KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 07, 2007

PAS Wilayah Mampu Gerakkan Arus Kemenangan Dalam PR Ke 12 Nanti!


PADA HEMAT SAYA
TARMIZI MOHD JAM

SEKURANG-KURANGNYA terdapat 11 orang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan dalam pelbagai peringkat, kini diangkat ke Pusat. Penglibatan mereka diperingkat lebih tinggi itu, sudah tentu memberi impak positif kepada PAS Wilayah dalam mendepani tembok pilihan raya ke 12 kelak.

Saranan Naib Presiden PAS, Husam Musa agar PAS Wilayah menjadi contoh bukan sahaja mampu menguasai politik ibu kota tetapi membuktikan dengan meraih beberapa kemenangan di kerusi yang ditandingi, mula dilimpahi “kekuatan” setelah makin ramai tokoh PAS Wilayah tersenarai dalam kepimpinan pusat.

Ini suatu anugerah dalam merealisasikan idea dan harapan Husam itu. Husam yang terpilih semula dalam muktamar awal bulan ini, dalam ucaptamanya ketika Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan yang baru lalu, mahu PAS Wilayah muncul sebagai “pemimpin tindakan” yang berkesan dalam menangani sebarang isu rakyat dan warga kota.

Harapan Husam itu juga sebenarnya cita-cita PAS Wilayah selama ini. Tiada siapa mahu lemas tenggelam dalam arus “memimpin reaksi” semata-mata. Tiba masanya, PAS Wilayah mesti bergerak cekap dan pantas dengan sejumlah mereka yang aktif di Wilayah adalah sebahagian dari kepimpinan Pusat.

Jika ditelaah, sejarah kemenangan dan perjuangan parti-parti Islam di luar negara, tiada yang mustahil untuk PAS Wilayah mendakap kemenangan demikian rupa. Dengan keupayaan saf kepimpinan terkini, PAS Wilayah bakal mencorak sejarahnya tersendiri, jika tidak pilihan raya ke 12 ini; mungkin yang ke 13!

Sebagai langkah awal, pembabitan beberapa tokoh PAS Wilayah dalam senarai kepimpinan Pusat patut dimanfaat untuk memperkasakan kekuatan yang tertimbus selama ini. Kemenangan dan perlantikan baru mereka dalam hareki kepimpinan pusat diharap mampu menjadi batu loncatan dalam memenuhi kehendak Husam yang sudah tentu sarat dengan pelbagai strategi dan cabaran.

Tahniah atas perlantikan sekali lagi mantan calon PAS Titiwangsa, Haji Mohd Noor Mohamad sebagai Pesuruhjaya PAS Wilayah buat penggal kedua. Walaupun tewas dalam perebutan kerusi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, tetapi perlantikan Pesuruhjaya tentunya dilihat oleh Dato’ Presiden, Haji Abdul Hadi Awang sebagai tokoh utama yang mampu menggerakkan PAS di sebuah kota kosmopolitan seperti Kuala Lumpur.

Jika digembelingkan tenaga dan idea tokoh PAS Pusat yang yang bermastautin dalam Wilayah, sudah tentu kekuatan PAS itu makin terserlah seperti ketrampilan Timbalan Presiden, Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Dato’ Kamaruddin Jaafar, Ketua Pemuda PAS Pusat, YB Salehuddin Ayub, AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Haji Ahmad dan AJK PAS Pusat, Dr. Lo Lo’ Dato’ Ghazali yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Titiwangsa.

Kepercayaan perwakilan memilih Ustaz Saleh Sani Al-Hafiz, Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah sebagai Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat juga suatu kejutan. Ini memberikan gambaran bahawa PAS Wilayah tidak ketandusan ulama yang mampu memicu gerakan kepartian.

Ketua Dewan Muslimat PAS Wilayah, Ustazah Nuridah Mohd Salleh juga turut menggemparkan apabila terpilih sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat setelah menewaskan penyandangnya, Ustazah Azizah Khatib Mat.

Jika ditoleh kebelakang, sejak reformasi; bermula dari ketuanya Ustazah Jamilah Ibrahim dari Kedah, kemudian bertukar tangan kepada Ustazah Toh Puan Zainab Ibrahim dari Terengganu dan diikuti Ustazah Azizah Khatib Mat dari Pahang, kini, giliran Wilayah menyusul carta ketua dewan yang penuh kontroversi sejak muktahir ini.

Ini dikuti perlantikan Aiman Athirah Jundi sebagai Setiausaha Dewan Muslimat Pusat, dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah sendiri, Hajjah Salbiah Abdul Wahab dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat. Pemimpin lain yang berada dalam saf tersebut termasuklah Ustazah Rosiah Salleh (isteri Ustaz Haji Ahmad Awang) dan perlantikan Dr. Lo Lo Ghazali sebagai Ahli Jawatankuasa tambahan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah juga tidak terlepas pandang YB Sallehuddin Ayub. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat dalam mesyuarat kali pertama dewan itu hujung minggu lalu.

Antara Ahli Jawatankuasa lain dari Wilayah termasuklah Setiausaha Dewan, Ahmad Sabky Yusof dan mantan Ketua Pemuda PAS Wilayah, Ustaz Ridhuan Mohd Noor. Malah Ustaz Nazri Chik turut disenarai pendek sebagai Penolong Setiausaha Dewan tersebut.

PAS Wilayah sebenarnya tidak ketandusan pemimpin. Persoalan yang timbul, bagaimana pengembelingkan tenaga mereka dapat dimanfaatkan?

Di bawah kepimpinan Pesuruhjaya, Haji Mohd Noor Mohamad, PAS Wilayah kelihatan lebih bertenaga, berkeupayaan dan berketrampilan dengan pelbagai program “turun padang” dilakarkan.

Haji Mohd Noor bukan sahaja lebih berani meletakkan dirinya di tengah-tengah kelompok penunjuk perasaan berbanding sesetengah pemimpin PAS lainnya tetapi dia juga kerap mengetuai tunjuk-tunjuk perasaan sekitar Wilayah dan mengutuskan memo kepada sekutu-sekutu kerajaan yang dianggap tidak bertanggungjawab.

Mungkin agaknya, hasil ketajaman analisanya, keberanian hati nuraninya; keinginan melihat PAS menang di Wilayah, pelbagai program terus di arah untuk merakyat dan memasyarakatkan PAS. Akhbar rasmi PAS Wilayah, Politik@KL lahir dari sentuhannya; juga kerana mahu dijadikan medium antara PAS dan warga kota dalam memasar dan mempromosikan produk PAS Wilayah.
Dengan anugerah 11 pemimpin atau mungkin lebih, selepas muktamar ini; diharapkan PAS Wilayah bukan sahaja perkasa dari segi kepimpinan, idea dan gagasan tetapi bekerja secara kolektif dalam menguruskan misi Konvensyen PAS Wilayah 2007 dan fokus terhadap beberapa kawasan pilihan raya bagi membuktikan kepada Husam dan kepimpinan PAS Pusat, bahawa PAS Wilayah sebenarnya mampu memenuhi hasrat tersebut

Tiada ulasan: