KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, September 18, 2007

Al-Ustaz Bush Nak Jual Islam Hadhari Pak Lah Ke Antarabangsa?



Al-Ustaz Bush cukup senang dengan Islam Hadhari yang diilhamkan oleh Pak Lah dan beliau sanggup memasarkannya ke peringkat antarabangsa...

PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

MEMANG hebat bebeno, PM teman. Pak Lah namanya! Ramai yang kata dia lembik. Tidak kurang juga yang dakwa dia lemah dan tidak cekap. Tak disangka-sangka dalam tidur, ideanya bertelur. Islam Hadhari yang ditentang oleh fundamentalis seperti PAS di Malaysia, memikat Presiden Amerika Syarikat, Al-Ustaz George Bush untuk mengkajinya.

Bush telah memuji-muji dan memuja-muja Islam Hadhari yang ditetaskan oleh Pak Lah sebagai suatu penemuan mujarab untuk membina tamadun manusia. Islam Hadhari ala Pak Lah, telah membuka selera Al-Ustaz Bush untuk mengutipnya, nak dijadikan umpan kepada taukeh-taukeh negara Islam lainnya.

Apakah tujuan kajian itu, tidaklah diketahui. Tetapi, nampak benar minatnya menelaah Islam Hadhari yang baru dijumpainya itu. Sekali pandang, memang hebat Pak Lah yang kuat tidur itu walaupun sambil berdiri. Hingga Al-Ustaz Bush cukup berahi…

Bagi saya, Al-Ustaz Bush buat-buat terkejut dengan Islam Hadhari yang sudah tiga empat tahun dipasarkan. Jika Islam Hadhari yang diperkenalkan itu menyanggah dan mengkelar-kelar Amerika dan Barat, Yahudi dan Nasrani maka sudah tentulah akan ditentangnya habis-habisan.

Pak Lah dan sekalian orang Umno tidak patut bangga dengan puja dan puji Al-Ustaz Bush itu. Tembelang betapa buruk dan teruknya Islam Hadhari yang diwar-warkan itu semakin busuk dan memualkan.

Penyokong kuat Yahudi Israel itu bukanlah orang yang berkenan sangat dengan Islam. Macam-macam label sudah dipakunya ke badan ummat Islam seluruh dunia. Osama Ben Ladin dan Al-Qaidah sebagai contoh dituduh militan, Islam ganas!

PAS menentang habis-habisan ajaran ini tetapi Al-Ustaz Bush yang kafir dan musuh Islam yang nyata dan terang di bumi Allah ini, menunjukkan ibu jari sebagai tanda “bagus” pada Malaysia. Ini sudah terbalik, mustahil dan pelik. Sudah tentu ada yang tak kena pada Islam Hadhari kelolaan ulama Umno itu.

Al-Ustaz Bush tidak mencaci dan mencerca. Sebaliknya sarat puji dan puja kepada idea genius Pak Lah yang kuat tidur itu. Dia mahu melihat apa muatan dalam Islam Hadhari yang diperkenalkan itu. Dia mahu kaji sejauh mana bahan ini boleh dijadikan “senjata” atau “peluru berpandu” kepada dunia Islam lainnya.

PAS mungkin "tidak tahu" menilai kehebatan Islam Hadhari. Tetapi Al-Ustaz Bush meneleknya sebagai permata yang berharga, mutu ratna manikam yang tinggi nilainya. Dia mahu menjadi agen tunggal mengeksport Islam Hadhari ke peringkat antarabangsa. Ini idea Pengerusi OIC, Perdana Menteri yang kuat tidur.

Al-Ustaz Bush sedang memukat dan menjaring kepercayaan Pak Lah di rantau ini. Siapalah Pak Lah, kalau banyak pertemuan dengan wakil-wakil Bush diadakan di luar negara. Nada Pak Lah bila bercakap Islam Hadhari di luar negara juga cukup sinis, apatah lagi bila memperkatakan PAS. Inilah yang Al-Ustaz Bush amat berkenan dengan suami Jeanne yang berkebetulan nama ayahnya sama seperti nama Pak Lah.

Peranan Pak Lah cukup penting di rantau ini. Sekalipun beliau dikatakan lembik, kuat tidur dan dikawal oleh remote control Khairi Jamaluddin, menantu kesayangannya, tetapi ia semakin terang dipapah oleh Al-Ustaz Bush ini. Malaysia tidak perlu khuatir, selagi Pak Lah boleh duduk di bawah dagu Al-Ustaz Bush.

Masakan, Presiden Amerika yang ditongkat oleh Yahudi Israel itu menerima buta tuli dan membabi buta apa yang dipancarkan oleh Islam Hadhari. Tentu ada udang sebalik batu dan niat jahatnya patut diawasi.

Sokongan, puja dan puji, tak ada cerca dan cerci; adalah bukti jelas kecurangan Islam Hadhari. Ia hanya memberi keuntungan politik kepada musuh-musuh Islam, seperti Amerika dan Israel. Maka Al-Ustaz Bush antara yang terjebak menyerlahkan lagi betapa tidak benarnya Islam Hadhari ciptaan Pak Lah hingga mush-musuh Islam sepertinya memuji dan memuja.

Renungilah bersama amaran dan ingatan Allah SWT: Orang Yahudi dan Nasrani sekali-kali tidak akan redha dengan orang-orang Muslimin selagi mereka tidak mengikuti agama, peraturan hidup mereka (Yahudi dan Nasrani).

Nota: Foto-foto dikutip dari pelbagai blog dan website tersohor dalam internet.