Ann Wan Seng menunjukkan buku-buku motivsi bisnes yang ditulisnya sewaktu saya menziarahinya di Pejabat PERKIM, baru-baru ini.
Muqqadimah: Buku Rahsia Bisnes Orang Cina menjadi buku bestseller di Malaysia dan Indonesia. Terjual melebihi 22,000 naskah. Buku terbarunya, Formula Bisnes Negara China, belum mendapat maklumbalas penuh. Ia baru diterbitkan. Cetakan pertama sudah habis dan sekarang masuk ke cetakan kedua. Karya seorang penulis Cina yang kini memeluk Islam. Fasih berpidato dalam bahasa Melayu. Ikuti sembang-sembang saya bersama Penolong Setiausaha Agung PERKIM, Sdra. ANN WAN SENG di pejabatnya, Bangunan PERKIM, Jalan Ipoh. Beliau juga adalah Setiausaha Kehormat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).
TARMIZI: Muktakhir ini nampaknya Saudara banyak menulis buku-buku berkenaan bisnes dan pengurusan. Mengapa fokus genre ini dipilih?
ANN WAN SENG: Sebenarnya, bukan muktahir ini. Saya telah lama menulis tentang motivasi bisnes dan pengurusan dalam majalah Dewan Ekonomi, Dewan Siswa, Dewan Masyarakat, i-Islam dan beberapa majalah lain. Cuma saya merasakan sekarang ini masa yang paling sesuai untuk dibukukan semua tulisan saya yang berkaitan dengan motivasi bisnes dan pengurusan untuk dikongsi bersama dengan masyarakat khususnya masyarakat Islam. Sebab ekonomi ini memainkan peranan cukup penting bukan sahaja dalam pembangunan sesuatu masyarakat tetapi ia juga menjadi saluran untuk dakwah, membangunkan insan hatta bisnes merupakan sunnah Nabi SAW yang cukup penting.
Maksud Saudara...
Sunnah ini telah diabaikan oleh ummat Islam. Sedangkan Nabi SAW telah berpesan sembilan persepuluh dari rezeki datangnya dari bisnes. Nabi sendiripun merupakan seorang bussinesman yang berjaya dan amanah. Isteri Baginda juga, Siti Khadijah merupakan seorang bisnes woman dan ramai sahabat-sahabat Nabi juga ahli perniagaan yang telah menggunakan hasil keuntungan bisnes mereka untuk membantu perjuangan Islam. Jadi, saya merasakan, bisnes ini kalau kita lakukan dengan betul ia dapat dimanfaatkan untuk perjuangan Islam. Untuk memartabatkan Islam. Untuk mengembalikan maruah Islam yang sudah tercalar dan tercemar sejak kebelakangan ini. Umat Islam cukup lemah. Sebab mereka tidak kuasai ekonomi. Mereka ditindas. Ekonomi dikuasai oleh orang bukan Islam. Padahal kalau kita tengok dari segi sejarah, ummat Islam sebenarnya mempunyai kekuatan ekonomi yang cukup hebat yang pernah mereka bangunkan suatu ketika dahulu. Jadi, saya memilih genre ini sebagai fokus utama kerana merasakan sudah sampai masanya ummat Islam dan khususnya di kalangan saudara baru dapat dikeluarkan dari kepompong kemiskinan, kepompong kemelaratan dan juga masalah-masalah yang menyebabkan mereka tidak mampu untuk menunjukkan suatu teladan yang baik pada masyarakat yang lain khususnya pada mereka yang bukan beragama Islam.
Apa judul buku-buku yang Saudara hasilkan berkenaan motivasi bisnes dan pengurusan? Setakat ini bagaimana sambutan dan pencapaiannya?
Saya telah menghasilkan empat buah buku berkaitan dengan bisnes iaitu Rahsia Bisnes Orang Cina, Rahsia Bisnes Orang Jepun, Rahsia Bisnes Orang Korea dan yang terbaru, baru diterbitkan dua bulan lepas iaitu buku Formula Bisnes Negara China. Saya banyak menulis khususnya tentang budaya bisnes orang Cina kerana ia mempunyai pembaca yang cukup meluas dan ramai yang ingin tahu rahsia bisnes kaum ini. Agaknya kerana orang Cina menguasai ekonomi di mana-mana maka pembaca ingin tahu rahsianya. AlhamdullilLah! Sambutan terhadap buku-buku ini cukup memberangsangkan. Buku Rahsia Bisnes Orang Cina sahaja sudah dicetak tujuh kali dalam tempoh setahun. Sebenarnya lapan kali iaitu satu dalam bentuk paper bag. Buku ini juga telah diterjemahkan dalam bahasa Indonesia. Ia diterbitkan pada bulan Januari tahun ini dan maklumbalas yang saya terima, dalam masa enam bulan ia sudah dicetak tujuh kali di Indonesia. Diterbitkan oleh Penerbit Hikmah iaitu salah satu syarikat yang terletak di bawah Syarikat Penerbitan Mizan. Di Malaysia buku-buku ini diterbitkan oleh PTS Publishers & Distributors Sdn. Bhd.
Bukankah buku Rahsia Bisnes Orang Cina menjadi bestseller di Malaysia...
Buku Rahsia Bisnes Orang Cina ini telah menjadi buku bestseller di Malaysia. Ia masih mendapat permintaan dari pengedar buku seluruh negara. Bukan sahaja di Malaysia, ia juga menjadi bestseller di Indonesia. Pada kulit buku ini, untuk cetakan ke tujuh ada diiklankan “Terjual melebihi 22,000 naskah Bestseller di Malaysia dan Indonesia“. Bagi buku Formula Bisnes Negara China, maklumbalas penuh belum diketahui. Ia baru diterbitkan. Cetakan pertama sudah habis dan sekarang masuk ke cetakan kedua. Popular Bookshop khabarnya menempah 3,000 naskah untuk edaran seluruh rangkaian kedai-kedai bukunya.
Bagaimana Saudara melihat dunia bisnes halal di Malaysia berbanding bisnes cara konvensional?
Pada saya, bisnes cara konvensional ini agak terbatas berbanding dengan bisnes halal yang wujud dalam ajaran Islam. Ianya lebih luas dan pasarannya lebih besar. Bila sebut tentang halal, “halal“ ini semua orang boleh guna. Semua orang nakkan suatu yang halal termasuk orang bukan Islam kerana halal itu suci, baik, berkat dan positif. Jika sesuatu bisnes itu dijalankan dengan baik mengikut acuan Islam, saya yakin ia mampu menarik perhatian orang bukan Islam untuk turut menjalankan bisnes secara Islam, secara halal. Yang pertama bila kita sebut Islam, ia akan dikaitkan dengan keadilan, amanah, kebaikan dan juga dikaitkan dengan pengambilan untung mengikut kadar yang ditetapkan oleh Islam. Bukannya ambil untung sampai menindas dan menganiaya orang lain. Bisnes halal ini patut dikembangkan di Malaysia dan harus menjadi agenda utama kepada masyarakat Islam di negara ini.
Di negara kita, kalau dilihat betul-betul, orang-orang Melayu khususnya orang islam gagal menjadi pemain handal dalam dunia bisnes berbanding dengan masyarakat Cina. Apa persepsi Saudara pada tanggapan ini...
Kegagalan orang Melayu dalam bisnes, pada saya disebabkan oleh sikap. Ia tiada kaitan dengan bangsa atau keturunan. Tiada kaitan dengan genetik ataupun baka. Mahupun juga agama. Malahan kalau kita perhatikan, Islam sendiri menggalakkan ummatnya turut terlibat dalam bisnes. Ini disebabkan oleh sikap orang-orang Melayu yang lebih suka makan gaji, sikap yang tak mahu susah, sikap yang tak berani berdepan dengan cabaran, kadang-kadang mereka berpegang dengan pepatah-pepatah Melayu yang sudah lapuk umpamanya “rezeki yang secukap tidak boleh jadi segantang“. Bagi saya, peribahasa-peribahasa begitu memberikan motivasi yang nagetif kepada orang-orang Malayu untuk bertindak. Sedangkan kalau kita kaji sejarah, orang Melayu pada zaman dahulu merupakan pemain-pemian bisnes yang cukup handal dan hebat.
Apa yang Saudara jumpa dalam catatan sejarah bisnes orang Melayu?
Orang Melayu pernah mengusai dunia perniagaan maritim (kelautan). Mereka kuasai Selat Melaka, Laut China Selatan dan mereka mendirikan pelabuhan-pelabuhan. Sebab itulah orang Portugis datang, orang Belanda datang, orang Bristish datang sebab kehebatan perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang Melayu waktu itu. Bisnes mereka hingga ke Afrika. Orang Melayu cukup mahir dengan ilmu pelayaran. Merekalah pemain bisnes handal yang berurusan dan jalinkan hubungan dengan pedagang China, India. Tetapi, hari ini orang-orang Melayu telah gagal menjadi pemain handal disebabkan mereka bukan sahaja bergantung harap tetapi sudah berada dalam zon selesa. Ini bermakna, mereka tidak perlu bekerja lebih kuat dari orang lain. Berbanding orang Cina. Mereka golongan pendatang. Imigran yang datang ke sini tidak mempunyai apa-apa tetapi mereka berjaya membangunkan ekonomi. Contoh penting ialah Loh Boon Siew. Dia datang ke Tanah Melayu sehelai sepinggang. Bukan sahaja tidak punyai wang, datang seorang diri tetapi dia juga buta huruf. Jadi, bagaimana Boon Siew yang buta huruf, miskin, tiada saudara-mara dan tidak ada latar belakang bisnes boleh menjadi jutawan dan ahli perniagaan terkenal pada hari ini? Bagi saya, ini contoh terbaik yang patut menjadi dorongan dan motivasi kepada orang-orang Melayu mengembalikan semula kehebatan mereka dalam dunia bisnes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan