HARI ini, satu hal yang orang Umno mungkin tidak perasan, mereka tidak mempunyai pelapis atau pemimpin yang berlatarbelakang pengajian agama menyebabkan, sekian berdekad lalu, orang luar dijemput masuk ke kabinet, menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam, termasuk Tabung Haji!
Tentunya kita masih ingat nama-nama seperti Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, Dato' Seri Jen. (B) Abdul Hamid Zainal Abidin dan Dato' Dr. Abdullah Md Zin yang pernah menerajui 'kementerian' itu walaupun tidak ada yang lama di situ. Kenapa jadi begitu? Tidak adakah di kalangan Ahli Parlimen Umno (BN) yang layak (baca: mampu) untuk dilantik ke jawatan itu? Atau, orang-orang yang berpendidikan agama tidak berminat menyertai Umno, lantas tidak berminat memegang jawatan dalam parti yang kerap digambarkan sebagai rasis ini?
Bayangkan, Umno mendabik dada mempunyai keanggotaan 3.4 juta tetapi dari seramai itu, tidak ada seorang pun yang mampu untuk diberi tanggungjawab menjadi Menteri yang bertanggungjawab terhadap agama Islam. Seketika, Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri, pernah melantik Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi duduk di situ, tetapi sebaik sahaja Datuk Seri Mohd Najib Razak mengantikannya, Dr. Zahid dipindahkan ke Kementerian Pertahanan.
Tempat Dr. Zahid digantikan dengan Dato' Jamil Khir Baharom – juga bukan penjawat jawatan penting dalam Umno dan keanggotaannya juga dipersoalkan – bila pula dia menjadi anggota Umno? – oleh beberapa orang yang mengenalinya secara dekat. Dulu, ketika Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Dr. Yusof Noor yang ketika itu masih menjadi tenaga penting di UKM dijemput menjadi menteri untuk menjaga hal ehwal agama. Kemudian, Dr. Abdul Hamid pula menggantikan Dr. Yusof. Dr. Hamid juga bukan dari kalangan anggota Umno atau pemimpin Umno ketika dilantik ke jawatan tersebut.
Begitulah seterusnya. Apabila Dr. Hamid kalah di Sik Kedah di tangan Sasterawan Negara, Prof Shahnon Ahmad, bekas Brig. Jen. Abdul Hamid dilantik menggantikan Dr. Abdul Hamid. Abdul Hamid juga bukan dari kalangan pemimpin dan anggota Umno dan tidak bertanding dalam pilihan raya ketika itu.
Tempat Abdul Hamid Zainal Abidin kemudiannya diambil pula oleh Dr. Abdullah Md Zin. Dr. Abdullah juga adalah tenaga penting di universiti sebelum menjadi menteri dan kemudiannya terpilih bertanding di Parlimen Besut, tetapi tidak dilantik semula menjadi menteri selepas menang pilihan raya. Beliau mengulangi nasib Abdul Hamid, selepas menang di Parlimen Parit Buntar, namanya digugurkan dari kerusi Menteri.
Kini, selepas beberapa orang Menteri di Jabatan Perdana Menteri ini tersungkur, timbul pula nama Jamil Khir Baharom. Beliau juga bekas pegawai tentera sama seperti Abdul Hamid Zainal Abidin dahulu. Ketika kabinet Malaysia tidak memerlukan seorang bekas tentera menjadi Menteri Pertahanan, nampaknya bekas-bekas ustaz yang tidak aktif dalam parti, diperlukan Umno untuk menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal agama.
Ketika ini, tiada siapa yang akan dapat meramalkan berapa lamakah usia jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang disandang Jamil Khir ini akan bertahan, tetapi Umno seolah-olah mengesahkan kepada umum bahawa parti itu memang tidak disertai oleh mereka yang hebat latar belakang agama dan berpendidikan agama. Jika ada seorang dua yang terpilih berucap di Perhimpunan Agung Umno membawa dan menyokong usul agama, mungkin mereka hanya ustaz kelas rendah yang dilihat tidak boleh berperanan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang mampu ke Arab Saudi untuk perbincangan quota haji, saban tahun.
Lebih dahsyat lagi, timbalan menteri yang berkenaan juga turut dilantik dari kalangan mereka yang di luar Umno, termasuk Dato' Dr. Mashitah Ibrahim (Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) yang kemudiannya menunjukkan minat bertanding di peringkat Umno bahagian. Kenapa Umno ketandusan pemimpin yang berlatar belakangkan agama? Apakah memang orang agama tidak minat kepada Umno atau Umno memang tidak memberi tempat kepada orang agama?
Umno mempunyai biro agama di peringkat bahagian tetapi khabarnya di peringkat MT, Umno sudah lama memansuhkan Biro Agama Umno Malaysia kerana tidak mempunyai tokoh untuk menerajuinya. Satu ketika, apabila Dato' Nakhaie Ahmad menyertai Umno dan meninggalkan PAS, Umno melantiknya menjadi Timbalan Ketua Penerangan Umno. Kerajaan pula melantiknya menjadi Ketua Pengarah Hal Ehwal Khas di Kementerian Penerangan sebelum bersara sebagai Ketua Pengarah YADIM.
Malangnya, selepas khidmat Nakhaie tidak lagi diperlukan sebagai Timbalan Ketua Penerangan Umno, jawatan itu sampai hari ini tidak diwujudkan lagi. Adakah ini kerana tiada calon yang layak untuk mengisi jawatan itu atau, jawatan itu hanya layak disandang oleh Nakhaie, tiada siapa dapat memberi jawapannya. Sebagai seorang intelektual Islam, Nakahie pernah menawarkan dirinya sebagai calon Ketua Umno Bahagian Baling, namun beliau tewas.
Dalam satu tulisannya yang disiarkan sebuah akhbar arus perdana selepas kekalahannya itu, Nakahie mengaitkan isu politik wang dengan kempen-kempen ketika pertandingan menjadi sebab mengapa beliau tewas.
Malang sungguh nasib Umno. Selepas berusia 64 tahun, parti ini masih tidak mampu mencari barisan pelapis dari kalangan mereka yang berpendidikan agama dan berlatar belakangkan Islam untuk diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri. Nasib baiklah, masih ada tokoh-tokoh akademik di universiti-universiti yang sentiasa menadah tangan tanda sudi menerima perlawaan menyertai kabinet.
Jika tidak, nescaya Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada hal ehwal Islam akan diserahkan kepada mana-mana ketua bahagian yang dilihat boleh memimpin bacaan doa di majlis-majlis yang dihadiri Perdana Menteri. - Idris Samad
KLIK JOM FOLO DI SINI
Isnin, Mei 24, 2010
Halalkan judi, arak: Umno tandus tokoh agama yang berani berkata benar!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan