KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 07, 2007

Maaf! Jaenne Jadi jadi Macam Khairy Jamaluddin!


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

SABTU, 9hb. Jun 2007, Jeanne ditabalkan sebagai wanita nombor wahid di Malaysia menggantikan Allahyarham Hindon Mahmood yang telah kembali ke rahmatullah. Dengan ini, Rosmah Mansor, isteri TPM, Najib Tun Razak tidak perlu lagi menggayakan kedudukan wanita nombor satu negara setelah munculnya Jeanne.

Jeanne bukanlah anugerah dari wasiat Hindon kepada Pak Lah. Jauh sekali Jeanne sudah tentu bukannya jin yang akan “menguasai” Pak Lah dalam gerak-geri dan tindak-tanduknya. Cukuplah menantu Pak Lah yang bernama Khairy Jamaluddin menjadi “jin” yang mengelilingi Pak Lah.

Belum boleh ditelah, apakah kehadiran Jeanne dalam keluarga Pak Lah dan kepimpinan negara, bakal mengancam Khairy dan pejabat tingkat empatnya. Sukar juga diramal, sejauh mana Jeanne mampu menasihati Pak Lah dan menjadi pengimbang antara ketulenan aspirasi Pak Lah dengan pengaruh Khairy yang sentiasa mencatur dan mencatur rentak politiknya.

Tuduhan Tun Mahathir, kononnya Pak Lah diberi mandat (oleh Tun Mahathir) untuk tadbir negara tetapi dalam diam Pak Lah menyerahkan amanah itu kepada Khairy – suatu kenyataan yang cukup menyenakkan.

Ini gara-gara “jin” Khairy yang begitu berahi menyenaraikan itu dan ini, mencatas sana dan sini, serta bersekutu dengan syarikat asing dalam membida dan mengunyah kekayaan negara. Khairy begitu kenyang dan selesa sebagai menantu Pak Lah. Ini semua orang tahu!

Beberapa kenalan politik dalam era Semangat 46, yang Pak Lah antara orang kuat Team B yang menentang Tun Mahathir, tidak menafikan betapa wujudnya pasak queen control Hindon terhadap Pak Lah.

Siapa yang datang untuk melawat Pak Lah di rumahnya ketika Pak Lah terbuang dari kabinet Tun Mahathir, pasti menerima leteran Hindon dan senyum sinis, kerana meluat melihat kawan-kawan Pak Lah yang telah menyeretnya ke dunia berlainan dari dunia yang diinginkannya. Ada yang malang, ditutupnya daun pintu agar yang datang faham dan terus pulang.

Apakah Pak Lah sukar bertindak atau memang terlalu dhaif bila berdepan dengan manusia kelilingnya. Itu kisah isterinya dulu dan banyak kisah lain yang teruk disimpan media. Tetapi, kemunculan Khairy, sekali lagi kelihatan dan dilihat Pak Lah gagal mengatasi pasak queen control yang diasah dan diasak Khairy.

Banyak telahan dan ulasan berkenaan perkara ini. Ia bukan menjadi rahsia lagi. Pak Lah ditunjuk oleh Khairy dan kerajaan dikuasai oleh pejabat tingkat empat. Semuanya itu simbolik kepada betapa lemahnya momentum kepimpinan Pak Lah sebagai pemimpin nombor wahid di Malaysia. Kisah Khairy, tetap menarik untuk diungkapkan selagi ia beristerikan Nori anak Pak Lah.

Apakah Jeanne yang diharapkan Pak Lah memberikan belaian kasih sayang, mengubati rindu dendamnya, mengurut keletihannya mampu untuk menjadi isteri mithali dan bertindak adil dalam tindak tanduknya di Seri Perdana?

Persoalan inilah yang sedang berputar di kepala pemain-pemian politik tanahair. Jika Jeanne sama seperti Khairy, maka apakan daya, Pak Lah akan terus merana. Dengan kemasukan Jeanne dalam keluarga Pak Lah diharapkan, tohmahan terhadap keluarga itu dapat diperbetulkan dengan tindakan yang betul dari Pak Lah sendiri.

Jeanne adalah kayu ukur yang bakal dilihat rakyat terhadap perubahan sikap dan pencapaian Pak Lah dalam misi negaranya. Tanpa kroni, tanpa Scomi dan tiada lagi pengaruh Khairy dibincangkan yang mengikat politik Pak Lah. Pak Lah mesti dilihat bebas dari cengkaman Khairy, Scomi, Nori dan kini Jeanne.

Jeanne boleh bertindak dan membantu Pak Lah supaya mengambil jalan yang betul dan kembali menghayati erti sebenar mencari As-Syafie dan Al-Ghazali…

Soalannya, mampukah Jeanne yang sudah lebih 20 tahun dikenali Pak Lah dan sudah 15 tahun menjanda kesepian, membetulkan haluan Pak Lah? Ia banyak bergantung kepada kekuatan dan pengetahuan Jeanne sendiri. Jika Jeanne pun kontang segala-galanya, sama seperti Khairy, maka tunggulah kiamat pasti datang dan Pak Lah mesti undur.