KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 27, 2011

Tekanan ke atas Gaza lebih dahsyat selepas peperangan - kata Rami J. H. Al Ghamri


Wawancara wartawan Harakah, NYZA AYOB dan wartawan Harakahdaily, AZIZ MUDA bersama Pegawai Jabatan Perdana Menteri Palestin, Rami J. H. Al Ghamri di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut pada 24 Januari lalu. Turut serta Ustaz Imran Selamat selaku penterjemah.

Boleh saudara ceritakan pengalaman sepanjang Hamas memerintah Palestin terutama selepas peperangan 2009? 

RAMI J.H. AL GHAMRI: Selepas peperangan, berlaku kemusnahan yang teruk. Kerajaan cuba perbaiki untuk mentadbir semula Gaza dan perbaiki keadaan mengikut kemampuan ketika itu. Kami ingin memberitahu tekanan yang dikenakan ke atas Gaza selepas peperangan, adalah lebih dahsyat. Antara yang kami lakukan ialah memindahkan mangsa peperangan ke tempat tinggal yang lain sehinggalah  rumah-rumah mereka dapat dibina semula. Usaha ini juga dengan bantuan NGO di sana.Antaranya, kerajaan Hamas mengerahkan pasukan keselamatan mengawal serta memastikan kebajikan rakyat terjaga.
Walaupun begitu keadaan agak sukar kerana banyak halangan seperti menyediakan bahan-bahan untuk pembinaan semula rumah-rumah tetapi rakyat setakat ini dapat merasakan banyak kebaikan daripada usaha-usaha yang dilakukan kerajaan. Hamas juga mengadakan hubungan dengan negara-negara luar bagi mengukuhkan hubungan  antarabangsa. Hamas juga cuba memperbaiki sistem  ekonomi di Gaza.

Bagaimana saudara melihat sokongan daripada badan NGO yang tidak mengira agama berlapang dada memberi sokongan kepada Gaza? 

Kami bekerjasama daripada beberapa sudut terutama bantuan  kemanusiaan tidak kira daripada pihak Islam atau bukan Islam. Kami  juga sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak berkaitan isu kemanusiaan atau atas dasar agama. Kerana itu kami hormati semua pihak yang memberikan bantuan.

Macam mana hubungan Hamas dengan Fatah dalam usaha untuk mempertahankan Gaza daripada serangan musuh?

Daripada segi strategi, kami bekerjasama dengan semua pihak yang ingin bantu kami dalam pelbagai isu berkaitan rakyat Palestin. Kami lebih memilih untuk mengadakan hubungan baik dengan pihak Fatah untuk membebaskan tanah air kami.  Daripada pihak Fatah pula mereka mahu Hamas berada di bawah organisasi mereka. Bagi mereka, mereka mempunyai pelan perdamaian dengan Israel dan mereka mempunyai pendekatan mengalah dan  tunduk kepada musuh.

Hamas dapat menerima pendekatan Fatah itu?

Di pihak Hamas, kami tidak boleh menerima pendekatan tersebut.  Kami akan berterusan memperbaiki  hubungan dengan pihak Fatah. Bagi kami, perpecahan yang berlaku di antara rakyat Palestin memberi mudarat yang lebih besar kepada rakyat Palestin. Kami lebih pentingkan maslahah untuk kebaikan rakyat Palestin.

Tiada ulasan: