Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menolak 'perlumbaan' antara BN dan Pakatan Rakyat sehingga masing-masing melabel satu sama lain sebagai penderhaka.
"Saya setuju (ini politik regresif) dan saya tidak berkongsi pandangan (perlabelan seumpama itu),” katanya di Shah Alam hari ini. Isu yang didebatkan adalah pindaan perlembagaan (Selangor) dan martabat Raja-raja Melayu, jadi tumpuan adalah sama ada ia akan memperkukuh atau melemahkan perlembagaan."
Namun, katanya, beliau tidak menyalahkan rakan-rakannya di Pakatan yang terbabit dalam perbahasan itu kerana Umno yang mula melabelkan mereka sebagai penderhaka.
"Umno tuduh kita penderhaka, pengkhianat Melayu dan antek (alat) kepada Cina, jadi (pemimpin Pakatan) ada kalanya terpengaruh dengan bahasa yang digunakan ketika membalas. Tetapi jika saya, saya cadangkan mereka memberikan jawapan berdasarkan pindaan 1993 dan ucapan mengikut Hansard. Pemimpin Umno seolah-olah memperkecil-kecilkan kebolehan Raja-raja Melayu untuk berfikir bagi diri mereka sendiri dan saya tidak fikir raja-raja perlu diheret begitu rupa."
Ditanya, sama ada Pakatan akan mencuba sekali lagi untuk mengembalikan kuasa melantik setiausaha kerajaan negeri, pegawai kewangan dan penasihat undang-undang kepada sultan seperti yang diperuntukan oleh Perlembagaan Selangor sebelum 1993, Anwar berkata: "Kedudukan kita... kita menghormati kedudukan (Raja-raja Melayu) seperti yang termaktub dan dijamin oleh perlembagaan monarki.
"Kuasa terletak di tangan rakyat, mandat diberikan oleh rakyat... (tetapi) apa perlunya Raja-raja jika mereka tidak dirujuk seperti yang berlaku pada Pindaan 1993." Yang menarik, pada 1993, Anwar mengakui ketika itu beliau mengetuai perwakilan Umno untuk berunding dengan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah yang mewakili Raja-raja Melayu berhubung perkara itu.
"Saya tahu apa yang berlaku dan saya tidak fikir Raja-raja Melayu sudah lupa pengalaman mereka, sejarah itu masih baru," katanya. Dalam perkembangan lain, Anwar mengulangi cabaran debat ekonomi, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, khususnya mengenai rancangan pembaharuan 100 hari Pakatan Rakyat.
Namun katanya, jika Najib berterusan menyerangnya secara peribadi, beliau sanggup berdepan dengannya. "Beliau tidak tolak cadangan saya (untuk berdebat) tetapi kata saya akan demam atau sakit, dan bercakap mengenai melondehkan Anwar... saya tidak mahu melayan isu peribadi ini, saya mahu membincangkan ekonomi. Tetapi jika beliau mahu meneruskan, saya memang bersedia, malah termasuk membincangkan kes liwat. Saya boleh jawab dan saya juga mahu timbulkan isu rasuah, pembunuhan, mencuri isteri orang lain, Port Dickson, - semua itu boleh dibawa dan dibincangkan juga," kata Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan