KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, September 10, 2007

Macam Mana PAS Nak Dapat Undi Cina?

Komentar Santai Ibnu Hasyim agak menarik. Beliau memperkatakan diri saya. Artikel ini dipetik dari http://ibnuhasyim.blogspot.com/. Ibnu Hasyim penulis, penganalisa politik dan seorang penerbit. Pengasas GG Edar, Ad-Dakwah dan Gedung Gua. Pernah menerbit dan menjadi Editor Majalah Al-Ummah.

RESPON dari tulisan saya PAS Kuasai Ibukota? Buktikan Dengan… Jun 2007 Tranungkite atau ibnuhasyim.blogspot.com, saya terima panggilan dari Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu ingin berjumpa saya.

Beliau telah menyenaraikan pada saya ratusan program untuk Rancangan 5 Tahun PAS Kawasan Batu bagi menguasai Wilayah Persekutuan. Program jangka pendek dan jangka panjang. “Hebat!” Kata saya sambil meneliti buku program tersebut.

“Baru program, belum laksana sepenuhnya. Kalau laksana, bagaimana kesannya? Ini bukan kerja main-main, ini jihad akbar. Selamatkan demokrasi, tegakkan keadilan!”

“PAS Kawasan Batu harap penglibatan anda dalam program ini. Anda dipilih sebagai ahli penal bersama Saudara Ann Wan Seng.” Kata Saudara Tarmizi Mohd Jam yang baru memegang jawatan Ketua Penerangan tersebut bermula pada penggal ini.

“Penal dalam Debat Kontemporari Siasah. Kami pilih tajuk perbincangan, Mengapa PAS Tak Dapat Undi Cina?, kami nak dengar pandangan dari seorang Cina dan seorang Melayu!" ujar Tarmizi lagi.

Ann Wan Seng, bukan baru bagi saya. Beliau bekas tenaga pengajar di Jabatan Antropologi & Sosiologi di Universiti Malaya, kuat menulis di akhbar, majalah dan sudah melahirkan banyak buku-buku akademik, politik dan motivasi. Saya pernah bergabung dengannya melahirkan sebuah buku berjudul, Analisis Politik Pulau Pinang: Milik Siapa Pula? oleh Ann Wan Seng & Ibnu Hasyim (1994).

Waktu itu beliau masih belum Islam lagi. Saya teringat semasa bersama Tok Guru Nik Aziz melawat ladang Best Farm kepunyaan Muhammad Abdullah seorang Cina Muslim di Sungai Buluh. Dato’ Husam Musa (Husam Setiausaha Akhbar Tok Guru dan belum dapat pangkat Dato’ waktu itu) menelefon saya minta tolong uruskan lawatan Tok Guru itu.

Tok Guru naik kereta saya, tidak naik kereta kerajaan waktu mula-mula perintah Kelantan (pada 1990an) dulu, kerana beliau nak beli seekor kambing baka luar negara milik peribadinya dari ladang tersebut.

Semasa dalam perjalanan, beliau bertanya saya mengenai Ann Wan Seng, yang masih belum Islam dan minta tolong uruskan nak jemput Ann Wan Seng berceramah di masjid tepi rumahnya. Itulah mulanya Ann Wan Seng berceramah di Kelantan dan terus mulai dikenali di negeri Serambi Mekah itu, walaupun beliau masih belum Islam.

Bagaimana pula Ann Wan Seng masuk Islam? Menurut Ann, semasa beliau sedang mengkaji pertubuhan-pertubuhan Agama Islam, beliau mula berjinak-jinak dengan pertubuhan dakwah Al-Arqam.

Dalam masa itu, beliau terjumpa buku tulisan saya 1950-2000 Sejarah Kebangkitan Dan Masa Depan PAS Kuasai Malaysia? terbitan GG Edar 1993. Beliau kaji pula mengenai PAS, dan antara keistimewaan yang didapati ialah dalam Islam, politik dan agama tidak dapat dipisahkan. Beliau berkenalan dengan saya, dan kami menjadi regu yang baik dan hingga sama-sama keluar berceramah seperti ke Pulau Pinang dan lain-lain.

Walaupun waktu itu beliau belum Islam, tetapi beliau telah berfikir secara Islam. Akhirnya beliau pilih Islam, bertanyakan tentang nama.. di mana saya cadangkan namanya dikekalkan keturunan keCinaannya, dan tidak ber‘bin’kan Abdullah. Beliau pernah berkerja di PERKIM, di pejabat agung PAS, dan kini di PERKIM pula. Terakhir saya jumpa beliau, semasa saya membawa seorang kawan saya pemuda Sabah yang nak masuk Islam menemuinya sebagai setiausaha PERKIM, untuk diIslamkan.

“Bagaimana dengan tajuk debat tu, setuju tak?” Tanya Tarmizi lagi.

“Memang tepat. Sebenarnya bukan hanya diperdebat, tapi perlu diseminarkan. Jemput ahli-ahli akademik supaya dapat idea-idea baru, dan tokoh-tokoh yang terlibat dengan kegiatan tersebut... seperti Ustaz Mujahid (Pengerus Lajnah Perpaduan Nasional), Encik Hu Pang Chaw (Pengerusi Kelab Penyokong PAS), dan ustaz-ustaz canggih serta kreatif!” kata saya.

“Cari jalan selesai. Turunkan pandangan ini hingga ke bawah... ke cawangan-cawangan PAS. Cari di mana kelemahan kita untuk diatasi,” celah saya lagi.

“Setuju ke nak hadir??”

“Memang setuju le. Bila??”

“Lihat siaran iklan ini… dan surat jemputan untuk anda akan menyusul kemudian!

Program Debat Kontemporari Siasah bertajuk: Mengapa PAS Tak Dapat Undi Cina? Ia akan dilancarkan oleh Cikgu Ishak Surin (Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Wilayah Persekutuan). Menampilkan dua ahli penal iaitu Ann Wan Seng dan saya (Dr Hj Mohd Hasyim). Dan moderator ialah Tarmizi Mohd Jam. Pada 22hb Julai 2007 Ahad, jam 9.00 malam. Di Dataran PASTI Kg. Padang Balang, KL.