Profesor Dr. Aziz Bari dalam satu interbiu bersama Tarmizi Mohd Jam di kediamannya dekat Selayang baru-baru ini
Oleh TARMIZI MOHD JAM
SPEAKER Dewan Rakyat sebenarnya tidak mempunyai kuasa untuk menyekat usul undi tidak percaya yang dikemukakan di Parlimen.
Perkara ini ditegaskan oleh Profesor Dr Abdul Aziz Bari, pakar Perlembagaan ketika dihubungi ekoran pendapat yang menyatakan bahawa Speaker mempunyai kuasa untuk menolak usul tersebut selain beberapa sebab teknikal yang lain.
Sebelum itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, melahirkan rasa ragu beliau meskipun ahli parlimen veteran itu berpendapat, tindakan SAPP semalam mempunyai implikasi politik yang penting.
Aziz, pensyarah UIAM menjelaskan kedudukan kerajaan di bawah sistem demokrasi berparlimen ditentukan oleh sokongan majoriti dan apabila timbul persoalan mengenainya maka dewan perlu diberi peluang untuk mempastikan soal itu.
Soal-soal teknikal perlu dikesampingkan kerana ini adalah soal yang melibatkan sama ada kerajaan yang ada boleh kekal atau meletakkan jawatan. Aziz memberi beberapa hujah untuk menyokong pendapatnya itu.
Yang pertama hujahnya, ialah soal sokongan majoriti itu penting sebagaimana yang disebut oleh Perlembagaan dalam beberapa peruntukan bermula dengan Perkara 43(2)(a). Ini diikuti oleh Perkara 43(4) yang mewajibkan Perdana Menteri meletakkan jawatan sekiranya beliau kehilangan sokongan majoriti.
Yang kedua ialah bahawa kuasa Speaker adalah berdasarkan peraturan tetap dewan (standing orders) yang dibuat berdasarkan Perkara 62(1). Dengan kata lain adalah tidak munasabah jika undang-undang kecil mengatasi Perlembagaan. Beliau berhujah ini tidak selaras dengan Perkara 4(1) yang meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara.
Yang ketiga kuasa mutlak Speaker adalah berhubung dengan perjalanan mesyuarat dewan tidak harus disalahgunakan untuk menyelamatkan kerajaan yang kehilangan kekuatan untuk memerintah.
Aziz menegaskan jika Speaker dibenarkan menyekat usul tidak percaya maka sistem demokrasi berparlimen - di mana kerajaan dilantik berdasarkan sokongan majoriti di dalam dewan - akan hancur.
Ini juga membawa makna konsep kerajaan bertanggungjawab (responsible government) yang sentral di dalam demokrasi Westminster tidak terlaksana.
Yang keempat, hujah Aziz lagi, dakwaan mengenai kuasa Speaker itu bertentangan dengan amalan yang konsisten setakat ini.
Pensyarah UIAM itu berkata setakat ini sudah tiga kali kerajaan tumbang di tangan undi tidak percaya di Malaysia. Beliau menegaskan kedua-dua Persekutuan dan Negeri mempunyai undang-undang yang sama.
Perletakan jawatan kerana gagal dalam usul tidak percaya berlaku buat pertama kalinya di Sarawak pada tahun 1966 melibatkan Ketua Menteri, Datuk Stephen Kalong Ningkan. Kemudian ia diikuti oleh perletakan jawatan oleh Menteri Besar, Dato Harun Idris di Selangor pada tahun 1976 yang diundi tidak percaya oleh partinya sendiri. Insiden yang sama berlaku di Kelantan pada tahun 1977 apabila Menteri Besar Dato Mohamed Nasir berbalah dengan partinya sendiri.
Aziz mengharapkan semua pihak, termasuk Speaker, perlu memberi laluan kepada proses yang telah pun secara konsisten diamalkan di seluruh dunia Komanwel. Jika ia disekat Malaysia akan ditertawakan oleh dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan