KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, September 13, 2007

Perutusan Ramadhan Al-Mubarak: Merdekakan Diri Bebaskan Ummat! Allahuakbar!

Mengajar anak-anak erti puasa dan erti perjuangan. Moga mereka memahami bahawa negara ini belum merdeka lagi. Kepada merekalah yang akan melunaskannya KEMERDEKAAN HAKIKI!

Perutusan Ramadhan Al-Mubarak PAS Kawasan Batu
MERDEKAKAN DIRI UNTUK BEBASKAN UMMAT

Assalam'mualaikum wrkt.

RAMADHAN Al-Mubarak datang lagi. Bulan mulia yang ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman. Moga-moga kehadirannya tidak diabaikan.

Manfaatkan sepenuhnya untuk menyuci diri, menyingkap kejelekan silam, muhasabah setiap malam bagi mencapai darjat ketaqwaan hakiki.

Inilah bulan mulia yang dinanti-nanti sebagai madrasah ruhiyyah bagi membina tarbiyyah jiwa dan ruhani agar terserlah dan sebati sahsiah diri yang teruji dan terpuji. Inilah bulan tarbiyyah. Bulan yang menjanjikan 1,001 rahmat Allah SWT.

Isilah ia dengan amal ibadah yang mulia, yang dituntut lakukan. Banyakkan zikirullah, membaca al-Quran, menadah kitab, mentelaah buku-buku yang bermanfaat kepada ummah, dan jangan lupa amalan Terawih dan Qiamullail. Semuanya ini bagi mengikat diri kita menjadi insan dan hamba Allah SWT yang patuh dan berani.

Ramai di luar sana yang berpuasa tetapi tidak mengerti apa itu puasa. Apa tuntutan puasa? Apa kaitannya puasa dengan perjuangan memerdekakan ummat dan negara?

Ibadah puasa mesti memupuk, membina dan menjaring rasa lapar dahaga agar kita menjadi insan yang sensitif, peka dan ambil peduli terhadap rakan taulan, jiran tetangga dan saudara seIslam kita yang dibungkusi derita, fakir dan miskin.

Tingkatkanlah amal jariah dengan amalan bersedekah, membantu mereka yang dhaif dan susah. Masih ramai lagi mereka yang perlukan perhatian dan pembelaan kita. Derita mereka adalah derita ummat. Hanya mereka yang berpuasa dalam kampung Ramadhan sebenar, mengerti gambar-gambar derita yang dipaparkan oleh mereka.

Moga-moga, Ramadhan yang indah ini mendorong dan menunjukkan jalan kepada kita semua, untuk terus menjadi pejuang nasib rakyat, pembela ummat musta'dhaafin, yang terus-terusan menjadi mangsa kerakusan kerajaan dalam usaha nekad mereka mempertahankan serambi kuasa di pucuk sana.

Rakyat derita, siapa peduli? Rakyat ditembak peluru hidup, siapa peduli? Rakyat dinafikan hak bersuara, siapa peduli? Rakyat kais pagi makan pagi, siapa peduli? Rakyat disodok rumah tempat berlindung, siapa peduli? Pilihan raya kotor, siapa peduli? Kerajaan tidak peduli.

Mereka hanya memperdulikan kroni, memperdulikan dana rakyat, memperdulikan kuasa dan pangkat. Ranap dana diratah-ratah mereka untuk mengkaya dan mengenyangkan perut. Mereka tidak pernah berpuasa dari makan rasuah kerana itulah makanan paling enak, paling lazat buat mereka di dunia ini.

Marilah, pada Ramadhan Al-Mubarak ini, kita banyakkan Qiamullail, muhasabah menginsafkan diri akan nasib agama Allah SWT yang suci ini, nasib anak bangsa kita yang kian tercela. Bagaimanakah masa depannya?

Juga jangan lupa, ditanya bagaimanakah statusnya Islam Hadhari yang disanjung tinggi oleh musuh Islam, Bush laknatullah. Walhal ia hanya Islam Badawi, yang memenuhi selera musuh-musuh sepanjang zaman.

Tetapi, terfikirkah kita, apa gerangannya Bush dan sekutunya mahu mempromosikan Islam Hadhari ini ke seluruh dunia?

Selamat mengimarahkan Ramadhan Al-Mubarak dengan membanyakkan amalan, ibadah, meningkatkan iman, taqwa serta memerdekakan diri dari belenggu pemikiran jahilyyah yang makin kuat mengepong dan mengintai-intai kita setiap ketika untuk diratah-ratah! Wassalam!

TARMIZI MOHD JAM
Ketua Penerangan PAS Kawasan Parlimen Batu
Kuala Lumpur
3 Ramadhan 1428 / 15 September 2007

Tiada ulasan: