KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, Mei 11, 2010

Tindakan mala fide, ceroboh sempadan moral: NAJIB LAGAKAN SULTAN-NIK AZIZ


Mursyidul Am PAS menyifatkan tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengaitkan beliau melakukan pengingkaran serius dan menghina Sultan Selangor sebagai tindakan mala fide bukan sahaja bertujuan untuk melaga-lagakan, malah cuba menimbul fitnah besar kepada umat Islam untuk menggambarkan kononnya 'orang beragama' dan pemimpin seperti beliau suka mengingkari dan menghina Sultan.

Menurut Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, kesemuanya itu tidak benar dan berniat melaga-lagakan beliau dengan Tuanku Sultan, kerana dedahnya, komen yang diberikan beliau tidak pun memberi respons dengan merujuk kepada titah Tuanku Sultan Selangor, sebaliknya, ia adalah petikan yang direka-reka oleh akhbar berkenaan.

Ulasan sinis Najib itu telah disiarkan oleh Utusan Online (24 April 2010) dengan tajuk "Nik Aziz hina Sultan Selangor – PM" yang kemudiannya disiarkan dalam Utusan Malaysia cetak (24 April) edisi nasional di muka depan dengan tajuk "Pembangkang ingkari Sultan" yang turut mencetak kononnya kenyataan Menteri Besar kelantan itu selaku Mursyidul Am iaitu "Mursyidul Am PAS, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat malam tadi mempertikaikan titah Sultan Selangor supaya tidak menggunakan masjid untuk kempen politik. Beliau menyifatkan larangan itu sebagai karut dan saki-baki ajaran penjajah."

"Bagi saya, pandangan Dato' Seri Mohd Najib yang melabelkan saya sebagai 'melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor' adalah suatu pandangan yang tidak adil dan fitnah.

"Ia menggambarkan kenyataan bermotif politik dan penyelewengan fakta sebenar yang dipanjangkan oleh Utusan Malaysia, kerana ia sengaja disiarkan sebagai tajuk besar di muka depan (front page)," tegas beliau.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyifatkan tuduhan Najib itu dirasai paling tidak bermoral apabila akhbar yang sama pada hari mengundi (25 April), menyiarkan semula di muka dua atas tajuk "Tindakan Nik Aziz pertikai titah Sultan Selangor: Pengingkaran yang serius – PM."

Tegasnya, ia suatu pengulangan yang dibuat untuk menjatuhkan moral beliau dan suatu bentuk fitnah media yang disengajakan bagi mempengaruhi umat Islam agar menolak kefahaman agama yang telah beliau jelaskan secara sopan semasa sidang media pada malam 23 April di Kuala Kubu Bharu.

"Atas dasar itu, sesungguhnya saya tidak bersikap seperti difitnahkan oleh Dato' Seri Mohd Najib, maka saya tidak akan halal di dunia dan di akhirat. Kecuali beliau menarik balik secara terbuka memandangkan fitnah itu telah dibuat secara terbuka. Saya sedia menghalalkan apabila beliau menarik balik tuduhan itu secara terbuka," tegas Tuan Guru Nik Abdul Aziz lagi.

Jelas beliau, pandangan Najib itu suatu tuduhan kononnya dikaitkan dengan perlanggaran titah Sultan mengenai larangan penggunaan masjid atau surau untuk tujuan politik.

Najib juga katanya, telah menceroboh sempadan moral beliau dan membelasah imejnya yang dilakukan sehari sebelum berlaku pengundian di Hulu Selangor.

"Pada saya, apabila saya hadir di mana-mana masjid atau surau di Kelantan, prinsip yang saya amalkan ialah saya tidak akan bercakap atau berkhutbah atau menjadi imam selagi tidak diminta oleh pihak masjid atau surau berkenaan. Maka, prinsip yang sama saya pegang apabila hadir di masjid atau surau di mana-mana negeri termasuk di Selangor.

"Oleh sebab itu, sekali lagi saya nyatakan bahawa tuduhan Dato' Seri Mohd Najib sehingga menyifatkan saya melakukan pengingkaran yang serius dan penghinaan kepada Sultan Selangor adalah tidak boleh diterima sama sekali," tegas beliau.

Tiada ulasan: