KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Mei 28, 2010

Azam PAS Wilayah Persekutuan, tingkatkan kerjasama Pakatan Rakyat hadapi PRU-13

Haji Mohamad Noor ditemubual wartawan Harakah, Nyza Ayob

PERSIAPAN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 antara agenda utama akan dibincangkan dalam Ijtima PAS Wilayah Persekutuan, 30 Mei ini. Usaha memperkasakan parti di ibu kota diteruskan dengan pelbagai strategi dan program. wartawan, NYZA AYOB mendapatkan butiran lebih lanjut daripada Pesuruhjayanya, Haji Mohamad Noor Mohd yang diundang khas ke Pejabat Editorial Harakah, 24 Mei lalu.

Pada 30 Mei ini, Ijtima' PAS Wilayah Persekutuan akan diadakan. Apakah tema dan objektif kali ini?

MOHAMAD NOOR: Ijtima' PAS Wilayah kali ini bertemakan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangkakan berlaku tidak lama lagi. Kemungkinan sebagai mana yang dinyatakan Setiausaha Agung PAS, akan berlaku pada 2011 nanti. Justeru, ijtima' kali ini, menuju ke arah persiapan menghadapi pilihan raya tersebut di Wilayah Persekutuan. Oleh itu, PAS Wilayah mengambil inisiatif awal bagi membincangkan agenda dan strategi menghadapi PRU-13 itu.

Bagaimana misi PAS Wilayah Persekutuan sebelum ini untuk memperkasakan parti di ibu kota? Adakah turut dibincangkan?

Dalam ijtima' kali ini, kita fokuskan kepada cabaran-cabaran yang akan dihadapi menjelang PRU-13. Ini termasuklah isu-isu yang berbangkit. PAS akan berdepan dengan cabaran-cabaran. Untuk menghadapi cabaran tersebut, PAS mestilah memperkasa organisasinya. Ini termasuklah bagaimana PAS memperkukuh organisasi serta jentera di semua peringkat.

Setelah dua tahun PAS Wilayah Persekutuan berjaya menguasai kerusi Parlimen Titiwangsa (Dr. Lo'Lo' Ghazali), bagaimana saudara melihat penerimaan serta sokongan masyarakat terhadap PAS?

Kita telah melalui beberapa siri pilihan raya kecil. Sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat terutamanya PAS masih kuat malah meyakinkan. Bagaimana pun ada sedikit kebimbangan kita terhadap golongan bukan Islam. Mungkin dalam ijtima' ini kita akan melihat terhadap cabaran-cabaran yang antara lain untuk mengekalkan dan meningkatkan sokongan orang Melayu Islam. Pada masa yang sama, PAS ingin mempertahankan sokongan orang bukan Islam yang diperolehi dalam pilihan raya umum lalu.

Di Wilayah, mampukah pembentukan Dewan Himpunan Penyokong PAS yang dilancarkan 23 Mei lalu, meningkatkan sokongan bukan Islam terhadap PAS dan Paktn Rakyat?

Sokongan daripada kaum Tionghua, kita lihat masih bertahan. Cuma kebimbangan kita sokongan daripada kaum India yang nampak sedikit menurun terutama dalam pilihan raya kecil yang lalu. Perkara ini juga dapat dilihat di Wilayah Persekutuan dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan PAS. Penyertaan mereka agak berkurangan. Jadi kita merasakan menjadi cabaran besar kepada PAS Wilayah Persekutuan untuk mengekalkan sokongan pengundi bukan Melayu terutamanya kaum India. Kita menjangkakan PAS dapat mempertahan serta mempertingkatkan sokongan di kalangan kaum Cina.

Apabila Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong bertindak menjadi wakil rakyta bebas, apakah ia menjejaskan kepercayaan pengudni terhadap Pakatan Rakyat?

Saya melihat tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju keluar daripada KeADILan merupakan tindakan mengkhianati masyarakat yang telah memberikan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat. Sewaktu Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, masyarakat memilih parti tersebut bukan dia (individu). Kebetulah pada waktu itu Wee Choo Keong menjadi calon di Wangsa Maju. Tetapi apabila menang dia keluar daripada parti, jelas menunjukkan beliau telah mengkhianati sokongan dan kepercayaan pengundi-pengundi.

Apakah terdapat sebarang kerjasama erat antara PAS Wilayah Persekutuan dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat yang lain?

Daripada segi hubungan PAS dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat lain, kami akan mengadakan satu pertemuan untuk bersemuka dengan semua parti Pakatan Rakyat. Untuk mengukuhkan lagi jentera khususnya jentera pilihan raya Pakatan Rakyat. Kami juga dalam proses menubuhkan Majlis Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan. Insya-Allah dalam masa terdekat perkara ini akan terlaksana. Apa yang penting, kita harus mengekalkan hubungan di kalangan Pakatan Rakyat. Saya yakin dengan penubuhan Majlis Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan akan mengukuhkan lagi hubungan serta meningkatkan lagi persefahaman antara parti dalam menghadapi PRU-13.

Titiwangsa merupakan kawasan parlimen tunggal yang diwakili PAS. Macam mana peranan wakil rakyatnya, Dr. Lo' Lo' dalam menangani pelbagai isu di kawasan ini?

Saya sebagai Pesuruhjaya merakamkan berbanyak terima kasih kepada Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'lo' kerana dapat memainkan peranan sebagai wakil rakyat yang berkesan. Bukan hanya membantu menyelesaikan masalah yang timbul di Tititwangsa tetapi beliau turut menonjolkan pelabgai isu nasional. Beliau cukup berperanan apabila turut membangkitkan isu-isu tersebut melepasi batas sempadan. Dr. Lo'Lo' menjadi kebanggaan PAS Wilayah Persekutuan. Beliau juga dilihat banyak membawa isu-isu masyarakat keseluruhan dan tidak hanya tertumpu pada masalah yang dihadapi penyokong Pakatan Rakyat sahaja. Peranan yang dimainkan beliau itu boleh menjadi aset kepada kita bagi menghadapi PRU-13.

Tiada ulasan: