Jumlah Paparan Halaman

Isnin, Mei 31, 2010

Tahniah PAS! Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM) berhasrat beri pendidikan percuma

Rektor KUIZM, Dr. Shahbudin Ngah membicarakan gagasan dan hasrat kolej milik PAS itu kepada wartawan Harakah, Nyza Ayob di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

KELAHIRAN Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) bakal merancakkan lagi dunia pendidikan negara. Gabungan ilmu Islam sama ada thurah atau kontemporari ditambah pendidikan kerohanian menjadikan Kuizm berbeza dengan kolej swasta yang lain. Bagi membicarakan kolej yang diilhamkan daripada tokoh dan cendikiawan Dato' Prof. Dr. Zulkifli Muhammad ini, wartawan NYZA AYOB mendapatkan Rektor Kuizm, Dr. Shahbudin Ngah. Beliau merupakan bekas timbalan pengetua di salah sebuah maktab perguruan serta bekas pensyarah Universiti Terbuka Malaysia (OUM) yang dipertanggungjawabkan untuk menjayakan aspirasi PAS bersama Kuizm yang kini, bangunannya hampir 80 peratus siap di Lorong Haji Hassan, Off Jalan Batu Geliga Taman Melewar.

Pengambilan pertama pelajar KUIZM mulai Julai depan. Bila pembinaan dan pengubahsuaian Markas Tarbiyah PAS Pusat yang kini dijadikan bangunan KUIZM siap sepenuhnya?

DR. SHAHBUDIN NGAH: Mengikut perancangan awal, kami berharap ia dapat disiapkan pada Mei. Tetapi atas beberapa sebab teknikal, kami berharap selewat-selewatnya ia disiapkan sepenuhnya pada Jun ini supaya pelajar-pelajar dapat memulakan pengajian pada Julai nanti.

Sehingga kini, berapa jumlah pelajar yang telah berdaftar serta kuota pelajar untuk pengambilan pertama ini?

Sehingga kini permohonan masih berjalan. Bagi setiap kursus kami menetapkan sasaran 100 orang pelajar. Buat masa ini kami membuka pengambilan sekali sahaja dalam tempoh setahun.

Apakah kursus-kursus yang ditawar serta syarat-syarat yang ditetapkan bagi pengambilan pertama Julai ini?

KUIZM menawarkan dua program iaitu Diploma Muamalat dan Kewangan Islam dan Diploma Dakwah dan Komunikasi. Syarat utama ialah lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya tiga kepujian dalam mana-mana subjek serta lulus Bahasa Arab Tinggi atau Bahasa Arab Komunikasi. Bagaimanapun bagi yang tidak mempunyai SPM, sekiranya mereka mempunyai Sijil Menengah Agama atau Empat Thanawi, ia juga boleh diterima. Atau jika mereka mempunyai kelulusan lain serta berminat untuk menyambung pengajian di KUIZM, kami akan pertimbangkan dan akan memanggil mereka untuk temuduga. Pada masa yang sama mereka juga harus mengambil SPM. Syarat utama setiap pemohon mestilah lulus Bahasa Arab kerana kursus tersebut akan diajar dalam Bahasa Arab. Medium utama pengajian di Kuizm ialah Bahasa Arab. Bagi mempastikan mereka boleh menguasai Bahasa Arab, pada semester pertama mereka diwajibkan mengikuti kursus bahasa iaitu Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

Mengapa dua kursus sahaja ditawarkan dan kenapa KUIZM memilih kursus-kursus ini?

Kami merasakan kedua-dua kursus tersebut mendapat sambutan di kalangan pelajar. Tambahan pula kedua-dua kursus ini menyediakan peluang pekerjaan kepada pelajar. Masyarat juga menumpukan kepada kewangan Islam. Begitu juga dengan kursus dakwah dan komunikasi kerana kita mahu tugas kita untuk menyampaikan dakwah dengan menggunakan medium komunikasi. Kami juga memahami antara tujuan utama seseorang itu belajar selain mendapat ilmu ialah untuk mendapatkan pekerjaan.

Apakah terdapat cadangan kursus lain yang akan ditawarkan selepas ini?

Memang terdapat cadangan akan menambah kursus-kursus lain. Pada masa akan datang kami akan lebarkan lagi kepada kursus-kursus lain mengikut keperluan hari ini.

Bagaimana pula dengan promosi bagi menguar-uarkan kepada masyarakat khususnya para pelajar yang sedang mencari kolej yang sesuai untuk meneruskan pengajian mereka?

Selain daripada iklan-iklan di akhbar, kami juga akan mengadakan jelajah ke sekolah-sekolah agama di seluruh negara bagi tujuan promosi.

Sejak kebelakangan ini, kolej-kolej swasta tumbuh bagaikan cendawan. Bagaimana KUIZM menghadapi persaingan ini?

Memang tidak dapat dinafikan KUIZM menghadapi persaingan daripada kolej-kolej yang lain. Bagaimana pun kami yakin dengan keistimewaan kursus yang kami tawarkan mampu menjadikan KUIZM berbeza berbanding kolej-kolej lain. Jika di kolej lain mungkin kursus muamalat dan kewangan Islam ditawarkan secara berasingan. Begitu juga dakwah dan komunikasi. Jika di IPT lain mungkin menawarkan dakwah dan kepimpinan tetapi kami menggabungkan antara dakwah dan komunikasi. Kami juga memberi input yang lebih iaitu intensif bahasa.
Ibubapa juga lazimnya akan menilai kemudahan fasiliti disediakan. Jadi bagaimana di KUIZM?

Kuizm menyediakan kemudahan seperti bilik kuliah, perpusatakaan, makmal komputer, kafetaria serta asrama. Buat masa sekarang bagi penempatan pelajar, tempat agak terhad. Mungkin kami akan mencari rumah-rumah sewa sekiranya jumlah pelajar agak ramai sekitar kolej dengan kemudahan pengankutan.
Mungkin masih ada yang ragu-ragu dengan kredibiliti KUIZM sebagai sebuah pusat pengajian memandangkan ia masih baru. Apa komen Dr?

Kuizm sama seperti kolej-kolej swasta yang lain. KUIZM merupakan satu organisasi bebas yang menawarkan perkhidmatan pendidikan yang mementingkan antara pendidikan rohani dan akademik. Kami akan memberikan pendidikan yang terbaik setaraf dengan IPT yang lain. Dan KUIZM dalam proses untuk mendapatkan LAN (Lembaga Akreditasi Negara). Panel penasihat akedemik KUIZM juga berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan pengajian tinggi. Sebahagian mereka juga terlibat dengan LAN. Berdasarkan pengalaman mereka di universiti, segala kehendak sesebuah universiti dan kolej diaplikasi di Kuizm. Dan Insya-Allah mereka ini dijadikan sebagai rujukan utama bagi memastikan kecemerlangan pelajar di KUIZM.

Yuran pengajian yang dikenakan setiap semester, macam mana?

Kuizm satu-satunya kolej yang mengenakan yuran pengajian yang agak murah iaitu RM1,500 untuk satu semester. Kami faham, tidak semua mampu untuk belajar apabila yuran dikenakan agak tinggi. Falsafah kami untuk memberi peluang kepda semua pihak untuk belajar dengan mengenakan yuran yang agak rendah. Kami tidak mahu apabila seseorang itu sudah tamat pengajian tetapi masih dibebani dengan hutang pengajian. Yuran asrama juga berpatutan. Kami juga sedang berusaha untuk mendapat pengiktirafan LAN. Apabila mendapat pengiktirafan LAN, pelajar-pelajar mungkin boleh memohon PTPTN. Kami juga berharap dapat menyediakan tabung pendidikan. Kalau boleh hasrat kita, semua yang belajar di KUIZM secara percuma. Kita berharap semua pihak akan membantu agar kita dapat menyediakan tabung ini. Jika adanya tabung ini kita mungkin dapat menyelamatkan pelajar-pelajar daripada berhutang.

Akhir sekali apa nasihat Dr. kepada lepasan SPM atau individu yang masih tercari-cari kolej yang sesuai?

Kepada pelajar-pelajar yang ingin mendalami bidang yang kami tawarkan, datanglah ke KUIZM. Selain daripada mengikut program yang ditawarkan, pelajar-pelajar juga akan memperolehi ilmu kerohanian seperti program usrah serta kuliah 'tafakkuh fid din' yang jarang dititik beratkan kolej lain. Kami ingin mempastikan pelajar kami mendapat ilmu agama serta ilmu semasa untuk menghadapi kehidupan mereka. Graduan yang lahir daripada KUIZM Insya-Allah akan menjadi graduan yang mempunyai wibawa dengan ilmu Islam dan ilmu semasa serta boleh menyesuaikan diri dengan keadaan semasa.

0 ulasan: