ADUN dan para wartawan tiba awal hari ini untuk menghadiri sidang DUN Selangor yang akan membahas cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri untuk mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai tinggi kerajaan kepada sultan dan negeri, lapor Malaysiakini.
Dua trak anggota polis kelihatan berada di pintu masuk DUN manakala satu trak lagi berada berhampiran Wisma MBSA, ekoran kemungkinan berlakunya protes pagi ini. Kedua-dua pintu masuk dan keluar DUN dibuka separuh, dengan ruang yang mencukupi untuk dilalui sebuah kereta. Sidang DUN dijadual bermula jam 10 pagi di mana kerajaan negeri Pakatan Rakyat bercadang meminda Undang-undang Tubuh Negeri tersebut.
BN sebagai pembangkang negeri bagaimanapun menuduh kerajaan merancang untuk menambah kuasa menteri besar dalam menentukan pelantikan pegawai tinggi kerajaan negeri. Cadangan pindaan itu dibuat ekoran tindakan kerajaan pusat melantik bekas pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri yang baru.
Kerajaan Selangor membantah keras pelantikan tersebut dan menuduh Putrajaya mengetepikan kuasa negeri, apabila melantik Khusrin tanpa berbincang dengan menter besar. Sultan Selangor bagaimanapun memperkenankan pelantikan Khusrin yang mengangkat sumpah pasa 5 Januari lalu.
LAPORAN LANGSUNG 9.30 pagi: ADUN Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah tiba di bangunan SUK, diiringi dua pembantu. Beliau disambut oleh silauan lampu kamera jurufoto, menyebabkannya agak terkejut. "Wah, banyak peminat ni!" katanya berseloroh. Beliau enggan menjawab sebarang soalan walaupun ditanya bertubi-tubi oleh pemberita, sama ada akan mencabar keputusan speaker Teng Chang Khim yang mengisytiharkan kerusinya kosong.
9.32 pagi: Kira-kira 200 berkumpul di Dataran Shah Alam bawa pengawasan ketat polis. Sebahagian peserta memakai ikat kepala bertulis GAPS (Gagasan Anti Penyelewengan Selangor). Empat unit pasukan polis berkawal di depan pintu SUK. 9.40 pagi: Didesak pemberita, Badrul Hisham Abdullah memberitahu akan memfailkan saman bagi mencabar keputusan itu tengah hari ini selepas menghadiri sidang DUN. Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada beliau dibenarkan memasuki dewan ekoran kerusinya telah diisytihar kosong.
10 pagi: Dewan mula bersidang. Badrul Hisham Abdullah - yang kerusinya diisytihar kosong oleh speaker - duduk di bilik yang dikhaskan kepada petugas media, tingkat atas di dalam dewan. Setiausaha dewan membacakan ucapan diraja bagi pihak Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah. Dalam ucapannya, Sultan bertitah supaya ADUN membahaskan cadangan pindaan itu dengan sebaiknya tanpa beranggapan perkenan yang diberikan baginda sebagai menyokong mana-mana pihak dalam dewan. Baginda juga memberitahu ADUN supaya tidak menariknya sama dalam politik. Istana sentiasa tidak mencampuri urusan politik, titahnya lagi.
10.24 pagi: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membacakan ucapannya. Berdasarkan perkara 10(3) peraturan dewan, kerajaan Selangor membentangkan pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Selangor 1959 terhadap perkara 52(1), kata menteri besar. Pindaan itu dicadangkan supaya generasi akan datang tidak lagi tertanya-tanya dan tiada pihak yang berani melanggar kuasa kerajaan negeri dan Sultan, kata Khalid. Pakatan Rakyat memberikan komitmen menjunjung perlembagaan negara dan undang-undang tubuh negeri serta Rujun Negara, yang menjadi asas kepada kerajaan Selangor hari ini, tambahnya. Pakatan juga, tambah Abdul Khalid, berhasrat menegakkan kedudukan dan peranan Raja-raja Melayu yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.
10.35 pagi: Selepas duduk di bilik khas media kira-kira 30 minit, Badrul meninggalkan bilik itu dan bercadang mengadakan sidang media di luar. 10.50 pagi: Dalam sidang media selepas itu, Badrul Hisham mengaku beliau masih merupakan wakil rakyat yang sah dan akan terus berkhidmat kepada rakyat. Bagaimanapun, ditanya lagi sama ada beliau mahu memfailkan tuntutan di mahkamah, beliau hanya menjawab "mungkin". Beliau juga memberitahu, setelah menunjukkan surat jemputan bertarik 11 Januari daripada speaker, pihak keselamatan masih tidak membenarkannya masuk ke dalam dewan.
11.20 pagi: Abdul Khalid selesai berucap. Ketua pembangkang negeri yang baru dilantik Datuk Mohamad Satim Diman (BN-Seri Serdang) berucap mempersoalkan tindakan Teng memanggil sidang DUN tanpa notis 14 hari. Speaker menegur kembali Mohamad Satim supaya mengingat peraturan tetap dewan sebelum membangkitkan sebarang perkara atau beliau akan diminta keluar untuk mengingatinya. Penyokong Pakatan ketawa besar. 11.25 pagi: Mohamad Satim ketika membahaskan pindaan itu mendakwa kerajaan negeri 'syok sendiri'. Katanya, Umno Selangor tidak akan sesekali menyokong cadangan itu kerana bertentangan dengan perlembagaan negara dan bermotifkan politik. Menurutnhya lagi, kerajaan BN terdahulu tidak pernah membelakangi Sultan, berbeza dengan menteri besar baru yang didakwa tidak dapat menerima pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK yang telah mendapat pekenan Sultan.
11.26 pagi: Peserta perhimpunan di Dataran Shah Alam kini bertambah sehingga 500 orang. 11.41 pagi: Mohamad Satim mengulangi dakwaan bahawa wakil Pakatan biadan dan derhaka terhadap Sultan dalam banyak tindakannya, antaranya dalam isu penggunaan kalimah Allah dan tulisan dalam blog Shuhaimie Shafiei (PKR-Sri Muda) yang didakwa menghina Sultan.
12.10 tengah hari: Pengerusi Kelab penyokong kerajaan negeri Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) membalas Umno yang derhaka kerana enggan menyokong cadangan pindaan undang-undang itu. Katanya, walaupun Umno boleh menukar fakta menggunakan media arus perdana, mereka tidak boleh mengubah sejarah. Azmin juga berkata Umno sudah lama menikmati kekebalan bawah pentadbiran 'Mamak Bendahara' dan pihak eksekutif, yang mengundang bantahan ADUN Taman Templer Subahan Kamal. Subahan berkata Azmin berniat jahat dengan menggunakan perkataan 'mamak'. Sementara bangun Shamsudin Lias (Umno-Sungai Burong) menyokong Subahan, mendakwa Azmin menggunakan perkataan itu dengan cuba merujuk kepada Subahan. Azmin pantas membidas kefahaman "cetek" pembangkang negeri berhubung penggunaan prosa Melayu klasi di mana gelaran 'mamak bendahara' dirujuk kepada pembantu utama Sultan.
1 tengah hari: Sidang dewan ditangguhkan sehingga jam 2.30 petang ini. 1.10 tengah hari: Sekumpulan 20 pemuda Pakatan Rakyat berhimpun di depan bangunan DUN bagi menunjukkan sokongan terhadap cadangan pindaan itu. Mereke membawa kain rentang dan menjerit perkataan "Daulat Tuanku!" dan "Hidup Rakyat!" sebelum beredar sepuluh minit kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan