berkuasa tanpa memikirkan implikasi mengekalkan fatwa Ayatollah Khomeini tanpa ambil pusing akan kesannya.

Kemajuan Iran tersekat dan pembangunan negaranya terbantut. Kerakusan peperangan telah melahirkan jumlah janda yang besar sehinggakan mencetuskan masalah moral dan keruntuhan rumah tangga yang sukar dibendung lagi. Semua itu tidak mudah diperbetulkan kerana negara semakin kekurangan hasil disebabkan kelembapan ekonomi.

Siapakah yang mampu menggerakkan ekonomi seperti sediakala sedangkan manusia lelaki yang menggerakkan semua itu sudah tertanam enam kaki di bawah tanah? Pemerintah masih berdegil dan masih menganggap kaum wanita sebagai kelas bawahan. Ekonomi Iran terus terhenyak lagi.

Keadaan ini hanya mula beransur pulih setelah Iran memilih pemimpin baru dalam pilihanraya umum mereka. Rakyat marhaen telah memberontak secara aman dan memilih satu pasukan pemimpin yang sanggup mendengar rintihan mereka. Rakyat telah jelak dengan pemimpin yang berselindung di sebalik jubah yang panjang dan kitab suci dan tasbih di tangannya.

Rakyat Iran mahukan pemimpin yang pragmatik dan praktikal. Imam Rafsanjani yang merupakan anak-didik Ayatollah Khomeini telah tersingkir dan rakyat Iran telah memilih seorang pemimpin yang mempunyai kelulusan sarjana kejuruteraan daripada Universiti Jarman sebagai pemimpin unggul mereka.

Iran bangkit semula setelah Ayatollah Mohammad Khatami dilantik menjadi Presiden Islamic Republic of Iran. Saya amat tertarik dengan sebuah ucapan beliau dan ingin merakamkannya di sini: "Biarlah saya berterus-terang.

Hala tuju keunggulan sosial yang dibenarkan oleh agama kita hari ini dan esok hari akan bergantung kepada interpretasi ajaran agama itu dengan cara yang ia tidak akan menghambat kebebasan.

Sejarah telah menunjukkan setiap kali agama berdepan dengan kebebasan selalunya agama itulah yang terluka.....Apabila kita bercakap akan hal kebebasan kita maksudkan kebebasan pihak yang tertindas.

Kebebasan tidak membawa sebarang makna kalau rakyat menyetujui kebebasan yang dimaksudkan oleh para pemimpin yang berkuasa dan dengan cara dan makna kekuasaan mereka itu."

Kalau diambil kira kata-kata hikmat ini, apakah agaknya dosa TMJ menulis artikel sebagai ingatan kepada pemimpin PAS. TMJ tentu sudah lama sedar akan risiko penulisannya itu. Dia tentu sudah tahu apa risikonya kalau menulis untuk memperbetulkan sesuatu kejanggalan itu. Ia bukannya satu kerja yang mudah seperti bukannya mudah bertugas dengan api.

Seorang penulis memang amat mudah bermain api kerana kerja-kerja menulis memang amat mudah disambar api. Itu risikonya. Kalau TMJ takutkan risiko disambar api, dia harus minta kerja menjadi pegawai bomba.