KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, September 07, 2007

Interbiu Xkusif: Pak Lah Telah Buktikan Malaysia Police State

Muqqadimmah: Ahli PAS yang dikaitkan dengan KMM baru saja dibebaskan dari kurungan kejam ISA. Tetapi, kaki, tangan, dan mulut diikat dan dikunci ketat. Pembebasan yang tidak bermakna. Dakwaan Malaysia sebagai Police State sukar disangkal. Menjolok minda Hj. MAHFUZ OMAR, Ketua Penerangan PAS Pusat yang pernah menikmati pahit-getir ISA, menjelaskan mengapa undang-undang rimba ini mesti dihapuskan. Saya mengungkapkan komen beliau.

TARMIZI: Apakah Saudara berpuashati dengan pembebasan ahli-ahli PAS yang dikaitkan dengan KMM menjelang Aidulfiri tahun lalu?

HAJI MAHFUZ : Saya tak puashati. Bagi saya itu bukan pembebasan dari sudut sebenar. Dari satu sudut macam bebas sebab keluar dari kurungan, boleh hidup dengan anak isteri. Tapi dari segi demokrasi dan hak asasi mereka tidak bebas. Mereka masih lagi diletakkan dalam tahanan dan kawalan pihak polis untuk satu tempoh, setahun atau dua tahun. Dan ada kemungkinan mereka ini dipanggil balik, di bawa masuk ke Kamunting seperti Ustaz Badrul Amin suatu ketika dahulu kerana boleh dianggap oleh pihak keselamatan telah melanggar syarat-syarat yang ditetapkan. Jadi, saya tak kata mereka ini telah bebas kerana hak mereka masih dinafikan. Pergerakan mereka terhad. Mereka tidak menikmati hak-hak mereka sebagai warga negara demokrasi. Hak bersuara malah hak untuk aktif dalam politik. Saya bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Tun Mahathir bahawa negara kita adalah Police State...

ISA telah digubal pada tahun 1960 sebagai undang-undang darurat. Sekarang sudah 46 tahun digunakan oleh BN secara jelas untuk kepentingan politik mereka. Bagaimana Saudara melihat ISA sebagai undang-undang yang relevan, dulu mahupun sekarang?

Mungkin suatu ketika dahulu dalam usaha untuk mengekang, nak hadapi gerakan komunis, ISA agak jelas matlamatnya. Sekarang, bagi saya ia sudah disalahgunakan untuk menghadapi musuh-musuh politik dan untuk menyekat satu kesedaran politik di kalangan masyarakat dan rakyat. Ini sudah pasti akan wujud satu suasana seperti kata Tun Mahathir bahawa persikataran yang menakutkan rakyat untuk bersuara. Mereka melihat bahawa pentafsiran keselamatan negara terancam itu tersangat luas yang boleh dibuat tanpa pertimbangan kehakiman kerana hanya semata-mata pertimbangan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN). Dari sudut undang-undangnya, ia tak seharusnya wujud dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi yang bertamadun apatah lagi kerajaan dan kepimpinan hari ini seperti kata Pak Lah mengakui bahawa ia mendapat mandat yang begitu besar dan sebagainya. Jadi kenapa dia harus takut terhadap kebebasan bersuara yang seharusnya dimiliki oleh rakyat.
Dan yang keduanya saya melihat bahawa perlaksanaan ISA sekarang ini sudah pergi ke satu tahap lagi, selain dari memerangi musuh-musuh politik, mereka gunakan ISA ini untuk menurut penguasaan asing yang menekan kerajaan selaku pelaksana undang-undang dalam negara kita ini dalam isu-isu pengganas selepas 11 September.

Maksudnya kerajaan melayani pihak luar...

Ya. Kerajaan kita lebih melayani kehendak Amerika dengan menggunakan ISA. Ini telah mendedahkan negara kita kepada penguasaan asing dan menyebabkan dasar luar negara kita terlalu berlembut dengan pihak Amerika. Kita jadi pak turut kepada apa saja kemahuan mereka. Umpamanya, bagaimana Menteri KDN pada waktu Tun Mahathir jadi PM, iaitu Pak Lah jadi Menteri KDN boleh membenarkan FBI untuk datang membuat siasatan terhadap tahanan ISA ini di Kamunting. Ini bagi saya suatu tindakan yang tidak sewajarnya boleh berlaku. Ia menggambarkan betapa buruknya dasar luar negara kita dan kita terpengaruh dengan kuasa asing.

Kalau begitulah, maknanya dakwaan Tun Mahathir dan Saudara juga menyebut tentang beberapa insiden yang menunjukkan negara kita sebenarnya adalah Police State. Tetapi dakwaan itu dinafikan oleh Pak Lah. Apa sebenarnya...

Sudah pasti PM menafikan seolah-olah beliau tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh dilihat sebagai Police State. Tetapi bagi saya, selepas dari pilihan raya 1999 semua perlaksanaan ISA, OSA, Akta Polis dan lain-lain berada di bawah Pak Lah. Sebab dia Menteri KDN. Sekatan-sekatan ceramah, sampai sekarang masih berkuatkuasa. Aidilfitri lalu ceramah Anwar di Terengganu, diganggu, dikepung oleh pihak polis. Hingga tercetusnya satu insiden ketegangan antara pihak polis dan penganjur. Bagi saya, penafian yang dibuat hanya semata-mata kerana dia tidak mahu akur dengan tuduhan yang dibuat oleh Tun Mahathir itu. Tapi hakikatnya, rakyat dapat melihat bahawa penangkapan KMM itu sendiri ialah di waktu Pak Lah jadi Menteri KDN.

Police State yang Mahathir kata itu, merujuk pada Pak Lah. Begitu?

Apa tidaknya. Kita lihat sekatan-sekatan ceramah selepas 1999, semuanya terjadi ketika dia (Pak Lah) Menteri KDN. Harakah umpamanya dari sudut kebebasan akhbar dirampas permit kekerapan terbitnya dari dua kali seminggu kepada 2 kali sebulan. Siapa punya arahan? Pak Lah selaku Menteri KDN waktu itu. Begitu juga rampasan-rampasan akhbar serta ugutan KDN kepada peniaga-peniaga, dilakukan. Akhbar parti Keadilan sampai sekarang tidak diberi permit. Banyak lagi insiden-insiden yang lain berlaku ketika KDN diperintah oleh Pak Lah. Menunjukkan bahawa, sewaktu Tun Mahathir jadi PM, yang mana Pak Lah sudah jadi Menteri KDN sampailah sekarang Pak Lah masih lagi memegang Menteri KDN. Semuanya menggambarkan tindakan Police State yang membawa kepada penafian hak demokrasi dan hak asasi itu berlaku secara yang meluas. Pak Lah boleh nafi dengan kata-kata. Cuba buat dengan tindakan. Tarik balik sekatan ceramah, beri balik Harakah terbit lapan kali sebulan, luluskan permit Harian Purnama, Suara Keadilan, hapuskan ISA, kaji semula OSA, Akta Polis dan lain-lain.

Apa sepatutnya Pak Lah lakukan dalam keadaan ini?

Sepatutnya, dia bukan menafikan. Bukan semata-mata tak mahu tunduk dengan dakwaan Tun Mahathir. Kalau tuduhan itu dibuat oleh sesiapa sekalipun, seharusnya Pak Lah perbaiki mana-mana kepincangan yang ada mengikut lunas-lunas demokrasi. Sebagai contoh kembalikan Harakah diterbit dua kali seminggu seperti sebelum itu, baru menunjukkan bahawa dia nak buat sesuatu yang lebih baik dari zaman Tun Mahathir jadi PM. Tapi hari ini, saya lihat dia gagal memperlihatkan yang dia lebih baik dari Tun Mahathir. Apa yang rakyat rasa, sesuatu yang lebih buruk, lebih malang dari zaman Tun Mahathir.

Saudara pernah ditahan ISA dalam Operasi Lalang. Pada waktu itu, apa yang Saudara fikir... Boleh cerita sikit pengalaman kena tahan.

Bila Operasi Lalang itu sudah mencekup kawan-kawan saya, sayapun sudah jangka. Mat Sabupun dah kena, Suhaimi Said, Ustaz Bunyamin Yaakob, Khalid Samad dan ramai lagilah. Saya sudah jangka termasuk dalam senarai. Tapi tak tahu bila? Apa yang saya hadapi ialah satu debaran bagaimana keluarga berdepan dengan permasalahan ini bila saya ditangkap. Sebab itu saya terlebih awal bagi tahu isteri supaya harus bersedia menerima kemungkinan-kemungkinan ini. Ternyata setelah kira-kira sebulan kawan-kawan saya ditahan di Kamunting, giliran saya tiba. Jangkaan saya ketika itu, dah sebulan mereka ditahan, takkan ada lagi penahanan baru ISA dilakukan.
Pada waktu itu saya berkampung di Pejabat Perhubungan PAS Kedah, Alor Setar. Kawan-kawan termasuk Allahyarham Dato’ Fadhil Noor meminta saya menetap di pejabat dan tidak pulang ke rumah. Bila sebulan berlalu, jadi saya buat keputusan untuk balik ke rumah. Keadaan sudah reda. Saya pelawa seorang kawan Ku Ahmad belanja makan di bawah Pejabat PAS. Saya kata, kot-kot lepas ni saya kena tangkap. Kemudian saya naik pejabat dan buat keputusan nak balik rumah. Sayapun berjalan kaki ke stesen bas nak tuju rumah mak mertua saya. Rupa-rupanya, ketika saya melalui Lorong Padi, polis dah ekori saya. Memang saya tak sedar. Seorang anggota polis terpa dan pegang belakang saya, kemudian bagi tahu “Mahfuz, kamu ditahan, kami polis. Naik kereta, ikut kami“. Saya begitu terkejut sebab tak menyangka. Saya terus di bawa ke Balai Polis Alor Setar. Tapi, ketika saya ditahan, seorang pekerja kedai buku majalah berhampiran nampak saya ditahan dan kemudian memaklumkan kepada Haji Ramli, salah seorang petugas Pejabat PAS Kedah.
Pada sebelah petangnya, saya dibawa ke Balai Polis Central, Pulau Pinang. Di situlah saya disoalsiat selama hampir 60 hari. Dua bulan. Ringkaskan cerita, akhirnya saya dihantar ke Kem Tahanan Kamunting